Pengalaman dan Perkongsian : Persiapan Sebelum Ke Tanah Suci (Bahagian 2)

Author:

Assalammualaikum, Salam sejahtera. Alhamdulliah bertermu semula. Kalau sebelum ini saya berkongsi mengenai ILMU dan  PEMILIHAN AGENSI PELANCONGAN/AGENSI UMRAH. InsyaAllah saya akan sambung perkongsian seterusnya. Mudah-mudahan ada sedikit manfaat buat pembaca sekalian.


BAHAGIAN 1 : ILMU, PEMILIHAN AGENSIPELANCONGAN/AGENSI UMRAH.
BAHAGIAN 2


Pengalaman dan Perkongsian : Persiapan Sebelum Ke Tanah Suci.

3) KURSUS UMRAH

Kebiasaannya pihak agensi akan sediakan kursus, boleh bertanya lebih terperinci kepada pihak pengurusan. Kursus umrah sangat penting, jangan ambil sambil lewa. Walaupun tiga sesi dibincangkan perkara yang sama, percayalah, sesampainya sahabat dan para jemaah disana. Sahabat dan para jemaah akan bertanya perkara sama yang dikatakan oleh mutawif sepanjang tiga sesi itu. Jadi, jangan terlalu sombong dan buat-buat tahu, kerana ilmu tidak akan pernah cukup. Jika tahu dengar lagi, mungkin ada perkara yang kita tertinggal.

  • Dengar apakah rukun umrah, wajib umrah dan larangan ketika berihram kerana ini akan menjadikan sah atau tidak sahnya umrah kita, ada yang jika dilanggar akan dikenakan dam dan sebagainya Bertanya, bertanya dan terus bertanya. Jangan pernah rasa malu ingin bertanya. Kepada wanita bertanya apa sahaja mengenai wanita seperti niat bersyarat, haid, darah istihadah, pil tahan haid dan sebagainya.
  • Bagi lelaki bertanyalah, mungkin jika ingin bertanya mengenai seluar atau celana dalam. Ada sesetengah jemaah tidak begitu selesa ketika di dalam kapal terbang tanpa seluar atau celana dalam, setahu saya ada dijual cawat ihram. Boleh tanya mutawif atau ustaz hukum pakai cawat ihram. Bagi lelaki yang mempunyai kencing tidak lawas(salisi al baul), perlukah untuk membalut atau memakai cawat atau lampin pakai buang.
  • Dalam bab suci amatlah penting, ini akan bersangkut kait dengan ibadah kita. Hati-hati. Jika kita dalam keadaan tidak suci, ibadat kita akan batal. Seperti tawaf yang memerlukan wuduk, dan syarat sah wuduk mestilah suci, tidak boleh ada najis. Semua ini bersangkut paut. Jadi, perlunya untuk bertanya.

4) PERSIAPAN

Pertama apa yang perlu kita persiapkan ialah ilmu, itu yang paling penting dan asas untuk melakukan umrah. Jangan sesekali pergi melakukan umrah tanpa ilmu takut-takut yang dicari rahmat Allah yang dapat hanyalah laknat dari Allah.

Kelengkapan Diri

  • Kita melakukan umrah mesti dalam keadaan selesa jadi kelengkapan diri juga amatlah penting buat jemaah yang ingin melakukan umrah.
  • Pertamanya adalah hal yang paling penting, iaitu pasport. Jangan lupa pasport dan kad perubatan yang perlu diambil sebelum mendaftar pergi umrah, kalau ke klinik, beritahunya hendak buat suntikan umrah(vaksin meningococcal). Jangan sesekali tinggalkan kedua-dua ini. Buat persiapan secukupnya. Tanya pihak agensi apa yang perlu dipersiapkan. Salinan kad pengenalan, surat beranak, dan sebagainya.
  • Barang-barang yang perlu dibawa seperti berus gigi, ubat gigi, mungkin sabun dan syampu yang sesuai, memang ada disediakan di hotel-hotel cuma ada yang senang dengan sabun dan syampu sendiri seperti anti-bakteria, wangi dan sebagainya.
  • Baju juga perlu disusun dan kira berapa hari kita berada disana. Ada yang suka bawa sedikit ada yang suka bawa lebih. Pendapat saya, pergi melakukan ibadah umrah dan bercuti ini perkara yang berbeza. Ingat, kita hendak mengadap Allah, jika berjalan dengan teman pun bercantik, wangi dan bersih, apatahlagi kita ingin mengadap Allah. Bawalah pakaian lebih, dikuatiri pakaian kita terkena najis, sukar untuk dibasuh dalam masa sehari. Dobi di Mekah juga agak mahal, harga dikira helaian bukan per-kilo. Jadi nasihat saya ini, bawalah lebih. Mungkin buat jadual baju apa untuk hari apa, berapa helaian dipakai dalam sehari, jika baju terkena najis baju apa untuk digantikan dan sebagainya. Kain ihram umrah kalau boleh bawa dua helai, satu pakai dari rumah(turun Mekah), satu lagi simpan dalam beg.
  • Pakaian ketika cuaca sejuk, bawalah yang tebal-tebal bersesuaian dengan cuaca. Penutup muka, stoking. Sebab cuaca sana sangatlah sejuk. Pengalaman saya pergi ke Masjid waktu malam, kaki saya sejuk, sehingga bila jalan tidak rasa. Telinga pun begitu. Lagu satu, di hotel juga sangat sejuk, bawa baju sejuk untuk tidur nanti.
  • Yang paling penting adalah ubat-ubatan. Ini sangat penting, jangan mengambil ringin perkara ini. Ada kes berlaku yang diceritakan oleh agensi saya ketika pergi umrah, seorang pakcik ini sakit jantung kemudian ubatnya dalam kargo, mujurlah ada orang lain bawa ubat. Yang mana ada masalah kritikal, beritahu pihak agensi supaya pihak agensi boleh membuat pemantauan. Ubat-ubatan yang perlu dibawa antaranya ialah ubat demam, selesama, ubat batuk, cirit-birit, pelembab kulit, crack heels, kalau ada yang sakit jantung bawa ubat sakit jantung anda.
  • Penerbangan dari KLIA ke Jeddah mengambil masa selama 9 jam waktu menunggu di lapangan terbang KLIA adalah 4-5 jam sebelum penerbangan. Jadi persiapan lengkap perlu dibuat kerana perjalanan yang agak panjang dan menunggu giliran yang agak lama akan membuatkan kita tidak selesa, lagi-lagi para jemaah lelaki yang akan melakukan umrah terus. Lelaki akan memakai pakaian ihram dari rumah atau boleh memakai kain ihram dan berbaju.
  • Lain-lain yang boleh dibawa seperti makanan, jemaah bolehlah membawa mi segera atau makanan-makanan melayu contohnya sambal hitam, ikan bilis goreng sambal. Dalam perkara ini nampak seakan-akan tiada keperluan, tapi percayalah sehari atau dua hari jemaah mampu untuk menelan makanan arab, jika 12 hari sahabat dan para jemaah makan hampir setiap hari briyani ayam lauk ayam goreng, briyani kambing berlaukan kari kambing dan lain-lain, sahabat dan jemaah akan jemu, bukanlah tandanya tidak bersyukur, setiap manusia itu ada seleranya yang tersendiri, itu adalah kenyataan yang pasti. Kita orang Melayu yang mempunyai makanannya sendiri.
  • Juga yang penting, sahabat dan para jemaah sediakan duit secukupnya, dan buat penukaran mata wang semasa di Malaysia, jangan sampai sana baru tercari-cari kedai untuk menukar wang. Saya kuatir sahabat dan para jemaah memerlukan wang Riyal apabila jejak sahaja kaki di Mekah atau Madinah. Mungkin sahabat dan para jemaah lapar, haus dan sebagainya. Perjalanan yang mengambil masa yang sangat panjang. Bercukur pun memerlukan SR10. Jadi, siap sediakan mata wang Negara Arab Saudi dari Malaysia.

5) PERSIAPAN PENERBANGAN

Pastikan kain ihram lagi satu di isi dalam hand luggage, supaya jika bagasi kita tidak sampai ke hotel sekurang-kurangnya ada kain gantian. Dikuatiri kain ihram kita terkena najis atau kotoran, hampir seharian kita pakai, masuk bilik air, buang air, berjalan, kecing tidak lawas dan sebagainya. Begitu juga ubat-ubatan, pastikan masuk dalam hand luggage, bukan kargo.

  • Bagi yang turun ke Madinah, tidaklah banyak persiapan atau persediaan yang perlu. Bagi yang turun ke Mekah melakukan terus umrah, jemaah perlu berhati-hati. Pastikan kain ihram dipakai dan jangan ada sebarangan pakaian berjahit atau perkara-perkara yang dilarang dalam berihram. Jika ingin memakai juga, pastikan kita mengambil tahu hal sekeliling. Insya-Allah miqat akan diberitahu 1 jam sebelum tiba, pastikan jemaah berjaga pada waktu itu. Jika boleh 2-3 jam sebelum tiba, bukalah apa sahaja yang boleh merosakan ihram kita. Ada yang pakai seluar, ada yang pakai baju, penutup kepala, dan yang paling bahaya adalah seluar atau celana dalam. Pastikan betul-betul sudah dibuka. Ada kes yang dikatakan pada kami, ada orang sampai ke hotel baru perasan ada seluar dalam. Hati-hati sahabat dan jemaah sekalian.
  • Sambil-sambil menunggu tiba di Jeddah sesiapa yang boleh membaca, lihat-lihatlah buku panduan umrah, bacalah sedikit, ulang-kaji apa yang patut buat ketika umrah, bacaan-bacaan sunat dan sebagainya, panduan itu akan menjadi rujukan kita nanti di Mekah. Tapi kalau mabuk atau pening, jangan baca, takut muntah pula nanti. Nanti sampai Mekah mabuk pening, susah pula hendak melakukan ibadat. Macam saya, mabuk dan pening, lihat sahaja tulisan, tidak boleh tahan, mesti pening.
  • Jangan takut atau panik untuk berniat di Miqat, Insya-Allah pihak penerbangan atau kapten kapal akan maklumkan kelak, seperti penerbangan Saudia akan memaparkan maklumat di skrin hadapan, berapa lama akan tiba di Miqat dan sebagainya.
  • Solat jamak dan qasar boleh bertanya pada ustaz atau mutawif bagaimana hendak melakukannya, sama-ada solat hormat waktu, atau solat seperti biasa. Pihak penerbangan Saudia ada sediakan tempat atau ruang solat dibahagian belakang beserta kompas arah kiblat, jadi sesiapa yang menggunakan penerbangan Saudia Airlines jangan risau.
  • Rehat secukupnya dalam kapal terbang kerana sahabat dan para jemaah akan menggunakan banyak tenaga disaat sampai disana dan ketika melakukan umrah nanti. Masa yang diambil melakukan ibadah umrah adalah mengikut masing-masing, kebiasaannya 2 jam hingga 2 jam setengah. Bagi saya, jangan terlalu menghitung detik dan waktu ketika ibadah, fokus melakukan ibadah sebaik mungkin. Kita sedang beribadah kerana Allah.

InsyaAllah, akan bersambung..

3 thoughts on “Pengalaman dan Perkongsian : Persiapan Sebelum Ke Tanah Suci (Bahagian 2)”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *