Wanz Ramli Blog

Terus Mencari Persamaan

Bicara Santai

Assalammualaikum, Salam sejahtera..

Dalam menghukum seseorang manusia, kita perlulah ada sikap adil. Kita tidak boleh menghukum seseorang itu disebabkan perbuatannya kita tidak suka, kemudian kita menghukumnya, sedangkan kita sendiri melakukan perbuatan yang sama dosa dengannya.

Sebagai contoh, jangan disebabkan kita tidak minat Korea, jadi kita menghukum orang yang minat Korea sebagai dosa, sedangkan kita minat Hollywood, yang mana kedua-duanya ada buruk dan baiknya. Dalam kata lainnya, jangan disebabkan kita tidak menyukai K-POP, kita menghukum haram dan ada unsur Illuminiti, sedangan kita sendiri dengar lagu barat dan rap yang mana kadang-kala lirik-liriknya jauh lebih tidak elok, buruk dan agenda freemason, lihat sahaja music video mereka. Jangan disebabkan kita tidak suka melihat orang layan K-Drama atau K-Filem, kita kata haram. Tapi dalam masa yang sama kita layan filem Hollywood dan Neflix yang mana adegan-adegan maksiat, aurat terbuka, dan merosakan akidah yang lebih dahsyat.

Jikalau dia dosa dengar K-POP, masukan sekali dosa itu ke dalam diri kita layan lagu barat. Jikalau dia dosa layan K-Drama atau K-Filem, dosakan diri kita sekali layan filem Hollywood atau Neflix. Barulah adil bukan? Sebenarnya kita sama-sama pendosa. Kenapa dosa orang lain kita gembar gemburkan, kenapa dosa orang lain kita berteriak-teriak, tapi dosa kita sendiri kita simpan dalam peti kunci? Tidak adillah.

Pucuk pangkalnya, hukumlah diri kita dahulu, baru hukum orang lain. Ya, dosa tetap dosa. Tetapi janganlah sampai semut seberang laut nampak, gajah depan mata buat-buat tidak nampak pula. Dosa orang lain sampai dalam selimut pun nampak, tapi dosa kita sendiri ” Ini dosa antara aku dengan Tuhan, kubur masing-masing. Kau jangan nak sibuk hal dosa aku!”

Dahulu, pada mula-mula kempen anti-rokok atau taknak merokok. Mereka menghukum perokok lebih dari batasnya atau sepatutnya. Ya, fatwa kebangsaan meletakan hukum merokok sebagai haram, kita perlu menerima, kerana hujah-hujahnya yang kuat untuk meletakan hukum merokok sebagai haram. Akan tetapi, bukan perokok menghukumnya(perokok) lebih dari itu, sesiapa yang merokok, maka anaknya akan benak, anaknya akan jadi pelaku maksiat, anaknya akan jadi jahat, anaknya besar akan merokok dan mengambil dadah, dan pelbagai lemparan hukum dikeluarkan. Adakah kita boleh bersetuju dengan hukum seperti itu? Kenapa bapa atau ibu merokok, anak jadi benak atau jahat? Menghukum orang lain melebihi hukuman, ini sangatlah tidak adil. Saya bukan perokok, tetapi untuk menghukum lebih dari hukumannya, ini melampau. Jangan sebab kita tidak suka sesuatu perkara, kita menghukum haram. Tapi bila kita lakukannya, tidak mengapa.

Ini memang sudah menjadi kebiasaan kita, bias dan berat sebelah. Bila kita lakukan, tidak menjadi masalah. Bila orang lain lakukan, ianya bermasalah. Bila kita suka seseorang artis(perempuan), kita cakap suara sedap, lawa. Tapi bila artis yang kita tidak suka, kita cakap haram, suara aurat walaupun kedua-duanya bertudung, cuma yang dipersalahkan hanya seorang. Adilkah seperti ini? Adakah hukuman ini yang kita ingin lahirkan, mengajar dan menjadi pegangan untuk generasi akan datang? “Anak, ayahmu nak pesan. Kalau perkara yang kita suka itu walaupun salah dan dosa, tidak mengapa. Tetapi tegurlah orang lain jika mereka lakukan kesalahan dan dosa. Kerana kita ini kena saling tegur menegur”. Seperti itu?

Islam tidak mengira siapa si pelakunya. Jika salah, maka ianya salah. Jika dosa, maka ianya dosa. Sabda Nabi “… Demi Allah, sungguh jika Fatimah Binti Muhammad mencuri, aku sendiri akan memotong tangannya”. Inilah keadillah ketika menghukum sesuatu dalam Islam. Bukan orang lain buat salah, dosa. Kita buat salah, biasa-biasa saja.

Kesimpulannya, adillah kita dalam menghukum orang lain. Saya tahu, zaman ini sangat sukar dan mencabar dalam menjaga generasi muda, tetapi ingat juga, ibu ayah kita juga mengatakan perkara yang sama ketika kita masih muda. Sesiapa yang lahir akhir 80an atau awal 90an, ibu ayah kita juga mengatakan susah yang jaga nak sekarang(kita). Tetapi, inilah cabarannya. Jika tarian raver dikatakan haram, zaman kita mempunyai tarian shuffle. Kedua-duanya ada kesan buruk. Hukumlah mereka jika mereka melakukan kesalahan dan dosa, dan hukum juga diri kita sepertimana kita menghukum mereka. Semoga Allah melindungi kita dan generasi kita yang akan datang.

Sekian.

Tagged:

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts