Assalammualaikum, Salam sejatera..
Semoga pembaca sentiasa dirahmati Allah SWT dan semoga Allah SWT mengampuni dosa-dosa kita..
Walaupun puasa bulan syawal atau dikenali puasa 6 ini ada perbezaan pendapat, ada yang mengata tiada, tetapi keseluruhan besar pendapat mengatakan ianya sunnah dari Nabi Muhammad SAW. Penulisan ini bukan nak membincangkan perbeza pendapat, ini sebagai pembukaan sahaja. Supaya jika kita terdengar ada kawan kita dari mazhab yang lain kata makhruh atau tiada, kita tidaklah pelik sangat. Kita balik kepada tujuan asal penulisan ini.
Ada ke Kelebihan Atau Manfaat Puasa 6 Syawal?
Kita jangan fikir jauh dahulu, kita fikir secara logik akal. Dari segi logik akalnya setelah kita pulun makanan yang berlemak, berminyak, bergula, bergaram dan ber ber lagi. Dari segi logiknya badan kita dipenuhi terlalu banyak bahan-bahan yang boleh membawa kepada penyakit. Mana tidaknya, Lemang kaya dengan lemak santan, Kuah Lontong. Nasi Impit pula, kejap-kejap buka satu plastik(yang jenis jual peket kecil-kecil), kejap-kejap buka, sebab tidak puas kan. Kena pula dengan Kuah Kacang yang berminyak, boleh terlentang dibuatnya. Itu tidak termasuk makanan sampingan seperti kuih muih, biskut yang beraneka jenis dan rasa. Ditambah pula dengan kemanisan air soda yang menyegarkan. Bayangkan bagaimana perut kita ini nak hadam semua bahan-bahan ini yang mana dimasuk sekali gus. Jangan hari-hari buat tabiat ini, penyakit tiga serangkai menanti kita.
Dengan berpuasa, kita dapat rehatkan sistem pencernaan dan cuci semula makanan-makanan yang kita makan, setelah kita pulun makan pelbagai jenis juadah dan masakan yang dihidangkan atas meja. Dari segi kesihatan, ramai yang mengakui berpuasa adalah baik untuk kesihatan dan dapat mencegah penyakit, tetapi mestilah mengikut sunnah Nabi. Sebahagian kita berpuasa sudah baik, tetapi bila berbuka pula, dia makan bagai nak gila sampai tak larat nak bangun. Ini menyalahi sunnah dan menyalahi kesihatan juga.
Berpuasa juga dapat mengurangkan pengambilan gula, garam dan karbohidrat yang berlebihan. Ini akan mengurangkan kita terkena pelbagai penyakit seperti kencing manis, darah tinggi, obesiti dan lain-lain. Zaman ini, ramai orang bukan Islam yang cuba berpuasa kerana kelebihan berpuasa dapat mengurangkan berat badan.

Tetapi sebagai seorang Islam yang berpegang kepada ajaran Al-Quran dan As-Sunnah, kita melihat puasa ini lebih dari kelebihan dunia dan mengharapkan kelebihan untuk akhirat. Puasa pada bulan Syawal atau Puasa 6 ini disebut dalam Hadis Nabi..
Daripada Abu Ayub al-Ansari RA yang mana Rasulullah SAW telah bersabda: Barangsiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun..
HR Muslim
Sebagai seorang Islam, apakah kelebihan berpuasa bersamaan sepanjang tahun lebih baik dari kelebihan dunia yang kita inginkan? Sudah tentunya tidak. Apa yang kita perlu buat adalah niatkan diri kerana Allah SWT, kerana kita mengharapkan rahmat Allah yang akan menyelamatkan kita di akhirat kelak. Berpuasalah, kalau kita merasakan letih dan penat atau lapar dan dahaga, hari manakah yang kita terlepas dari letih, penat lapar, dahaga? Jika kita merasakan bahang dan panas, ketika waktu mana yang kita merasa segar dan sejuk? Ada seseorang yang saya mendengar pengalaman berpuasa di Svalbard, Norway dengan suhu terlalu sejuk, dan beliau merasakan tekaknya terlalu kering. Adakah beliau juga akan mengatakan sukar nak puasa sebab sejuk dan kering dan mengharapkan panas?
Kesimpulannya, kalau kita nak puasa mengikut kehendak diri kita, nak sejuk sikit, nak panas sikit. Jawapanya tidak pernah dan tidak akan terjadi. Kecuali jika kita sakit dan tidak mampu. Walau bagaimana pun, puasa Syawal atau puasa 6 adalah sunat, sesiapa yang nak lakukan, semoga Allah SWT memberi kebaikan kepadanya. Sesiapa tidak mahu lakukan, itu terpulang bagi dirinya. Jika mampu dan larat, lakukanlah. Zaman ini, kita perlu pulun sebanyak mana kelebihan untuk akhirat sepertimana kita pulun kelebihan didunia.
Selamat berpuasa 6. Semoga Allah rahmati kita semua.
Sekian.