Larangan Penjualan Arak Dikedai Runcit

Author:

Assalammualaikum, Salam sejahtera..

Kebelakangan ini ada desas desus yang diutarakan mengenai larangan penjualan arak di kedai serbaneka, kedai runcit dan sebagainya di Kuala Lumpur, pada tahun hadapan 1 Oktober 2021, dan disokong oleh beberapa lagi Mufti. Alhamdulillah, sebagai seorang beragama Islam yang sentiasa beriman dan bertakwa atau takut akan azab Allah, berita ini pasti akan mengembirakan kita dan suatu kemenangan buat kita dan wajib disokong.

Setelah puluhan tahun negara ini diperintah oleh kerajaan Melayu Islam, akhirnya kini mendapat kekuatan untuk mengharamkan perkara yang haram. Terima kasih kepada Tan Sri Annuar Musa, Menteri Wilayah Persekutuan, dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana membangkitkan perkara ini dan bersetuju untuk melaksanakan tahun depan. Kita perlu adil untuk meneliti, sesuatu yang baik perlu disokong, dan sesuatu yang salah walaupun ianya datang dari kumpulan kita, perlu ditolak. Itu prinsip, bukan lalang.

Kadang kala saya terfikir jauh mengenai perkara ini. Sebuah negara Islam, tetapi terpaksa berinteraksi dengan arak. Sebagai contoh, sebagai seorang Islam, terpaksa membungkus botol arak ke dalam beg plastik, jika tidak, dimarahi oleh ‘boss’ mereka. Saya tidak boleh berfikir dan terima mengenai perkara ini. Seolah-olah kita terpaksa akur dengan perintah ini, seolah-olah Islam ini diinjak-injak dan dipijak di negara Islam itu sendiri. Saya tidak boleh terima perkara ini. Maruah kita sebenarnya dijatuhkan perlahan-lahan dalam kita tidak sedar.

Untuk menyalahkan pekerja(Islam) seratus peratus, ini tidaklah adil. Kita perlu faham sesuatu, setiap manusia konteksnya berbeza. Mungkin kita ada kerja baik dan sedang senang, sedangkan mereka perlu mencari sesuatu untuk terus hidup. “Berhentilah, banyak kerja lagi. Tak payahlah kerja pun takpa..”. Kita tidak memahami seseorang yang sedang susah. Kita boleh berkata sedemikian, kerana kita dalam keadaan selesa. Cuma apa yang perlu ditekankan adalah, dalam sedang bekerja dikedai serbaneka yang menjual arak, dalam masa yang sama, carilah kerja lain. Lepas dapat kerja, terus berhenti. Itu yang harus ditekankan. Atau mungkin suatu hari nanti semua pekerja Islam mogok tidak akan bekerja atau bekerjasama dengan kedai yang menjual arak. Sudah pasti pemilik kedai takut dan tidak menjual arak lagi. Mungkin

Ada juga dikalangan kita yang menyalahkan Mufti kerana tidak mengharamkan penjualan arak. Kita perlu memahami sesuatu. Sejak dahulu lagi, kuasa Mufti sangat terhad. Mufti tidak boleh melangkaui skop jawatannya. Jawatan Mufti hanyalah mengeluarkan fatwa dan tidak boleh untuk mencampuri urusan lain. Sebagai contoh, Mufti mengharamkan arak dan rokok, tetapi Mufti tidak boleh mengharamkan(larangan) penjualan arak dan rokok dikedai atau tutup kedai atau kilang. Ini luar dari kuasa Mufti. Saya pasti, semua mufti inginkan perkara ini, tetapi mereka tidak mampu campuri urusan kerajaan, apa yang boleh, mereka utarakan pendapat dan nasihat sebagai seorang ahli fatwa. Jika ada yang cakap Mufti tidak mengharamkan arak. Ini mengarut, dan tidak masuk akal, langsung tidak boleh diterima. Mana mungkin seorang Mufti tidak mengharamkan sesuatu yang jelas pengharamannya. Cuma jawatannya sangat terhad, bukan hanya zaman ini, bahkan zaman kerajaan Islam dunia dahulu lagi. Kuasa Mufti hanyalah mengeluarkan fatwa, itu perkara asas yang perlu kita fahami.

Bagi saya, kesalahan ini(walaupun tidak seratus peratus) sepatutnya datangnya dari pemerintah kerana kuasa pemerintah melangkaui dan mampu untuk lakukan apa sahaja, berbeza dengan kuasa pekerja dan Mufti. Kita sedia maklum, sebagai seorang penganut Islam, Islam tidak membenarnya langsung berinteraksi dengan arak, dan perkara ini dilaknat. Bukan larangan biasa-biasa, bukan amaran kecil dari Nabi.

Diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA:

Rasulullah SAW melaknat dalam isu arak ini 10 golongan: “Pemerah (anggur untuk arak), orang yang minta diperahkan, peminumnya, pembawanya, orang yang meminta bawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, penjualnya, orang yang makan hasil jualannya, orang yang membelinya dan orang yang meminta dibelikan untuknya.”

Riwayat Imam al-Tirmidzi (1295) dalam Sunan

Pengharaman arak keatas orang Islam sangat jelas. Bukan hanya kepada peminum, tetapi daripada si pemerah sehingga membelikan arak juga dilakanat. Apatahlagi menjual dan membungkuskan arak. Jelasnya haram.

Sepatutnya pemerintah perlu memahami perkara atau isu ini, kita dibelenggu oleh sesuatu perkara yang jelas keharamannya. Setiap kedai serbaneka ada menjual arak, dan kebanyakan pekerja di kedai serbaneka, adalah Melayu Islam. Apa yang perlu dibuat sejak dahulu lagi, kerajaan perlu melarang penjualan arak di setiap premis kedai serbaneka. Bukan berkata kita di Malaysia berbilang kaum, bangsa dan agama, perlu memahami, perlu bertoleransi. Ya, benar, Islam sangat bertoleransi, tetapi bukan kepada perkara haram yang jelas dalam Al-Quran dan Sunnah(Hadis). Jika menjual pisau bertujuan untuk membunuh pun haram, menjual arak yang mana kita tahu, mudaratnya lebih teruk dari itu.

Saya harap larangan penjualan arak ini benar-benar dilaksanakan sepenuhnya, dan menjadi kenyataan. Tidak kira apa jenis arak sekalipun, perlu dilarangan dan diharamkan. Supaya anak cucu kita suatu hari nanti bila bekerja, tidak berinteraksi dengan perkara haram. Kerana bagi saya, selagi ianya tidak dilaksanakan, selagi itu kenyataan boleh berubah-ubah. Jika ada yang berkata ekonomi akan runtuh disebabkan kerajaan melarang penjualan arak, InsyaAllah, mudah-mudahan bilamana kita ikut perintah Allah, Allah akan memberi rezeki yang lain. Mungkin Malaysia akan menjumpai minyak dengan lebih banyak lagi, siapa tahu rezeki Allah. Mungkin juga suatu ketika dahulu ada yang mengatakan jika pengharaman arak dilakukan, akan membuatkan pelancong kurang ke Malaysia. Adakah mereka datang untuk berminum-minum atau bercuti sebenarnya. Tidak masuk akal.

Bukan sahaja Islam melarang kerosakan, bahkan semua agama didunia, bukan hanya orang beragama, orang yang tidak mempercayai Tuhan juga tidak mahu kerosakan dimuka bumi ini. Terbukti, arak merosakan agama dan merosakan sosial, dan merosakan kesihatan. Arak merosakan segalanya. Dengan melaksanakan larangan penjualan arak dikedai runcit dan serbaneka, pasti dapat mengurangkan masalah sosial dan masyarakat di Malaysia, InsyaAllah.

Adapun bagi yang bukan Islam nak minum dan sebagainya, itu hak mereka. Ini toleransi Islam terhadap yang bukan Islam. Bukan bertoleransi orang Islam perlu membungkus arak. Mereka(bukan Islam) nak minum, silakan tetapi jangan membabitkan orang Islam. Cuma Islam melarang manusia melakukan kerosakan. Jika si peminum mabuk sehingga merosakan, melanggar, membunuh, mengganggu awam, hukuman tetap dijalankan. Jadi, jangan sehingga melakukan kerosakan.

Kepada orang Islam, sepatutnya menyokong perkara ini, bukan sepatutnya, bahkan wajib menyokong. Ini melibatkan rezeki dan hasil pendapatan kita. Kita tidak mahu perkara syubhah dan apatahlagi pendapatan haram. Walaupun perkara ini sudah terlewat, sepatutnya ianya dilakukan sejak awal lagi, sejak Islam memerintah lagi, tetapi apa yang boleh dilakukan lagi ianya sudah lepas, perkara lepas biarkan lepas, yang kehadapannya wajib kita sokong. Mudah-mudahnya kelak, Malaysia akan diperintah oleh pemerintah yang sentiasa beriman dan takut kepada Allah dalam setiap perkara, percakapan, dan perbuatan yang dia lakukan. Demi masa depan anak cucu, bangsa dan agama kita, dan demi Malaysia.

Sekian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *