Wanz Ramli Blog

Terus Mencari Persamaan

Bicara SantaiUmrah

Pengalaman dan Perkongsian : Persiapan Sebelum Ke Tanah Suci (Bahagian 3)


Alhamdulillah, sebelum ini saya sudah kongsi ILMU, PEMILIHAN AGENSI PELANCONGAN/AGENSI UMRAH, KURSUS UMRAH, PERSIAPAN, PERSIAPAN PENERBANGAN

BAHAGIAN 2 : KURSUS UMRAH, PERSIAPAN, PERSIAPAN PENERBANGAN.
BAHAGIAN 3…….


Pengalaman dan Perkongsian : Persiapan Sebelum Ke Tanah Suci

6) Di Hotel

Sesampainya di tanah suci, pihak pengurusan akan membawa kita terus ke hotel dan akan memberi kita kunci. Kita akan bawa bagasi ke dalam bilik dan pihak pengurusan akan memberi masa untuk kita berehat sebentar. Dalam kata sama bukanlah rehat yang betul-betul rehat, cuma sekadar selesakan badan, kemas sedikit bagasi yang ada, susun segalanya, buang air dan sebagainya. Jika kain ada yang terkena najis bolehlah tukar. Duduk dan rehat sebentar, kita akan ke Masjid untuk melakukan umrah.

  • Nasihat saya sebelum keluar mengejakan umrah, ada beg kecil yang disediakan, jangan sesekali tinggal. Tolong dan mohon ambil berat mengenai perkara ini.
  • Isi semua maklumat diri(nama, nombor, nama hotel dan sebagainya), ini sangat-sangat penting. Tulis pintu keluar dan masuk, kerana di sana nanti pintunya sangatlah banyak, tersalah keluar jauh perjalanannya dan kemungkinan sesat itu ada. Ingat nama hotel betul-betul, ada sesetengah hotel yang mana orang tidak tahu nama hotel, dan boleh sesat, itu berlaku pada keluarga saya sendiri, kerana itu suka saya ingatkan berulang kali perkara ini. Takut, panik semua ada. Kalau ada telefon, boleh ambil gambar untuk rujukan kemudian.
  • Pengalaman saya disana, saya pernah alaminya sendiri ketika mana seseorang bertanyakan jalan hendak ke hotel, tidak tahu hendak balik, ketika itu jam hampir pukul 1 dan dia seorang wanita. Kebetulan hotel yang dia cari itu adalah hotel sama yang saya menginap. Ingat, tidak semua yang ada di sana itu baik-baik.
  • Nasihat penting! Sesiapa yang bawa ibu bapa atau orang tua, tolong tolong tolong. Pastikan semua maklumat diri ada dalam beg orang tua sahabat.
  • Pengalaman pakcik saya sewaktu disana, dia pernah alami yang mana seorang warga tua sedang mengalir airmata, apabila ditanya kenapa, dia tertinggal oleh anaknya dan tidak tahu cara balik ke hotel, tidak tahu nama hotel, tidak tahu nama agensi dan segalanya, kerana orang itu seorang pelupa. Ditanya maklumat diri katanya tidak ada. Akhir cerita, pakcik saya bawa dia cari hotel berdasarkan jalan yang warga tua itu lalu. Akhirnya ketika tercari-cari jalan, anaknya peluk cepat-cepat peluk “kemana ayah pergi?” terkejut pakcik saya, kemudian anaknya berterima kasih. Pakcik saya nasihat anaknya supaya meletakkan maklumat diri, anaknya jawab maklumat semua ada dalam beg. Memang benar pakcik itu ada penyakit pelupa.
  • Saya ingatkan sekali lagi, tolong cari jalan bagaimana untuk meletakan maklumat diri pada orang tua kita, jangan sesekali salah atau memarahi mereka. Semoga Allah pemudahkan urusan kita. Mungkin gantung di leher dan sebagainya. Ini kerana seseorang tidak mahu menyelongka beg orang lain untuk mencari maklumat diri kita, mungkin akan dituduh mencuri dan sebagainya.
  • Maklumat diri. Apa yang penting dalam bab ini adalah maklumat mengenai diri kita dan ibu bapa kita. Seperti nama, nama pewaris, gambar, nombor telefon(Malaysia dan Arab Saudi) nama syarikat agensi, nama hotel. Tolong ambil serius dalam perkara ini, terlalu banyak kes seperti ini berlaku. Buat dua salinan maklumat diri, satu dalam beg dan satu lagi gantung dileher atau poket. Setiap agensi akan sediakan tag nama untuk gantung dileher, tapi mungkin maklumatnya agak terhad.
  • Sebelum keluar hotel pastikan semuanya lengkap, jangan sesekali gatal tangan mengusik baju, kopiah, seluar dalam dan sebagainya yang dilarang ketika ihram, lebih lagi minyak wangi atau wangi-wangian. Kalau boleh, tolong asingkan minyak wangi dengan pakaian ihram, untuk mengelakkan minyak wangi tertumpah di pakaian ihram anda.
  • Berzikir dan berselawat dan doa agar dipermudahkan urusan. Kalau boleh janganlah merokok sewaktu tunggu sebelum ke Masjid. Buangkan rokok itu, kalau boleh jangan bawa langsung. Disana orang yang merokok terlampaulah ramai, ingat, di sana adalah tanah suci yang mana banyak perkara yang tidak boleh dilakukan dalam tanah haram, mungkin tidak dinyatakan rokok, tapi sesuatu yang Allah murka, jangan kita lakukan. Haram kita menzalimi diri dan orang lain. Kita tahu bahawa rokok membahayakan nyawa kita dan orang sekeliling kita.

7) Mutawif

Pastikan kita benar-benar kenal mutawif kita siapa, supaya tidak ada kekeliruan sepanjang proses ibadah umrah. Bukan apa, takut nanti pergi mutawif lain, balik nanti mutawif lain pula. Yang bawa keluarga, perhatikan mereka, pegang tangan mereka, beritahu jangan sesekali terlepas pandang. Ada sesetengah mutawif ini cepat dan laju sangat, jika terlampau cepat, ingatkan mutawif jangan terlalu cepat. Takut nanti tertinggal dibelakang dan terlepas dari pandangan. Kepada mutawif, janganlah laju-laju sangat, kesian makcik dan pakcik. Selalu sangat mereka terlepas daripada mutawif mereka. Kebanyakkan jemaah pertama kali datang ke tanah suci, jadi kalau mereka terlepas, kebarangkalian mereka akan takut dan panik, itu faktor membuatkan mereka akan sesat jalan.

  • Ketika bertawaf akan ada sesi tolak menolak dan ada ‘gerabak’ yang akan lalu, itu biasa dalam ibadat tawaf. Apa yang penting, biarkan mereka lalu dahulu, kemudian kejar semula mutawif. Jika kita melawan juga, dikuatiri kita akan terjatuh atau disakiti atau mungkin kita akan dibawa arus dan terus mengikut mereka, InsyaAllah sahabat akan faham bila ke sana nanti.
  • Pastikan sebelum melakukan tawaf, kita memberitahu ahli keluarga kita jika terlepas atau tertinggal teruskan tawaf dan berjumpa ditempat yang mudah untuk dijumpa atau tetapkan tempat. Sebelum pergi kalau boleh buat sedikit bacaan mengenai peta di dalam Masjid, mana arah tawaf, saei, maqam Ibrahim dan sebagainya. Kita akan solat sunat tawaf selepas tawaf, mungkin boleh tetapkan di belakang maqam Ibrahim atau jalan hendak ke saei dan sebagainya. Saei ada beberapa tingkat yang kita perlu tahu, tolong ambil cakna, supaya ahli keluarga kita tidak berpisah, kalau terpisah pun, kita akan jumpa semula, InsyaAllah.
  • Perlu juga diingati, ambil tahu sedikit mengenai papan-papan tanda di Masjidil Haram seperti mataf, masa’a dan papan tanda nama pintu-pintu. Pintu keluar masuk disana sangatlah banyak. Ingat nama pintu.
  • Berhati-hati juga dengan penyeluk saku yang berada di dalam Masjid, sangat banyak berlakunya kejadian kecurian, walaupun kita berada di tanah suci, belum tentu hati manusia itu semuanya suci. Jadi, berhati-hati. Bawa duit sekadar keperluan, untuk naik motor, bercukur atau mungkin sedikit duit untuk makan dan minum. Maklumlah, sepanjang hari kita bergerak, mesti akan lapar.
  • Banyakkan bertanya kepada mutawif anda semua perkara, apa yang patut kita lakukan, kalau hilang jumpa di mana. InsyaAllah, mutawif anda biasa dengan kawasan tersebut.
  • Jika anda terlepas dari mutawif, jangan panik. Teruskan ibadah sahabat sehingga habis. Kalau sahabat dan para jemaah tengah melakukan ibadah tawaf, teruskan sehingga habis. Kemudian keluar untuk solat sunat tawaf, sambil jalan boleh jenguk-jenguk sikit kalau-kalau terjumpa. Kebiasaannya jemaah wanita diberi logo agensi syarikat, yang mana akan dijahit dibahagian belakang telekung atau boleh lihat beg kecil yang dibawah, kerana itulah jangan sesekali ambil ringan bila sesuatu agensi itu beri pada kita. Bukan saja-saja diberi, tapi ada kegunaannya yang tersendiri.

8) Adab dan Sopan

Bila kita bercakap mengenai adab dan sopan ini, semua tahu apa itu adab, apa itu sopan bukan? Tetapi untuk melakukan perkara itu agak sukar bila mana seseorang buat kita, kebiasaannya kita akan membalasnya. Sahabat dan para jemaah sekalian. Isunya adalah bukanlah orang tolak kita, kita balasnya semula. Ianya lebih kepada diri kita sendiri. Manusia melakukan kesalahan itu biasa, tetapi cara kita hendak menerima itu penting, berbaik sangkalah. Kalau seseorang itu menolak kita, biarkan sahaja, mudah-mudahan Allah akan memberi pahala kerana sifat penyabar kita. Ingat, kita dalam tanah suci dan dalam Masjid, besar pahalanya jika kita melakukan kebaikan. Bukankah sabar juga sesuatu ibadah yang mudah.

  • Sampai disana, kalau boleh rajin-rajinkan diri untuk beri salam dan selalulah senyum bila mana jumpa orang lain kerana itu adalah sebahagian budaya disana. Nabi juga sentiasa menyebarkan salam kepada sesiapapun yang Nabi jumpa. Tetapi kalau jumpa berlawanan jantina, hati-hati ya, jangan suka-suka senyum, ada orang tidak menyukainya, tapi ada juga wanita beri salam pada saya dan senyum. Kesimpulannya tengok oranglah juga, manalah tahu jodoh anda disana.
  • Kemudian, jangan selalu sangat marah-marah ini, hormat menghormati juga penting. Kalau kita tidak hormat orang, orang tidak akan sesekali hormat pada kita. Kita berada dikawasan orang lain, jadi perlu diingati, sebagai mana pepatah kita “hormatilah tuan tanah”. Bukanlah bermakna kita kena sentiasa tunduk apa yang dia buat, jika sesuatu itu tidak datang kemudaratan, biarkan sahaja.
  • Lagi satu, jangan kita bermasam muka dengan kawan-kawan atau sama jemaah dengan kita, terutamanya kawan bilik. Kawan bilik akan menjadi peneman kita sepanjang kita berada disana. Hormatilah sesama kita. Jangan bawa perangai pelik kita ke tanah suci. Kadang kala bermasam muka disebabkan perkara remeh temeh. Kawan tidak ajak makan, kawan tidak itu, kawan tidak ini. Saya harap sahabat dan para jemaah sekalian jangan bawa perangai sebegitu.
  • Gunakan laluan yang disediakan oleh pihak mereka, ini sangat penting. Kadang laluan yang biasa kita masuk tutup, jadi jangan marah-marah kerana banyak lagi laluan yang lain akan menuju tempat yang sama. Boleh tanya orang yang jaga laluan tersebut. Tapi kadang mereka ini kasar, tanya sikit, jawab macam marah-marah sebab mereka ini orang yang agak kasar sedikit.
  • Jika ada orang tegur kesalahan kita, ambil sahaja apa yang dia cakap, kemudian cakap terima kasih, dan jalan. Jangan hendak berdialog, diskusi, panjang-panjangkan cerita dan sebagainya. Mungkin ada orang akan tegur kita nanti disana, ini kerana kita berinteraksi dengan pelbagai latar belakang masyarakat, budaya, dan mazhab yang berlainan. Perbezaan pasti akan ada.
  • Berhati-hati dengan kerusi roda. Jika sahabat membawa ibu bapa yang berkerusi roda, perlulah diingati, bawa kerusi roda itu jangan terlalu ingin cepat, kuatiri boleh melanggar kaki orang. Kebiasaan mereka di sana, mereka bawa atau guna kerusi roda yang mana bagi saya pendekatan yang agak kurang selesa bila memandangnya. Ada yang main langgar sahaja kaki orang sambil gelak. Rasanya ini kurang adab dan sopan. Dan kalau sahabat jumpa orang berkerusi roda, berilah laluan pada mereka, utamakan mereka. Ini juga adab dan sopan, dan menghormati orang yang lebih memerlukan.
  • Kemudian merokok, sebelum ini saya ada beritahu kalau boleh janganlah merokok. Dan saya rasa, rasa tidak mahu mengulas panjang lagi. Saya tidak mahu menyingung orang yang merokok, tetapi ini juga sebahagian dari tugas saya untuk menulis. Fatwa kebangsaan telah mengharamkan rokok.
  • Gunakan segala peralatan yang diberi oleh pihak agensi, seperti beg, logo untuk jahit di belakang telekung dan sebagainya. Ini bagi memudahkan orang untuk mencari kita jika kita hilang.
  • Akhir sekali, jangan sesuka hati melangkah orang ketika sedang solat. Hukumnya berdosa, dan sangat berat. Di sana kalau anda lalu depan orang solat, bersiaplah kerana anda akan dihalang orang orang sedang solat. Dan mungkin tolaknya agak kasar. Ini kerana Nabi melarang seseorang melangkah atau lalu didepan orang sedang solat.

InsyaAllah, akan bersambung…

Tagged:

2 COMMENTS

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts