Review: Filem Butak

Author:

Assalammualaikum, Salam sejahtera..

Ini pertama kali saya ‘review’ filem, jadi saya harap anda semua boleh menerimanya.

Instagram FilemButak

Filem Butak

Arahan : Sabri Yunus
Pelakon : Izuan Fitri, Fimie Don, Melly Amalin, Fazli Daniel Ali, Sabri Yunus Kaza Saisi, Imuda, Khatijah Tan, Laila Nasir, Adrenna Rose, Saidi Sabri, Azman Hassan, Bohari Ibrahim, Omar Hj Abdullah, Ahmad Nizam
Tayangan : Astro First
Harga : RM15.00
Bermula : 8 Oktober 2020

Sinopsis : 

Cerita ini mengisahkan budak bernama Buntat. Ibunya telah meninggal dunia di Mekah, dan Bapanya pula masih hidup dan sudah berkahwin lain. Bapanya tidak ambil tahu langsung tentang anaknya. Buntat watak yang sangat nakal dikampung. Pelbagai ragam dan kerosakan yang dia lakukan sehingga orang kampung benci melihat. Dan akhirnya kawan-kawannya juga meninggalkannya kerana sifatnya yang sudah keterlaluan. 

Selepas kawannya meninggalkan dia, Buntat berkawan dengan seorang yang bernama Adenan. Adenan seorang yang gila atau isim. Watak Adenan sangat memberi inspirasi kepada Buntat untuk berubah. Adenan juga ada mengajar sedikit ilmu persilatan kepada Buntat. Dan secara spontannya Adenan mengajar sedikit mengenai agama. 

Setelah itu, bermulalah kisah perjalanan Buntat yang ingin berubah dan bertaubat. Perjalanannya ingin menaiki kapal ke Mekah tetapi bukan untuk buat Haji, hanya untuk bertaubat dan menziarahi kubur ibunya.

Ulasan : 

Filem ini sentuhan Sabri Yunus, siapa tidak kenal dengan Sabri Yunus. Setiap arahannnya mendapat sambutan, dan setiap sentuhannya tersangat ‘WOW!’. Kebiasaannya sentuhan Sabri Yunus ini lebih kepada suasana kekampungan dan kedaerahan. Seperti cerita Pok Ya Cong Codei. Kita rasa sangat dekat dalam masyarakat dan jiwa kita. 

Mengenai pengarahan, sebenarnya daripada temubual Sabri Yunus di saluran Tok Ayah(Namron), Sabri Yunus mengatakan dia adalah pengarah ke-3. Kerana idea asal filem ini meninggal dunia, pengarah kedua ada sedikit masalah kerana ideanya sangat besar sehingga lari dari bajet kewangan. Kemudian diambil alih oleh Sabri Yunus. 

Filem Butak ini adaptasi dari Novel Buntat tulisan Yahaya Awang. Pada asalnya namanya Buntat, tetapi kerana didaerah ini(Batu Kurau), loghatnya dipanggil Butak. Jadi, nama filem ini diubah dari Buntat kepada Butak. Sabri Yunus hanya mengambil bab 1 dalam novel yang mana mempunyai 15 muka surat untuk menjadikan Filem ini. Kerana novelnya panjang dan ianya mengenai perjalanan(travelog) jadi Sabri Yunus mengambil hanya bahagian depan dalam novel tersebut, yang mana kehidupan Buntat dan berhenti hingga perjalanan Buntat menaiki kapal ke Mekah. Dan ada satu dua perkara yang ditambah dan diubah juga. 

Latar belakang filem ini di daerah Batu Kurau 1968. Daerah ini mempunyai dialek atau loghat yang agak unik. Bagi sesiapa yang susah nak tangkap loghat percakapan dalam filem ini, dialu-alukan untuk membaca sarikata yang ada. Kerana dialeknya agak unik, sekejap kita rasa berada di Perak, sekejap di Penang, sekejap di pantai timur. Tetapi sangat seronok bila mendengar telatah dialek mereka. “Kome kelik dulu”. Inilah kelebihan yang ada pada filem ini. Daerah dan dialek yang jarang kita dengar dikeluarkan dan dikomersialkan. Penggambaran filem ini pada 2018, sepatutnya ditayangkan pada awal tahun 2020. Disebabkan ada halangan, penerbit filem ini terpaksa mengambil keputusan membuat tayangan filem ini di Astrofirst. 

Mengenai watak dan lakonan pula, tiada apa yang boleh diperkatakan kerana filem ini dibintang oleh pelakon-pelakon hebat. Walaupun pelakonnya tidak begitu terkenal atau bukan ‘instafamous’ yang mempunyai pengikut ratusan ribu, tetapi pelakon bertaraf inilah yang patut mengisi industri perfileman kita hari ini. Kita inginkan pelakon yang berkualiti bukan hanya sekadar pengikut ratusan ribu.

Balik kepada watak dan lakonan. Watak Buntat yang dilakonkan oleh Izuan Fitri sangat baik. Dengan wataknya sebagai budak nakal dengan laras bahasa dan jarang dengar dia bercakap, meletakan wataknya lebih kuat sebagai budak yang tidak suka bercakap dan agak bengis. Kenalah dengan wataknya sebagai buntat. 

Siapa tidak kenal dengan Kazar Saisi(Memburu Impian). Setiap watak yang dibawa Kazar, tidak lekang dari gelagat kelakarnya. Kazar memegang watak sebagai Tok Ketua.

Panjang yang dibawa oleh Famie Don sangat terbaik dengan dialek utara yang dia bawa, sangat menarik. Panjang adalah ketua kumpulan budak yang suka mencuri dipekan. Namanya panjang, tangannya juga panjang. 

Tidak ketinggilan Saidi Sabri sebagai Adenan, seorang yang gila yang mampu mengubah Buntat mencari perjalanan hidup. Watak ini tiada dalam novel, ianya ditambah oleh pengarah. 

Watak Tok(Haji Salleh) dan Nenek(Hajah Limah) kepada Buntat dibawa oleh Bohari Ibrahim dan Khatijah Tan. Kedua-kedua ini juga pelakon hebat dan penuh dengan emosinya yang tersendiri. Kekecewaannya terhadap Buntat, membuatkan mereka sedih dan kecewa. 

Azman Hassan sebagai Pak Lang. Azman Hassan ialah seorang pelakon hebat, tetapi kurang popular. Setiap watak yang dibawa sangat santai. 

Ramai lagi pelakon yang ada seperti Imuda sebagai Abang Chod, walaupun wataknya kecil, tetapi dihadapan cerita, barulah kita tahu siapa sebenarnya Imuda. 

Ada lagi pelakon kanak-kanak seperti Melly Amalin sebagai Rohayu kawan kepada Buntat, Fazli Daniel Ali, Izzya dan ramai lagi. 

Instagram AstroShow

Saya menyimpan watak Pak Man dan kawan-kawannya dipenghujung ini kerana saya sangat menunggu watak ini keluar. Siapa Pak Man dan kawan-kawan ini? Ianya dilakonkan oleh Geng Pok Ya. Ianya Sabri Yunus, Nasir Badak, Masuelam(Eah Chu) Dengan dialek atau loghat yang mereka bawa, sangat terbaik. Walaupun wataknya dipenghujung, tetapi ianya seolah-olah dinantikan oleh para peminatnya seperti saya.

Saya tidak mahu memberi ulasan yang keluar dari bidang saya sebagai penonton seperti ‘lighting, scene, shot’ dan sebagainya. Kerana itu bukan bidang saya. Tetapi sebagai seorang penonton saya merasakan filem ini sangat menarik. Walaupun bukanlah yang terbaik. Ada sedikit komedi, ada emosi. Setiap watak yang ada ada yang diubah dan dipertambahkan supaya wataknya menjadi lebih hidup. Pada asalnya Buntat berumur 9 tahun, tetapi pengarah menarik umurnya kepada 14-15 tahun. Dikatakan Sabri Yunus pertama kali mengarah Filem yang mempunyai berskala besar pelakon tambahan, tetapi Sabri Yunus menjalankan tugasnya dengan baik. Bagaimana dengan CGI pula? CGI tidak terlalu banyak, hanya berada dipenghujung cerita. Lebih tepat lagi pada scene kapal. Walaupun agak kurang terlebih lagi ketika orang ramai di atas kapal, memang nampak pelik betul. Tetapi, bagi saya, filem ini bukan filem aksi, jadi bagi saya CGI yang ada dalam filem ini, ok saja. Sebenarnya saya tidak puas melihat scene watak-watak yang ada. Bukan kerana ada lompongan atau lompat-lompat. Tetapi scenenya sangat sekejap. Terlebih lagi apabila scene melibatkan Panjang(Famie Don), rasa macam tak puas nak tengok lakonannya lagi.

Nak tahu apa jadi pada Butak dan Panjang? Yang mana pengakhirannya sangat menarik. Jom langgan filem Butak karya pengarah hebat Sabri Yunus di Astro First.

Saya mengharapkan ada sambungan Buntat 2 atau Buntat perjalanan ke Mekah dengan mengekalkan Sabri Yunus sebagai pengarahnya. 

Sekian. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *