Wanz Ramli Blog

Terus Mencari Persamaan

Bicara Santai

Gerak Khas Zaman Inspektor Mazlan, Aleeza dan Drama Kini

Assalammualaikum, Salam sejahtera..

Siapa diantara kita yang pernah menonton drama atau filem Gerak Khas zaman Inspektor Mazlan dan Inspektor Aleeza? Angkat tangan, haha.

Saya bukan nak ulas cerita Gerak Khas, tapi apa yang saya nak ulas terkait dengan Gerak Khas. Apa yang saya nak ulas ini? Mengenai drama zaman ini atau drama zaman kini. Saya tidak kata Gerak Khas ialah drama terbaik atau drama zaman ini terburuk, tidak sama sekali. Cuma ada beberapa perkara yang saya sedikit kurang senang dengan drama zaman ini yang melibatkan pasangan yang bekerja sebagai anggota. Lebih senangnya lagi ialah, drama cinta seorang bekerja sebagai anggota atau bekerja yang hebat-hebatlah.

Kebanyakan drama kini, banyak drama cinta melebih wataknya. Sebagai contoh pakwa aku inspektor polis, sayangku bomba, suamiku doktor, bakal tunangku juruterbang, isteriku seorang jururawat atau cef itu tunangku atau apa sahajalah(sekadar tajuk sahaja). Tapi, pernahkah kita terlintas difikiran kita, kebanyak drama ini adakalanya langsung tidak menunjukan yang mereka ahli kepada pekerjaan mereka.

“Suamiku doktor” hampir tiada yang menunjukan mereka seorang doktor. Doktor bukan hanya sekadar buat pemeriksaan bahkan banyak perkara yang mereka lakukan. Tak kan pesakit masuk, pemeriksa dada, nadi, pesakit keluar. Atau jururawat panggil nama pesakit “Aleeza, boleh masuk jumpa doktor”, kemudian keluar. Kita pun kata “Ya, ini doktor”. Doktor bukan sekadar meletakan alatan degupan jantung ditengkuk, ke hulu, ke hilir. Tidak semudah itu. Apatah lagi ada drama yang melibatkan Doktor Bedah. Satu pembedahan pun tidak ada. Yang ada hanya scene tolak pesakit masuk bilik pembedahan. Ada pula yang melakukan kesalahan-kesalahan yang tidak boleh diterima, dan banyaknya dikritik oleh para Doktor. Ini berbeza dengan drama luar. Mereka terpaksa belajar A-Z, bayar seorang doktor pakar untuk ajar dan beri pengetahuan mengenai kedoktoran.

“Pakwa Aku Inspektor Polis”. Saya akan berbalik kepada kenapa saya sebut Gerak Khas, tetapi bukan ingin ulas mengenai Gerak Khas. Jika anda seorang penggemar drama atau filem Gerak Khas, anda akan tahu, terdapat emosi cinta, dan perjuangan dalam pekerjaan. Inspektor Aleeza dan Inspektor Mazlan adalah suatu cerita cinta yang sangat menyentuh, kisah cinta agunglah orang panggil. Ada waktunya bercinta, ada waktunya gembira, ada waktunya cemburu, marah, putus cinta dan sebagainya. Ada juga watak sampingan, percintaan diantara Detektif Zaidi dan Detektif Mazlin. Tetapi, dalam masa yang sama, kisah cinta mereka tidak pernah tenggelamkan watak mereka sebagai anggota polis. Terdapat aksi dalam drama ini. Bila kita tonton drama atau filem Gerak Khas, kita nampak, “Oh, inilah polis”.

Berbeza dengan drama Suamiku Doktor, atau Sayangku Bomba. Hampir 80% cinta, cinta, dan cinta, tiada aksi, wataknya tidak kuat. Hampir setiap waktu mereka bersama, sedangkan kita tahu, pekerjaan mereka hampir tiada waktu untuk bersenang lenang. Bilamana pasangannya telefon nak berjumpa, tup tup, mereka sedang ber-‘dating‘. Hairan dan pelik. Seolah-olah mereka ini tidak bekerja atau tiada kerja, dan sentiasa ada masa lapang untuk ber-‘dating‘. Bila sekali dua, masih boleh diterima. Tetapi jika hampir setiap waktu, ini sukar diterima. Pasangan terseliuh, dia ada. Pasangan sakit perut, dia ada. Pasangan terjatuhkan cawan air, luka sikit, dia ada. Yang lebih menghairankan, cawan jatuh, luka, tiba-tiba pengsan. Maka bergegaslah si dia ke rumah pasangannya dan terpaksa ambil cuti kecemasan.

Saya faham, kebanyakan drama ini datangnya dari novel. Tidak dinafikan novel ini memang bertujuan untuk membaca, menghayati, dan membawa si pembaca melayang-layang. Tidak hairanlah wataknya akan tenggelam dengan kisah penceritaan cintanya. Tetapi, bilamana ianya diadaptasi menjadi drama atau filem, ianya kebanyakan tidak sesuai. Realiti dan hakikatnya tiada. Realitinya sebagai seorang anggota polis, bomba, tentera yang penuh dengan aksi dan pekerjaan yang sukar, bukan hari-hari bercinta. Kadang kala, hidup mati mereka bagai telur dihujung tanduk. Pekerjaan mereka penuh dengan aksi. Ini yang sepatutnya dimasukan. Tetapi, bukanlah maksud saya perlu realiti atau hakikat 100%. Perlulah faham drama ini bukanlah realiti hidup, ianya sekadar hiburan diwaktu lapang.

Kita ke zaman belakang sedikit, “Prebet Lapok” karya Allahyarham Aziz Satar, lakonan AR Badul. Ada cinta? Ada. Ada aksi? Ada. Ada latihan ketenteraan? Ada. Ada komedi? Ada. Kesemuanya tidak pernah tenggelamkan wataknya sebagai seorang askar. Tidak dinafikan, walaupun komedinya banyak, tetapi masih dalam lingkungan wataknya. Komedi didalam latihan, komedi di kem, komedi dihutan. Mungkinlah satu dua adegan yang keluar dari skop pekerjaannya, tapi masih lagi kita tahu “Oh, ini rupanya jadi tentera”. Filem Prebet Lapok diantara filem yang diagungkan suatu ketika dahulu yang menaikan nama tentara pada waktu itu dan menaikan semangat rakyat untuk menjadi askar dan cinta akan tanah air.

Berbeza dengan drama kini, menaikan semangat untuk cinta cintun. Wanita ini suka lelaki ini, mak lelaki ini tidak suka wanita ini, tetapi lelaki ini suka wanita ini, cinta mereka terhalang, sanggup tinggalkan kekayaan demi cintanya, kemudian hidup mereka susah, keluarga tidak mahu tolong, hantar orang beri duit kepada wanita untuk tinggalkan anaknya, wanita itu terpaksa ambil, kemudian lelaki itu dapat tahu, lelaki marah wanita itu, tidak mahu ceraikan, tetapi gantung tidak bertali. Maka mengalirlah airmata kita. “Aik? Mana wataknya sebagai Doktor?”.

Bila kita meletakan tajuk, Suamiku INSPEKTOR. sayangku BOMBA, ASKAR itu tunangku dan sebagainya. Maksudnya kita kena masukan watak inspektor, bomba, askar ke dalam drama tersebut, jika tidak mampu banyak, sekurang-kurangnya 60-70% dalam drama itu menceritakan watak itu sendiri. Tunjuk yang mereka melawan penjahat, tunjuk mereka memadamkan kebakaran, tunjuk bagaimana latihan askar itu sendiri. Tak kan sepanjang masa pasangan telefon ajak keluar sahaja.

Apa yang saya harapkan, drama kini perlu lebih realiti, perlu lebih hakikat dunia itu sendiri, tanpa menafikan kisah percintaan. Setiap sudut cerita, pasti ada kisah percintaan. Manusia tidak boleh manafikan hal tersebut. Tetapi jika setiap masa cinta tanpa melihat wataknya sebagai seseorang. Itu tidak boleh diterima. Kita tidak mahu penonton hanya melayang-layang dengan kisah percintaan tanpa mengetahui hakikat watak itu sendiri.

Saya harap tiada yang berkecil hati atas tulisan saya ini. Saya sekadar meluahkan rasa hati. Saya juga hanya membandingkan diantara drama dan drama, tidak lebih dari itu. Saya juga inginkan drama dan filem kita setanding dengan drama dan filem luar. Jika tidak berada digarisan sama, sekurang-kurangnya tidak telalu beza.

Sekian

Tagged:

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts