Wanz Ramli Blog

Terus Mencari Persamaan

Bicara Santai

Tiga Bulan Tidak Solat Jumaat, Akhirnya..

Assalammualaikum, Salam sejahtera..

Alhamdulillah, setelah sekian lamanya tidak dapat menunaikan Solat Jumaat kerana Perintah Kawalan Pergerakan akibat COVID-19, akhirnya, hari ini 19/6/2020 kita semua dapat memijak karpet masjid dan Solat Jumaat berjemaah bersama-sama.

Tidak ada apa yang boleh dikatakan selain bersyukur kepada Allah SWT, kerana memberi kesempatan untuk Solat Jumaat lagi. Dan tidak ketinggalan juga terima kasih kepada Kerajaan yang membenarkan masjid dibuka secara berperingkat.

Nikmatnya bilamana 3 bulan tidak dapat Solat Jumaat. Terasa rindu sangat nak Solat Jumaat dan solat secara berjemaah.. Pada minggu pertama bilamana kerajaan mengumumkan bahawasanya tiada Solat Jumaat, sangat janggal pada ketika itu. Sehingga tertanya-tanya “Eh.. Betul ke tak ada solat jumaat ni?”. Terasa kekok benar bilamana pada hari Jumaat sedang bersenang lenang atas tilam. Walaupun kita bukanlah ahli masjid, tetapi InsyaAllah, Solat Jumaat tetap kita akan pergi.

Tiada apa yang boleh saya katakan, ketika solat dan Imam membaca surah, Allahuakhbar, terasa sebaknya tidak dapat digambarkan. Bayangkanlah 3 bulan tidak jejak masjid. Dalam hati berkata “Ya Allah, lama sudah aku tidak merasa solat jumaat dan solat berjemaah ramai-ramai ni. Syukurnya Ya Allah, rindunya.”. Perasaan sebak ini saya rasa bukanlah saya seorang yang alami. Saya juga dapat merasakan bahawa jemaah lain juga begitu, kerana kedengaran bunyi ‘selesema’.

Alhamdulillah, Solat Jumaat berlangsung dengan lancar dan teratur. Saya ingin memuji dan berterima kasih kepada pihak masjid yang menjalankan tugas dengan baik. Ini dapat memperlihatkan kepada orang awam yang mana pihak agama Islam sangat mematuhi SOP yang disediakan. Jika ada yang meragui adakah pihak masjid melakukan SOP, adakah pihak masjid menjaga jarak, adakah pihak masjid menyediakan pembasmi kuman, pelbagai soalan, pertanyaan dan sebagainya. Saya ingin mengatakan, ya. Pihak Ahli Jawatan Kuasa masjid sangat menjaga SOP ditempat saya. Setiap orang diberikan kupon nombor, setiap nombor disediakan tempat. InsyaAllah, semuanya dalam keadaan baik. Walaupun ada suara-suara yang mengatakan kluster itu kluster ini. Apakah kita ini memang inginkan kematian? Setiasa mendoakan kluster itu, kluster ini?

(Saya berharap sangat agar generasi akan datang 10 tahun atau 20 tahun kedepan, dapat mempelajari sesuatu daripada generasi ini, terutamanya orang Islam. Supaya dapat mengawal wabak dengan secara matang dan lebih baik dari ini. Jadikanlah sejarah 2020 ini yang menakutkan dan hampir melumpuhkan pergerakan di seluruh dunia. Jadikan juga pengajaran dan memasukan pandangan dari al-Quran dan Hadis Nabi, seperti hadis ketika mana Nabi SAW menceritakan mengenai taun dan cara atasinya. Baca juga berita-berita dari luar negara dan bandingkanlah dengan negara kita, Malaysia. Pada ketika ini Malaysia telah melakukan sehabis baik dan terbaik. Terima kasih Malaysia!)

Akhir kata, marilah sama-sama kita semarakan masjid dan jangan lupa solat fardhu kerana solat itu wajib, solat itu tiang agama. Walaupun lewat mana pun, solatlah. Dengan apa yang sudah berlaku ini, mungkin teguran dari Allah SWT untuk kita semua. Kita tidak mahu seramai mana yang lantang dan menentang penutupan masjid, seramai itu juga yang tidak ke masjid. Islam itu bukanlah sekadar kata-kata yang keluar dari mulut, tetapi Islam itu dari hati. Islam juga bukanlah alat solek, yang mana siangnya dipakai, malamnya ditanggal. Islam itu dari jiwa, dari hati yang melahirkan perbuatan dan cara hidup kita.

Dan, walaupun kerajaan telah melonggarkan SOP, dan kita dibenarkan solat berjemaah. Tetapi wabak COVID-19 ini masih tidak hilang. Maka, kita hendaklah selalu menjaga kebersihan, sentiasa membasuh tangan dengan sabun, memakai penutup hidung dan mulut, dan sentiasa menggunakan cecair pembasmi kuman. Selalu juga berwaspada dan peka dengan berita-berita mengenai COVID-19 yang sahih. Jika kita lalai, tidak mustahil COVID-19 akan menyerang kita semua. Patuhlah perintah pemerintah.

Sekian.

Tagged:

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts