Wanz Ramli Blog

Terus Mencari Persamaan

Ulasan Filem

Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal, Les’ Copaque – Astro First

Assalammualaikum, Salam sejahtera..

*PERHATIAN : TOLONG MENONTONNYA SECARA SAH DAN MELANGGANNYA DI ASTRO FIRST, SOKONGLAH ANIMASI HASIL BUATAN TANGAN TEMPATAN, HAPUSKAN CETAK ROMPAK!

Setelah sekian lama saya menunggu filem ini, kerana tidak sempat untuk menontonnya di pawagam, dan seperti biasanya, setiap filem akan keluar di Astro First. Tetapi berbeza dengan filem ini, mengambil masa hampir 2 tahun untuk ditayangkan di Astro First. Apakah filem tersebut?

UPIN & IPIN : KERIS SIAMANG TUNGGAL.

IG upinipinofficial

Apa yang membanggakan saya mengenai filem ini. Ini filem animasi buatan tempatan kita. Selain dari BoBoiBoy, Agen Ali, Upin Ipin adalah diantara filem animasi yang terawal di zaman moden ini. Kita patut menyokong filem-filem animasi Malaysia, bayarlah sedikit, jangan tonton cetak rompak. Ini akan merencatkan pembanggunan filem animasi kita. Bayangkan jika modal yang syarikat animasi ini keluarkan, jutaan. Tetapi kutipan tiket hanya ratusan ribu. Sudah pasti akan kerugian, dan mereka tidak akan mampu untuk mengeluarkan filem yang terbaharu, sedangkan syarikat mereka mempunyai kepakaran yang luar biasa. Jika kita semua hapuskan cetak rompak, dan tontonnya secara sah, pasti mereka mengaut keuntungan berlipat kali ganda lagi. Sudah pasti mereka merasakan usaha mereka berbaloi, dan akan terus berkarya lagi!

Upin Ipin ini satu animasi yang bagi saya sangat menyeronokan, mengisahkan kanak-kanak yang berada dikampung, dan mempunyai pelbagai latar belakang kaum dan budaya. Ada Melayu, Cina, India, Singh dan kemudiannya dimasukan watak Susanti yang berasal dari Indonesia. Saya harap akan ada watak dari Brunei juga nanti.

Secara umumnya, Upin Ipin dihasilkan oleh produksi Les’ Copaque Production Sdn Bhd. Untuk pengetahuan, Les’ Copaque sebelum terkenal dengan siri Upin Ipin, mereka banyak mengeluarkan iklan khidmat masyarakat. Saya ingat lagi, iklan-iklannya banyak juga di kaca tv. Diantara iklannya mengenai nyamuk denggi, jangan membazir elektrik, menjaga kebersihan dan banyak lagi. Trademark perkataan yang digunakan adalah “INGAT!”. Kemudian mereka mengeluarkan filem pertamanya, kemudian siri Upin dan Ipin, kemudian adanya siri PUTERI, dan Pada Zaman Dahulu. Les’ Copaque juga terkenal dinegara jiran kita, iaitu Indonesia. Bukan hanya terkenal, bahkan, sangat terkenal. Di saluran Youtube Les’ Copaque mempunyai langganan sebanyak 12.5 juta.

IG upinipinofficial

Sebelum ini, siapa yang tidak tahu, mereka telah menghasilkan 2 filem. Pertama Upin & Ipin : Geng Pengembaraan Bermula, pada tahun 2009, mengisahkan misteri Kampung Durian Runtuh. Serius saya katakan, keterujaan saya melihat hasil anak Malaysia kita. Animasi yang cukup hebat. Bayangkan pada tahun 2009, grafik dan animasi setaraf filem antarabangsa dihasilkan oleh produksi ini. Kemudian Upin & Ipin : Jeng Jeng Jeng!, pada tahun 2016. Yang ini saya tidak mahu ulas panjang. Kerana saya tidak menonton filem ini dan tidak juga menontonnya secara haram(cetak rompak). Mungkin atas sebab saya kurang minat dengan ceritanya membuatkan saya tidak menonton.

Pada tahun 2019, sebuah lagi filem hasil dari Les’ Copaque Production Sdn Bhd yang telah menggegarkan industri animasi tanah air, iaitu Upin & Ipin : Keris Siamang Tungga, dengan kutipan tiket sebanyak RM 25 juta! Selepas 21 hari ditayangkan. Ianya telah menewaskan kutipan tiket filem dipawagam tempatan ketika itu, termasuklah filem antarabangsa, Incredibles 2. Ini sangat membanggakan.

Bagi saya, setiap hasil dari Les’ Copaque, sentiasa ditunggu-tunggu oleh peminat Upin dan Ipin ini. Bukan hanya kanak-kanak, orang dewasa, bahkan orang tua pun. Kerena ceritanya yang tidak terlalu berat, boleh dihadam, yang paling penting ialah cerita mengenai budak-budak kampung. Bagi mereka(saya sendiri) yang tinggal dibandar, pasti tidak akan lepaskan peluang menonton filem sebegini untuk merasai apa itu kampung, walaupun tidak secara keseluruhan.

Setelah panjang lebar saya bermukadimah. Jom kita ulas sedikit mengenai filem UPIN & IPIN : KERIS SIAMANG TUNGGAL.

*PERHATIAN : TOLONG MENONTONNYA SECARA SAH DAN MELANGGANNYA DI ASTRO FIRST, SOKONGLAH ANIMASI HASIL BUATAN TANGAN TEMPATAN, HAPUSKAN CETAK ROMPAK!

IG upinipinofficial

Upin & Ipin Keris Siamang Tunggal
Les’ Copaque Production Sdn Bhd
Pawagam : 21 Mac 2019
Astro First : 3 Disember 2020
Pelakon Suara : Asyiela, Ernie Zakri, Fakrul Razi, Mohd Amir Asyraf, Irfan Fahim, Ahmad Mawardi dan ramai lagi, saya akan senaraikannya diakhir.

Untuk pengetahuan, Les’ Copaque memerlukan 5 tahun untuk menghasilkan filem ini dengan jumlah kos RM20 juta! Jadi, tidak peliklah jika Les’ Copaque Production Sdn Bhd benar-benar menjaga filem ini. RM20 juta bukanlah jumlah yang kecil dan ianya filem animasi termahal di Malaysia, dan yang paling hebat, semuanya hasilnya dari anak tempatan kita.

Jadi, tolonglah sokong mereka dengan caranya melanggan di Astro First. Kepada yang mana ada niat nak merakam dan masuk kedalam Youtube atau mana-mana sahaja, tolonglah hentikan niat anda. Yang pertama sebagai seorang Islam, perbuatan anda mencuri hak orang lain, adalah berdosa. Dari segi undang-undang pula, anda boleh dikenakan tindakan mencuri hak cipta orang lain. Kenapa mesti nak hancurkan hasil titik peluh orang kita sendiri?

Secara umum, Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal ini mengisahkan mengenai satu Keris Sakti yang mana Upin dan Ipin terjumpa di stor lama rumah Tok Dalang. Keris ini adalah keris kebesaran, dan mempunyai kekuasaannya yang tersendiri. Boleh dikatakan keris ini mempunyai pewarisnya yang akan merungkai segalanya. Apakah rahsia dan siapakah pewarisnya? Langganlah Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal.

Keris sakti ini hanya orang tertentu sahaja boleh mengangkatnya. Pada awalnya Mail cuba mengangkatnya tetapi tidak boleh. Kemudian Upin dan Ipin mengangkatnya, akhirnya boleh diangkat keris sakti itu. Terdapat mentera di keris tersebut, apabila dibaca oleh Upin dan Ipin. Kemudian terbuka satu pintu yang menarik mereka masuk ke suatu alam dan tempat bernama Inderaloka.

Bila termasuk ke alam itu, maka, banyak cerita yang akan dirungkaikan. Siapa pemilik keris tersebut, siapakah pewarisnya. Siapakah watak-watak yang ada disekeliling Upin dan Ipin. Jadi, sesiapa yang terlepas peluang menonton filem ini dipawagam, boleh langgan di Astro First ya.

Dari segi lagu-lagu yang mereka mainkan, memang sangat seronok, dan sedap didengar. Muzik yang dialunkan, memang seronoklah. Siap menari-nari, kita pun ikut menari, haha. Bukan sesuatu yang mudah ya untuk buat animasi menari, terlebih lagi ada banyak animasi orang disitu. Lagu yang dimainkan bertajuk Keris Sakti yang dinyanyikan oleh Fakhrul Razi dari Brunei. Apa yang saya tahu, filem ini menggunakan muzik orkestra secara penuh dan mereka rakam orkestra secara langsung di Boston. Tidak peliklah muziknya begitu sedap. Nak tahu bagaimana rasa bunyi suara dan alunan muzik? Langganlah Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal.

IG upinipinofficial

Mengenai pertarungan, memang terbaik dan sangat epik! Pertarungan yang memasukan unsur-unsur silat. Ini memberi pengetahuan kepada anak-anak kita yang menonton filem ini. Ini budaya seni mempertahankan diri orang kita, lebih tepatnya lagi orang Melayu. Filem ini terlalu banyak babak pertarungan. Mula-mula cerita sahaja sudah ada babak pertarungan, dan berakhir dengan pertarungan juga. Ada satu babak yang mana Upin dan Ipin melawan Re Ri Ang dan juga Raja Bersiong. Ada juga babak Nakhoda Ragam dan Mat Jenin bersilat. Sungguh epik! Cumanya mungkin perlawanan diakhir itu sedikit kurang. Tetapi untuk menghasilkan animasi pertarungan, bukanlah mudah. Dan kita juga perlu memahami dari sudut itu. Cumanya jika pertarungan akhir itu lebih lagi, pasti lebih menarik.

IG upinipinofficial

Dari segi watak, terdapat watak-watak dari pelbagai cerita yang dimasukan ke dalam ini. Seperti Raja Bersiong, Raja Inderaloka, Mat Jenin, Nujum Pak Belalang, Belalang, Mak Deruma(Mak Si Tanggang), Bawang Merah dan Bawang Putih. Ada beberapa watak yang dimasukan dengan kisah-kisah mereka ke dalam filem ini seperti Mak Deruma, akan ada babak yang mana Mak Deruma melihat anaknya si Tanggang menjadi batu dan dia sangat merindui anaknya dan akan terjadi sesuatu pada babak ini(tak boleh cerita semua), sangat menyentuh dan sedih(rasa macam nak menitis airmata jantan saya, haha). Ada babak Belalang buat kopi, dan kopi yang dia buat itu daripada…. Kena tontonlah, haha. Ada juga cerita pulau dilanda todak, memang menarik. Walaupun tidak sama seratus peratus, secara keseluruhan, memang sangat menarik watak-watak yang ada. Cuma ada satu watak Ketua Lanun(Mek Min) berloghat pantai timur. Siapakah dia?

IG upinipinofficial

Apa yang saya tahu, ketika filem ini keluar, ramai kanak-kanak yang bertanya pada ibu dan ayah mereka. Siapa Mat Jenin, Siapa Raja Bersiong dan sebagainya. Maksudnya sesuatu yang hendak disampaikan oleh Les’ Copaque Production Sdn Bhd ini sampai kepada generasi kanak-kanak kini. Yang mana setiap watak ini mempunyai cerita rakyatnya yang tersendiri. Kita tahu, hasil tangan Les’ Copaque, pasti akan selitkan cerita teladan dan cerita rakyat untuk memberitahu generasi akan datang.

Adapun watak-watak biasa dan memang sedia ada, seperti Upin dan Ipin, Ehsan, Mail, Jarjit, Mei Mei, Fizi, Susanti, Tok Dalang, Opah, Kak Ros. Ini semua kita sedia maklum. Jika tiada watak asal ini, maka, tiadalah filem Upin dan Ipin. Jom, kita akan ke watak dan siapa pelakonnya.

Dalam filem Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal ini penuh dengan suara dan lagu, jadi watak dan siapakah pelakonnya juga saya rasa sangat penting. Siapa pelakon yang sesuai dengan watak itu dan ini. Jadi, mungkin kerana ini jugalah mereka memasukan Ernie Zakri dan Fakhrul Razi. Sebenarnya ramai pelakon yang ada dalam cerita ini, saya akan senaraikan sebahagiannya.

Pelakon dan watak :
Asyiela Putri sebagai Upin dan Ipin
Mohd Amir Asyraf sebagai Mat Jenin
Irfan Fahim sebagai Belalang
Fakhrul Razi sebagai Nakhoda Ragam

Muhammad Fareez Daniel sebagai Ehsan
Muhammad Musyrif Azzat sebagai Mail
Muhammad Hafiz sebagai Jarjit
Tang Ying Sowk sebagai Mei Mei
Rufaidah Bt Mohamed Fadzil sebagai Fizi
Andhika Astari sebagai Susanti
Ahmad Razuri sebagai Pak Belalang
Siti Hasmah sebagai Mak Deruma
Muhammad Shamer sebagai Pengawal Re
Adam Bin Amiruddin sebagai Pengawal Ri
Muhammad Hafiz sebagai Pengawal Ang
Ernie Zakri sebagai Bawang Merah, Bawang Putih
Nik Ahmad Rasyidi sebagai Raja Inderaloka
Dato’ Yasmin Bt Mahmood sebagai Ketua Lanun(Mek Min)
Seelan Paul sebagai Lanun Tangan Cangkuk
Hj Baharuddin sebagai Tok Dalang
Hjh Ainon Bt Ariff sebagai Opah
Siti Khairunissan sebagai Kak Ros

Oh ya, dari segi grafik dan animasi, saya bukanlah orang yang pakar dalam bidang ini, tetapi secara keseluruhannya memang TERBAIK!

Dari segi komedi pula, saya tidak tahu jika kanak-kanak dapat memahaminya atau tidak, tetapi, mengikut kata Les’ Copaque, bila ditinjau, kanak-kanak ada yang gelak dan lawaknya menjadi. Kalau tanya saya kelakar atau tidak, ya, kelakar. Setiap wataknya ada lawaknya. Setiap sudut pasti ada lawak kalau diperhatikan betul-betul. Babak belalang buat kopi, cuba tengok Mail dan watak-watak yang lain bilamana minum kopi tersebut. Ketika Upin Ipin, Belalang, Mat Jenin dan Nakhoda Ragam sedang berjalan menuju ke Istana Raja Bersiong, lihat cara Mat Jenin, Nakhoda Ragam dan Belalang berjalan. Setiap sudut ada lawaknya yang tersendiri, perhatikan sahaja. Bagi saya cerita ini kelakar, walaupun filem ini filem aksi.

Penutupnya, saya mengharapkan lebih ramai lagi yang melanggan Upin & Ipin : Keris Siamang Tunggal ini di Astro First, kerana banyak lagi perkara yang menarik dalam filem ini. Ianya bukan hanya sekadar keris, tetapi apakah maksud disebalik tajuk Siamang Tunggal itu sendiri. Jadi, jom sama-sama kita menyokong filem tempatan kita. Saya sendiri sudah melanggan, anda bila lagi?

IG upinipinofficial

Kepada penerbitan Les’ Copaque Production Sdn Bhd, saya ucapkan sejuta TAHNIAH atas kejayaan ini. Saya mengharapkan akan ada lagi filem-filem yang akan datang, disamping ada banyak lagi siri-siri dari Les’ Copaque Production Sdn Bhd. Tahniah dan terima kasih kerana sajikan kami dengan filem-filem dan siri-siri yang hebat dari anda. Terima kasih!

“Airmata merungkai segalanya”

HAPUSKAN CETAK ROMPAK! SOKONG PRODUK TEMPATAN! BARANG BAIK, BARANG KITA!

Sekian.

Tagged:

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts