Bagaimana Cara Memilih Telefon Pintar
Assalammualaikum, Salam sejahtera
(*Perhatian! Saya bukan orang yang pakar dan arif mengenai telefon pintar, langsung tidak! Apa yang saya kongsikan adalah apa yang saya lihat komen di media sosial, terlalu ramai yang berhujah sehingga bermaki-makian kerana tidak setuju dengan pendapat orang lain yang mengatakan telefon A lagi bagus dari tlefon B, B lebih dari A, C dari hebat dari A dan B. Sifat suka bermakian ini bukanlah dari ajaran agama, dan agama melarang keras dalam bab bermakian ini. Jadi, berhati-hati ketika berkata-kata dan komen.)
Dalam serba kemodenan dan arus teknologi yang berkembang pesat ini, terlalu banyak jenama dan model telefon pintar yang keluar. Hampir setiap minggu akan ada jenama dan model baharu keluar, sehinggakan mampu ke kita hendak mengejar teknologi yang hampir setiap masa dikemas kini?
Banyak jenama telefon yang sedang bersaing hebat di dunia ini, US, China, Korea dan lain-lain. Kemudian setiap jenama mempunyai model-modelnya yang tersendiri, dan mereka ini mengeluarkan telefon pintar mereka seperti cendawan yang sedang tumbuh ketika hujan, beban ini menjadikan kita sebagai pembeli agak sukar untuk membuat pilihan telefon yang baik dan berkualiti. Saya tidak akan promosi atau memberitahu telefon pintar mana yang bagus atau mana tidak.
Bagaimana cara hendak memilih telefon pintar yang sesuai?
Ini bukanlah petua dari seorang yang tidak arif dan pakar mengenai telefon pintar, cuma sekadar perkongsian.
Ramai yang bertanya, “telefon pintar apa yang bagus?”
Bagus??
Soalan ini agak terlalu umum untuk menjawab. Apa maksud ‘bagus’ bagi anda sebenarnya, apakah keperluan yang ada inginkan? Kamera? Ram? CPU? Bateri? Atau teknologi baharu yang peranti gunakan?
Apa yang saya perhatikan, dalam pemilihan telefon pintar ini, ada beberapa faktor, kategori atau golongan yang kita harus tahu, dan kita dari golongan yang mana. Setiap orang meklasifikasikan perkataan ‘bagus’ itu berbeza-beza mengikut cita-rasa dan keperluan sendiri.
- Golongan pertama adalah Gamers.
Jika anda seorang gamers sudah pasti anda ingin memilih peranti yang bagus dari segi ram, CPU, Chipset yang terbaharu dan perkara-perkara yang berkait hubung dengan permainan video. Jika ram, CPU, Chipset tidak memenuhi spek yang baik untuk menjalankan permainan mudah alih(permua), permua tersebut akan tersekat-sekat(lagging) dan memang tidak seronok hendak memainkannya. Jadi sebagai seorang yang menyukai permua, kesemua spek ini harus diteliti dengan baik. Tersalah beli, padahnya akan dirasai ketika anda bermain permua kelak.
- Golongan ke-dua adalah orang yang suka bergambar.
Golongan ke-dua ini jangan tanya golongan pertama, “telefon pintar apa yang bagus?”. Sudah pasti mereka akan menjawab telefon yang memenuhi keperluan mereka. Jika anda ambil pendapat mereka bulat-bulat, anda akan menyesal dikemudian hari. Anda akan cakap “gambar tak cantik pun? Kamera tak bagus!” dan banyak lagi. Kerana keperluan anda dengan mereka sangat tidak sama, bahkan berlainan. Jika anda suka bergambar, anda harus mencari telefon pintar yang kameranya bagus, perlu juga melihat mega-pixel. (Boleh tanya orang yang pakar mengenai kamera), dan juga storan amat penting. Bila banyak bergambar, storan juga banyak digunakan. Maklumlah, ambil gambar kenangan kan? Tak akan nak buang begitu sahaja. Kadang bergambar, sedar-sedar sudah beratus gambar, lepas itu penuh, nak buang terasa saying pula. Jadi perlunya storan yang agak besar dan jangan lupa memory card juga, adakah peranti itu menyokong penggunaan memory card.
- Golongan ke-tiga adalah warga tua.
Apa yang saya perhatikan mengenai golongan warga tua adalah peranti yang ‘stabil’. Maksud saya adalah peranti yang tidak terlalu tinggi dan tidak juga terlalu rendah speknya, ianya berada dipertengahan. Kebanyakan orang membeli peranti untuk ibu bapa mereka dengan spek yang sangat rendah atau terlalu rendah.
Walaupun orang tua kita tidak memainkan permainan mudah alih dan bergambar secara kuat. Tapi kalau diperhatikan betul-betul, bila orang tua kita jumpa kawan lama, mereka akan bergambar sebagai kenangan mereka, walaupun tidak terlalu banyak, tapi ada. Dan mereka juga sebenarnya suka permainan mudah alih ini, kadang main angry bird, puzzle dan permainan mudah alih yang biasa-biasa.
Mereka juga ada group whatsapp mereka, kadang-kala mengalahkan kita yang muda ini, storan untuk mereka sangat dititik beratkan. Biasanya mereka muat turun semua yang ada dalam whatsapp sehingga penuh, kemudian marah kenapa tidak boleh muat turun lagi. Bila disuruh buang, kata pakai, guna, dan sebagainya(walaupun sebenarnya tidak pakai pun).
Bagi saya, sebagai anak, apa yang perlu kita lakukan berilah apa yang termampu untuk mereka. “Cakap senanglah, duit mana nak dapat?!”. Dalam zaman dunia pesaingan telefon pintar ini, banyak peranti yang murah dan speknya pun tidak kurang hebatnya, ada yang RM499-RM599. Yang bawah RM499 ada, cuma speknya agak kurang bagus. Kalau mampu, belilah peranti yang baik atau terbaik untuk mereka. Seperti yang saya beritahu tadi, peranti yang stabil, mudah dan senang untuk digunakan supaya mereka tidak marah-marah kemudian hari sebab susah pakai dan sebagainya. Kadang nak cari aplikasi pun tekan sana sini. Tapi kesimpulannya kita sebagai anak kena ajarlah, seperti mana mereka ajar kita daripada tidak tahu apa-apa hingga tahu, sehingga boleh kerja gaji beribu. Kenanglah jasa mereka. Kalau kita boleh pakai telefon pintar harga ribu-ribu, apalah salahnya belikan ibu ayah kita telefon harga RM599. Baiklah, sudah jauh perbincangan ini, ter-emosi pula..haha. Maafkan saya.
- Golongan ke-empat adalah, pakai sajalah mana-mana, janji boleh pakai!
Golongan ini tidak ada jalan penyelesaiannya, haha. Bagi sahajalah apa yang dia nak, kemudian dia akan belajar secara semula jadi sebab apa orang cakap “jangan beli telefon yang ini, yang itu. Telefon ni tak bagus, itu tak bagus”. Betul, orang akan cakap “banyak duit kau, nak biar je”. Tapi ketahuilah, golongan ini memang jenis tidak mahu dengar atau dalam kata lain sombong. Orang cakap ini, dia cakap itu. Orang cakap A, dia cakap B. Ataupun kita belikan je untuk dia, senang cerita. Mereka tidak suka berbahas dan membuat perbandingan, bagi mereka semua telefon pintar sama sahaja. Sama dari segi luaran, betul memang sama. Sama luaran belum tentu sama dari segi dalaman.
- Golongan ke-lima adalah ahli perniagaan.
Sedia maklum, seseorang peniaga memerlukan peranti yang sangat bagus dan baik. Bukan masalah RAM atau chipset. Tapi lebih kepada peranti yang mempunyai keselamatan, walaupun harganya RM5,000 sekali pun. Semua tahu, ada satu jenama telefon pintar yang sangat mahal, golongan tertentu sahaja pakai, orang macam kita ini mampu tengok sajalah. Golongan ini pakai, bukan kerana niatnya nak menunjuk, tetapi lebih kepada keperluan mereka untuk menggunakan. Jika peranti mereka hilang, mereka boleh jejak peranti mereka semula. Bagi kita telefon hilang sebab duit. Bagi mereka bukan masalah duit, tapi bahan yang ada dalam peranti mereka bernilai ratusan ribu, malah mencecah jutaan. Segala dokumen ada dalam peranti mereka.
- Golongan terakhir adalah mereka yang berjalan jauh seperti pemandu lori dan sebagainya.
Mungkin golongan ini akan mencari peranti yang menggunakan bateri yang sangat besar walaupun peranti itu tidak sesuai untuk memainkan permainan mudah alih sekalipun. Apa yang penting bateri besar, dan boleh membuat panggilan dan menjalankan aplikasi dengan baik seperti whatsapp, facebook dan lain-lain. Bagi mereka, ketahanan bateri itu segala-galanya untuk mereka, dan itu keperluan mereka. Disebabkan mereka akan menggunakan GPS dan membuat panggilan, sekurang-sekurangnya telefon boleh digunakan seharian. Kalau tidak salah saya, ada telefon yang menggunakan bateri 5,000mah, mungkin ini sesuai bagi mereka. Walaupun tidak sesuai untuk permainan mudah alih. Bukanlah semua telefon bertujuan untuk permainan mudah alih sahaja.
Kesimpulannya,
Sebagai bakal pembeli, kita seharusnya buat sedikit kajian dan bacaan, kita ini dalam golongan yang mana satu, supaya kita tidak tersalah beli dan rugi. Setiap orang keperluannya berlainan, ada yang suka permainan mudah alih, ada yang suka bergambar, ada yang biasa-biasa. Dan ada juga yang haluan lain seperti mementingkan teknologi yang terbaharu, mereka ini tidak ambil pusing mengenai ram, chipset, kamera dan lain-lain. Yang penting bagi mereka, apakah jenama ini akan meletakkan teknologi terbaharu dalam peranti yang ingin mereka keluarkan. Ada juga yang inginkan peranti yang selamat digunakan dan mempunyai sistem keselamatan yang sangat baik, kadang harga tidak masuk akal pun, bateri kecil, kamera biasa, ram rendah. Tapi tetap mereka beli, mungkin ini golongan ahli perniagaan yang banyak menggunakan perantinya untuk hal perniagaan. Masing-masing mempunyai keperluannya tersendiri. Ada juga jenis beli sebab telefon warnanya lawa dan cantik, kalau kita dengar pun pelik, tapi itulah hakikatnya. Bermacam-macam cara pemikiran manusia yang sukar dijangka.
Saya tergerak untuk menulis tajuk ini kerana saya banyak melihat orang komen di youtube “ala. Kamera bagus tapi tak boleh main game buat apa?” “ala. Ram tinggi-tinggi nak pergi mana”, “ala. Beli telefon ni kalau kamera tak cantik, nak buat apa”. Ada juga yang mempersoalkan “bateri 5000 mah, tapi spek tak boleh main game”. Perlu diingatkan, setiap orang berbeza-beza keinginannya. Makanan pun kita bergaduh, nasi goreng pattaya dengan nasi goreng USA mana lagi sedap. Sudah pasti lain orang, lainlah cita-rasanya. Jangan memasukkan pendapat kita dalam diri orang yang tidak boleh menerimanya. Terimalah kenyataan dan hidup ini kena me-raikan pendapat orang lain. Mungkin dia beli telefon 5000mah sekadar telefon kedua yang mana boleh bertahan dalam keadaan yang lama. Raikan orang lain, kalau nak orang terima pendapat kita, kita kena menerima pendapat orang lain juga. Dia nak pakai, dia punya sukalah. Bak kata pepatah moden “Asal aku yang masak, kau yang panas!”.
Tidak dinafikan hari ini, untuk mengetahui kelebihan atau kepantasan sesebuah peranti, kita akan memainkan permaianan mudah alih sebagai kayu ukur kehebatan sesebuah peranti, tapi bukanlah bermakna semua telefon pintar yang kita beli bertujuan main permainan mudah alih sahaja. Banyak lagi kegunaan telefon pintar ini. Sebagai contoh, seorang penulis. Mereka memerlukan skrin yang lebih besar dan boleh menjalanankan aplikasi nota, walaupun kameranya atau ram dan chipset biasa-biasa. Lain orang, lainlah keperluan dan kegunaannya. Sebagai seorang ahli perniagaan, mereka memerlukan peranti yang mudah digunakan ketika meeting, mereka banyak menggunakan aplikasi seperti word, powerpoint dan sebagainya. Dan yang paling penting peranti itu mempunyai sistem keselamatan yang amat baik dan dijamin.
Jenama A tidak lebih bagus dari jenama B, Jenama B tidak lebih baik dari jenama A. Jenama C tidak lebih hebat dari jenama A dan B. Apa yang penting adalah, apakah keperluan anda dan apa yang anda inginkan. Rasanya tidak perlulah sampai nak cakap “orang bodoh saja ambil telefon ni”. Atau sebenarnya kita yang tidak cerdik, kita tidak mengetahui apa sebab mereka menggunakan telefon itu.
Perbahasan itu baik,
akhlak itu penting.
Berhujah dengan keadaan sekeliling,
dan raikan semua pendapat orang lain.
Berdirilah atas realiti,
bukan hidup dalam fantasi.
Realitinya adalah dunia ini luas dengan pemikirannya,
fantasinya kita hanya berada dalam kelompok tersendiri dan merasakan kita sahaja yang ada dimuka bumi ini.
Jangan jadi hamba kepada sesebuah jenama atau model telefon sahaja. Banyak lagi jenama yang baik dan bagus.
Selamat menjalani kehidupan yang waras dan berakhlak.
Semoga Allah rahmati kita semua.
Sekian.