Wanz Ramli Blog

Terus Mencari Persamaan

Bicara Santai

Assalammualaikum, Salam sejahtera..

Saya nak berkongsi sebuah cerita, saya harap anda semua boleh menerimanya dan membacanya hingga habis.

Pada suatu hari dipasar. Seperti biasa, saya akan ke pasar untuk membeli barang dapur, 1-2 kali dalam seminggu. Dan seperti biasanya saya akan ke kedai sama, dan kebiasaannya saya kenal dengan peniaga-peniaga disitu, pendek kata boleh ‘cam’lah. Kalau peniaga itu lama saya tidak nampak, saya akan ambil bahasakan bertanya “lama tak nampak”.

Jadi, ketika saya nak beli tauge dan kuchai, memang saya akan ke kedai Aunty ni. Biasanya ada dua orang Aunty, kalau tidak salah mereka adik beradik(menurut mak saya). Tapi sudah lama saya tidak nampak seorang Aunty. Terakhir saya jumpa beli dikedai dia, memang nampak dia tidak sihat. Jadi dengan ringan mulutnya waktu saya beli taugey dan kuchai, saya tanyalah: “Mana Aunty lagi sorang, lama tak nampak?” Jawabnya: “Dia sudah meninggal”. Terkedu, terdiam. Rasa macam nak menangis pun ada, airmata mengalir. Tidak tahu nak cakap apa, nak tanya apa ketika itu. Katanya sudah sebulan meninggal. Mungkin Aunty itu tidak ingat saya, tetapi sebagai seorang manusia yang mana bertahun-tahun saya beli dikedai dia, daripada mak saya bujang sehingga saya bujang, tidak banyak sedikit memberi kesan airmata saya untuk mengalir. Ya, Aunty itu seorang cina, tetapi itu tidak bermakna untuk menghalang rasa kesedihan saya.

Dari kisah saya ini, saya terus terfikir sesuatu. Ada ke manusia dizaman ini yang sangat rasis atau perkauman sehinggakan tidak memberi apa-apa kesan dan perasaan bila mendengar berita kematian, walaupun berlainan bangsa mahupun agama? Kebelakangan ini perkauman sangat memuncak, sehingga tiada rasa hormat, sehingga kita memukul rata semuanya jahat. Bagaimana dengan Aunty ini? Seorang yang baik, dan sentiasa berinteraksi dengan orang Melayu. Adakah kita ingin meletakan Aunty ini sebagai ‘cina mata sepet’ atau ‘cina balik china’? Jika ditanya saya, biarlah saya dikerat 14 sekalipun, tidaklah mulut saya tergamak untuk melemparkan gelaran seperti itu kepada Aunty ini.

Balik rumah, saya pun cerita pada mak saya berita sedih ini sambil mengelap airmata. Walaupun saya cuba tahan, tetapi tiada kemampuan. Mak saya juga sedih. Mana tidaknya, berpuluh tahun kami selalu ke kedainya, melihat senyuman dia, bila dapat berita pemergiannya, ini tindak balas biasa bagi seorang manusia kepada manusia lain. Tiba-tiba saya rasa rindu pula, terkenang-kenang raut wajahnya yang sentiasa senyum. Dalam usianya yang sudah lanjut, tidak pernah sehari pun saya melihat wajahnya masam, walaupun akhir hidupnya saya dapat melihat dia sangat tidak sihat. Biasanya orang tua, kepenatan. Tetapi tidak sangka, pertanyaan hati saya setiap kali lalu depan kedai dia “Mana Aunty sorang ni, lama tak nampak, tak sihat ke?” dibalas dengan jawapan pemergian dia. Ketika menulis ini pun saya sebak terkenangkan dia. Saya terasa macam menyalahkan diri, kenapa hari saya baru tanya, kenapa tidak minggu lepas atau dua minggu lepas. Selewat ini saya baru dapat tahu. Walhal saya sudah bertanya-tanya dalam hati “Lama tak nampak Aunty ni”.

Sebagai seorang Islam untuk mendoakan ‘Rest In Peace’ untuk orang bukan Islam yang telah meninggal dunia, itu tidak dibenarkan apatah lagi mendoakan syurga dan sebagainya kerana mana-mana agama sekalipun meletakan agamanya membawa kebenaran dan ke syurga. Jika kita mengata semua agama sama, semua agama ke syurga, tidak perlulah kita beragama didunia ini. Tetapi saya tetap ingin mendoakan semoga Allah memberi hidayah dan petunjuk kepada kaum kerabatnya. Ini doa saya untuk Aunty.

Jika ditanya apa perasaan saya bila mendengar berita ini, saya jawab. Saya rindu senyumannya ketika saya membeli tauge dan kuchai.

Sekian.

Tagged:

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts