Resipi Bujang : Cucur Manis

Author:


Assalammualaikum, salam sejahtera.

Resipi bujang yang saya nak kongsikan ialah Cucur Manis.

Resipi ini sangat sangatlah senang dan mudah. Waktu-waktu lapang atau cuti minggu atau nak tengok Anugerah di TV ke, bolehlah buat kunyah-kunyah. InsyaAllah, bahan-bahan pun memang biasa ada di dapur.
Jom Masak Sendiri!

Cucur Manis
Apa yang anda perlukan adalah :

  • Tepung Gandum – 2 Cawan
  • Gula – 3 Sudu Besar Gula
  • Garam – Secubit Rasa
  • Air Panas – 2 Cawan

Cara-cara

1) Mula-mula, ambil mangkuk yang besar, masukkan Tepung Gandum, Gula dan Garam. Gaulkan rata. Kalau boleh, apa-apa masakan yang menggunakan tepung, pastikan tepung yang di gunakan tanpa bahan pemutih atau unbleached. Setiap bahan perlulah sihat, kerana itu kita masak dirumah. Jauhi bahan-bahan yang mengandungi bahan kimia dalam masakkan kita.

2) Kemudian, jerangkan air atau panaskan air sehingga mendidih. Selepas mendidih, masukkan air dalam mangkuk Tepung tadi. Hati-hati ya, sebab air itu panas. Kita nak masak cucur manis, bukan nak masak tangan.

3) Gaulkan menggunakan senduk sehingga sebati. Atau boleh uli sikit-sikit, cuma bancuhan itu panas. Setelah sebati semua, rehatkan adunan tadi sehingga sejuk.

4) Agak-agak sudah sejuk, boleh ke langkah seterusnya. Jika anda rajin, anda boleh buat bentuk bulat. Tapi, tepung adunan ni melekat-lekat tau, sebelum nak buat bulat tu, letak sikit air dekat tapak tangan, baru bulatkan. Kalau tidak rajin, buat macam cucur kodok saja. Ambil sejemput, kemudian masukkan dalam kuali. Senang.

5) Kemudian, panaskan minyak, pastikan betul-betul panas. Setelah minyak betul-betul panas, masukkan adunan bulat-bulat tadi dan goreng sehingga kuning keemasan atau sehingga masak. Sentiasa balik-balikkan. Jangan sampai hangus.

6) Pastikan masak betul-betul. Jangan luar masak, dalam mentah. Lepas itu, boleh angkat, dan tapiskan minyaknya dahulu. Kemudian siap dihidangkan.

Senang bukan? Boleh makan bersama keluarga tersayang. Lepak-lepak depan TV sambil menguyah. Haha. Oh, lupa, jangan tanya kenapa manis ya, nama pun cucur manis. Kalau rasa macam manis sangat, boleh kurangkan gulanya, ikut diri kita sendiri.

Akhir kata, selamat mencuba!
Jom Masak Sendiri!

Sekian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *