Wanz Ramli Blog

Terus Mencari Persamaan

Tanaman


Assalammualaikum, salam sejahtera.

(Nak lihat tanaman atau cara semai? Boleh ke Youtube : JOM! Bercucuk Tanam!)

(Penulisan ini bukanlah dari seorang yang pakar dalam penanaman secara hidroponik, hanya sekadar perkongsian saya yang mencuba kaedah ini. Sebarang kesalahan, bolehlah betulkan diruangan komen dibawah. Terima Kasih)

Kali ini saya hendak berkongsi mengenai pengalaman saya menanam menggunakan kaedah tanaman secara hidroponik.

Sebelum itu, apa benda hidroponik ini?

Hidroponik adalah keadah bercucuk tanam menggunakan air nutrien(baja). Iaitu meletakkan tanaman(akar) ke dalam air yang sudah dibancuh baja tanpa menggunakan tanah. Untuk menggantikan tanah, kita perlu menggunakan sabut kelapa, bulu mineral, clay pebbles, batuan, dan lain-lain yang boleh menggantikan tanah. Kaedah ini adalah untuk mengurangkan penggunaan tanah yang mana tanah semakin lama semakin berkurangan.

Mudahkan kaedah ini?

(Artikel saya ini memfokuskan teknik tradisional atau kratky.)


Kaedah tanaman secara hidroponik pada hari ini bukanlah sesuatu perkara yang asing, pelik, atau ganjil. Tanaman secara hidrponik ini sangat mudah dan senang diguna pakai, terutamanya bagi mereka yang mempunyai halaman yang sederhana dan kecil. Menggunakan kaedah ini memerlukan ruang yang sangat minima, kalau kita mahir dalam hiasan-hiasan ini. Bagi saya, semua orang boleh lakukan, cuma perlu buat sedikit bacaan atau belajar bagaimana cara hias dan meletakkan sesuatu hiasan dengan baik. Saya tak pandai nak berhias-hias ni, haha. Jika anda duduk dirumah pangsapuri yang mempunyai ruang beranda, anda boleh menggunakan bekas sekecil botol air mineral dan botol kuih sebagai bekas hidroponik anda, mengikut kreatif dan inovasi anda. Mudah bukan? Menggunakan barangan terpakai yang boleh dikitar semula.

Memang dahulu kaedah ini nampak seperti mahal, mana tidaknya barangan yang perlu di beli agak mahal. Bekas hidroponiknya sahaja puluhan-puluhan ringgit, aksesorinya lagi, seperti paip hidroponik atau bekas hidroponik, pasu(kecil), span dan sebagainya. Namun, hari ini dengan luasnya ilmu pengetahuan kita berkaitan Do It Yourself(DIY) atau buat sendiri dalam bahasa yang mudah. Apa sahaja kita boleh kurangkan kos, jika kita rajin melakukannya sendiri, dengan ilmu ini bermacam-macam cara kita boleh lakukan, buat, bentuk, dan sebagainya. Bekas hidroponik yang biasa boleh mencecah RM50 keatas! Dengan adanya ilmu DIY, kita boleh membuat bekas hidroponik dengan harga kurang lebih RM10! Sangat menjimatkan. Bagaimana?

Tanaman hidroponik ini sangat sesuai untuk mereka yang tidak mempunyai masa ‘melayan’, siram air pagi, petang. Terutamanya orang yang bekerja, tidak punyai masa dan orang yang mempunyai halaman atau ruang yang sederhana dan kecil atau terhad. ‘Tanam, Tunggu dan Tuai’ (3T). Jangan salah sangka, walaupun bunyinya sangat mudah, semudah ABC tetapi ianya bukan semudah yang disangka.

Net Pot Hidroponik (Shopee)

Seperti yang dimaklumkan tadi, tanaman secara hidroponik ini menggunakan air nutrient(baja), kita perlu memeriksa kadar airnya setiap hari supaya airnya cukup untuk tanaman kita. Jika berkurangan, maka perlulah kita menambahnya. Jangan ingat perkataan Tanam, ‘Tunggu’, Tuai itu hanya tunggu sahaja, tidak! Kita perlu memeriksa selalu kandungan airnya supaya tanaman kita tidak layu. Kalau tanaman jenis sayuran, penjagaan airnya tidaklah terlalu sukar kerana tanaman sayuran ‘menarik’ air nutrient tidak terlalu kuat, sebaliknya pokok sayuran jenis berbuah seperti terung dan sebagainya menarik air yang sangat banyak. Sebenarnya tanaman secara hidroponik hanya fokus kepada sayuran seperti salad, sawi, bayam, dan sejenis dengannya. Tetapi saya yang gatal tangan ini suka mencuba-cuba, saya tanam cili, terung, bendi, peria, melon menggunakan kaedah ini.
Jadi ke tidak? Ya, menjadi. Nanti saya akan konsikan dalam artikel yang lain.

Kalau mengikutkan pengalaman saya, tanaman yang masih kecil, airnya tidaklah terlalu banyak digunakan, akan tetapi jika tanaman itu sudah sampai tahap kematangannya, air yang ditarik sangat banyak dan kuat. Maksudnya, jika anda letak air 2 liter, jangkaan dalam masa sehari sahaja tanaman(matang) boleh menyedut air hampir setengah dari kuantiti air yang anda letak. Jadi, anda perlu kerap periksa kualiti air dalam bekas, kena peka. Maksudnya disini, anda perlu menambah air setiap 1-2 hari sekali(tengok keperluan tanaman anda), jika musim agak panas, jadi cepatlah air dalam bekas itu kehabisan. Air yang dimaksudkan ini adalah air bancuhan baja ya, bukan air biasa. Biasanya guna air yang dibancuh dengan bancuhan baja AB(dalam bentuk cecair). Untuk memudahkan anda, anda boleh bancuh air baja dalam kuantiti yang banyak terus, atau mungkin kalau rajin, boleh buat selalu jika diperlukan. Baja AB atau bancuhan air nutrien jangan terdedah ditengah panas, ianya boleh merosakkan baja tersebut.

Hidroponik PVC Paip (Shopee)

Saya perlu jujur dan mengatakan perkara yang betul. Saya kuatir sebahagian pembaca yang membaca dan mengambil bulat-bulat apa yang dikatakan oleh penulis dalam artikel mereka, hidroponik mudah, senang, tanam tunggu tuai dan sebagainya, bilamana kita tanam semua tidak menjadi. Jangan salah sangka dan salahkan mereka, mereka membandingkan diantara kaedah hidroponik dengan kaedah yang lain. Dari segi zahirnya, ya, memang mudah, tapi perlulah melihat artikel mereka keseluruhan. Ada kebaikan, ada kekurangan. Pembaca harus meneliti setiap perkongsian semua orang termasuklah saya. Apa sahaja yang kita buat tidak semudah ABC atau 123, perlukan sedikit usaha, InsyaAllah, pasti berjaya.

NUTRIENT FILM TECHNIQUE

Ada satu lagi teknik Nutrient Film Technique(NFT), saya tidak menggunakan teknik ini, yang mana anda tidak perlu memeriksa air setiap masa. Caranya bancuh air dalam tong besar, kemudian menggunakan pam air untuk menarik air ke paip tanaman hidroponik anda, kemudian air akan mengalir ke semua akar dan akan kembali dalam tong air anda. Anda perlu membuat satu sistem pengaliran air dari bekas air ke tanaman kemudian mengalir semula ke tong air. Dengan cara ini, anda tidak perlu kerap memeriksa air baja kerana kuantiti air bancuhan yang banyak. Berbeza dengan teknik tradisonal, yang mana kuantiti air dalam bekas agak sedikit, lebih kurang 1-2 liter sahaja(kalau guna botol kecil). Cumanya teknik ini agak sedikit sukar jika anda masih baharu dan menggunakan kuasa elektrik dalam masa yang sama. Jadi, pilihan ditangan anda. Anda boleh buat carian di blog-blog yang pakar dan hebat mengenai hidroponik. Saya juga mengambil ilmu dari mereka semua(Terima Kasih).
Atau anda boleh buat carian beberapa lagi teknik hidroponik seperti Deep Flow Technique(DFT), caranya yang hampir sama seperti Nutrient Film Technique(NFT)

Saya tidak menggunakan kedua-dua teknik ini, kalau ingin maklumat lanjut, boleh ke blog-blog pakar dalam teknik hidroponik ini. Jadi saya tidak mampu menjawap mengenai teknik ini, maaf.

Dari segi kos, kos hidroponik bukanlah biasa-biasa jika anda ingin membeli semuanya tanpa DIY, kalau set hidroponik yang lengkap dijual sehingga RM200 keatas. Walaupun ianya boleh jimat dari segi bekas hidroponik, tetapi ada juga perkara lain yang perlu anda meneliti. Teknik hidroponik ini ada beberapa teknik, seperti kartky(tradisional), Deep Flow Technique(DFT). Yang paling mudah dan murah adalah teknik tradisional, hanya memerlukan bekas sekecil botol air mineral, pasu, dan media tanaman, untuk menggantikan tanah, anda boleh menggunakan sabut kelapa, bulu mineral, clay pebbles, batuan, dan lain-lain yang boleh menggantikan tanah.

Clay Pebble (Shopee)

Jika anda menggunakan bekas empat segi, ruang yang diambil sedikit luas. Kalau menggunakan paip hidroponik saiznya 4×2 sahaja. Walaupun panjangnya kebiasaan 1 meter, tapi lebarnya hanya 4 inci, ruang ini sesuai untuk mereka yang ruangnya kecil seperti beranda. Jika ditanya saya, apakah yang mudah, saya akan jawab paip hidroponik kerana saiznya yang tidak lebar, tetapi sedikit mahal. Mahalnya bukan sekadar paip itu sahaja, malah tempat letaknya paip itu juga anda perlu fikir hendak buat macam mana. Rumah saya selalu banjir, jadi kalau tempat letaknya dibuat daripada kayu, mudah reput.

Kesimpulannya,

Apa yang menarik mengenai tanaman secara hidroponik ini, bukan sahaja mudah, tidak menggunakan ruang yang banyak, tetapi juga kadar tuaiannya agak baik. Jangkaan tuaian 45-50 hari(mengikut sayuran yang ditanam), kebiasaannya tepat, saya tuai sayur dalam lingkuangan 45-50 hari, dengan syarat, air nutrien perlu sentiasa dijaga meter ppm-nya. Ppm adalah kuantiti nutrient dalam air, boleh beli meter ppm. Kita juga tidak perlu menyiram tanaman selalu, lagi- lagi ketika musim panas, selalu tanah akan kering. Kalau guna kaedah hidroponik, anda balik kerja pun air tidak kering dan pastikan kuantiti air cukup untuk tanaman anda.

Kekurangan pula kalau anda pakai teknik tradisional ini, bekas akan berlumut, tetapi jika anda balut atau cat botol, bekas kurang berlumut. Kalau boleh seminggu atau dua minggu sekali, basuh bekas itu supaya lumut tidak meletak. Dan paling penting sekali adalah masalah jentik-jentik. Hati-hati, jadilah orang yang ambil berat dan bertanggungjawab dalam perkara ini. Jangan jadi segelintir, mereka tidak ambil peduli pun. Kalau kita baca kitaran nyamuk, nyamuk memerlukan seminggu dari jentik-jentik ke nyamuk, jadi kalau boleh 2 hari periksa air supaya tiada jentik-jentik. Cara hindari jentik-jentik(link). Nyamuk adalah musuh dalam selimut, hati-hati. Jadilah manusia yang ada sedikit tanggunggjawab. Sentiasa periksa air dalam setiap bekas yang kita ada. Hindari dari nyamuk masuk dalam bekas. Kuatir jentik-jentik yang kita “bela” itu akan memakan diri kita sendiri.

Perkongsian saya ini hanya untuk mereka yang baru nak mencuba tanaman secara hidroponik ini, disebabkan ilmu saya yang biasa-biasa ini, huhu. Siapa yang sudah mahir, bolehlah ke blog-blog pakar hidroponik, mereka semua hebat-hebat. Tidak kedekut ilmu bila menyampaikan sesuatu.

Bagi saya, bercucuk tanam ini adalah hobi yang menyenangkan jiwa, ianya seolah-olah terapi mata. Tidak kiralah sama ada kita menggunakan keadah hidroponik, tanaman tanah, atau aquaponik sekali pun. Mana tidaknya, tanaman yang kita tanam kemudian mendapat hasilnya, yang penting bebas dari segala racun dan bahan terlarang.

Jom cuci mata sedikit.

Alhamdulillah, ini diantara tanaman yang saya tanam menggunakan kaedah tanaman secara hidroponik. InsyaAllah, saya akan kongsikan tanaman saya yang lain kelak.

Mungkin ada salah dan silap, boleh tegur saya diruangan komen. Tegur ya, bukan maki hamun atau kecam, haha. Yang salah datang dari saya, yang baik dari Allah.

Sekian.

Tagged:

1 COMMENTS

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts