Wanz Ramli Blog

Terus Mencari Persamaan

Tanaman

Hidroponik : Percubaan Pertama Kali


Assalammualaikum, Salam sejahtera

Seperti yang pernah dijanjikan dalam entry yang lepas, saya akan kongsi tanaman hidroponik yang saya tanam. Sebenarnya tanaman secara hidroponik memfokuskan tanaman sayuran, tetapi saya mencuba pelbagai tanaman. InsyaAllah saya kongsikan mungkin sebahagian daripada yang saya tanam. Saya mula menanam awal bulan 6.

Ini percubaan tanaman pertama saya. Ya, pertama kali, hasilnya sangat baik. Penanaman secara hidroponik ini bukanlah susah dan bukan jugalah mudah, perlu sedikit kajian dan bacaan bagaimana nak tanam menggunakan kaedah hidroponik ini, juga perlu usaha. Jom Tengok hasilnya.

Menarik bukan? Nampak segar sahaja. Apa yang penting adalah bila kita tanam sendiri lebih sihat dan terkawal dari segala racun dan bahan kimia yang berlebihan. Seterusnya pokok kangkung, pokok yang senang untuk ditanam, dan rata-ratanya diantara kita memang makan sayur kangkung.

Nah, jadilahkan walaupun sikit, lepaslah orang cakap nak letak dekat nasi goreng. Penanaman kangkung saya buat ini sedikit lain, asasnya saya menggunakan kaedah hidroponik, tetapi atasnya saya menggunakan medium tanah, supaya pokok sedikit kukuh. Jika tuan/puan nak hasil yang lebih banyak, boleh buat lebih banyak lagi. Tuan/puan cuma perlukan tangguk penapis dan bekas untuk letak air sahaja dan juga biji benih kangkung, InsyaAllah saya akan ajar nanti cara menanam kangkung. Saya juga ada mencuba menanam pokok bendi dalam botol kuih, Alhamdulillah, menjadi.

Span Hidroponik (Shopee)

Lihat pokok bendi ditanam menggunakan kaedah hidroponik. Hanya menggunakan botol terpakai sahaja. Kalau dilihat gambar yang kedua itu, saya saja ambil sebab nak beritahu ruang yang digunakan amatlah minima. Boleh tengok botol kuih dan pasu besar dan berat itu. Dari segi cantik, tidak dinafikan, guna pasu lebih cantik, cuma jika seseorang yang mempunyai ruangan terhad seperti menetap di pangsapuri yang ada hanyalah beranda, kaedah ini boleh diguna pakai. Tetapi masalah utama saya adalah, bila pokok ditiup angin, pokok akan tumbang, habis semua air keluar dari botol. Saya rasa kalau ada banyak pokok dan berpaut antara satu sama lain, mungkin tiada masalah pokok tumbang atau boleh guna tali untuk pokok berpaut.

Ya, sepertimana yang saya beritahu tadi, saya mencuba menanam pelbagai jenis pokok, pokok sayur dan pokok sayur jenis berbuah. Ini contoh pokok terung saya tanam. Kalau kita jaga air nutrisi hidroponik, pokok akan menjadi subur dan tumbuh dengan baik. Walaupun buahnya sedikit, tetapi itulah kepuasan bila pokok yang kita cambah dari biji benih sehingga membuahkan hasil. Percubaan saya tidak sampai disini sahaja, saya cuba menanam pokok strawberry dengan kaedah yang sama, Alhamdulillah, menjadi.

Sebenarnya tanaman strawberry secara hidroponik ini sudah biasa dilakukan di tanah tinggi, seperti Cameron Highland. Jadi, saya cubalah mengambil kaedah ini bawa turun di tanah rendah. Gambar kedua saya guna botol minuman sahaja, tetapi hasilnya sangat baik. Siapa kata Strawberry tidak boleh bercambah di tanah rendah?haha. Kata-kata itu mencabar saya, bilamana saya tengok ramai sahaja yang tanam atau cambah pokok strawberry dikawasan tanah rendah. Tetapi, sama ada berbuah atau tidak, saya mengharapkan rezeki dari Tuhan. Kalau tanya saya boleh atau tidak, saya tidak boleh menjawapnya, sebab pokok saya masih lagi muda dan teruna, haha. Banyak jenis stawberry ini, ingatkan nak beli beberapa jenis lagi, cuma tidak yakin pula masa tu. Ingatkan tidak menjadi. Seterusnya pokok peria.

Clay Pebble (Shopee)

Alhamdulillah, pokok peria saya dalam keadaan baik. Bolehlah nak makan satu dua peria kan? Buat ulam sedap ni. Pokok peria adalah sejenis pokok yang memanjat ya, jadi sediakan tempat untuk mereka memanjat. Saya biarkan pokok memanjat, tetapi saya letakkan had. Bila pokok memanjat terlalu tinggi, saya akan potong. Jangan risau, lepas kita potong dahan pokok ini, dia akan bercambah lebih banyak lagi. Cuma janganlah suka-suka potong sana sini, bak kata orang tua-tua, nanti pokok merajuk pula. Disebabkan saya tidak menggunakan sebarang racun serangga, ada sebiji peria saya diserang ulat. Mungkin tuan/puan yang ada petua organik boleh menghalau atau melindungi buah dari terkena ulat, boleh komen ya. Sangat dialu-alukan.

Untuk pengetahuan Tuan/Puan semua, pokok peria mempunyai bunga jantan dan bunga betina. Tidak semestinya ada bunga banyak, akan berbuah banyak, sebab yang banyak itu bunga jantan biasanya. Saya dahulu begitu, “Asal bunga banyak, tapi tidak berbuah ni?”. Ya, bunga jantan, jantan tidak berbuah ya, haha.

Net Pot Hidroponik (Shopee)

Alhamdulillah, InsyaAllah. Saya rasa sebahagian tanaman saya sudah dikongsikan kepada semua. Bagi saya bercucuk tanam ini bukan sekadar hobi, tetapi terapi mata yang mana bila kita lihat hasil yang dicambah dari biji benih sehingga matang dan membuahkan hasil, badan juga sihat. Walaupun tidak lumayan banyaknya, cukuplah sekadar makan sekeluarga. Hari ini tuai pokok ini, esok tuai pokok sayur, esok pokok kangkung. Yang penting perlu rajinlah. Bila tenaga yang dikeluarkan biasa-biasa, hasil pun biasa-biasalah juga, macam sayalah hasilnya tidak lumayan. Banyak tanaman saya sudah dituai, saya telah pun menanam semula buat kali ke-dua. InsyaAllah, saya akan kongsi lagi di masa depan.

(Gambar pada bulan 7, yang tingkat bawah semua telah dituai)


Selamat mencuba, Selamat bercucuk tanam. Selamat menyambut bulan Kemerdekaan.
Semoga Allah rahmati kita semua dan dimurahkan rezeki, Amin.

Youtube : Hasil Hobi Hidroponik

Sekian.

Tagged:

5 COMMENTS

    • Waalaikummusalam, boleh saya tahu, apa yang puan nak tahu? Saya bukanlah pakar dalam bidang hidroponik sebenarnya, sekadar hobi suka-suka saja. Tapi kalau pertanyaan biasa-biasa, InsyaAllah, saya boleh tolong.

      Di Facebook ada beberapa group yang kongsi mengenai hidroponik, seperti Hidroponik Malaysia, Kebun Bandar : Jom Tanam Sendiri(kadang-kala). Di Youtube ada banyak puan boleh tonton, seperti HIDROPONIKPEDIA, Akuaponik & DIY Malaysia, Kebun Bandar. JOM! Bercucuk Tanam!, ini Youtube saya, tapi biasa-biasa sahaja.

  1. Salam. Saya cuba tanam bendi dalam bekas hydroponic. Saya berminat nak tahu mcm mana encik tanam dari biji benih. Mmg terus semai dlm bekas kuih ke? Saya punya dah bercambah. Ada 2 daun. Tapi pokoknya mcm senget. Kenapa ye?

    • Waalaikummusalam, terima kasih kerana sudi singgah di blog saya ^^..
      Kalau ada nak tengok tanaman/cara semai pokok boleh ke Youtube JOM BERCUCUK TANAM : https://www.youtube.com/channel/UCT_a-mfSW0maVegYbhbe3mA.

      Pengalaman dan cara saya. Cik perlu semai menggunakan span atau menggunakan medium tanah(Peatmoss) terlebih dahulu.

      Kemudian, bila bercambah, Cik kena letak dibawah cahaya matahari waktu pagi, atau letak ditempat yang matahari pagi. Supaya batang pokoknya kuat dan kukuh. Kalau tidak kena pada matahari, batangnya akan memanjang atau senget atau kecil sahaja.

      Pastikan air dan cahaya matahari cukup sehingga pokok Cik sudah mengeluarkan 4 atau lebih daun atau sudah kukuh, baru boleh alihkan ke hidroponik pot. Macam situasi saya diatas, saya guna cup minuman(dilubangkan) yang dimasukan ke botol kuih. Cik boleh letak batu atau hydroton/clay pebble.

      Cuma, pokok bendi ini tinggi dan batangnya pun agak besar. Jadi, pastikan lubang pada cup minuman tu dilubang banyak dan besar ya. Untuk memudahkan akarnya dan untuk memudahkan kita nak masukan air baja kedalam botol nanti.

      Saya harap dapat menjawab soalan Cik ^^. Kalau ada apa-apa, komen sahaja ya, InsyaAllah, kalau saya boleh jawab, saya akan jawab mengikut kemampuan saya. Terima kasih ^^

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts