Assalammualaikum, salam sejahtera..
Hari ini saya nak menulis mengenai Promosi Produk vs Hamba Produk. Terdetik dan terjentiknya hati saya nak menulis mengenai ini bilamana terlau ramai hari ini yang menjadi hamba kepada produk atau hamba kepada syarikat produk yang mereka gunakan. Perkara ini sudah lama bermain di fikiran saya sejak sekian lama lagi. Tetapi kebelakangan ini seseorang yang mempromosi produk yang mereka gunakan semakin pelik dan melampaui apa yang sepatutnya.
Saya pernah menyertai beberapa syarikat(MLM) yang menjual produk, tidaklah begitu banyak, tetapi adalah beberapa. Cumanya saya merangkum semua perkara. Cara mereka promosikan, cara mereka bercakap, dan mengklaim perkara yang luar dari logik akal.
Mungkin penulisan saya ini sedikit sensitif. Mungkin juga apa yang saya tulis ini salah, ya, kemungkinan besarnya untuk salah itu ada. Kerana saya bukan seorang yang sempurna. Tetapi, ini berdasarkan pengalaman saya, pengalaman bila dipromosikan, pengalaman bila memasuki(ahli), dan pengalaman saya membaca setiap post atau perkara yang mereka siarkan di laman sosial. Sudah tentu bukan semua orang yang melakukan perkara ini. Sebagai seseorang yang bertanggungjawab, kita tidak boleh memukul rata semua orang. Perkara biasa dalam sesebuah organisasi, akan ada seorang dua yang melampaui apa yang sepatutnya. Bukan salah organisasi tersebut, tetapi salah diri manusia itu sendiri.
Jom kita bincang, apa itu PROMOSI PRODUK dan HAMBA KEPADA PRODUK.
PROMOSI PRODUK
- Dari segi makna pun, kita sudah tahu. Promosi produk adalah seseorang yang menyertai atau menjual mana-mana produk, dan mempromosinya atas apa yang kita tahu, pengetahuan syarikat dan produk, barang apa yang bagus, apa yang kita rasa pelanggan itu tidak perlukan. Ya, mengatakan kepada pelanggan jangan beli perkara yang bukan keperluan kita adalah salah satu dari tanggungjawab kita bila promosi barang ya. Kita perlu jujur atas apa sahaja yang kita hendak promosikan. Jangan disebabkan komisyen, kita suruh mereka beli apa sahaja yang menguntungkan kita.
- Kemudian, bilamana seseorang itu daftar bawah kita(bagi MLM), menjadi tanggungjawab kita menerangkan apa sahaja yang mereka ingin tahu. Bukan kata pada mereka “Oh, ini sudah diterangkan, cuba cari balik post yang lama-lama”. Ini bukan cara yang betul, ini akan menyebabkan orang yang daftar bawah kita akan rasa tidak selesa dan lari. Kita perlu beri perkhidmatan sepertimana kita beri layanan sebelum mereka daftar dan selepas mereka mendaftar. Sepertimana ayat manis kita bagi dahulu, samanya seperti selepas. Jangan jadi “HABIS MADU SEPAH DIBUANG” ya. Bila nak suruh daftar, kita beriya-iya ayat manis, lepas daftar, biarkan sahaja. Kadang-kala mereka ini baru daftar, dalam Whatsapp Group atau Telegram, mereka sudah terlepas perkongisan-perkongsian yang lama, dan tidak akan muncul tulisan-tulisan lama atau perkongsian itu nun jauh dibelakang, jadi, tolonglah ahli baharu. Jadi, tanggungjawab kita dan ahli kumpulan yang senior untuk memberi maklumat dan informasi kepada ahli baharu.
- Disini ramai yang salah faham, apa itu promosi produk. Sebenarnya apa yang perlu kita lakukan adalah mempromosi produk apa yang kita gunakan dan apa yang mujarab, dan apa yang disyorkan. Bukan mengambil testimoni orang lain dan lekat di post kita. Tidak banyak atau sedikit, kita telah menipu dan memperdaya pelanggan kita. Sebagai contoh, krim muka. Kita tidak pernah gunakan, tetapi kita menjual atau mempromosikannya. Ini adalah salah satu kesalahan sebagai seorang promosi produk. Bukanlah maksud saya semua kita perlu cuba. Adapun seperti sabun pinggan, sabun mandi, pencuci baju, makanan(pastikan HALAL). Bolehlah kita ambil dari pandangan orang. Tetapi seperti krim, supplement, ini melibatkan kesuaian setiap pengguna yang menggunakan. Kita tidak boleh sewenang-wenangnya mempromosi sesuatu yang kita tidak menggunakan terlebih dahulu. Saya akan cerita dibawah bagaimana mereka promosi produk sewenang-wenangnya dan klaim semua perkara, jadi, baca ya sehingga selesai, hihi.
- Dan keburukan lain, bilamana orang tanya sesuatu produk yang kita tidak gunakan, bukankah ianya sukar untuk kita jawab pertanyaan orang kelak? Jadi, cubalah dahulu produk kita, kalau satu produk kita guna, dan kita rasa baik, kita promosi saja satu produk. Kemudian beli yang lain, cuba pula yang lain. Kemudian promosi pula yang itu. Kalau tidak tahu, kita kena beritahu “Maaf, saya tak cuba lagi barang ni, jadi, saya tak berani yang beritahu kalau guna, jadi, saya tidak tahu berkesan ataupun tidak”. Jangan risau, tidaklah menjadi aib kepada kita jika kita jujur. Ingat, kita promosi produk, bukan hamba kepada produk ya.
HAMBA PRODUK
- Sepertimana yang saya telah tuliskan diatas mengenai Promosi Produk, sudah pasti Hamba kepada Produk ini arah yang berlawanan, perkara yang tidak sepatutnya dilakukan atau kurang bersesuaian. Menjual sesuatu benda yang mengharapkan keuntungkan dan komisyen berlipat kali ganda tanpa memikirkan orang lain, ini perkara yang sangat tidak baik. Menjual produk yang mana kita tidak tahu apa isi kandungan dalamnya, sama ada baik atau tidak, halal atau tidak, asalnya boleh membawa keuntungan lebih besar, jika ini yang ada didalam pemikiran kita, cubalah untuk duduk dan berfikir semula.
- Ada segelintir dari kita menjual produk untuk dapat untungan lebih. Tidak bagus tidak mengapa, janji komisyen lebih. Sebagai contoh, Produk A bagus tetapi tidak tular, tidak terkenal. Produk B pula tidak bagus, tetapi tular dan terkenal, komisyen lebih tinggi. Sudah pasti dalam pemikiran kita ambil Produk B bukan? Siapa tidak mahu untung lebih, saya yang menulis ini pun rambang mata. Tetapi, ini mengenai etika dalam menjual atau mempromosi sesuatu produk. Perkara ini saya tidak boleh bercerita panjang, kerana dalam bab etika, bukanlah semua orang boleh memenuhi. Tetapi, tidak banyak sedikit, mesti ada dalam diri kita.
- Sama juga seperti yang saya tulis diatas. Etika kita bila menjual dan memprosi sesuatu produk, mestilah untuk keperluan pengguna. Kita bukan babu roti yang mana bila anak-anak kita beli, bawa RM3.00, segala semua babu roti itu suruh beli, bila balik, mak tanya “Mana baki?” mereka cakap tak ada. Bila tengok apa yang anak-anak kita beli, entah apa-apa dia beli, bukan keperluan pun dia beli, segala tora-tora, buku pelekat kartun di belinya. Bila tanya “Asal kau beli ini?” anak-anak cakap “Babu roti tu bagi”. Haha. Bagi ya? Bagi yang dibayar dengan harga. Itu kenangan saya sewaktu kecillah. Tetapi ada tidak persamaan situasinya disini? Sudah pasti ada. Kita bukan babu roti yang nak habiskan semua barang yang mereka bawa dan jual apa sahaja kepada pelanggan. Jika kita marah anak kita beli belah di babu roti sehingga habis RM3.00 dengan membeli bukan keperluan mereka. Pelanggan juga akan rasa marah atau tidak selesa bilamana kita cakap “Belilah ini kak, cubalah ini kak. Saya belikan untuk akak”, dan bermacam-macam jenis ayat lagi, kita suruh beli yang bukan keperluan mereka. Ingatnya, jangan buat perkara ini.
- Bagi saya, perkara yang saya beri diatas ini, masih boleh diterima, walaupun tidak sesuai. Tetapi ada beberapa perkara yang saya rasa mandatori, yang tidak patut dibuat oleh seorang penjual dan seseorang yang ingin mempromosikan barangnya, Ianya Hamba kepada Produk atau hamba kepada syarikat produk. Apa sahaja produk mereka jual, semuanya bagus, semuanya baik. Syarikatnya baik, tidak pernah lakukan kesalahan, perkhidmatan lebih baik dari syarikat B. Apa yang lebih menakutkan lagi, “supplement kami boleh menyembuhkan 1001 penyakit”. Ya, ini yang paling saya takutkan.
- Mempromosi sesuatu produk tanpa kita gunakan(beberapa kali ayat tekankan perkara ini), adalah suatu kesalahan. Dan mengklaim produk kita penyembuh segala penyakit adalah kesalahan mandatori! Ya, dalam erti kata lain, kesalahan besar, dan tidak sepatutnya kita uar-uarkan. “Kenapa pula, orang lain elok saja klaim?”. Orang lain adalah orang lain, kita adalah kita. Kita tidak boleh ikuti kesalahan orang lain. ‘Kalau orang terjun, tak ada kita nak ikut terjun?’. Ini masalah besar, ada supplement yang mana mereka diperbuat dari makmal perubatan moden dan ada yang diperbuat dari ubat-ubat tradisonal. Kebiasaannya ubat-ubat tradisional mengandungi pelbagai akar kayu dan daun-daun herba, ini tidak sesuai kepada orang yang ada masalah buah pinggang dan lain-lain. Tidak semua ubat sesuai kepada setiap manusia. Kalau kita klaim semua supplement atau ubat kita baik dan elok, ini akan membahayakan orang lain. Menjual apa-apa supplement atau mempromosinya mestilah lihat pada label yang diberi dan ditulis. Kebiasaannya, mereka akan beritahu “1 kali sehari atau 2 kali sehari dan disertakan dengan atas nasihat doktor, ubat ini mempunyai kandungan herba dan akar kayu”. Jangan kita suruh orang makan tanpa tahu apa penyakitnya. Ada pula yang mengatakan “Kalau sakit sangat boleh ambil 3, tak apa, ini ubat herba, saya pun makan 3”. Badan kita dengan badan orang tidak sama.
- Menjadi masalahnya adalah bilamana pelanggan atau ahli kita cakap “Saya sakit-sakit badanlah, apa yang elok ya?”. Bolehlah kita syorkan supplement kita. Cuma bila orang tanya “Saya goutlah, apa yang elok ya?”. Jika syor makan supplement kita. Esok pula ada orang lain cakap “Saya kencing manislah, apa yang elok ya?” Supplement saya puan. Datang pula esoknya lagi “Saya darah tinggilah”. Supplement saya puan. Saya rasa ini klaim yang melampaui batas. Bukan semua penyakit boleh diselesaikan atau diubati oleh supplement atau ubat yang kita jual. Mustahil satu ubat boleh selesaikan semua penyakit. Di hospital, ahli farmasi pening untuk mengasingkan ini ubat kecing manis, ini ubat darah tinggi, ini ubat gout. Ini dos kecil, ini dos besar. Datang pula kita sebagai penjual ubat dan supplement, “Produk ini kalau makan, gout, kecing manis, darah tinggi, baik yang sudah berpuluh tahun atau baru sahaja, boleh makan, ambil sehari satu sahaja. Sebulan elok”. Jika ada ubat yang sebegini rupa, orang kaya sanggup keluar duit ratusan ribu, bahkan jutaan, semata-mata untuk beli ubat ini. Saya kuatir perkara ini menjadi lebih teruk lagi.
Teringat saya lawak Sepahtu, dalam Maharaja Lawak Mega, bilamana dialog Jep dan Rahim. Rahim kena potong kaki disebabkan kencing manis, potong dihospital. Kemudian Jep cakap “Kenapa kau potong kaki kat hospital?!”. Kemudian Rahim jawab “Kenapa?!”. Kemudian Jep balas “Dekat kedai sensei ada jual ubat sapu, gosok-gosok nanti tanggal sendiri!”. Walaupun kelakar dan lawak, ini diantara nasihat yang patut kita ambil. Mengklaim sesuatu produk luar dari kemampuan produk tersebut.
