Wanz Ramli Blog

Terus Mencari Persamaan

Bicara SantaiUmrah

Pengalaman dan Perkongsian : Persiapan Sebelum Ke Tanah Suci (Bahagian 4) Akhir

Alhamdulillah, ini adalah bahagian terakhir bahagian ke-4 dalam tajuk Pengalaman dan Perkongsian : Persiapan Sebelum Ke Tanah Suci. Jika sebelum ini saya sudah berkongsi bermacam- macam tajuk, ILMU, PEMILIHAN AGENSI PELANCONGAN/AGENSI UMRAH, KURSUS UMRAH, PERSIAPAN, PERSIAPAN PENERBANGAN, DI HOTEL, MUTAWIF, ADAB DAN SOPAN dan ini bahagian terakhir, saya mengharapkan sahabat dan para jemaaah dan pembaca menyukainya dan terima kasih menghabiskan bacaan kalian semua dari mula sehingga selesai. Mana-mana yang terlepas bahagian 1-3, saya sediakan boleh sahaja tekan link saya bagi dibawah.


BAHAGIAN 1 : ILMU, PEMILIHAN AGENSI PELANCONGAN/AGENSI UMRAH.
BAHAGIAN 2 : KURSUS UMRAH, PERSIAPAN, PERSIAPAN PENERBANGAN.
BAHAGIAN 3 : DI HOTEL, MUTAWIF, ADAB DAN SOPAN.

9) Perbezaan

Perbezaan pendapat pasti akan ada dan berlaku, baik orang luar atau dalam jemaah kita sendiri. Lain guru, lainlah ilmunya. Selagi mana perkara tidak melibatkan akidah, manusia perlulah hormati. Biasanya soal fikih mazhab sahaja.

  • Jika berlaku perbezaan pandangan, pendapat atau cara, jangan mudah melatah dan naik angin, atau tuduh orang sesat dan sebagainya. Sabar dan tabayyun dahulu.
  • Jika bertembungan antara dua pandangan, terus jumpa mutawif dan bertanya, apakah sah atau tidak sah, boleh atau tidak melakukan perkara tersebut. Atau sebagai contoh ada yang beritahu ini tidak batal, itu tidak batal. Terus rujuk kepada mutawif. Ketika ini mutawif seperti mufti kita di sana. Tapi kadang-kala, mutawif pun berbeza-beza pandangan juga. Ambil mana yang yakin.
  • Apa sahaja ibadah yang perlu rujukkan kepada mutawif, sila rujuk. Seperti tawaf, saei, tahallul dan pembayaran dam dan sebagainya. Sebaliknya jika ibadah melibatkan diri sendiri, seperti solat, qunut tidak qunut dan sebagainya, itu terpulang kepada diri anda. Kerana ibadah yang melibat pengurusan ini kalau boleh, tanya mutawif, contoh tawaf, jika anda melakukan kesalahan dan menjadikan tawaf itu rosak dan batal, kemudian anda tidak beritahu mutawif, esok hendak pulang baru bagitahu. Pihak pengurusan terpaksa membawa sahabat semula ke tempat tawaf, melakukan semula, dan dikenakan dam dan sebagainya. Berhati-hati. Jika anda balik dalam keadaan tidak sempurna ibadah umrah, sahabat dianggap berdosa dan ibadah umrah sahabat tergantung, dan sahabat masih didalam keadaan ihram. Dalam keadaan ihram ada larangan-larangannya yang patut sahabat ikuti.

10) Ibadah

Dalam ibadah, kita perlu menyesuaikan diri. Sebahagian dari kita di rumah bukanlah seseorang yang ahli ibadah, pagi, petang, siang malam. Jadi sahabat perlulah menyusuaikan diri ketika berada di tanah suci. Perancangan juga amat penting, supaya tidak terlalu penat di sana kelak.

  • Pilih waktu sesuai untuk beribadah. Betul, ibadah tidak perlu waktu. Tapi anda memerlukan waktu itu. Sebagai contoh, ada waktunya di sana agak panas, tengah hari di sana tidak sama dengan di Malaysia. Di sana panas terik, jika anda memaksa diri juga berjalan dalam keadaan panas, sudah pasti anda tidak selesa, mungkin juga sakit, demam dan sebagainya. Kita juga perlu menjaga diri. Badan kita juga mempunyai hak, jadi jangan ikutkan hati.
  • Jaga diri, jangan terlalu mengejar ibadah sehingga lupa akan kesihatan kita. Dan kurangkan sedikit berjalan ke tempat yang tidak perlu. Ketika saya berada di sana, ada seorang jemaah sakit kerana mungkin terlalu banyak berjalan dan ke masjid sehingga badannya sakit, dan dia dibawa pulang ke tanah air. Bukankah akan merugikan kita. Jika kita menjaga kesihatan, kita boleh melakukan ibadah lebih banyak hari lagi. Sebab itu saya mengatakan, pilih waktu yang sesuai untuk melakukan ibadah.
  • Jika tidak salah saya, Masjid Nabawi pintunya akan tutup pukul 11 malam, pintu yang akan dibuka hanya dikawasan raudhah. Kalau sahabat dan para jemaah dari pintu 20 ke atas, perjalanan hendak ke raudhah agak jauh, jadi kalau cuaca sangat sejuk, saya nasihatkan, jangan keluar pada waktu malam. Tetapi jika sabahat dan para jemaah biasa dalam keadaan sejuk, mungkin itu tidak menjadi masalah. Sekurang-kurangnya anda boleh merasa keadaan pada waktu malam disana.
  • Waktu raudhah untuk wanita juga ada waktu-waktunya sendiri, boleh tanya pada mutawif anda. Susun waktu sebaiknya jika hendak ke raudhah dan jangan lupa buang air kecil atau besar dahulu, kerana hendak masuk ke raudhah memerlukan masa yang lama, kadang kala sangat lama. Takut-takut giliran kita masuk, rasa macam hendak buang air, kemudian perlu beratur semula.
  • Solat dimasjid itu lebih baik dari solat dihotel. Kalau tidak ada keuzuran, jangan sesekali meninggalkan solat berjemaah di masjid. Besar pahalanya.
  • Sahabat juga perlu berhati-hati, banyak najis burung di lantai-lantai dan karpet. Kalau boleh bawa sejadah sendiri ke masjid.

11) Hal Duniawi

Apa yang dimaksudkan hal duniawi ini? Sebagai manusia, itu biasalah. Walaupun kita datang untuk melakukan ibadah, sedikit sebanyak perasaan ingin membeli belah dan mencuba makanan orang luar itu pasti ada dalam diri. Tipulah kalau tidak ada sedikit pun perasaan ini.

  • Kedai membeli belah. Jika ditanya banyak ke kedai dekat sana? Sukar untuk digambarkan betapa banyaknya kedai yang boleh anda membeli belah. Baik dari segi pakaianan, barangan, makanan dan sebagainya. Saya tiada kedai hendak dipromosikan, boleh buat sedikit bacaan mengenai kedai apa yang bagus. Dalam Safwah Tower juga ada kedai pakaian yang cantik-cantik, saya pun banyak beli pakaian di sana, kerana dekat dengan hotel. Senang kata, setiap banggunan ada kedai, terokailah kesemuanya, kalau mampulah.
  • Disebabkan kawasannya yang sangat luas, setiap orang lain-lain tempat membeli. Ada yang memilih kerana dekat dengan hotel, ada yang beli kerana disyorkan oleh kawan-kawan. Tidak kiralah dari mana sumbernya, apa yang penting adalah buat perbandingan harga setiap kedai. Banyak juga harga yang murah-murah, kadang bezanya puluhan ringgit.
  • Kedai makan juga banyak ditemui dibahu-bahu jalan. Janganlah tanya saya apa yang sedap, lain orang, lainlah cita-rasanya. Kalau tanya apa yang patut cuba, itu soalan yang baik. Selain kebab, nasi briyani juga boleh cuba, pelbagai jenis nasi briyani di Mekah dan Madinah. Di Safwah Tower tingkat atas ada satu kedai Malaysia, D’Saji, cubalah rasa makanan Malaysia yang berada di Tanah Arab, kalau rindu, atau sudah tidak lalu hendak makan makanan Arab, boleh ke sana. Di Mekah terkenal dengan banyak restoran makanan segera, tapi yang paling terkenal adalah Al-Baik. Rasanya sebagai ‘pelancong’, patut juga kita merasai makanan sesebuah negara tersebut.
  • Kedai coklat juga tidak kurang hebatnya di sana, terlalu banyak kedai coklat yang murah-murah dan berpatutan. Saya pun ada beli juga.
  • Ladang Kurma salah satu tempat yang perlu anda jejaki dan wajib beli buah kurma. Kalau tanya saya, di ladang kurma harganya sedikit mahal, kalau buat perbandingan di kedai biasa, ada yang jauh lebih murah. Tetapi, mengikut apa yang dikatakan oleh mutawif, kurma yang di jual di ladang lebih segar atau baru dipetik. Boleh juga tanya mutawif sahabat.
  • Minyak wangi? Bagi saya, sesuatu yang wajib sahabat dan para jemaah borong. Kerana harganya yang agak murah. Satu botol minyak wangi harganya SR10, kalau beli lima percuma satu. Namun, tidak semua kedai yang menawarkan harga begini dan percuma satu. Perlu betul-betul tanya. Menurut mutawif waktu saya pergi, jangan sembarangan beli merata-rata, takut ditipu oleh peniaga, ada yang letak sabun sahaja. Kalau boleh beli kedai yang disyorkan oleh mutawif, sebab mereka lebih tahu. Dan kalau boleh belilah minyak wangi kasturi itu lebih sikit, orang kata boleh buat ubat sihir dan gangguan jin. Apa yang penting, beli yang tulen!
  • Kalau musim panas, kedai aiskrim mendapat sambutan hangat, dan rasanya pun sangat sedap dan murah. Cubalah, tidak rugi pun. Tapi waktu saya pergi dahulu pada musim sejuk pun dapat sambutan juga.

12) Nasihat Terakhir

Nasihat saya dari seorang yang biasa-biasa ini, apa yang penting dalam mengerjakan apa sahaja terutamanya dalam perkara ibadah, mesti ada ilmu pengetahuan, jangan melakukan umrah tanpa ada ilmu.

  • Suka untuk saya ulangan, pada sesiapa yang membawa ibu bapa atau orang tua, tolong sangat-sangat, saya merayu, jangan sesekali meninggalkan mereka, walaupun kita rasa “tak apa, dia turun bawah beli aiskrim sahaja”, jangan sesekali buat begitu, tolong ambil berat sikit berkenanagan dengan ini. Ketika melakukan umrah seperti tawaf dan saei, jangan lepaskan mereka, terlebih lagi ketika miqat, jangan biarkan mereka keluar dari bas dan jalan bersendiri dalam kawasan itu. Memang ada kes yang orang tertinggal, tidak tahu bas letak dimana, dan sebagainya. Memang berlaku semua dalam pengetahuan saya dan depan mata saya.
  • Ketika melakukan ibadah haruslah kita fokus betul-betul, jangan terlalu asyik pegang buku dan baca sehingga tidak tahu apa yang dilakukan pun. Sedar-sedar sudah habis tawaf.
  • Persiapkan diri sebaik mungkin, dari segi mental dan fizikal. Sebab sahabat dan para jemaah akan banyak menggunakan tenaga dan mental yang banyak memainkan peranan. Ingat, adab dan sopan mereka sangat tidak sama dengan kita, mereka tersangatlah kasar, dari segi percakapan, pandangan, cara jalan, tolak-menolak dan lain-lain lagi. Kalau mental kita tidak dapat bertahan, kemarahan akan menguasai jiwa kita, pergaduhan akan tercetus.
  • Sebagai seseorang yang datang ke tanah suci untuk melaburkan kesemua tenaga hanya kepada Allah dan melakukan ibadah sebanyak mungkin, kesihatan juga jangan dilupakan. Seandainya sahabat dan para jemaah jatuh sakit, sukar kita untuk beribadah. Kemungkinan untuk kita tidak ke Masjid itu sangat tinggi, dan akan merugikan kita belakang hari nanti. Jaga kesihatan.
  • Rajinkan diri meminum air Zam-Zam, air penyembuh penyakit, InsyaAllah. Kalau boleh bawa botol kecil supaya boleh isi air Zam-Zam. Bawalah satu dua botol ke Tanah Suci nanti, letak dalam beg. Lagi satu, bawa plastik, buat untuk bungkus botol, bukan apa takut tumpah pula air.
  • Kemudian jangan sesekali pakai baju, simbol atau apa-apa jenis yang menimbulkan sensitiviti atau politik yang menyebabkan mereka akan tahan sahabat dan jemaah dan dimasukkan dalam penjara. Memang ada kes berlaku, seseorang memakai baju “jihad for…” kemudiannya ditangkap, dan melibatkan kedutaan dan sebagainya. Perlu ketahui, Arab Saudi sangat sensitif dengan perkara-perkara sebegini. Kita boleh lihat pergolakkan politik disana sangat tidak baik. Jadi, ingat pesanan ini.
  • Dan jangan sesekali bercakap mengenai hal politik. Jangan! Dilarangan sama sekali. Kalau di Malaysia bicara politik di kedai kopi, sahabat tidak akan ditangkap. Namun, di Arab Saudi, kemungkinan besarnya sahabat akan ditangkap serta merta! Juga sahabat dilarang mengata mengenai Raja mereka. Kalau boleh jangan sebut langsung, tumpukan pada ibadah sahabat dan para jemaah sekalian. Kita tidak ada urusan dengan politik mereka.
  • Kemudian sesiapa yang ada gelaran Datuk, Datin, Dato Seri, Datin Seri dan bermacam-macam lagi gelaran, sembunyikanlah seketika, jangan gunakan gelaran atau jawatan anda untuk menundukkan orang lain yang tiada gelaran. Bak kata mutawif saya dahulu, sebelum keluar rumah hendak ke Mekah, tinggalkanlah segala gelaran dan jawatan anda di pintu rumah. Jadilah manusia yang biasa. Bila kita ada gelaran, jawatan, pangkat, kuatiri jadi riak. Jangan disebut-sebut.
  • Kalau boleh juga jangan membanggakan diri dengan memberitahu saya kelas VVIP, kelas ini, kelas itu, saya berhak duduk meja ini dan sebagainya. Betul, ada sesetengah agensi meletakkan meja kerusi khas untuk anda. Tapi kalau ditempat yang awam dan sebagainya atau ruang makan terutamanya, anda lambat, anda patut menunggu giliran. Tidak patut anda gunakan perkataan “sebenarnya saya kelas VVIP, saya berhak atas meja ini”. Maaf, ini bukanlah akhlak dan adab yang baik. Kepada pihak agensi, layan sama rata, VVIP mereka hanya sekadar keselesaan bilik dan kemudahan, bukan segalanya milik mereka. Sehinggakan ruang makan pun ditempahnya, kalau semua ditempah oleh orang VVIP, orang bergelaran, berjawatan, orang kenamaan bagaimana dengan kami yang biasa-biasa ini. Ketika ihram semuanya dalam keadaan berkain sahaja, bukankah ini petunjuk dari Allah kita semua sama dimata Allah, jadi kurangkan sedikit ego sahabat dan para jemaah sekalian. Maaf, mungkin ini nampak kasar, tetapi ini hakikat yang saya lihat. Jangan salah faham, maksud saya disini ialah orang yang terlampau riak dengan gelaran dan jawatannya, bukanlah pakej VVIP itu sendiri. Setiap orang ada hak memilih pakejnya sendiri, cuma jauhkan diri dengan sifat riak, kata orang muda, buat biasa-biasa sahajalah.
  • Jangan tinggalkan kasut atau selipar sahabat dan para jemaah di rak kasut, kuatiri kasut atau selipar sahabat hilang atau terlupa letak di pintu mana. Kalau hilang, sahabat nanti akan balik hotel berkaki ayam, sangatlah bahaya jika anda berkaki ayam ketika cuaca panas. Lantai akan jadi sangat panas, boleh menyebabkan kulit kaki sahabat akan melecur. Kita sedia maklum di negara Arab cuacanya panas yang melampau, sehingga 42 darjah selsius ke atas. Malah, cuaca sejuk pun kaki kita tidak dapat bertahan dan berjalan atas lantai kerana kesejukkannya. Setiap agensi akan bagi beg uncang selipar, gunakan sebaik mungkin, bawa sahaja kemana-mana. Pastikan tidak terkena najis pada beg dan selipar.

Kesimpulan dan Akhir Kata

Persiapan dan persediaan sangat penting, dari segi ilmu, pakaian, daya tahan yang kuat, dan sebagainya. Banyakkan bertanya kepada mutawif, dan tanya juga pandangan dari orang yang sudah biasa ke tanah suci. Pandangan mereka juga dapat membantu kita kelak. Tiada apa yang boleh diperkatakan selain berdoa, berdoa, dan terus berdoa agar dipermudahankan urusan dan segalanya. Mungkin dalam penulisan ini saya banyak sentuh keberadaan di Mekah, kerana di Mekah mempunyai ibadah khusus iaitu umrah, yang memerlukan banyak tenaga, dan perjalanan dari hotel ke Masjidil Haram. Perkongsian ini juga sangatlah umum, dan bukan sifat terperinci. Adakalanya saya sebagai seorang insan yang sentiasa terlupa sesuatu yang ingin dimasukkan, tetapi InsyaAllah, ini yang terbaik saya ada buat masa ini. Penulisan ini sekadar pengalaman dan perkongsian dari seorang yang bukan ahli dalam penulisan, jadi akan ada juga bahasa atau tulisan yang tidak menarik.

Akhir kata dari saya, terima kasih kepada semua pembaca kerana sudi meluangkan sedikit masa untuk membaca penulisan yang tidak seberapa dari saya ini. Ini bukanlah perkongsian yang terbaik, cuma saya mengharapkan supaya ada sedikit manfaat untuk semua yang membaca. Sebarang pendapat, pandangan dan kritikan, bolehlah tujukan di ruangan komen dibawah. Mungkin saya ada kesalahan dan kesilapan, bukan mungkin, tapi pasti.

Semoga Allah rahmati kita, semoga Allah ampuni dosa kita, semoga Allah permudahankan urusan kita. Teruskan berdoa. Kepada bakal jemaah Umrah atau Haji, SELAMAT MENUNAIKAN IBADAH UMRAH dan HAJI, jaga diri dan jaga kesihatan. Jangan lupa pasport dan kad perubatan.

Sekian.

Tagged:

2 COMMENTS

    • Terima kasih sudi singgah dan membacanya ^^. Saya harap ada sedikit manfaat dari tulisan saya ini.
      InsyaAllah, semoga Tuan akan ke Tanah Suci menunaikan haji.. InsyaAllah, Amin. ^^

Leave a Reply to Wanz Ramli Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts