Wanz Ramli Blog

Terus Mencari Persamaan

Bicara Santai

Assalammualaikum, Salam sejahtera..

Beberapa hari yang lalu kita dikejutkan dengan pemergian seorang pelawak terkenal yang sentiasa mencuit hati dengan telatah dan kecomelannya dikala kita menghadapi tekanan dunia, ianya adalah Syed Umar Mokhtar Bin Syed Mohd Redzuan atau dikenali sebagai Abam Bocey. Pemergian Arwah Abam Bocey membuatkan semua orang terkejut dan sukar untuk terima, sudah pastinya ianya menjadi suatu kehilangan besar dalam industri tanah air itu sendiri, terutamanya Maharaja Lawak Mega. Rata-ratanya semua yang mengenali Arwah Abam sangat sedih, kesedihan ini bukan hanya sekadar kita sebagai orang awam, bahkan Ustaz dan tokoh-tokoh agamawan juga terut melahirkan rasa simpati dan sedih atas pemergian Arwah Abam. Tersangatlah luar biasa ketika hari pemergian Arwah Abam yang sangat tidak dijangka, video-video menunjukkan ratusan atau ribuan manusia dari setiap pelusuk membanjiri dan memberi penghormatan terakhir. Pemergiannya membuatkan orang sukar untuk percaya dan terima hakikat. Hari ini genap 5 hari Arwah Abam pergi meninggalkan kita, dan sepanjang masa ini, adakalanya saya bangun tidur, saya terfikir sejenak, “Betul ke Abam dah meninggal?”. Walaupun saya bukanlah keluarga atau saudara atau sahabat atau kenalan beliau, tetapi pemergiannya sangat dirasai, seolah-olah terdetik dalam hati saya mengatakan “Seawal ini Abam meninggalkan kita?”. Tetapi sebagai seorang Muslim, Islam mengajar kita beriman kepada Qada’ dan Qadar, kematian seseorang tidak dikurangkan dan tidak dilebihkan walaupun sedetik, kerana itu urusan Allah SWT. Yang hidup akan terus menjalani kehidupan, yang pergi jangan lupa untuk doakan mereka. Semoga Abam ditempatkan dikalangan orang beriman dan syurga Firdausi menunggumu. Amin.

Walaupun dalam kesedihan yang melanda kita, ada beberapa cerita yang tidak enak daripada sesetengah manusia yang tidak tahu apa itu erti hormat dan tidak tahu apa itu nilai sensitif, mengambil kesempatan atas pemergian Abam atau kematian sesiapa sahaja. Sangatlah ajaib dan pelik manusia sebegini rupa yang masih wujud dalam kalangan kita hari ini. Sudah tahun 2020, tetapi masih meletakan akal dan fikiran seperti orang zaman jahiliyyah.

Sebenarnya saya juga ada lihat dan perasan hantaran-hantaran ‘hashtag’ Abam di muka-muka Instagram yang sebahagian kecilnya mengambil kesempatan ini untuk melariskan peniagaan mereka seperti gambar bertulis pinjaman duit #abam. Saya tidak pasti apa kene mengenanya pinjaman duit dengan #abam. Ada juga iklan ‘dropship’, dan seperti biasanya kebanyakan orang-orang berniaga dengan iklan kuruskan badan 7 hari, jus kurus dan sejenis dengannya. Apa ya yang difikirkan orang penjual-penjual ini ketika menulis perkara ini? Hairan betul. Mungkinlah perkara ini biasa bagi sebilangan manusia, tetapi tidak bagi saya. Tapi sebagai seseorang yang hidup dizaman serba pelik ini, ini lah hakikat yang perlu diterima.

Sehinggalah ada hantaran dari Achey Bocey yang mana beliau menghantar gambar ke laman sosial media Instagram mengenai seorang hamba Allah yang tidak berhati perut dan perbuatannya ini tidak patut diajar dan belajar. Apa kata-kata hamba Allah ini, “Muda-muda dah meninggal (32 tahun). Kepada para Suami dan Isteri yang mampu, belilah…………bla bla bla”. Kita maklum Abam ketika dia meninggal berumur 32 tahun. Apa perasaan keluarganya ketika membaca hantaran-hantaran seperti ini?

“Sejurus lepas saya share kisah arwah abam Bocey. Ramai yg PM saya tanya…..”. Ini lain pula kisahnya. Semua pakat nak jual belaka dan menjual nama dan mengambil kesempatan atas kematian seseorang, manakah perginya sifat kesedihan kita? Ketika mana keluarganya dalam keadaan sedih dan kita menjaja nama Arwah di merata-merata tempat untuk menaikkan dan melonjakkan perniagaan kita. Kegilaan apa yang melanda dunia perniagaan hari ini?

Cubalah sesekali sebelum kita menulis dan menghantar sesuatu perkara, kita fikir dahulu atau meletakkan diri kita ditempat orang lain. Apa perasaan kita bilamana seseorang mengguna atau mengambil kesempatan atas kematian ahli keluarga kita? Jika semudah ini kita tidak memahami perasaan orang lain, tidak tahulah apa yang nak diperkatakan lagi.

Saya harap kita semua yang berfikiran waras tidak melakukan perkara sebegini, kata nak cari rezeki halal, jual benda halal, tapi perbuatan kita tidak menghalalkan cara. Jika Nabi Muhammad SAW bangun ketika jenazah seorang Yahudi lalu untuk menghormati insan, walaupun ianya seorang Yahudi, apatahlagi seorang beragama Islam dan seorang yang baik meninggal, kita tidak rasa hormat pada jenazah beliau. Semoga Allah ampuni dosa kita.

Bak kata Abam,

” Kita Baik, Ramai Sayang “

Abam Bocey

Pada hari pemergiannya, maka terbuktilah kata-kata beliau. Dari Solat Jenazah hinggalah ke pengkebumiannya, tidak putus-putus orang memberi penghormatan kepadanya. Semoga Abam mendapat kebaikan atas kebaikan yang dilakukannya. Amin.

Jika ada salah dan silap dalam penulisan saya, atau mungkin mengguris perasaan, harap ditegur, dan saya minta maaf atas kesalahan saya..

Sekian..

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts