Adab Ketika Mengetuk Pintu Rumah Orang Dan Meminta Izin Untuk Masuk

Author:

Assalammualaikum, Salam sejahtera..

Kebiasaan kita jarang untuk melihat adab-adab yang ada dalam dunia Islam, terutamanya adab-adab yang kecil-kecil. Walaupun nampak kecil, tetapi mempunyai impak atau kesan yang besar sebenarnya. Sebagai contoh apa yang kita nak bincangkan dalam tulisan ini, ADAB KETIKA MENGETUK PINTU ORANG DAN MEMINTA IZIN UNTUK MASUK.

“Aik? Benda macam ini pun dibincang dalam agama?” YA. Islam bukan sekadar agama atau ritual, Islam lebih dari itu, Islam adalah cara hidup dari A sampai Z, dari bayi hingga mati. Islam juga mengajar kita dari perkara sebesar-besar agama(akidah) hingga menjaga adab. Bak kata orang, dari sekecil-kecil anak, hingga ke besar-besar anak.

Firman Allah SWT

Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu).

Surah An-Nur[24:27]

Mungkin kita ramai yang terlepas pandang ayat ini kerana mungkin juga bagi kita adab-adab kecil seperti ini “ala..biasa je, kita nak bincang isu yang besar-besar”. Ia bukanlah perkara yang biasa-biasa, jika biasa-biasa, maka Allah tidak akan sebut perkara ini dalam Al-Quran. Seperti yang saya sebutkan tadi, adab mengetuk pintu rumah orang dan meminta izin untuk masuk ini memberi kesannya. Apa kesannya? Ia mengenai aurat orang, keaiban dan sebagainya. Kita tidak tahu apa yang dipakai oleh tuan rumah, apa yang mereka sedang lakukan, atau mungkin mereka sedang bertengkar atau apa sahaja yang akan mengaibkan tuan rumah. Kita juga perlu meminta izin sebelum masuk dalam rumah orang. Ada sesetangah orang bila tuan rumah buka sahaja pintu, terus melompat masuk rumah. Ada juga yang datang ke rumah terbuka, terus masuk dengan alasan “Dia buat rumah terbuka, jadi masuk sajalah…”. Tidak semudah itu alasan yang boleh diberi. Memang betul dia buat rumah terbuka, tetapi adab kita sebagai tetamu perlu meminta izin tidak kira apa alasan kita. Bahkan ada yang sampai tahap tetamu buka pintu. Sangatlah melampaui batas. Buka pintu tidak semestinya kita dibenarkan masuk. Ada juga tuan rumah buka pintu dan mengatakan “Kita cakap dekat sini sajalah” atau “ Kita cakap dekat luar sajalah”. Bukanlah kerana tuan rumah sombong, tetapi ada sesuatu yang perlu tuan rumah jaga, iaitu aurat isteri, anaknya atau adik beradiknya. Jadi, jangan terus melompat masuk setelah pintu dibuka ya.

Maka sekiranya kamu tidak mendapati sesiapa (yang berhak memberi izin) maka janganlah masuk ke dalam rumah itu sehingga kamu diberi izin; dan jika dikatakan kepada kamu “baliklah”, maka hendaklah kamu berundur balik; cara yang demikian adalah lebih suci bagi kamu; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan.

Surah An-Nur[24:28]

Adab lain juga adalah ketika mana tuan rumah tidak sedia menerima tetamu, maka yang lebih baik adalah kita balik atau pulang. Janganlah berkecil hati, mungkin tuan rumah sedang sibuk atau nak keluar atau sedang mempunyai masalah atau apa sahaja alasannya, kita sebagai tetamu perlu menghormati tuan rumah.

Dalam hadis juga ada menyebut mengenai perkara yang sama.

Dari Abu Musa r.a. katanya: Rasulullah SAW bersabda:
Meminta izin itu sebanyak tiga kali sahaja. Maka jikalau diizinkan untukmu masuklah, jikalau belum diizinkan maka kembalilah

HR Bukhari, Muslim

Hadis ini sangat masyur, tetapi jarang untuk kita laksanakan. Sabda Nabi “sebanyak tiga kali”, maka kalau sudah tiga kali yang mana kita yakin salam kita itu didengari oleh tuan rumah, kalau boleh setiap salam dijarakkn sedikit. Takut-takut tuan rumah sedang solat, jangan terlalu jarak sangat.  Jika masih tuan rumah tidak jawab, maka kita bersangka baik dan balik. Saya juga tuan rumah yang mana kadang kala ada seorang dua yang kita rasa “orang ini kalau datang, mesti nak bawa cerita, nak membawang.” Atau “orang ini kalau datang jenis tak retilah nak balik dari pagi sampai petang”. Kita tidak boleh tipu diri kita, atau menidakannya, walaupun melayan tetamu sangat-sangat dituntut, tetapi sebagai seorang manusia biasa ini, pasti ada seorang dua yang kita tidak selesa kalau orang itu datang, terutamanya ketika mana kita sedang sibuk, “kalau orang itu datang, kita memang tidak boleh buat kerja”. Dan sebagai tetamu, kita perlu menghormati keputusan tuan rumah.

‘Abdullah bin Busr radiallahu ‘anhu berkata:
Apabila Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam sampai di pintu rumah seseorang, baginda tidak akan berdiri menghadap pintu tersebut, sebaliknya baginda akan berdiri di sisi kanan atau kiri pintu sambil mengucap ‘Assalamualaikum, Assalamualaikum’. Ini kerana ketika itu tiada langsir di pintu rumah.

Sunan Abu Daud

Ini juga menjadi satu permasalahan besar. Ada sesetengah orang yang mana bukan sahaja ketuk lebih dari tiga kali, bahkan menjenguk-jenguk ke tingkap dari depan sampai ke dapur. Ada juga yang bila tuan rumah buka pintu sahaja, terus menjenguk dalam rumah. Perkara ini sangatlah dilarang keras yang mana kebiasaan kita lakukannya. Kita sebenarnya tidak tahu apa yang sedang dilakukan oleh tuan rumah, pakaiannya, atau sedang berduaan, atau mereka ada anak perempuan, atau sedang tidur, atau sedang bertengkar. Ini akan menimbulkan keaiban tuan rumah, sekali gus akan menjadi fitnah untuk mereka. Setengah darinya bersifat melihat keaiban seseorang yang sepatutnya disimpan tetapi mereka bercerita kepada orang lain. Kerana itu adab mengetuk pintu ini bukanlah perkara kecil, ianya sangat memberi kesan yang buruk.

Dari Sahl bin Sa’ad r.a katanya:
Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya diadakan peraturan minta izin semata-mata untuk menjaga pandangan mata.

HR Bukhari, Muslim

Ada adab lain juga yang bersangkut paut dengan perkara ini. Disebut dalam hadis,

Dari Jabir r.a katanya:
Saya datang kepada Nabi SAW maka saya mengetuk pintu. Dan ditanya: Siapa itu? Jawabku: Saya. Rasulullah SAW dengan lagak tidak suka berkata: Saya, saya.

HR Bukhari, Muslim

Ini juga menjadi suatu kebiasaan bilamana orang tanya “siapa tu?” kita jawab “ala..akulah”. Bukan semua orang boleh mengecam atau kenal dengan mendengar suara kita, terlebih lagi bila dalam panggilan telefon. Dari segi jawaban, ianya bukan satu jawaban kepada soalan. Soalan: “Siapa itu”, jawaban: “Ala.. sayalah..saya..takkan tak kenal saya”. Ini tidak menyelesaikan jawaban, jika menjawab soalan peperiksaan, sudah tentu gagal. Jadi, bila ditanya siapa, jawablah dengan memberi nama kita.

Semua adab-adab ini perlulah dipraktikkan dalam kehidupan kita hari ini. Dan sebenarnya hukum Islam merentasi zaman dan kemodenan. Ada hukum yang boleh dimasukan dizaman ini seperti “beri salam sebanyak tiga kali” yang mana kalau kita buat panggilan telefon, cukuplah sekadar tiga kali sahaja, janganlah membuat panggilan sehingga 20 kali. Bila kita tengok sampai 20 kali panggilan tidak dijawab. Kadang orang yang kita panggil mungkin tengah solat atau kerja. Jangan sampai mengganggu orang lain. Sama juga jika rumah orang itu mempunyai loceng, cukuplah sekadar menekan 3 kali dan memberi salam(diyakini tuan rumah mendengarnya). Jika tidak dijawab, baliklah. Mungkin tuan rumah ada urusan.

Kesimpulannya, jaga adab kita sebagai tetamu, memberi salam, meminta izin, bila mengetuk pintu, pastikan pandangan kita tidak terus mengadap pintu rumah yang mana bila tuan rumah buka, kita akan nampak isi rumah. Dan jangan suka-suka nak menjenguk atau mengintai atau mengintip atau mengendap dalam rumah orang, itu yang paling utama.

Dari Kildah bin al-Hanbal r.a katanya:
Saya datang kepada Nabi SAW dan terus masuk tanpa memberi salam, maka berkata Nabi SAW: Kembalilah engkau, kata: Assalamu ‘alaikum, a’adkhul? Assalamu ‘alaikum, boleh saya masuk?

HR Abu Daud, At-Tirmizi

Dalam hadis lain yang diriwayatkan dari Sahal bin Saad As Sa’idi r.a, ia mengabarkan bahwasanya seorang laki-laki mengintip pada lubang pintu Rasulullah SAW. Ketika itu, Beliau tengah membawa sebuah sisir yang biasa Beliau gunakan untuk menggaruk kepalanya Beliau bersabda:

“Seandainya aku tahu engkau tengah mengintipku, niscaya telah aku lukai kedua matamu dengan sisir ini”. Beliau bersabda: “Sesungguhnya permintaan izin itu diperintahkan untuk menjaga pandangan mata.”

HR Bukhari, Muslim

Adakah ini adab biasa-biasa? Jika Nabi memberi amaran keras sebegini?

Akhir kata, semoga Allah SWT melindungi mata kita dari melihat keaiban orang lain, dan semoga Allah menjaga keaiban kita dari manusia yang sentiasa mencari-cari keaiban baik diluar atau dalam rumah kita.

Sekian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *