Assalammualaikum, Salam sejahtera..
Kebelakangan ini China diserang wabak yang amat bahaya sehingga boleh membawa maut. Ramai yang sudah terkena wabak ini dan dijangka angkanya akan terus meningkat. Tetapi sejak dua menjak ini, ada mulut-mulut dan suara yang tidak enak didengari.
“Padan muka China!”
Rata-rata perkataan yang lafaz dari mulut sebahagian orang mengatakan padan muka China atau perkataan sejenis dengannya. Apakah perlunya kita berkata sedemikian atau bergembira? Manakah sifat atau nilai ihsan kita kepada insan lain?
Di China penduduk Muslim lebih daripada 20 juta orang, manakala penduduk(semua) di Malaysia lebih 30 juta orang. Apakah kita patut bergembira dengan wabak yang dilanda negara China pada hari ini sedangkan saudara seiman, seakidah dan sekiblat kita sedang ketakutan wabak ini menyerang keluarga mereka? Mana nilai ihsan kita?
Tidak dinafikan kerajaan mereka mempunyai kekejaman terhadap umat Islam disana. Tetapi adakah rakyat mereka juga begitu? Adakah semua begitu? Atau sebahagian atau segelintir?
Betul, kita rakyat Malaysia sedang ‘berperang’ mulut dengan kerajaan Negara China, tetapi bukan bermakna kita boleh menghukum rakyat China, yang mana sebahagian dari mereka tidak pernah tahu pun akan perbuatan kerajaan mereka.
“Mustahil tidak tahu!”
Jawapannya ya! Dalam konteks China yang serba serbi terkawal, tidak peliklah mereka tidak tahu apa yang terjadi. Sebagai contoh di Malaysia, negara kita sendiri. Sebahagian benda yang kerajaan lama dan kerajaan baharu buat pun kita tidak tahu, sedangkan Malaysia ini tidaklah besar mana, walaupun ada media sosial. Tidak mungkin untuk bandingkan dengan sebuah negara yang beberapa kali ganda lebih besar daripada Malaysia!
Bayangkanlah, seorang nenek tua dan kanak-kanak yang tidak pernah tahu mengenai Islam, tidak pernah memusuhi Islam apatah lagi tidak ada difikiran mereka untuk bunuh Islam sedang meronta kesakitan wabak, dan sedang bertarung nyawa. Perlukah kita menzahirkan keseronok atas kesakitannya? Jika kita jawap ya. Maka kita sedang hilang daya berfikir dan kewarasan . Tidak tahulah mana perginya nilai ihsan sesama manusia yang diajar Islam kepada kita. Kalau perbuatan ‘bergembira’ ini diagung-agungkan, tidak peliklah orang bukan Islam takut dan tidak mahu untuk mendekatkan diri mereka kepada Islam. Bukan kerana Islam itu bermasalah, tetapi kita itu sendiri membuat masalah.
Lihat doktor mereka bermati-matian untuk selamatkan pesakit sehingga memudaratkan diri mereka sendiri. Dan hari ini kita ‘berdoa’ supaya mereka diserang wabak lagi bahkan ada yang berdoa biar angkanya meningkat lebih lagi. Para doktor dan jururawat disana hampir tidak tidur dan mengalami tekanan yang sangat dahsyat, ada juga yang pengsan. Dan kita pada ketika ini sanggup untuk mendoakan supaya keburukan mereka bertambah? Kewarasan apa yang melanda kita pada hari ini? Kemana perginya nilai ihsan kita pada hari ini? Jangan jadi manusia yang zalim tidak kira dengan sesiapa yang kita sedang berinteraksi.
Perlulah membezakan diantara kerajaan dan rakyat. Tidak suka kerajaan jangan menghukum rakyat. Adakah suatu hari kelak ketika mana kerajaan kita hari ini atau akan datang melakukan sesuatu yang negara Islam lain tidak suka dan pada masa yang sama Malaysia dilanda wabak, kemudian pada ketika itu rakyat mereka akan mengatakan, “Padan muka Malaysia diserang wabak! Sebab lakukan perkara yang tidak elok” atau mengatakan “anjir”, dan mereka bergembira akan kesakitan kita sedang bertarung nyawa. Apakah reaksi kita pada ketika itu? Jangan melampau dalam beragama. Islam bukan sekadar mengajar kita Syahadah, Solat, Puasa, Zakat, Dan Haji. Islam juga mengajar sifat akhlak dan sifat ihsan sesama insan.
Jika Nabi SAW melarang kita membunuh wanita, orang tua, kanak-kanak. Hari ini kita seakan meraikan kematian mereka yang sebahagian besarnya tidak pernah memusuhi Islam. Sepatutnya kita sedih, jika kita ingin mati dalam keadaan beriman TIADA TUHAN MELAINKAN ALLAH dan NABI MUHAMMAD PESURUH ALLAH, dan masuk syurga, sepatutnya kita juga inginkan orang lain masuk syurga terlebih lagi orang bukan Islam yang tidak tahu apa-apa akan Islam, bukan bergembira dengan kematian mereka! Ingin mensyurgakan diri kita tetapi menerakakan orang lain. Nak mati dalam keadaan masuk syurga dalam masa yang sama seronok melihat orang mati dalam keadaan masuk neraka. AJAIB! Ajaran apakah yang mereka cuba bawa masuk dalam pemikiran orang Islam hari ini? Sedangkan Islam menghormati semua umat manusia.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, katanya: Tufail bin Amir pernah datang kepada Rasulullah SAW dan mengadu mengenai penderhakaan yang dilakukan oleh kaumnya.
Tufail berkata:
(Riwayat al-Bukhari (2937) dan Muslim (2524))
“Sesungguhya suku Daus telah bermaksiat dan enggan menerima Islam. Doakanlah keburukan untuk mereka.”
Nabi SAW sebaliknya kemudian berdoa:
“Ya Allah, berilah petunjuk kepada suku Daus dan datangkanlah mereka (ke Madinah).”
Tidak dinafikan ada kesalahan daripada mereka, apa yang diberitahu terjadinya wabak ini kerana pemakanan mereka yang tidak baik, dan sebagai bangsa yang bertamadun sepatutnya makanan-makanan pelik ini perlu ditinggalkan dan biar budaya makanan pelik ini terkubur bersama generasi yang terdahulu. Mungkin waktu zaman dahulu makanan pelik ini dimakan, tetapi dunia semakin berkembang, manusia semakin bertamadun. Banyak lagi makanan yang baik boleh dimakan. Walaupun begitu, mendoakan mereka mati sebab kesalahan mereka makan makanan pelik tidak patut sama sekali! Benar, itu salah mereka, cuma mendoakan kematian orang lain tidak baik. Suatu hari kelak, jika kita merokok, dan diserang sakit. Apakah perasan kita jika orang berkata “itulah, siapa suruh merokok, padan muka kena penyakit.” Kata-kata seperti itu tidak patut keluar dari mulut seseorang, lebih-lebih lagi yang yang beriman. Apa yang patut kita buat adalah berdoa supaya mereka menjadi lebih baik.
Sebagai orang awam, tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan melainkan jaga diri, hindari jangkitan dengan memakai penutup mulut dan hidung, dan yang paling penting adalah berdoa sejahteraan semua makhluk. Ikhtiar dan berserah diri kepada Yang Maha Pencipta. Tidak kira negara mana sekalipun, hatta negara kafir sekalipun, kita sebagai Islam yang sentiasa meletakkan nilai ihsan sesama makhluk untuk terus berdoa agar Allah melindungi kita semua. Kita berperang dengan orang kafir yang ingin berperangan dan menghalau kita, sebaliknya kita tidak berperangan dengan orang kafir yang tidak memusuhi Islam. Ya, sekarang ini kita sedang ‘berperang’ mulut dengan kerajaan China dan kerajaan-kerajaan negara lain supaya menghentikan kezaliman keatas sesiapa pun baik orang Islam mahupun bukan Islam dan kita patut ‘berperang’ dengan orang yang membuat zalim, tetapi tidak untuk mendoakan kesakitan dan kematian rakyat mereka yang tidak bersalah dan tidak tahu menahu apa yang berlaku.
“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil”
(Surah al-Mumtahanah : 8)
“Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.“
(Surah al-Mumtahanah : 9)
Akhlak, Adab dan Ihsan sesama makhluk membuat Islam disantuni diseantero dunia. Jangan rosakan imej Islam yang dibina oleh Nabi, Para Sahabat dan orang-orang terdahulu dengan mulut kita yang tidak bertangunggjawap. Disebabkan dek mulut dan tingkah laku kita yang tidak mengikut ajaran Al-Quran dan As-Sunnah, yang suka memaki-maki orang, hina orang, bahkan ada yang lebih teruk dari itu, imej Islam dirosakan oleh tangan kita sendiri. Sedarlah, kita sendiri yang hampir merosakan Islam dari dalam.
“Sesungguhnya telah lalu di hadapan Nabi s.a.w satu jenazah, lalu baginda bangun (untuk menghormati). Lalu diberitahu kepada baginda: “Itu jenazah seorang yahudi”. Baginda bersabda: “Tidakkah ia juga jiwa (insan)?”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sekian.