Resipi Bujang : Kentang Wedges(Potato Wedges)
Assalammualaikum, Salam sejahtera
Resipi bujang yang saya ingin kongsikan ialah Kentang Wedges atau Potato Wedges.
Resipi yang saya nak kongsi ini sangatlah mudah, semudah ABC. Bolehlah buat untuk anak-anak kita(tapi saya tak ada anak lagilah, haha), makanan pun sihat. Jom Masak Sendiri!
Kentang Wedges
Apa yang anda perlukan adalah :
- Kentang Tepung
- Bestari(pedas atau biasa)
- Tepung Gandum
- Tepung Beras
- Tepung Jagung
- Sos Cili atau Sos Keju (atau apa-apa sos yang sedap tekak anda makan)
Cara-cara
1) Mula-mula, basuh kentang, basuh betul-betul, biasanya kentang itu berpasir. Basuh dengan air garam pun bagus juga, jangan banyak sangat garam, secubit dua sahaja. Sekadar nak hilangkan kotoran sahaja.
Sebelum Selepas
Sebelum dan selepas dibasuh. Pastikan anda basuh betul-betul ya, sebab banyak pasir dan kotor. Pasaraya ini makanan mereka tidak dijaga baik. Kalau stok baharu sampai, kadang letak di tepi-tepi jalan, ada yang letak di tepi longkang. Jadi, apa-apa makanan kalau beli, basuh baik-baik.
2) Potong kentang menjadi potongan wedges. Kemudian, masukkan air dan sedikit garam dalam kuali, gaulkan. Setelah mendidih, rebuskan kentang itu sampai lembut, tapi api jangan kuat sangat, nanti hancur kentang. Berapa lama nak rebus? Lebih kurang dalam 5-10 minit, bergantung berapa banyak kita rebus kentang dan berapa besar api yang digunakan. Paling senang nak tahu, ambil garpu, cucuk kentang tu. Kalau saya suka betul-betul lembut.
Potong agak-agak sahaja, tak perlulah ala Chef sangat. Potongan jangan terlalu besar, jangan terlalu kecil sangat. Potong ikut selera anda, sebab anda yang nak makan.
3) Selepas itu, jika sudah lembut sesedap rasa. Keluarkan dan rehatkan. Bagi kentang itu sejuk.
Boleh saja, kalau anda nak masak terus. Tapi, saya suka biarkan kentang sejuk dahulu supaya bila anda angkat atau gaul dengan tepung nanti, tak pecah atau patah.
Sementara tunggu kentang sejuk, bolehlah siapkan tepung.
Mula-mula ambil Tepung Bestari masuk dalam botol, kemudian campurkan Tepung Gandum. Nisbah dia agak-agak Tepung Bestari 2:1 Tepung Gandum. Tujuannya adalah Tepung Bestari ini masin sedikit, bukan sedikit tapi banyak. Kalau saya akan buat 1kg Tepung Bestari, 500gram Tepung Gandum, Tepung Beras 250gram dan Tepung Jagung 250gram. Kalau nak pedas-pedas sikit, boleh letak sedikit Serbuk Paprika. Masukkan semua Tepung dalam botol, goncang sahaja botol tu sehingga semua Tepung tadi sebati.
Baiklah, kentang pun sudah siap, tepung pun sudah sedia. Apa yang perlu anda lakukan selepas ini adalah panaskan minyak dalam kuali, sambil panaskan minyak, ambil Tepung Campuran tadi dalam beberapa sudu sahaja, ikut berapa banyak anda nak goreng, masuk dalam mangkuk, kemudian masukkan Air sedikit demi sedikit, gaul sehingga sebati. Agak-agak ya, bancuhan Tepung jangan terlalu pekat atau jangan terlalu cair. Kalau pekat sangat, nanti cepat muak. Kalau cair pun tak sedap sebab tak berkerak nanti.
Celupkan kentang tadi sehingga semua bahagian kentang kena, kemudian goreng dalam 5 minit begitu. Jangan risau, kentang sudah masak, tujuan kita goreng nak bagi kerak-kerak saja. Agak-agak kentang yang digoreng berwarna kuning keemasan, boleh angkat.
Tapiskan minyaknya terlebih dahulu. Kemudian letakkan dalam pinggan. Boleh hidang bersama sos keju yang menyelerakan. Mudah bukan?
Siap dimakan! Dengan hanya sedikit hiasan, nampak macam beli di kedai. Bayangkan, hanya 2 biji kentang, anda boleh makan sebegini banyak. Sudah tentu jimat daripada makan diluar. Kalau kita beli di restoran makanan segera atau kedai-kedai makan, kadang-kala harganya agak mahal berbanding makan sendiri(ayat klise), tapi itulah hakikatnya. Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin menakutkan ini, berjimat-jimatlah, jangan terlalu boros. Adakalanya kita terpaksa melepaskan keinginan nafsu membeli kita. Buat masa ini, apa yang perlu kita lakukan adalah masak sendiri. Sekarang harga makanan pun makin mahal. Mungkin jugalah orang cakap, dekat kedai rasanya lain, masak lain. Tapi kalau kita selalu cuba, makin lama, makin sedaplah. Kalau boleh makanan yang mudah-mudah ini masak sendiri sahajalah. Boleh jimat.
Kalau ada lebihan kentang yang kita rebus tadi boleh masuk dalam peti sejuk atau peti ais. Tepung Campuran tadi letakkan dalam botol, simpan. Bila-bila kita nak makan, atau pagi-pagi tidak tahu nak makan apa. Ambil kentang dalam peti sejuk, bancuh tepung, kemudian goreng. Tak payah nak beli kentang wedges kat kedai atau restoran lagi, makanlah sampai muak.
Selamat mencuba! Jom Masak Sendiri!
Sekian.