Assalammualaikum, Salam sejahtera.
Menjaga alam sekitar,
Isu yang sentiasa membelenggung masyarakat kita, seakan-akan bilamana kita melihat orang membuang sampah sesuka hati sudah tidak ada perasaan dalam jiwa, sudah menjadi sebahagian daripada budaya kita.
Dalam dunia yang sedang menuju kemodenan dan pemikiran yang kehadapan masih ada lagi perbuatan atau cara hidup seperti zaman batu. Perbuatan membuang sampah merata- rata ini sepatutnya sudah lama dibuang jauh-jauh, bahkan sepatutnya telah hilang dalam pemikiran manusia itu sendiri. Buang sampah bukan saja pemikiran yang jelek, malah boleh merosakkan tanggapan orang terhadap diri kita sendiri. Dan perbuatan ini juga dilarang dalam Islam.
Sesungguhnya Allah SWT itu baik, Dia menyukai kebaikan. Allah itu bersih, Dia menyukai kebersihan. Allah itu mulia, Dia menyukai kemuliaan. Allah itu dermawan ia menyukai kedermawanan maka bersihkanlah olehmu tempat-tempatmu dan janganlah kamu menyerupai kaum Yahudi.
Riwayat al-Tirmizi (2799)
Siapa memakan bawang putih atau bawang, maka jarakkanlah mereka daripada kami, atau jarakkanlah daripada masjid kami.
Riwayat al-Bukhari (5452)
Dalam kata erti lain, Islam sangat mementingkan kebersihan dan wangian. Sehinggakan bau mulut yang hanya dapat dibau oleh orang sebelah pun Islam menegur kuatiri mengganggu orang sekeliling, apatah lagi membuang sampah yang sedia maklum menjejaskan sistem pengudaraan, yang rata-rata kita sendiri mengetahuinya, bila lalu sahaja kawasan pembuangan sampah yang tidak teratur dan terurus, baunya meliputi setiap hidung manusia disekelilingnya, bahkan lebih dari itu. Apakah kita tidak ada sifat malu pada diri?
Kalau kita lihat pembuang sampah ini kadang-kala tidak rasa malu pun, sambil jalan buang, yang dibuangnya bukanlah sampah yang kecil-kecil, tapi sampah yang mana dari jauh pun kita nampak. Ada yang buang botol air minuman, ada buang bekas air(lepas minum, campak je), bekas makanan, dan putung rokok. Nampak macam tidak apa-apa kesankan? Cuba seorang perokok buang satu putung rokok, dia hisap rokok 6 kali sehari, kalau perokok di Malaysia 100 ribu orang. 100(ribu)x6(putung)= 600 ribu putung rokok dicampak hampir setiap hari. “Ala..tukang sapu sampah ada, buat apa kita bayar gaji kalau dia tidak buat kerje dia”. Betul, kita bayar gaji dia suruh sapu sampah, tapi dalam masa yang sama, buang sampah bukanlah sesuatu budaya yang bagus. Kerja dia, adalah kerja dia, tanggungjawap kita juga jangan lupa. Menjaga kebersihan juga adalah tanggungjawap bersama. Seperti kita mengambil orang gaji suruh kemas rumah, adakah bermakna kita boleh sepahkan rumah sesuka hati? Mestilah tidak! Kerja dia, dia perlu lakukan, dan kita sebagai manusia juga kena memahami.
Kebelakangan ini, apa yang diperhatikan semakin surut bertanggungjawapan kita terhadap menjaga kebersihan. Kalau dahulunya orang buang sampah menjadi isu, namun hari ini macam endah tidak endah sahaja. Mana perginya sifat kebersihan kita pun tidak tahu, mungkin salah pembelajaran atau pendidikan yang tidak menitik beratkan soal sivik, moral ataupun agama. Dalam islam kita bukan hanya sekadar solat, puasa, zakat, haji, tapi juga Islam menitik beratkan mengenai kebersihan juga. Begitu juga agama lain menyuruh kita supaya jangan menzalimi orang lain. Buang sampah merata ini juga satu tindakan yang menzalimi orang, saya tidak tahulah kalau ada orang suka bau sampah, rata-rata atau majoritinya tidak suka. Bukankah itu tindakan yang merosakkan alam? Bukankah itu zalim keatas orang lain?
Kita boleh lihat pembuangan sampah ini sangat kerap berlaku dikawasan pasar, pasar malam, bazaar dan sejenis dengannya. Apabila sudah habis, penjual nak cepat balik, mereka campak sampah mereka ikut suka hati mereka. Boleh pergi ke pembuangan sampah di pasar-pasar, seperti tidak terurus. Seolah-olah mereka(bukan semua, segelintir) tidak menggunakan akal untuk berfikir. Jika yang melakukan dikalangan orang yang mempunyai akal yang sempurna, sangat malang mereka ini, kerana kita menggunakan akal yang Tuhan beri pada kita. Kita bukan bercerita mengenai orang gila yang berjalan dijalanan, kita bercakap menengenai orang yang kadang-kala lulusan universiti, orang terpelajar(bukan biasa-biasa). Ke manakah perginya akhlak kita?
Hairan apabilasudah diletakkan papan tanda larangan buang sampah, tapi disitu juga mereka buang sampah. Bukan sedikit, segala kerusi, meja, sofa dan bermacam-macam lagi. Apakah tulisan larangan membuang sampah disini dimata mereka adalah silalah membuang sampah disini? Ke mana perginya akhlak kita sebagai manusia dan terutamanya sebagai seorang Islam yang sangat dia ajar mengenai akhlak.
Mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya.
Riwayat al-Tirmizi (1162)
Atau mungkin kita perlu mengikut jejak langkah seperti negara jiran yang kreatif menghasilkan papan tanda?
Walaupun ianya agak kasar, namun kalau perasaan seseorang telah memuncak, sudah melepasi tahap kesabaran yang sentiasa inginkan kebersihan tetapi dalam kawasan itu masih mempunyai segelintir yang suka membuang sampah sesuka hati. Maka akan keluarlah perkataan yang tidak enak dari mulut-mulut mereka yang inginkan kebersihan. Terjadilah papan-papan tanda atau banner seperti ini.
Saya tidak tahu dimana salahnya yang membuatkan kita tidak ambil cakna perbuatan membuang sampah ini. Kempen juga dijalankan, mungkin perlu diperkuatkan. Atau mungkin perlunya perlaksanaan undang-undang menjaga kebersihan yang lebih kukuh. Bukan hanya kata kita akan saman, sebulan kemudian suam-suam kuku sahaja, kemudian buat-buat tidak tahu. Atau juga mungkin pendidikan disekolah tidak ambil tegas dalam subjek sivik, atau juga mungkin dari rumah, atau yang paling penting atas diri kita sendiri. Cikgu, ibu bapa boleh rotan kita kalau kita buang sampah, tapi nilai itu hendaklah datangnya dari kita sendiri. Rotanlah puluh-puluh kali pun, jika nilai itu tidak terletak dihati, kita akan lihat pembuang sampah atau isu menjaga kebersihan ini tidak akan pernah tamat.
Perlukah kita membanding-bandingkan negara kita dan negara orang lain? Mungkin tidak perlu membandingkan-bandingkan, cuma kita perlu mengambil pengajaran mereka, bukan perbandingan. Kadang-kala perbandingan Negara A dan Negara B tidak masuk akal pun, mana mungkin boleh membandingkan Negara kelas bawah dan Negara kelas atas, dari segi kelas pun tidak sama, apatahlagi dari segi pemikiran pemimpin dan kerajaannya juga berlainan. Apa yang penting mengambil pembelajaran mereka yang lebih baik, ini akan membuatkan rakyat kita sendiri akan kehadapan dan belajar, bukan membandingkan rakyat kita dan rakyat luar yang mana akan menjadikan perasaan rakyat kita seolah-olah kerdil, bukankah itu lebih memburukkan keadaan? Bila perasaan memberontak, mereka akan buat sesuatu yang orang lain tidak suka. Jadi, pembelajaran lebih baik dari perbandingan. Solusinya penting.
Saya menulis bukan ingin mencari salah sesiapa, kadang-kala saya juga melakukan hal ini dalam keadaan tidak sedar. Cuma apakah kita inginkan budaya membuang sampah merata-rata ini sebagai sebahagian daripada budaya kita? Biarkan pada mereka yang tidak mahu berubah, sekurang-kurangnya kita ubah sedikit demi sedikit. “Sikit-sikit lama-lama jadi bukit”. Mudah-mudahan ada sedikit manfaat untuk saya dan pembaca, dan untuk generasi yang akan datang.
Adakah ini yang akan anak cucu kita mewarisi daripada kita? Jangan suatu hari kelak anak cucu kita menyalahkan kita kerana mewariskan alam yang hampir mati!
Kita tidak mewarisi alam sekitar dari nenek moyang kita, sebaliknya kita meminjamnya daripada generasi yang akan datang. Oleh itu, jagalah alam sekitar supaya anak dan cucu kita dapat menikmatinya.
Pencinta Alam
Marilah sama-sama kita menjaga alam sekitar demi generasi yang akan datang. Menjaga alam sekitar tanggungjawap kita bersama.
Sekian.