Wanz Ramli Blog

Terus Mencari Persamaan

Bicara SantaiUmrah

Pengalaman dan Perkongsian : Persiapan Sebelum Ke Tanah Suci (Edisi Tambahan)-1


Assalammualaikum, Salam sejahtera.

Kain Ihram

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang menjadikan langit dan bumi. Saya akan membuat kesinambungan bahagian yang sebelum ini, seperti yang dijanjikan, saya akan menulis dan menambah sedikit nasihat.

Apa yang sebenarnya kita perlu tahu dan ambil tahu sebelum menandatangani atau setuju dengan agensi pelancongan atau agensi umrah ini?

Saya sudah menceritakan panjang lebar sebelum ini dalam tajuk, Pengalaman dan Perkongsian : Persiapan Sebelum Ke Tanah Suci(tekan disini).

Tetapi dalam Edisi Tambahan ini saya akan beritahu satu dua hal sahaja. Baru-baru ini, makcik saya ada ke Umrah melalui Agensi Umrah. Tetapi, selepas dia balik, banyak perkara yang mengganggu fikiran saya dan perlunya saya menulis semula. Saya harap penulisan ini memberi manfaat kepada para sahabat pembaca semua. Ini bukanlah penulisan yang terbaik, cuma saya rasa bertanggungjawab untuk menulis, mudah-mudahan ada manfaat untuk semua orang.

Muslimah

MENGENAL NAMA AGENSI ANDA DAN BUAT CARIAN MENGENAINYA

  • Aspek ini sangat penting, kita perlu melihat pandangan orang lain mengenai nama agensi yang kita nak setuju. Kadang-kala ada agensi yang terkenal dengan nama, dan terkenal dengan nama yang buruk. Buat sedikit carian dan pertanyaan. Jangan ambil bulat-bulat kata orang, dan jangan juga menolak muntah-muntah pandangan orang.

TARIKH BERTOLAK DENGAN SEBETUL-BETULNYA

  • Tarikh memainkan peranan ketika mana kita seorang pekerja. Ini berlaku pada makcik saya dan juga diri saya sendiri. Ketika mana agensi terlalu diam dalam group Whatsapp, kemudian berberapa hari hendak bertolak diberitahu penerbangan ditangguhkan. Pihak agensi juga perlu faham, sebagai pekerja, kita tidak boleh menukar cuti sesuka hati dan dalam masa yang singkat. Nak atau tidak kita terpaksa menambah cuti. Jadi kalau boleh sahabat/Tuan/Puan, perlulah menanyatan perkara ini betul-betul.

TURUN DI MEKAH ATAU MADINAH atau MADINAH TURUN JEDDAH

  • Walaupun ianya nampak remeh temeh, percayalah, ianya perlu ditanya. Kerana persiapan turun di dua tempat suci ini tidak sama, dan sebahagiannya ada yang hendak turun di Mekah terlebih dahulu, ada juga hendak turun di Madinah. Perkara ini berlaku pada makcik saya. Pada asal perjanjiannya turun di Madinah terus. Kemudian bertukar turun di Jeddah kemudian ke Madinah.
  • Di sini kita perlu difahami, tidak semua orang setuju atau hendak turun di Jeddah kemudian ke Madinah, kerana jaraknya sangatlah jauh, dan hampir sehari masa kita terbuang dan keletihan. Dalam perjanjian mengatakan terus ke Madinah kemudian bertukar turun di Jeddah ke Madinah. Jika pada awalnya pihak agensi memberitahu begini, adakah kita akan ambil pakej ini? Sudah tentu tidak! Jika dari awal diberitahu, kita tidak akan ambilnya. Perlu buat pertanyaan betul-betul.

GANTI RUGI

  • Apa yang berlaku pada makcik saya adalah, perjalanan dari Madinah ke Mekah menaiki bas. Kemudian sampai ke Mekah, beg yang dibawanya hilang, dan sebahagian yang lainnya telah terkoyak, dan sebahagian lagi barang mereka hilang! Sangat hairan ketika makcik saya menceritakan perkara ini. Bagaimana naik bas, barang berada dalam bas, boleh hilang, koyak dan sebagainya. Apabila bertanya pada pihak pengurusan, seolah-olah pihak pengurusan tidak mahu bertanggungjawab dengan alasan mereka akan cari. Sehingga balik ke Malaysia tiada jawaban.
  • Bayangkan jika beg yang hilang itu kita letak barangan mengerjakan umrah seperti kain ihram. Ini menyulitkan lagi kita hendak melakukan umrah, lebih teruk lagi kita terpaksa membeli semula menggunakan duit kita tetapi bukan salah kita. Bagi yang pertama kali pergi, dan bukan orang senang, sangat menyusahkan mereka.
  • Pihak pengurusan sepatutnya perlu bertanggungjawab atas semua kehilangan atau kecurian jika berlaku kecuaian dari pihak agensi sendiri. Saya pernah ke umrah Alhamdulillah dua kali, kedua-dua agensi mengambil serius dalam perkara beg dan setiap barang yang dibawa oleh kita. Mereka akan kira jumlah beg pergi dan balik. Sahabat perlu menanyakan mengenai kerugian, dan kerugian bukan sekadar berhenti disini, ianya akan bersambung kepada….

MENGESAHKAN HOTEL DAN 1 BILIK BERAPA ORANG

  • Saya tidak tahu bagaimana ingin berceritakan mengenai ini. Jika menurut makcik saya, inilah paling teruk dan jelik saya mendengarnya. Hotel dan bilik bukanlah perkara atau isu boleh diambil ringan. Hotel dan bilik adalah tempat tinggal dan keselesaan sepanjang kita ketika berada disana. Salah hotel, salah bilik ianya akan menyusahkan kita kelak.
  • Cuba bayangkan dibayar dengan harga yang agak mahal(RM9,000 lebih), dan kebiasaannya harga yang begitu 1 bilik hanya 4 orang bertukar menjadi 8 orang. Ada keluarga yang pergi terpaksa duduk 11 orang satu bilik. (Hotelnya mempunyai dua tingkat). Saya sebenarnya tidak faham. Bagaimana perjanjian itu. Jadi saya tidak mahu ulas terlalu banyak, takut-takut salah. Cuma pengajaran disini bila kita hendak bersetuju apa-apa, lihat hotel lihat bilik yang diberi, 1 bilik berapa orang yang berada dalam itu. Makcik saya ada beritahu, keluarga yang terpaksa duduk 11 orang satu bilik itu pun terkejut, dan diminta tukar duduk 1 bilik 4 orang, tetapi terpaksa membayar lebih dari RM10,000. Maaf, mungkin saya kurang arif dalam hal ini. Bukankah ketika mempersetujui, mereka akan diberitahu mengenai hotel dan bilik? Paling ramai 1 bilik hanya 5 orang sahaja. Bagaimana boleh jadi perkara sebegini? Ini memberi keuntungan kepada pihak agensi dan kerugian bagi pihak kita sendiri.
  • Mak saya ada ura-ura hendak pergi bersama agensi fulan ini, kerana mereka menawarkan hotel bilik dua tingkat sebab kami 5 orang, tetapi bila terdengar kepelikan dan keburukan agensi ini, mak saya lupakan hasratnya bersama agensi ini
  • Berbalik kepada rugi, bukankah ini satu kerugian? Harganya RM9,000 lebih, tetapi 1 bilik 8 orang. Pengalaman kami RM9,000 hotel dekat, duduk 5 orang. Tidakkah rugi?

Kesimpulannya, kita ada hak untuk diberi bayaran atas kerugian kita. Janganlah kita anggap “Ini rezeki kita, Tuhan tentukan.” “Pihak agensi sudah lakukan terbaik, mungkin ini ujian anda tahun ini.” dan bermacam-macam ayat dan dakyah yang akan keluar. Sampai bila kita akan ditipu oleh pihak agensi pelancongan, tidak kira sama ada ke Tanah Suci atau melancong ke tempat lain. Kawan mak saya pernah ditipu agensi, apabila sampai di Tanah Suci, dia pelik, sebab tidak ada orang sambut, kemudian dia pergi ke hotel tersebut, nama mereka tiada! Mereka terpaksa membuat tempahan hotel lain menggunakan duit sendiri. Ini sangat gila! Menipu dalam bab orang pergi ke Tanah Suci.
Sampai bila kita harus berdiam diri dan membiarkan mangsa seterusnya ditipu dan ditipu lagi. Suara kita, hak kita! Jangan membiarkan mereka mengambil hak kita secara batil.

Sekian.

Tagged:

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts