Wanz Ramli Blog

Terus Mencari Persamaan

Bicara SantaiUmrah

Pengalaman dan Perkongsian : Persiapan Sebelum Ke Tanah Suci (Bahagian 1)

Assalammualaikum, Salam sejahtera.

Alhamdulillah, bersyukur pada Allah, saya dapat siapkan satu perkongsian yang agak panjang. Mungkin saya akan buat pecahan beberapa bahagian. Perkongsian ini tidaklah terbaik dan hebat mana, ianya berdasarkan pengalaman saya sendiri yang pernah jejak kaki ke tanah suci dua kali. Saya sangat terpanggil untuk menceritakan pengalaman saya ini buat semua orang yang bakal ke tanah suci melakukan umrah. Saya ingatkan, ini bukan perkongisan agama atau hukum-hukum umrah, ini sekadar pengalaman dan perkongsian atau sedikit nasihat sahaja. Jika anda inginkan lebih lanjut hukum hukum umrah, disini bukanlah tempatnya, kerana saya bukan ustaz atau ahli yang boleh bercakap. Saya hanya memberi pengalaman, perkongsian dan nasihat dalam bentuk persiapan dan persediaan sebelum berangkat ke tanah suci. Apa yang perlu anda lakukan, apa yang anda perlu bawa ke sana. Dan saya akan berkongsi juga bagaimana caranya untuk anda memilih agensi yang patut anda pilih, apa yang patut anda tahu, mengenai pakej yang ditawarkan dan sebagainya. Saya juga akan berkongsi cerita sedikit kejadian yang berlakukan di sana, atas pengetahuan dan penglihatan saya sendiri, InsyaAllah, bukan rekaan. Saya harap sahabat sekalian sudilah membacanya sehingga selesai, ini bukanlah yang terbaik dan sempurna, mudah-mudahan ada sedikit manfaat kepada sahabat dan InsyaAllah bakal tetamu Allah semua.

Pengalaman dan Perkongsian : Persiapan Sebelum Ke Tanah Suci.

Makkah Kelebihan Dan Sejarah(Shopee)

1) ILMU

Perkara asas yang patut sebelum sahabat dan para jemaah sekalian perlu tahu adalah ILMU. Datanglah dengan mempunyai ilmu yang cukup, jangan ambil remeh dalam perkara ilmu ini kerana kesannya akan dirasai di Mekah nanti. Bagi saya tidak ada sesuatu perkara yang kita lakukan tanpa asbab dan sebab, MESTI ada sebab. Jika ditanya “kenapa buat” jawapannya “entahlah” nampak seolah-olah tiada arah tuju.

  • Para sahabat dan jemaah sekalian perlu mengetahui atau meneliti setiap perkara-pekara yang berkaitan dengan umrah seperti rukun umrah, larangan-larangan sewaktu berihram, cara memakai ihram, ini adalah perkara penting dan asas untuk seseorang itu melakukan umrah. Perlu diingatkan ada perkara yang kita langgar akan ada akibatnya(dam), jadi berhati-hati, ambil berat perkara ini. Sahabat dan jemaah wajib mengetahui rukun-rukun umrah ini, niat, tawaf, saei, tahallul dan tertib, dan perlu kita ketahui dimana perlu kita berniat dan apa itu miqat. Jika kita dari Malaysia terus melakukan umrah tempat bermiqat adalah QARNUL MANAZIL kira-kira sejam sebelum mendarat di Lapangan Terbang King Abdul Aziz, Jeddah. Jika kita dari Madinah tempat bermiqat adalah BI’R ALI kira-kira 12 km dari Kota Mekah.. Insya-Allah sahabat dan para jemaah akan diterangkan dalam khursus umrah kelak.
  • Pendapat saya selain dari pengetahuan mengenai perkara-pekara umrah ini sahabat dan para jemaah perlu juga mengetahui perkara-pekara lain seperti Tawaf Sunat, Solat Jenazah, Solat Sunat, sujud sajadah dan lain-lain. Bagi saya kita datang ke Rumah Allah mencari redha, mencari pahala yang berlipat-lipat ganda, bukan hanya semata-mata umrah. Yang paling penting ialah belajar cara melakukan solat jenazah, hampir setiap waktu di Mekah dan Madinah akan ada solat jenazah dan pahalanya sangat besar, tidak mampu baca panjang, bacalah sekadar yang mampu. Tidak mampu lakukan semua, janganlah kita tinggalkan semua. Belajarlah.
  • Hadis : “Sesiapa yang menyaksikan jenazah sehingga dia mensolatkannya, maka dia akan memperolehi 1 qirath. Sesiapa yang menyaksikan jenazah sehingga jenazah dikebumikan, maka dia mendapat 2 qirath. Baginda ditanya: Apakah 2 qirath itu? Baginda menjawab: Seumpama 2 gunung yang besar.” [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Janaiz, no: 1325; Sahih Muslim, Kitab al-Janaiz, no: 945]
  • Selain itu juga kita perlu mengetahui kelebihan-kelebihan yang berada di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, sangatlah besar pahalanya.
  • Hadis : “Solat di masjidku ini (masjid Nabawi) lebih baik daripada seribu solat di tempat yang lain melainkan masjid al-Haram. Dan solat di Masjid al-Haram lebih baik daripada 100 ribu solat di tempat lain”.[Riwayat Ahmad (15271)] [Sanadnya adalah sahih mengikut syarat Imam al-Bukhari menurut Syeikh Syuaib al-Arnaouth ketika beliau mentakhrijkan hadith ini di dalam musnad Ahmad]
  • Dan akhir sekali menelaahlah sedikit mengenai sejarah-sejarah yang ada di dua kota suci ini, merasai peritnya Nabi kita menyebarkan Islam yang pada awalnya sembunyi-sembunyi sehinggalah terang-terangan. Lihat bagaimana sukarnya Nabi dan para sahabat R.A disiksa, dihina, dicaci, ada yang syahid, ada yang diperlakukan kejam dan banyak lagi. Jika mampu ke taif, pergilah dan mempelajarilah sejarah disana, bukan hanya seronok membeli buah-buahan dan menikmati cuaca dingin.
  • Perlu diingatkan, perbezaan pendapat atau mazhab itu akan ada dan akan berlaku, pasti. Sebaiknya hindarilah perbalahan atau pergaduhan dalam hal khilafiyah ini. Tidak dinafikan pihak kerajaan Saudi mempunyai mazhabnya sendiri(mazhab hanbali) yang mana agak sedikit beza dengan kita, dari segi qunut, basmallah dan sebagainya. Dari segi menziarah kubur juga, banyak perkara yang mereka larang. Pendapat saya, jangan kita terlalu memberontak ketika disana. Ikut sahajalah undang-undang yang ada, kerana tujuan kita ke sana adalah ingin menunaikan umrah dan ibadah sebaik dan sebanyak mungkin. Kita tidak mahu ada sebarang masalah di sana kelak. Saya pernah melihat depan mata saya sendiri, ada seseorang menegur orang lain katanya “selepas Al-Fatiha, tiada Al-fatiha lagi” maksudnya cukup sekadar imam membacanya. Maaf, bukan hendak buka perbahasan, tetapi ini pengalaman saya yang patut saya kongsikan. Kerana ilmu sangatlah penting dalam hidup kita, kita tidak perlu menegur perkara yang sudah maklum ianya dalam masalah fikih mazhab, rai-kan berbedaan. Kerana inilah tajuk pertama saya dalam artikel ini adalah ILMU.

2) Pemilihan Agensi Pelancongan/ Agensi UmrahTawaran Pakej

Saya suka untuk menekan dalam hal ini, kerana pemilihan agensi pelancongan ini amatlah penting. Bukan sahaja melibatkan duit, tetapi akan melibatkan proses kita ke tanah suci. Baca betul-betul dan hadam apa yang ditawarkan pakej-pakej ini. Kebiasaannya ada pakej ekonomi, mewah, vvip dan sebagainya. Sudah tentu pakej-pakej ini berlainan harga dan kosnya. Kebiasaan kita akan lihat tawaran berapa hari di Mekah dan Madinah, ada yang tawarkan 12 hari, 14 hari, 18 hari, ada juga sehingga 20 hari keatas, kemudian lihat pula berapa lama di Mekah dan berapa lama di Madinah. Ada sesetengah orang yang suka berada di Mekah lama, ada juga yang suka berada di Madinah lama. Ini pendirian masing-masing. Lihat juga jarak hotel, makanan dan minuman yang disediakan, hotel yang disediakan berbaloi atau tidak, WIFI, tawaran berapa kali umrah disediakan, bagasi yang diberi. Tanya semua yang kita ingin tanyakan. Kalau boleh tulis dan senaraikan soalan-soalan yang hendak ditanya kepada pihak agensi. Sebelum menandatangani atau bersetuju untuk memilih agensi pelancongan, sahabat atau para jamaah sekalian perlu meneliti apa yang ditawarkan oleh pihak agensi, jangan sekadar ‘ya ya, angguk angguk’, kemudian setuju. Banyak faktor-faktor perlu dititik beratkan dalam perkara ini kerana jika tersalah pilih yang akan merana adalah kita. Saya akan kongsikan sedikit cara memilih agensi untuk umrah ini atas pengalaman dan pengetahuan saya.

  • Pertama sekali mengenai jarak dari tempat tinggal ke masjid atau dataran masjid, perkara ini nampak seperti remeh akan tetapi impaknya sangat besar. Jangan sesekali mengatakan “tidak mengapa, ala..berapa meter sahaja, tidak jauh” dan sebagainya. Mungkin sesetangah orang menganggap 100 meter – 200 meter tidak jauh, jika sahabat dan para jemaah mampu, itu tidak mengapa. Sahabat dan para jemaah akan berjalan sepanjang 100-200 meter pergi, dan 100-200 meter balik, ditambah pula sehari lima kali waktu solat fardhu dan juga ditambah ketika melakukan perkara-perkara sunat yang lain. Ada juga pakej yang ditawarkan dengan jarak 200-350 meter dan ada yang lebih jauh lagi, baca baik-baik. Pendapat saya jika seseorang itu membawa ibu dan bapa yang sedikit uzur, ambillah pakej yang lebih dekat sedikit. Dengan adanya lambakan agensi pelancongan, banyak pakej-pakej yang ditawarkan lebih dekat. Ada yang 50 meter, 80 meter.
  • Kemudian sahabat dan para jemaah perlu membuat kajian sedikit mengenai hotel-hotel yang ditawarkan, gunakan kemudahan dan teknologi yang ada sekarang ini, buat carian. Ada sesetengah agensi menawarkan hotel yang hampir dengan dataran masjid tetapi laluannya yang sangat tidak sesuai untuk orang tua, berbukit-bukit. Ada juga yang menawarkan hotel 30 meter dari dataran, tetapi para jemaah perlu menaiki lif kemudian tangga bergerak pula yang memakan masa 10-15 minit untuk ke dataran masjid bukan dalam masjid. Alhamdulillah pengalaman saya pergi kali ke-dua ini hotel yang saya duduk sangatlah baik, senang dan mudah. Hanya turun lif berjalan sedikit kemudian sampai.
  • Sebagai contoh mudah mengenai jarak antara hotel. Al Ghufran(Safwa Tower) dan Al Maqam dan Al Massa. Dari segi penglihatannya Safwa Tower lebih dekat daripada Al Maqam dan Al Massa, tetapi dari Al Ghufran perlu menggunakan lif kemudian turun menggunakan tangga bergerak yang mengambil masa, kemudian berjalan ke dataran dan kemudian baru masuk ke dalam masjid. Berbanding dengan Al Maqam dan Al Massa, hanya turun lif berjalan sedikit sudah sampai. Saya pernah melalui pengalaman kedua-dua hotel ini dan membuat suatu perbandingan masa untuk sampai ke masjid, ternyata Al Maqam lebih cepat dan tidak terkejar-kejar. Jika keluar dari hotel Al Maqam ketika azan, masih sempat masuk ke dalam masjid, akan tetapi Al Ghufran tidak sempat. Inilah jarak hotel ke masjid. Bukanlah maksud saya jarak dekat kemudian berlenggang ke masjid, atau dengar azan baru keluar hotel. Kalau boleh keluarlah lebih awal, tawaf sunat atau solat sunat. Cumanya saya mengatakan contoh dan bagi sesiapa yang uzur, jarak ini sedikit sebanyak menyumbang kesusahan kepada mereka. Tetapi. Ini bukan bermakna saya menafikan hotel lain yang ada lebih dekat dan mudah. Saya bercerita atas pengalaman saya sahaja.
  • Perlu mengambil kira mengenai tarikh hendak bertolak. Tanya tarikh bila, kemudian lihat cuaca pada tarikh tersebut sama ada sejuk atau panas. Diingatkan bahawa cuaca disana sangatlah berlainan dan sentiasa berubah-ubah, ada ketika panas dan ada ketikanya sejuk yang melampau. Ada yang berkata bulan 12 cuaca sejuk dan bulan 1 sudah mulai panas, tetapi bulan 2 cuacanya agak sejuk sehingga mencecah 15 darjah selsius. Jadi, pastikan baju yang dibawa bersesuaian dengan cuaca atau suhu di sana. Dalam soal cuaca jangan samakan Mekah dan Madinah seperti negara lain yang mempunyai musim bulan ini sejuk, bulan ini panas. Cuaca disana sangatlah tidak menentu. Pengalaman saya disana, cuaca boleh berubah dalam masa 2-3 hari, sejuk dan panas.
  • Sebagai pelanggan, kita ada hak untuk bertanya apa sahaja berkaitan dengan pakej-pakej yang ditawarkan. Rajinkan mulut untuk bertanya segala-galanya untuk kemudahan kita. Seperti kerusi roda, berkaitan perubatan, perjalanan, destinasi kita turun di Mekah ataupun Madinah supaya persiapan dapat dilakukan dengan baik, tarikh bertolak, surat cuti, dan apa sahaja yang kita rasa penting untuk bertanya. Selain itu, bertanyalah mengenai mutawif yang akan membimbing kita. Sesiapa yang kali pertama pergi, tanya betul-betul adakah mutawif ini akan membimbing semua sesi umrah atau hanya sekali. Ada agensi yang menawarkan hanya sekali sahaja bimbingan umrah, kemudian lakukan sendiri. Ada juga yang akan bimbing hanya tiga kali sahaja, ada juga setiap kali kita hendak melakukan umrah akan di bimbing. Kebiasaannya agensi akan meletakan hadnya.
  • Perlu diingatkan juga, ada sesetengah pakej yang menawarkan pakej umrah dan negara lain. Sebagai contoh, pakej umrah serta lawatan ke Istanbul, Palestin, dan sebagainya. Jika tanya saya, dan jika sahabat membawa ibu bapa atau orang tua, nasihat saya, teliti betul-betul, fikir dalam-dalam. Jangan terpengaruh orang kata soronok pergi sana, pergi sini, merasalah kamu pergi negara orang lain. Tidak, bukan itu yang patut sahabat titik beratkan, masalah besar dan akan datangnya apabila sahabat sampai ke Mekah atau Madinah selepas melancong ke negara yang disebut, sahabat akan penat, sakit kaki, lesu dan sebagainya. Jangan fikir akan diri sendiri yang mampu, dan mempunyai tenaga muda, tetapi fikirlah mengenai orang tua sahabat yang mana tenaga mereka cukup sekadar melaburkan semuanya ke Rumah Allah, hanya untuk beribadat sahaja. Mereka tidak mampu dan tidak pun patut melaburkan tenaga ke tempat lain. Sama juga dengan kita, saya kuatir sahabat akan mengalami seperti mana saya alami ketika ke Tanah Suci dalam keadaan penat dan lesu. Maaf, saya menceritakan untuk mereka yang tidak mampu dan kurang tenaga, sesiapa yang mempunyai tenaga yang cukup, silakan. Kata orang bukan selalu dapat jejak negara orang lain, lebih-lebih Negara Islam yang lain, malah negara hebat. Jadi, pilihan ditangan sahabat sekalian, buat keputusan yang terbaik. Dan lagi satu, kadang pakej melancong ke negara lain sebelum ke Tanah Suci hanyalah sekadar ‘pijak tanah’ sahaja. Betul, memang 3 hari 2 malam. Sampai sana sudah petang atau malam(hari pertama), esok jalan-jalan sehari(hari ke-2),  hari kemudian penerbangan tengahari, pagi perlu bersiap-siap(hari ke-3). Sampai ke Mekah, perlu terus melakukan ibadat umrah, agak penat sedikit. Alhamdulillah, saya pernah laluinya, kerana itu saya berkongsi. Jadi seperti yang saya beritahu, segala keputusan ditangan sahabat semua.

Madinah Kelebihan Dan Sejarah(Shopee)

Kos Umrah

Saya meletakan kos umrah diakhir kerana bagi seseorang yang inginkan keselesaan atau kemudahan kos umrah ini tidaklah menjadi isunya. Pendapat saya, jika boleh berbelanja sedikit lebih, tambahlah. Bukan apa sesetengah agensi menawarkan kos yang murah kadang-kala ada penipuan, ada yang cakap dekat, setelah sampai hotelnya jauh dan tidak sama apa yang dikatakan. Ada juga yang tidak sediakan makanan, minuman dan banyak lagi. Jangan tertipu dengan harga yang rendah, bacalah apa yang ditawarkan dan apa yang diberikan. Saya tidak mahu sahabat dan para jemaah kerap kali ditipu oleh agensi. Ada yang sampai lapangan terbang nama tidak ada dan sebagainya. Janganlah disebabkan beberapa ratus atau RM1,000 perbezaannya, kelak di Mekah dan Madinah kita sering berkata-kata dan tidak puas hati kerana ditipu oleh agensi.

Walaupun kita kata tidak mengapalah ujian Allah, jarak yang dijanjikan 50 meter yang dapat 100 meter. Kita perlu ingat walaupun 100 meter pergi dan 100 meter balik ditambah lima kali sehari jumlahnya 1 km(belum ditambah dengan pergi dan balik solat sunat, tahajud) dan faktor-faktor seperti sakit kaki, cuaca yang agak tidak sesuai dengan tubuh kita, demam, tumit kaki pecah, faktor-faktor ini akan menambahkan ketidakselesaan kita di sana. Kadang-kala cuaca yang agak melampau sejuk dan panas di sana akan membuatkan kita ingin cepat pergi dan balik ke hotel.

Perlu diingatkan, jika pihak agensi berjanji jaraknya hotel 50 meter dan sesampainya disana pihak agensi menukar hotel tanpa memberitahu dan jarak hotel 100 meter. Kita mempunyai hak untuk meminta hotel 50 meter dan jika mereka tidak mahu, kita ada hak untuk meminta duit kita semula. Yang pada asalnya 50 meter kemudian 100 meter, minta semula hak yang 50 meter itu. Maksudnya disini jika harga hotel 50 meter itu RM 2000 dan harga hotel 100 meter RM1000, kita ada hak RM1000 kerana hotel dan jaraknya telah diubah tanpa ada perjanjian. Itu hak kita atau laporkan pada pihak berkuasa. Jangan biarkan diri kita ditipu dan jangan terlalu membiarkan perkataan “tidak mengapalah, ujian Allah”, ini apa yang diajar kepada saya oleh pihak agensi umrah itu sendiri. Semoga Allah rahmati mereka, memudahkan urusan mereka dan melipat gandakan rezekinya, amin. Kerana jujur dan amanah dalam perbuatan mereka. Diingati, jangan sampai ditipu dan tertipu, walaupun pakej itu datangnya dari ustaz atau orang-orang agama, pepatah “takkanlah ustaz nak menipu” tidak boleh digunakan lagi di zaman ini. Kadang bukanlah ustaz itu ingin menipu, tapi dia ditipu oleh pihak agensi itu sendiri.

Pertanyaan Kos

Seperti biasa, setiap pelanggan mempunyai hak untuk bertanya apa sahaja mengenai pakej-pakej yang ditawarkan. Sahabat dan para jemaah boleh menanyakan mengenai apa sahaja yang termasuk dalam pakej ini seperti ziarah ke taif, makan tiga kali sehari, kos pengangkutan, mungkin ada kos perubatan. Ada sesetangah agensi kos-kos umrah tidak termasuk seperti ziarah ke taif, ziarah luar, ziarah ke bukit hira’, perkuburan sahabat, dan sebagainya. Rajin-rajinkan diri untuk bertanya.

InsyaAllah, akan bersambung…

Tagged:

Related Posts