Wanz Ramli Blog

Terus Mencari Persamaan

Bicara SantaiUmrah

Pengalaman dan Perkongsian : Persiapan Sebelum Ke Tanah Suci (Edisi Tambahan)

Assalammualaikum, Salam sejahtera..

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, yang telah memberi saya satu ilham untuk menulis panjang lebar mengenai Persiapan Sebelum Ke Tanah Suci sebelum ini, sesiapa yang nak baca, boleh tekan disini. Banyak pengalaman dan perkongsian yang saya ceritakan yang mana InsyaAllah, ianya sahih dari pandang mata saya sendiri dan cerita-cerita dari orang yang saya percaya, yang mana cerita-cerita ini langsung dari pengalaman orang itu sendiri, seperti cerita bagaimana pakcik saya(buat umrah bersama saya) melihat seorang pakcik tua yang tersesat jalan kerana tertinggal ketika berjalan bersama anaknya, dan lebih menakutkan lagi pakcik tua itu seorang pelupa! Dan bermacam pengalaman dan perkongsian yang saya tulis dan kongsikan dalam penulisan saya sebelum ini.

Pada asalnya, saya rasa sudah cukup saya menulis mengenai perkara ini, walaupun banyak perkara yang saya rasa tidak cukup dan terlalu banyak kekurangan dari segi penulisan, susuanan ayat dan sebagainya. Seakan-akan saya ingin menutup ‘buku’ Pengalaman dan Perkongsian : Persiapan Sebelum Ke Tanah Suci yang saya tulis panjang lebar. Sehinggalah makcik saudara saya pergi umrah dan balik dari mengerjakan umrah, kemudian dia bercerita sesuatu perkara yang saya rasa saya patut menulis semula mengenai perkara ini. Sesuatu yang luar dari jangkaan saya, sesuatu yang tidak boleh masuk akal! Walaupun saya tahu penulisan saya ini bukanlah yang terbaik, tetapi saya rasa seperti dipertanggungjawap untuk memberitahu dan kongsi perkara ini, supaya orang yang ada hasrat untuk pergi ke tanah suci tidak tertipu dan ditipu oleh sebahagian kecil agensi pelancongan terutamanya dalam agensi mengerjakan umrah.

Jadi, saya perlu menyambung semula atau membuka ‘buku’ baharu dan menambah Edisi Tambahan sebagai tanda penambahan penulisan yang sebelum ini. Edisi ini bukanlah edisi panjang lebar, seperti yang tertulis perkataan tambahan, ianya hanyalah penambahan sedikit dari penulisan saya sebelum ini. Mungkin juga penulisan ringkas sahaja. Edisi ini saya akan menulis pengalaman orang lain yang saya dengar dan boleh dipercayai, dan InsyaAllah saya cuba sebaik mungkin untuk tidak menokok tambah. Saya harap sahabat sudi membacanya dan saya harap sahabat semua suka dengan penulisan saya. InsyaAllah, saya akan menulis seikhlas hati saya. InsyaAllah, saya akan menambah dari masa ke semasa pengalaman dan perkongsian ini. Cuma, saya ingin memberitahu kembali, perkongsian saya hanyalah dalam bab umum, sekiranya sahabat inginkan pembelajaran cara umrah, ibadat umrah dan sebagainya, saya bukan ahlinya dan disini bukanlah tempatnya.

Saya menulis bukanlah ingin letak pasir dalam periuk nasi, tetapi apalah guna jika setiap kali orang mengerjakan umrah saya terdengar orang lain ditipu dan tertipu dengan dakyah-dakyah yang digunakan. Terutamanya dakyah “Tuan-tuan kena faham, ini rezeki tuan-tuan di tanah suci. Tuan-tuan kena akur ketentuan Tuhan” sedangkan kesalahan itu berpunca dari dirinya sendiri kemudian meletakkan agama sebagai benteng. Dakyah-dakyah seperti ini tidak boleh wujud lagi. Kecuali kalau betul-betul ianya dari Allah, yang mana manusia itu tidak dapat mengelaknya lagi. Tetapi jika dijanjikan hotel 5 bintang, kemudian bagi 1 bintang atau dijanjikan dekat tapi jauh dan kemudian tidak memberi ganti rugi, apakah ini ketentuan Tuhan? Atau ketentuan mereka yang ingin mengaut keuntungan besar? Saya yakin, jika ianya dijanjikan 1 bintang atau hotel jauh, sahabat semua tidak akan memilihnya bukan? Tetapi disebabkan mereka ini tahu cara mengambil kesempatan dengan mengiklankan “HOTEL MEWAH! HOTEL 5 BINTANG! JARAK 50 METER KE MASJIDIL HARAM!”. Dengan cara ini para bakal Jemaah akan terpegun dan terpesona. Sedangkan perjanjian mereka tidak sama apa yang mereka berikan! Apakah mereka ini lupa tentang balasan dari Allah? Menzalimi mereka yang lemah, dan mengambil duit mereka secara bathil!

Sahabat-sahabat sekalian, tergamakkah kita melihat makcik yang mengumpul duit RM 9,000 semata-mata ingin mengerjakan umrah dan dijanjikan perjalanan dari hotel ke masjid dekat, kemudian sampai disana, hotel yang dijanjikan tidak ada. Malah lebih jauh dari itu, kemudian dengan beralasan “semua ketentuan Tuhan”, mana mungkin dakyah seperti ini keluar dari mulut manusia yang membawa orang ke tanah suci. Kita tidak salahkan mutawif yang mana mungkin mereka tidak tahu, ditipu atau tertipu oleh pihak agensi, tetapi malangnya mutawif hanya mampu melihat sahaja apa yang pihak pengurusan lakukan. Sepatutnya mereka melaporkan perkara ini ke pihak berkuasa untuk mengambil tindakan. Melihat kezaliman dan memakan hak secara bathil, tetapi hanya mampu melihat.

Saya harap sahabat sekalian semua ambil ikhtibar atas semua kejadian-kejadian yang berlaku. Hari ini kita bukan hanya ditipu oleh agensi yang menawarkan pakej murah atau dalam bahasa modennya ‘mur mur’ tetapi hari ini pakej yang menawarkan harga mahal, yang mana kita rasa “pakej ini mahal, mesti tak tipu…” atau agensi ini ada nama, nama sedap, mutawif kumpulan itu dan ini, “takkanlah mereka nak tipu kita kot”. Pemikiran-pemikiran seperti ini tidak relevan pada zaman ini.

Dan juga saya berharap pada sesiapa yang terkena, ditipu dan tertipu, buatlah laporan dan kongsikan pada rakan-rakan anda. Ini bukanlah soal remeh temeh atau soal kecil anak. Jika ditipu RM100, mungkin boleh berdiam diri walaupun sepatutnya tidak boleh begitu. Tetapi jika ditipu RM9,000 atau lebih dari itu lagi, sanggupkah kita melihatnya? Terutamanya makcik pakcik yang duduk dikampung, yang gajinya cukup-cukup untuk makan, kemudian kumpul duit sikit-sikit, untuk mengerjakan umrah. Yang mana mereka tahu, inilah satu-satunya peluang mereka, yang mana kalau mereka ditipu, peluang ini tidak akan datang lagi, dalam kata lainnya, sekali seumur hidup. Jika kita sanggup melihat orang seperti ini ditipu dan tertipu. Terpulanglah pada diri kita sendiri.

Akhir sekali, kepada sebilangan mutawif, saya berharap akan ada satu pembaharuan dalam pemikiran yang mana jika agensi anda menzalimi orang dengan dakyah bermacam-macam kemudian akhirnya menipu orang. Tolong, tolong, tolong, laporkan kepada pihak berkuasa dan menguar-uarkan kepada orang awam supaya jangan memilih agensi tersebut. Betul, semua orang ingin mencari rezeki, dan takut kita dibuang dari kerja. Tetapi, apalah gunanya jika kita menjaga periuk nasi kita sedangkan dalam masa yang sama kita melihat orang lain dizalimi.
Saya minta maaf jika ada yang keterlaluan dalam penulisan dan Bahasa saya, jika mengguris hati sesiapa sahaja. Yang baik semestinya dating dari Allah, yang kurang itu dating dari diri saya sendiri. Maaf sekali lagi. InsyaAllah, nantikan EDISI TAMBAHAN saya dan mengapa saya terpaksa menulis sebegini. InsyaAllah.

Sekian.

Tagged:

1 COMMENTS

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts