Puisi – Patriotik : Merdeka Ke-62


Merdeka 2019

Hari kemerdekaan diangkat,
Bendera dikibar..
Mengenang pahlawan terbilang,
Pahlawan silam yang tiada tandingannya.

Sejarah mereka tak lapok dek hujan,
Tak lekang dek panas,
Harimau mati meninggalkan belang,
Manusia mati meninggalkan nama.

Aku sambut kemerdekaan bukan kerana parti,
Bukan kerana kerajaan,
Bukan kerana pemimpin politikus,
Bukan juga kerana politik.

Aku sambut kerana mereka,
Mereka yang telah berjuang berlumuran darah,
Yang mewarnai tanah dengan warna darah mereka,
Yang sedia mati demi generasi yang mereka tidak pernah lihat.

Erti kemerdekaan hari ini,
Bukan sekadar erti kebebasan, bukan juga sekadar sambutan..
Malah erti kemerdekaan adalah,
Mengenang jasa pengorbanan pahlawan terbilang.

Membebaskan Tanah Melayu,
Dari cengkaman penjajah..
Yang inginkan hasil bumi bertuah ini,
Diseksa, dicabul dan dibunuh.

Ini Tanah warisan, Tanah Melayu,
Tanah yang kita julang,
Adat yang kita jinjing,
Agama yang kita junjung

Ini Tanah nenek moyang kita,
Ini Tanah tumpah darah kita,
Tanah tumpah darah nenek moyang kita,
Ini negara kita!

Jangan kita mencabuli jasa mereka,
Jangan kita membelakangi pengorbanan mereka,
Jangan kita merosakkan apa yang telah mereka lakukan,
Jangan kita menebang segala hasil yang mereka cambahkan.

Nama mereka yang sepatutnya diangkat,
Wajah mereka yang sepatutnya dipaparkan,
Sejarah mereka yang sepatutnya dilaungkan,
Kubur mereka yang sepatutnya dimegahkan.

Dahulu nenek moyang kita membenih,
Manabur segala keringat dan darah..
Dan hasil kehijauan kini,
Adalah hasil baja darah yang mereka tumpahkan disetiap inci tanah ini.

Sambutlah kemerdekaan dengan jiwa yang merdeka,
Hulurkan doamu kepada mereka yang telah bermatian,
Kenanglah jasa mereka yang sanggup berkorban,
Sambutan ini untuk pejuang Tanah ini.

Jika ditanya aku mengapa aku sambut,
Jawapan-ku mudah..
Kerana atuk-ku membebaskan aku,
Dan hari ini aku bebas berjalan tanpa dijajah.

Kita hanya mewarisi perjuangan nenek moyang kita,
Kita hanyalah berlindung dibelakang keberanian mereka..
Kita mewarisi tanah bertuah dari mereka,
Kita menikmati negara berdaulat atas jasa mereka.

Tapi, jangan pula kita melupai,
Pejuang terkemudian yang menyambung perjuangan legasi..
Yang terpaksa tinggalkan keluarga, anak dan isteri,
Demi melindungi tanah air tercinta ini.

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN YANG KE-62!

Semoga Allah rahmati pahlawan kita,
Semoga Allah rahmati tanah bertuah ini,
Semoga Allah melindungi kita,
Semoga Allah menjauhkan kita dari manusia yang sering ingin pecah belahkan kita.

Bukan rakyat yang mencipta pergaduhan,
Tetapi ahli politik yang mencipta api kemarahan..
Hindari dari politik kepartian,
Sambutlah kemenangan hari kemerdekaan.

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

Be the first to reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *