Assalammualaikum, Salam sejahtera
Dalam keadaan pandemik COVID-19 ini, terlalu ramai yang terkesan. Dari sektor pekerjaan yang dikatakan ramai dibuang kerja. Sektor penerbangan juga ditutup dan ada yang dibuang kerja. Apatahlagi sektor peniagaan, terlebih lagi peniaga kecil dibahu jalan, dengan SOP yang ketat, dengan ketiadaan orang membeli. Kesemuaya terkesan amat dahsyat.
Tetapi, tahukah kita ada satu lagi sektor yang terkena tempiasnya? Rasanya semua sudah tahu. Ya, sektor zoo.

Baru-baru ini Zoo Negara meminta orang ramai menyumbang dana untuk memberi makanan dan penjagaan kepada haiwan-haiwan yang ada. Bukan hanya Zoo Negara sahaja yang terkena tempiasnya, bahkan kesemua zoo yang ada di Malaysia. Ini kerana ketiadaan pendapatan atau duit masuk disebabkan COVID-19 melanda negara kita. Yelah kan, siapa yang nak pergi jalan-jalan sesaja waktu dan ketika ini. Ramai yang takut. Jadi, kini zoo tiada pengunjung. Jika tiada pengunjung, maka tiadalah pendapatan zoo.
Kos bulanan setiap zoo berlainan, bahkan sehingga ratusan ribu ringgit setiap satu zoo dan seluruh zoo di Malaysia memerlukan dana sebanyak RM 8 juta! Baru-baru ini dermawan terkenal iaitu Ustaz Ebit Lew telah menyumbang sebanyak 200kg daging kepada pihak zoo negara demi kelangsungan kehidupan para haiwan disana. 200kg DAGING! Ini tidak termasuk makanan haiwan bagi haiwan herbivor yang memakan tumbuh-tumbuhan. Semoga Allah rahmati Ustaz Ebit Lew dan melimpah rezeki yang lebih dan lebih banyak lagi.
Dalam dunia ini, bukan hanya sekadar manusia yang kita perlu risaukan, bahkan haiwan juga. Jika manusia itu hanya memikirkan manusia sahaja, dan tidak mempedulikan haiwan, maka, hilanglah keseluruhan sifat kemanusian kita. Bayangkan jika manusia hanya memikirkan manusia, dan haiwan hanya memikirkan haiwan, apa akan jadi? Jika haiwan hanya memikirkan diri mereka sahaja seperti mana kita memikirkan manusia sahaja, pasti kita tidak mampu untuk merasai daging haiwan(yang boleh dimakan). Sudah pasti haiwan tidak membenarkan se-inci dagingnya diratah oleh manusia, kerana manusia itu sendiri tidak pernah memikirkan diri mereka, untuk apa mereka merelakan diri mereka diratah manusia. Begitulah ibaratnya.
Cumanya saya agak terkilan dengan beberapa perkara mengenai kenyataan-kenyataan kita terhadap zoo. Yang mana bagi saya, ianya mengarut dan melampaui batas. Jika tidak mahu bantu, lebih baiklah berdiam daripada berkata-kata yang menyakitkan hari orang lain, terlebih lagi kepada pihak zoo. Pihak zoo ini, bukan hanya sekadar meraih untung sahaja, tetapi, jika zoo tiada, kita rasa kita boleh ke lihat haiwan-haiwan yang berada didalam hutan? Disebabkan adanya zoo, orang macam kita dibandar dapat melihat haiwan-haiwan yang jarang kita lihat. Bukankah ini juga ciptaan Tuhan yang perlu kita hargai? Sayang mereka terhadap haiwan, lebih lagi daripada kita sukakan haiwan. Jadi, hargailah pihak zoo.
Dalam keadaan begini, semua orang tahu, walaupun RM1, ianya berharga. Sedangkan sebelum ini RM1 duduk dicelah-celah beg duit atau letak sahaja atas meja. Untuk melepaskan RM1 kepada orang, apatahlagi kepada haiwan yang kita sendiri pun tidak pernah belai dan tidak pernah pergi tengok, sukar bagi kita lakukan. Tetapi, kenyataan kita untuk melindungi kita dari menderma kadang-kala menyakitkan hati.
Apa diantara kenyataan kita terhadap pihak zoo yang bagi saya tidak masuk akal?
Untung dan Rugi
“Ala.. Biasalah perniagaan. Ada masa untung, ada masa rugi”.
Saya minta maaf, jika penulisan ini akan menjadi sedikit emosi, kita boleh berbeza pendapat, cuma bukan hina-menghina atau maki-memaki.

Kita perlu mamahami sesuatu yang luar dari konteks kita. Untuk memahami sesuatu teks, perlunya tahu konteks kepada teks tersebut. Ini bukanlah masalah perniagaan ada untung ada rugi, ini masalah implikasi terhadap kerugian di pihak zoo. Ratusan, bahkan ribuan haiwan yang terdapat didalam zoo, kesan kerugian zoo membawa kepada implikasi besar terhadap haiwan tersebut. Mereka akan melalui fasa yang mana ketiadaan makanan. Ini sesuatu hal yang besar. Jika ketiadaan makanan, maka, haiwan tersebut boleh membawa kepada kematian. Seperti yang saya beritahu tadi, sayangnya pihak zoo kepada haiwan, lebih lagi daripada kita sukakan haiwan. Bagaimana seseorang pencinta haiwan boleh menanggung, bilamana haiwan yang mereka jaga, mati disebabkan kelaparan? Dihadapan mata mereka sendiri! Sebagai seorang yang pernah membela kucing, akan memahami bilamana kucingnya mati dihadapan mata kita sendiri. Sedihnya, Tuhan sahaja yang tahu.
Ya, mungkin pihak penjaga akan tolong sebaik mungkin, mungkin juga mereka sanggup mengurangkan gaji mereka dan sebagainya, tetapi adakah mencukupi keperluan zoo tersebut? Kerana itu saya katakan tadi, tidak mahu bantu, itu hak masing-masing. Tetapi kerana untuk menyedapkan hati kita yang tidak mahu derma, kita lemparkan perkataan yang tidak masuk akal, demi menyedapkan hati kita. Mungkin ada yang kata “Ala.. Orang lain pun ada implikasi, tak ada pendapatan, tak ada makanan, bukan haiwan saja”. InsyaAllah, saya akan bahasnya kemudian.
Tergeraknya hati saya untuk menulis ini, kadang-kala saya rasa terkilan dengan sikap kita yang terlalu berlindung dan selindung demi nak menyedapkan hati kita. Sehingga ada yang berkata “Dulu untung juta-juta, tak pernah pun kisah pasal kami, tak pernah pun bantu kami, sekarang padan muka”. Untung juta atau bilion sekalipun, kita kena berbalik pada niat asal zoo. Setiap dana atau pendapat zoo memang akan disalurkan kepada haiwan. Seperti organisasi zakat menyalurkan zakat kepada manusia, begitulah organisasi zoo menyalurkan nafkahnya kepada haiwan. Itu perkara asas.
Tidak dinafikan bahawa harga tiket zoo sebelum ini terlampau mahal. Yang mana kebanyakan orang biasa tidak mampu nak melawat. Samanya seperti taman burung dan lain-lain. Perkara ini perlu diajukan kepada pihak berwajib, bagaimana penyelesaiannya. Mungkin setiap bulan pihak zoo perlu adakan promosi untuk menarik hati pengunjung ke setiap zoo, sepertimana pawagam menarik hati penonton pada setiap hari rabu dengan mengurangkan harga tiket. Ini kebijaksanaan pihak zoo untuk menarik hati pengunjung. Mungkin setiap bulan pada akhir minggu adakan promosi, bawa maskot, buat persembahan, meriahkan lagi zoo. “Seharian setiap bulan bersama zoo”. Hanya sehari dalam sebulan. Mungkin ini akan membawa lebih ramai pengunjung. Saya harap selepas pandemik ini, pihak zoo membuat satu acara dan mengurangkan harga tiket pada hari tersebut, mengadakan persembahan, menyambut tetamu dan yang paling penting adalah promosi besar-besaran, pihak media yang terkenal perlu mengambil inisiatif, membantu dan mempromosikan secara sukarela, demi membantu pihak zoo.


Setelah panjang lebar saya menulis bab pertama, saya ke seterusnya. Apa diantara kenyataan kita terhadap pihak zoo yang bagi saya tidak masuk akal?
Makanan
“Ala.. Orang lain pun ada implikasi, tak ada pendapatan, tak ada makanan, bukan haiwan saja”. Sepertimana yang saya janjikan tadi, saya akan bahas, InsyaAllah. Perbahasan saya bukanlah yang terbaik, tetapi ini secara luahan hati saya sahaja.

Dalam Islam, kita dibenarkan membela haiwan peliharaan, dengan syarat, perlu memenuhi nafkah haiwan tersebut, sebab, haiwan tersebut tidak mampu bergerak untuk mencari makanan sendiri. Secara umumnya begitulah.
Kita perlu memahami, bilamana haiwan itu terkurung ianya tidak mampu mencari makanannya sendiri. Ini berbeza dengan manusia. Saya tidak menafikan, manusia juga terkesan, bahkan lebih hebat. Tetapi, konteksnya berbeza. Seperti saya katakan tadi. Untuk memahami sesuatu teks, perlu memahami konteksnya. Sebagai contoh, kita ambil contoh manusia dahulu kerana ini lebih dekat dengan kita.
Seorang kanak-kanak dikurung oleh ibunya, sebelum ini ibunya mempunyai duit untuk menyara anaknya. Tetapi disebabkan ibunya tiada pendapatan, anaknya terkesan dan tiada makan. Baiklah, itu kenyataan. Cuba kita fikir sejenak. Anaknya dikurung, ibunya bebas betul? Anaknya mengharapkan ibunya memberi makan, sedangkan ibunya bebas untuk mencari makan, betul? Jadi, jika anaknya kelaparan disebabkan ketiadaan makanan kerana mengharapkan ibunya beri dan tidak mampu untuk keluar mencari makanannya sendiri, sedangkan ibunya boleh keluar mencari makanan untuk dimakan, hatta, rumput sekalipun. Betul tak? Begitulah konsepnya kepada haiwan di zoo.
Haiwan di zoo terkurung dan mengharapkan makanan dari tuannya, sedangkan manusia jika tiada pendapatan, paling tidak kita boleh mencari pucuk paku, ulam raja didepan rumah. Atau yang dibandar, paling tidak kita boleh meminta zakat dari pusat zakat, jika paling terdesak sekalipun, meminta bantuan orang. Haiwan di zoo nak minta pada siapa? Sebab itu saya mengatakan, setiap orang konteksnya berbeza. Haiwan di zoo tidak mampu untuk bergerak mencari makanannya sendiri, ini berbeza haiwan liar yang berkeliaran di dalam hutan. Jika apa-apa berlaku sekalipun, mereka mampu untuk keluar dan berjalan mencari makanan. “Habis itu, dah tak ada dana, lepaskan sahajalah haiwan tu dalam hutan! Buat apa nak kurung lagi? Menyiksa haiwan!”. InsyaAllah, yang ini juga saya akan bahaskan kemudian, jadi, teruskan membaca.

Teringat saya ketika hutan di Australia terbakar dengan amat dahsyat sekali. Ketika mana haiwan didalam hutan tidak mampu membuat apa-apa, dan pihak mereka mengambil berat dan inisiatif untuk menjatuhkan makanan dari kapal terbang kepada haiwan yang terkesan. Lihat, bagaimana setiap sesuatu perkara atau situasi yang terjadi, tidak sama. Jika sebelum ini kita mengatakan haiwan dihutan mampu hidup dan mencari makanannya sendiri, tetapi pada ketika ini konteksnya sudah berubah, haiwan tidak mampu membuat apa-apa, dan manusia itu sendiri perlu membantu. Jika tidak, lebih banyak lagi haiwan yang akan mati, ada yang mengatakan beberapa haiwan sudah pupus kerana kejadian ini.
Jika orang bukan Islam ada perasaan cintakan haiwan, kenapa tidak kita sebagai orang Islam? Sepatutnya kita mendahului dan kedepan lebih dari mereka, kerana Islam mengajar mencintai semua ciptaan Tuhan. Dari sudut ini, siapa yang ikut ajaran Islam sebenarnya?
Diriwayatkan oleh Syaddad bin Aus R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :
Riwayat Muslim (1955)
Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat ihsan kepada setiap sesuatu.
Saya bukan nak meremehkan kesusahan manusia, dan samakan dengan haiwan di zoo. Sebab tergeraknya hati saya, bilamana kita mengeluarkan kenyataan sebegini kepada pihak zoo. Seperti yang saya katakan, demi nak menyedapkan hati kita sebab tidak menderma, maka, kita keluarkan kenyataan yang boleh menyedapkan hati kita tanpa memikirkan kesusahan makhluk ciptaan Tuhan yang lain. Ya, manusia terkesan, haiwan di zoo juga terkesan sama. Mahukah kita dengar “Hari ini, harimau di zoo sakit kerana tidak cukup makanan” atau “Harimau yang sakit hari itu, sudah mati kerana kelaparan”.
Benar, kita tidak mampu untuk memberi banyak, sekurang-kurangnya kita mampu sikit. Atau jika tidak mampu, kita berdiamlah daripada memprovokasi orang lain supaya ‘mempadan mukakan’ pihak zoo kerana tidak mencukupi dana. Sebagai seorang Islam yang beriman kepada Allah, sungguh tidak boleh terima perkara sebegini rupa.
Apa lagi diantara kenyataan kita terhadap pihak zoo yang bagi saya tidak masuk akal?
Melepaskan Haiwan
“Habis itu, dah tak ada dana, lepaskan sahajalah haiwan tu dalam hutan! Buat apa nak kurung lagi? Menyiksa haiwan!”.
Kebiasaannya apa yang kita ajar kepada anak kita, anak kita akan ikut cara tersebut. “Samakan dengan manusia lagi?”. Adakalanya kita perlu memberi suatu contoh yang dekat dihati kita, untuk memahami situasi atau keadaan sebenar. Dan memang benar pun, kita menanggap haiwan peliharaan kita macam anak, adik atau sebagainya. Itu realitinya. Sesiapa yang tidak biasa dengan haiwan peliharaannya, akan jangkal dengan panggilan ini. Ada haiwan peliharaan yang dipanggil kakak atau abang pun. Disebabkan kucing itu lahir beberapa bulan sebelum anaknya lahir. Pelik bukan? Tetapi itulah hakikatnya. Itulah hubungan akrabnya kita dengan haiwan peliharaan.
Berbalik kepada kenapa tidak melepaskan haiwan tersebut. Seperti awal yang saya beritahu, apa yang kita ajar anak kita, anak kita akan ikut. Kebiasaannya setiap haiwan liar, ibunya atau bapanya akan mengajar anaknya cara memburu haiwan lain untuk menjadikan makanan. Setiap haiwan akan mengajar anaknya mencari makanan dengan pelbagai cara mereka. Memburu haiwan, mencuri telur haiwan lain, mencari buah dipokok, dan pelbagai lagi. Sepertimana kita mengajar anak kita, daripada menyuap makanan, hinggalah kepada cara kerja mencari duit.
Dahulu ada kes, yang mana manusia membesar bersama haiwan. Dan cara dia berjalanan, cara dia makan, dan cara dia mencari makanan, sangat berlainan dengan manusia biasa. Apabila ianya dimasukan ke dunia manusia, sukar baginya untuk menerimanya keadaan sebenar kerana sifat manusia itu sendiri sudah tiada atau hilang. Dia perlu dijaga dan diajar cara untuk menjadi manusia. Apa persamaan saya cerita ini dengan melepaskan haiwan?

Bilamana haiwan itu dijaga membesar bersama manusia, ianya banyak sedikit akan mengikut cara manusia itu sendiri dan hilangnya sifat kehaiwanannya. Jika dihidupan liar, ianya diajar oleh ibu atau ayahnya cara memburu, di zoo, mereka diajar cara beradab ketika makan. Ini kerana mereka tiada persaingan makanan seperti didalam hutan. Jangan kata haiwan dalam hutan tiada yang mati kerana kelaparan. Banyak juga haiwan yang mati kerana kelaparan disebabkan persaingan makanan yang banyak. Jika ada yang berkata lebih baik dihutan dari di zoo. Sebenarnya ikut pada haiwan apa yang kita maksudkan. Adakalanya haiwan itu lebih baik di zoo, seperti haiwan yang hampir pupus, seperti harimau malaya. Ianyanya lebih baik duduk di zoo daripada hutan. Jadi, kalau ada yang berkata lepas lebih baik, hujahnya kurang tepat.
Balik kepada melepaskan haiwan. Bukan semua haiwan boleh dilepaskan dan bukan semua haiwan mampu hidup bilamana ianya dilepaskan walaupun ada yang berkata, “Itu kan kehidupan asalnya”. Ya, dari satu sudut ianya memang kehidupan asalnya, tetapi dari sudut yang lain, separuh kehidupannya sekarang di zoo. Pada asalnya, manusia itu hidupnya berpindah randah, duduk tepi sungai untuk mendapatkan keperluan air, ada tanah untuk bercucuk tanam. Itu pada asalnya, tetapi hari ini tidak lagi. Begitu juga haiwan di zoo, pada asalnya, hutan tempatnya, tetapi sekarang di zoo. Mungkin haiwan itu lebih selesa di zoo kerana keperluannya semuanya ada, tiada pergaduhan, tiada perebutan kuasa dan makanan. Semuanya dijaga rapi. Setiap bulan diperiksa oleh doktor.
Jadi, disebabkan faktor-faktor ini, haiwan di zoo tidak boleh dilepaskan sewenang-wenangnya. Kerana, kehidupannya yang sudah berbeza dan sudah biasa di zoo, mereka tidak tahu memburu, tidak tahu haiwan apa yang boleh diburu, tidak tahu bagaimana nak hidup dihutan, dan ketika sakit, pokok herba apa yang perlu dimakannya. Terdapat banyak faktor-faktor yang mana haiwan zoo tidak boleh dilepaskan begitu sahaja. Kita perlu ambil tahu perkara ini, supaya kenyataan-kenyataan sebegini tidak keluar dari mulut kita. Bukan mudah untuk haiwan kembali ke hutan dengan ketiadaan ilmu cara hidup dihutan. Mana ada manusia yang boleh dicampak suruh hidup ditengah kota yang kita sendiri tidak tahu apa yang ada disitu, dengan ketiadaan ilmu untuk hidup. Jika selamat, Alhamdulillah, hidup. Jika tidak, kebuluran.
Kebanyakan haiwan yang berada di zoo, memang tidak tahu cara nak memburu, mengeluarkan senjata mereka seperti kuku dan sebagainya pun tidak tahu. Tonton sahajalah filem Madagascar. Silap haribulan, harimau yang dilepaskan di hutan, berkawan dengan sang kancil. Kerana apa yang diberi makan oleh tuannya, mereka pun tidak tahu daging apa yang diberikan. Mungkin saya salah dalam hal ini. Berbeza haiwan yang dibesarkan dihutan atau kehidupan liar, ibunya atau bapanya telah ajar anaknya dari kecil haiwan apa yang boleh dimakan, dan haiwan apa yang perlu memburu secara berkumpulan. Bukan semua haiwan boleh dimakan. Cara menggunakan gigi ketika menyiat makanan pun mereka diajar.
Jadi, jangan sewenang-wenangnya kita berkata “Lepaskan sajalah”, tidak semudah itu. Peratus untuk haiwan itu mati adalah sangat tinggi. Lebih baik mereka duduk di dalam zoo, daripada membiarkan haiwan itu mati begitu saja. Sebab itu pihak zoo tidak melepaskan haiwan sesuka hati, kerana mereka mempunyai ilmu kehaiwanan lebih dari kita.

Hairan kita zaman ini, bab undang-undang, kita rasa kita tahu. Bab agama, habis segala mufti kita bantai. Bab haiwan, pun kita bercakap. Semua bab, kita rasa kita tahu. Kita perlu memahami sesuatu hakikat didunia, ada kalanya ilmu kita sangat-sangat terhad. Kita hari ini bercakap kadang-kala keluar dari bidang kita. Nak cakap sikit-sikit atau perkara umum, tidaklah menjadi masalah. Tetapi bilamana kita bercakap luar dari pengetahuan atau bidang kita, berhati-hatilah. Kadang-kala ahli dalam bidang itu pun, kita cakap dia tidak pandai, walaupun pelajar Phd, walaupun bergelar Doktor dan Professor. Kita perlu meletakan batas kita. Ya, kita juga belajar(dalam Google), mereka juga belajar. Tetapi taraf mereka belajar dengan kita, mungkin tidak sama.
Mungkin juga ada yang mengatakan bahawa Zoo Negara tidak boleh hanya mengharapkan kepada kerajaan sahaja. Ya, yang ini memang benar. Zoo Negara harus memikirkan bagaimana cara untuk mencari pendapatan mereka sendiri. Bahkan dengan cara dari luar kotak pemikiran. Yang ini memang betul, pada satu sudut yang lain. Tetapi pada sudut ketika ini, situasinya sudah berbeza. Mereka tiada pengunjung disebabkan PKP, SOP dan sebagainya, mana mungkin mereka mampu untuk mencari pendapatan ketika ini. Kenyataan tidak boleh mengharapkan hanya kerajaan sudah bertukar kepada mengharapkan bantuan dari kerajaan.
Mungkin, InsyaAllah, jika semua pandemik COVID-19 selesai. Pihak Zoo Negara perlu mengatur strategi atau merancang sesuatu, supaya Zoo Negara atau mana-mana zoo akan lebih gah dengan kehadiran pengunjung yang lebih ramai lagi. Buat promosi persekolahan dan sebagainya. Saya yakin, jika harga tiket berpatutan dan seperti saya beritahu tadi setiap bulan adakan satu hari acara “Seharian setiap bulan bersama zoo” atau “Kenali haiwan di zoo” atau apa-apa nama sekalipun, InsyaAllah, bukan hanya sekolah sahaja yang buat lawatan ke zoo, tetapi orang yang bekerja atau syarikat juga akan buat lawatan ke zoo. Dalam Malaysia ada ribuan sekolah dan ribuan syarikat pekerjaan. Bayangkan jika bulan ini lawatan Sekolah A dan Syarikat A, bulan depan lawatan Sekolah B dan Syarikat B, kemudian bulan lagi satu lawatan Sekolah C dan Syarikat C. Paling tidak, pihak Zoo Negara sudah mempunyai pendapatan tetap setiap bulan. Ini hanya sekadar buah fikiran saya sahajalah. Mungkin betul, dan kemungkinannya salah.
Sebenarnya zoo ini bukanlah hanya kanak-kanak sahaja yang minat, orang dewasa pun suka haiwan. Cuma bezanya, suka, takut dan geli sahaja. Tapi takut, geli, tidak semestinya tidak suka. Rata-rata manusia sukakan haiwan, pencinta haiwan, cuma segelintir sahaja yang tiada nilai kemanusian terhadap haiwan.
Jadi, marilah sama-sama kita bantu mencari dana untuk haiwan yang ada didalam zoo. Jangan cakap soal zoo untung banyak sesekali rugi. Jangan cakap soal haiwan tak ada makanan, kita pun tak ada makanan. Jangan cakap soal lepaskan saja haiwan kalau tak ada pendapatan. Jika kita nak membantu, bantu, jika tidak, berdiam dirilah. Kita selalu suruh orang mencontohi Ustaz Ebit Lew, tetapi, kenapa kita sendiri tidak mencontohi beliau dahulu, sebelum menyuruh orang lain mencontohi beliau? Ustaz Ebit Lew tidak banyak cakap, banyak memberi. Tapi kita banyak benar bercakap dari memberi.

Marilah kita bersama-sama membantu seluruh pihak zoo untuk mendapatkan dana demi kelangsungan kehidupan mereka dan demi anak cucu kita dapat melihat haiwan yang hampir pupus. Tidak mampu dengan duit? Dermalah masa kita untuk berkongsi, menulis dan menguar-uarkan supaya lebih ramai lagi membantu. InsyAllah, selesai sahaja semua dan selamat, saya akan ke Zoo Negara!
Terima kasih kepada pihak zoo yang bertungkus-lumus, mungkin ada yang bulan ini tidak bergaji atau sebagainya, demi kelangsungan haiwan disana. Semoga Allah rahmati kalian dan melimpahkan rezeki kepada kalian. Saya hanya mampu menulis sahaja. Terima kasih sekali lagi.

Dan jangan kita lupa, setiap sesuatu yang kita dermakan, ada saham diakhirat kelak. Jika seorang wanita pelacur hanya memberi air kepada se-ekor anjing yang sedang kehausan dan diampunkan dosanya. Apatahlagi kita sedang memberi haiwan yang sedang kelaparan. InsyaAllah, Allah akan beri ganjarannya. Hebatnya ajaran Islam.
Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
Riwayat Muslim (2245)
“Seorang wanita yang melacur telah melihat seekor anjing pada suatu hari yang panas sambil mengelilingi sebuah perigi. Anjing tersebut juga menjelirkan lidahnya kerana kehausan. Wanita tersebut menanggalkan kasutnya lalu memberinya minum maka telah diampunkan dosanya”.
Sekian.