- Kadang-kala mereka klaim produk yang mereka gunanya dengan testimoni yang tidak boleh diterima dan tidak masuk akal. Sebagai contoh, ” Saya makan produk ini, 2 hari sahaja, terus boleh berjalanan”. Ingat ya, kita promosi produk, bukan hamba kepada produk. Kita tidak perlu mengagungkan produk kita melampaui apa yang sepatutnya. Ada yang sudah berbelas tahun sakit, nak duduk sukar, nak berdiri lama sakit, apatah lagi nak membongkok, kemudian mereka mengatakan “Makan 1set, Alhamdulillah, semua sakit hilang, yang paling baiknya saya sudah boleh solat macam biasa, tidak perlu duduk atas kerusi”. Bayangkanlah makcik-makcik kita yang mendengar “Boleh solat dengan baik”. Siapa tidak mahu melakukan ibadat dengan sempurna bukan? Jadi mereka pun beli dan harganya juga bukanlah calang-calang. Kemudian makan 1set, tidak baik, makan 2set pun tidak baik. Kemudian kita cakap, “Kena cuba 3set kot”. Saya tidak tahu klaim ini apakah benar-benar testimoni ataupun rekaan untuk melariskan produk. Belasan tahun ataupun puluhan tahun sakit, makan 1set, sihat. Luar biasa ubat ini. Ada yang cakap makan 2 hari sudah sihat. Ajaib. Bagi sesiapa yang menjual produk, ada ahli mereka atau sesiapa yang mengatakan sedemikian rupa, ambil dan baca dahulu, semak dan biarkan. Adakah betul atau sekadar untuk lariskan produk. Kadang-kadang kita rasa bangga untuk kongsikan perkara luar biasa seperti ini, tetapi bukanlah semua perkara luar biasa yang boleh diterima dan benar.
- Dahulu ada orang jual air alkali, RO dan sebagainya, ketika itu saya rasa memang menjadi tumpuanlah, satu botol 5L, RM10+, jika tidak salah saya. Kemudian klaim bermacam-macam. “Minum air ini boleh sembuhkan pelbagai jenis penyakit. Sehingga air jagung yang manis itu pun mereka guna air Alkali atau RO dan cakap boleh kurangkan kencing manis.
- Klaim produk biarlah ada pada labelnya. Sesetengah orang mengklaim sesuatu yang luar dari label. Menggunakan produk tanpa baca label adalah suatu kesalahan penggunaan ya. Syarikat yang kita agungkan yang kita menjadi hamba itu, tidak akan bantu kita, dan kita rasa mereka nak bantu kita ke? Jika ianya akan menjatuhkan reputasi syarikat mereka? Kerana itu saya menulis ini, kita promosi produk bukan hamba kepada produk. Syarikat akan salahkan kita bilamana kita menggunakan sesuatu yang bukan dari perkataan mereka. Sebagai contoh, sabun A boleh cuci buah-buahan, tetapi mereka mengkliam cakap boleh cuci ayam, ikan dan sebagainya, dengan alasan produk ini organik, alami. Bukan semua organik atau alami boleh buat apa sahaja yang kita mahu. Jika apa-apa berlaku, keracunan dan sebagainya, pihak syarikat atau organisasi kita itu tidak akan ambil tahu dan tidak akan bertanggungjawab. Kerana penggunaan luar dari label. Perkara ini mesti kita tahu. Adapun kalau cakap, sabun A boleh basuh buah-buahan, air lebihan saya cuba basuh lantai, dinding bilik air, atau sabun ini boleh guna cuci lantai. Bagi saya itu tiada masalah. Saya pernah membaca perkara ini, kemudian ditegur oleh orang senior sendiri, mengatakan “Ada yang buat basuh ayam, yang ini saya tidak bertanggungjawab ya”. Titik atau noktah, jika apa-apa berlaku, ketahui, ini kesalahan anda menggunakan produk tanpa mengikut label.
- Sebenarnya banyak lagi kesalahan, ketidaksesuaian, atau kesalahan mandatori yang dilakukan oleh kita. Apa yang anda rasa ini tidak patut, ini tidak seuai, ini melanggar etika. Itu semua perkara yang perlu anda jauhkan. Sepertimana saya tekankan, kita promosi produk, bukan hamba produk. Kadang-kala kita ini tidak boleh ditegur dan tidak boleh disentuh. Kadang isunya kecil sahaja. Orang lain tegur perkhidmatan syarikat kita ini kurang memuaskan, tidak dijawab, penghantaran lewat. Kemudian kita pertahankan seolah-olah semuanya sempurna. Kadang yang persoalkan kena marah, kena maki, kena pulau. Ini pekara yang bagi saya tidak masuk akal, dalam bahasa kasarnya, mengarut! Orang memberi pandangan untuk syarikat mereka lebih maju, tetapi seolah-olah orang lain anggap mereka sebagai musuh dalam selimut, yang cuba untuk menjatuhkan syarikat. Ada pengalaman saya membaca post dilaman sosial, ada seorang tegur “Kenapa mereka kerap kali pos barang lambat, sampai seminggu, kadang kala lebih dari seminggu”. Kemudian ramai yang marah dia, cakap “Ala.. beli kat tempat pun lambat, kadang 2 minggu baru sampai, tunggu sahajalah, nak produk baik, macam tu lah”. Jika 2 minggu dari pos antarabangsa, ianya tidak menjadi masalah, tetapi jika dalam negara, perlu diperbaiki. Kadang mereka ini rasa serba salah. Kerana itu saya tegaskan, kita bukan hamba kepada produk, dalam maksud lain, hamba kepada syarikat produk. Bilamana ianya salah dan perlu ditegur, kenalah tegur. Kita tidak perlu mempertahankan apa yang salah, dan kita juga perlu betulkan apa yang betul. Nasihat sebegini bukankan baik? Kenapa kita perlu melatah atau naik angin? Kita ini hanyalah promosi produk syarikat kita bekerja.
- Saya sedikit hairan, kita yang dibawah ini bergaduh sesama sendiri, bermaki, memulau orang, melatah, naik angin tidak tentu pasal, mereka diatas tidak ambil kisah pun, tidak ambil tahu. Mana-mana organisasi pun begitu. Orang ini kata produk syarikat saya bagus. Yang lain kata, tak, saya lagi bagus. Tetapi, tahukah kita, pengasas produk kita dengan produk orang lain berkawan baik, dan sama-sama mendapat keuntungannya? Kita bertengkar ini ada mineral, ini ada pembersih, bermaki-maki. Sebagai orang Islam, kita ada batas dalam menjual barang.
Akhirnya habis perbincangan kita kali ini, setelah panjang lebar saya menulis, saya harap ada manfaat untuk pembaca semua. Tidak ada niat untuk saya mengata, atau memburuk-burukan orang atau syarikat atau organisasi lain, cuma sekadar perkongsian sahaja. Kerana saya sendiri takut jika saya tergolong dalam golongan Hamba Produk bukan Promosi Produk. Jadi, cukup sekadar itu sahaja perkongsian saya, saya akan kongsikan hadis ini sebagai penutup dan pedoman kita.
diriwayatkan daripada Rifa’ah RA, katanya:
“Suatu ketika dia keluar bersama Nabi SAW ke tempat sembahyang lalu Baginda ternampak orang ramai sedang berjual beli. Baginda bersabda: Wahai para peniaga! Mereka menyahut penggilan Nabi SAW itu sambil menjenguk ke arah Baginda. Nabi SAW bersabda: Pada hari kiamat kelak para peniaga akan dibangkitkan sebagai orang-orang yang jahat(berdosa) kecuali orang yang takutkan Allah, berbuat baik dan jujur.”
HR At-Tirmizi
Abu Sa’id RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
HR At-Tirmizi
“Peniaga yang jujur dan amanah akan bersama para nabi, orang yang jujur dan orang yang syahid.”
Jadi, pilihlah, haluan mana yang kita hendak bawa ke akhirat kelak.
Sekian.