Assalammaualaikum, Salam sejahtera.
Kali ini saya nak kongsi apa yang patut dibeli sebagai permulaan sebelum beli ikan. Bela ikan hiasan sememangnya mudah jika kita minat tetapi ianya menjadi sukar bila kita baru nak berjinak-jinak. Kita perlu tahu sesuatu yang mana kita membela makhluk hidup. Sebagai makhluk hidup seperti kita, perlulah kita menyiapkan diri apa yang perlu dalam sebuah rumah, bezanya adalah kita manusia dan ikan adalah haiwan. Untuk permulaan apa sebenarnya yang kita perlukan untuk membela ikan hiasan ini? InsyaAllah, saya akan senaraikan apa yang perlu.
PEMILIHAN IKAN
Pertama sekali adalah pemilihan ikan hiasan. Sebab apa saya mengatakan pemilihan ikan dahulu? Kerana pemilihan ikan memainkan peraaan untuk kita beli akuarium kelak. Sebelum kita beli akuarium, kita mesti tahu ikan apa yang kita nak bela, besar atau kecil, mahal atau murah, ikan tawar atau masin, semuanya memainkan peranan. Sama ada kita nak bela banyak ikan atau sikit, sebab kalau kita nak bela banyak ikan, sudah tentu akuarium yang kita perlukan lebih besar. Jadi, fikir dahulu, apa jenis ikan yang kita inginkan. Tanya peniaga tu, ikan apa yang sesuai letak sekali dalam akuarium yang sama, sebab ada ikan yang agresif dan ganas atau jenis pemangsa ni. Sebagai contoh anda suka ikan guppy, jangan letak sekali dengan ikan tiger barb sebab tiger barb ni jahat sikit, dia suka menggigit, habis ekor ikan guppy tu nanti. Kita bela ikan guppy sebab ekornya lawa, tapi digigit pula. Atau jangan pula kita letak lampan atau kita besar atau ikan sejenis dengannya. Percayalah, berkemungkinan besar anda tidak akan lihat lagi ikan guppy itu lagi. Pilihlah ikan yang sesuai.
Tetra Ikan Bandaraya
AKUARIUM
Kedua sudah tentunya akuarium atau rumah ikan itu sendiri. Akuarium sangat penting untuk kita tahu mengenai saiznya. Sebelum ini saya sudah memberitahu pemilihan jenis ikan yang kita nak, kemudian baru kita tahu saiz apa yang sesuai. Akuarium yang biasa tidaklah terlalu mahal berbanding zaman dahulu. Jika akuarium 2×1 kaki boleh dapat dalam RM40 macam tu. Saya pun guna saiz 2×1. Mula-mula saya guna 1×1 kaki, kemudian nafsu nak beli ikan menjadi besar, jadi saya tekad untuk membeli akuarium 2×1. Kerana itulah pada awalnya saya memberitahu mengenai pemilihan ikan, supaya kita tidak rugi kemudian hari. Sebagai contoh kita beli 1×1 dengan alasan nak jimat atau tidak mahu beli banyak ikan, kemudian perasaan kita berubah nak beli bermacam jenis ikan. Selepas itu, kita nak beli akuarium yang besar pula, bukan itu membazir? Sebenarnya perbezaan harga 1×1 dengan 2×1 tidak jauh beza pun. Mungkin beza dalam RM10(ikut kedai). Cuma kalau akuarium jenis yang bentuk selain jenis empat segi, yang itu agak mahal. Kalau kita nak beli ikan besar macam ikan Kelisa atau Toman, 2×1 kaki memang tak cukup. Bagi saya, saya suka ikan kecil-kecil sebab nampak lebih cantik. Dulu saya pernah bela ikan Toman, bila dah besar, jadi takut pula saya, haha.

PENAPIS DAN PAM
Ketiga, selepas kita fikir mengenai pemilihan ikan dan akuarium, apa yang kita perlu beli adalah penapis dan pam air akuarium. Pam ini sangat penting, ianya bertujuan untuk memberi oksigen kepada ikan kita. Cuma kita kena tahu jenis pam yang digunakan, kalau akuarium kita 2×1 kaki, pam biasa pun yang mencukupi. Kita juga perlu tahu kekuatan pam, kadar sedutan pam. Ada pam yang jenis kekuatan sedutannya kuat dan tidak sesuai dengan ikan yang kecil. Kalau ikan kita jenis kecil, jangan beli pam air yang besar sangat, nanti bila ikan itu berenang berhampiran pam, pam akan sedut ikan itu dan boleh menyebabkan kematian. Anda boleh beli internal filter water pump, macam saya tengah pakai sekarang. Mudah dan senang. Sebenarnya ada banyak jenis penapis akuarium dipasaran.
ANTI KLORIN
Keempat yang patut anda beli adalah anti klorin. Anti klorinini tersangatlah penting atau wajib dan bukan harus atau sunat. Kadang kita terlupa nak beli, tapi biasanya peniaga akan ingatkan kita “anti-klorin ada?”. Kalau kita tidak menggunakan anti klorin dalam air, ikan akan mati dalam masa yang sangat singkat, ini kerana air paip yang kita gunakan mengandungi klorin yang boleh mematikan ikan. Terdapat pelbagai jenis anti-klorin jual dipasaran, daripada harga semurah RM1 hinggalah puluhan ringgit. Saya pernah mencuba jenis yang mahal sedikit dalam belasan ringgit. Tapi kalau anda nak guna anti-klorin yang RM1 pun boleh saja. Yang penting pastikan dirumah ada anti-klorin ya, beli lebih pun tak mengapa. Jangan lupa tanya penjual tu, berapa penutup perlu masukkan dalam air, sebab lain jenama, lain kuantitinya.
MAKANAN IKAN
Kelima, makanan ikan(Pembelian). Selalu kita lupa benda yang kecil-kecil ini. Sibuk beli akuariumlah, pamlah, bila balik tengok-tengok lupa nak beli makanan ikan, haha. Bila cakap mengenai makanan ikan ni sebenarnya terlalu banyak jenis makanan ikan diluar sana. Jenis yang murah pun ada, mahal pun ada. Belilah atas kemampuan kita. Apa yang penting adalah jangan sesekali ambil sambal lewa dalam perkara makanan ikan ini. Kalau kita nak bela haiwan, nafkah makanan ini ialah WAJIB! Kalau anda tidak beri ikan anda makanan, berdosa hukumnya. Lagi-lagi kalau ikan anda mati sebab tidak makan. Terdapat banyak jenis makanan ikan, jenis palet yang kecil-kecil dan jenis yang besar-besar. Tengok ikan kita jenis yang kecil atau besar. Kalau ikan jenis kecil macam ikan guppy, jangan beli palet yang besar pula, tak muat mulut dia nak makan. Kalau kita bela ikan lampan, beli yang besar sedikit, sebab kalau terlalu kecil, ikan tidak puas makan. Kalau saya dulu bela ikan lampan, seminggu sekali saya akan beli udang hidup bagi dia makan. Hari-hari pun boleh, cuma siapa pula nak pergi beli udang hidup tiap-tiap hari pula. Tapi kalau kita bela ikan Kelisa atau ikan Toman, ikan jenis ni makan makanan hidup ya. Kalau kita bagi palet, dia tidak akan makan.
AKSESORI
Akhir sekali adalah aksesori. Aksesori ini tidaklah wajib, cuma kalau tak ada aksesori, akuarium kita seakan ‘pekan mati’ dan tak cantiklah. Banyak sangatlah kalau nak bercerita mengenai aksesori akuarium ini. Rambang mata. Ada yang jenis kapal karam, yang jenis harta karun keluarkan oksigen. Tapi apa yang penting, lihat kemampuan duit kita dan kemampuan akuarium yang kita beli. Kalau akuarium 1×1, janganlah nak mengada-ngada beli aksesori banyak sangat, ikan nak berenang pun susah. Dulu saya suka beli pokok jenis hidup, sebab lawa. Pokok hidup ini boleh saja bertahan lama, cuma masalahnya pokok hidup ini senang tercabut-cabut kalau tak ikat dengan betul, lepas itu terapung di permukaan air.
- Oh, lagi satu. Kayu perhiasan itu seolah-olah macam wajib kena ada dalam setiap akuarium. Itu aksesori paling asas yang kita perlu beli. Ianya tidaklah ada kelebihan apa-apa, tapi dengan kehadirannya kayu itu akuarium kita jadi cantik secara tiba-tiba. Bolehla ikan main sorok-sorok nanti.
- Kemudian batu dan pasir, itu pun mesti kena beli. Sebab lantai akuarium tu jenis kaca dan tak cantik sebenarnya. Kalau kita letak pasir dan sedikit batu-batuan, nampaklah ala-ala sungai sikit, haha. Tak adalah pucat lesu saja akuarium kita itu. Tujuan kita bela ikan sebab nak terapi mata, kalau akuarium tak cantik, tak syok la kan? Hiasan akuarium juga penting untuk memastikan akuarium dan ikan kita sedap mata memandang. Jangan lupa sebelum masukkan pasir atau batu, kena basuh dahulu, sebab pasir dengan batu tu kotor, nanti keruh air akuarium nanti.
- Kemudian boleh beli pam sedut air supaya memudahkan lagi kerja kita nak menukar air akuarium bila kotor. Taklah kita yang cedok air sikit-sikit. Ikan juga ada tahap tekanan. Takut air banyak sangat berkocak, nanti ikan akan mendapat tekanan, boleh menyebabkan kematian.
- Kalau nak bagi lagi cantik, boleh letakkan lampu. Malam-malam bosan, boleh duduk depan akuarium sambil makan keropok. Banyak lampu akuarium yang dijual, seperti Submersible atau jenis letak dalam air(kalis air), dan ada juga jenis letak dibahagian atas(bukan kalis air) boleh cari mana yang sesuai. Kalau saya suka yang letak bahagian atas. Kemudian saya pakai lampu LED T4 saja. Boleh jimat.
Rasanya ini sahaja yang perlu anda beli sebelum bela ikan. Nasihat saya, jangan beli ikut nafsu kita. Jumpa ikan ni nak beli, jumpa ikan itu, nak beli. Akhirnya ikan terlalu banyak dan kawasan terlalu sempit, ikan mati.
Beli akurium pun sama, jangan ikut rasa hati. Tapi ikut keperluan diri dan ikan yang kita nak beli. Bagi saya 2×1 kaki sudah memadai untuk permulaan. Harga pun taklah mahal sangat. Bukan apa, nanti kalau kita dah bosan, akuarium dah tak tahu nak buat apa. Kalau beli yang jenis mahal, membazir saja. Sebab hobi ni adakalanya datang dan pergi. Bila datang perasaan nak bela, macam-macam kita beli. Bila perasaan jadi malas, buang sana sini. Jadi, berpada-padalah ketika nak beli, jangan terlalu ikutkan nafsu tu sangat.
Kedai Ikan Hiasan Jalan Pasar, Pudu Sep 2019
Sekian.
One thought on “Ikan Hiasan : Permulaan Yang Patut Dibeli Sebelum Bela Ikan Hiasan”