TAHUN BAHARU 2021, Semoga Ada Sinar Baharu.

Author:

Assalammualaikum, Salam sejahtera..

Tahun 2020 telah melabuhkan tirainya semalam, penuh dengan suka duka, pahit sedih. Hampir selama setahun dunia digemparkan dengan wabak yang sangat dahsyat, merencatkan ekonomi besar mahupun kecil. Kesusahan dirasai semua golongan, terlebih lagi golongan biasa. Sukar untuk digambarkan. Jika minggu lepas Jumaat terakhir kita menunaikan Solat Jumaat 2021, hari ini kita dibukakan dengan Solat Jumaat 2021. Tidaklah tahu kedepannya ada sinar atau masih dalam mendung.

Manusia biasa tidak mampu menahan selama setahun hidup sebegini rupa, apatahlagi ingin menambah setahun lagi untuk derita dunia. Siapa yang mampu menahan tidak berjumpa keluarga, siapa yang mampu bertahan tidak keluar rumah, siapa yang mampu bertahan tidak membeli belah dan siapa yang mampu bertahan jika jiwanya kosong tidak ke rumah ibadat.

“Ya Allah, kau akhirkanlah derita kami seluruh dunia. Engkau tutuplah cerita derita, kau berikanlah sinar untuk kami hidup semula”. Doa, doa, doa. Itu sahaja yang mampu untuk dilafazkan pada ketika ini.

Jika ditanya apakah buruk atau baiknya..

Tiada sesuatu yang diturunkan oleh Tuhan itu buruk kepada hambanya. Hari ini, jika seseorang itu sebelum ini tidak pernah ingin berdoa kepada Rabnya, tetapi kali ini manusia itu sentiasa keluar rumah dengan berdoa kepada Tuhannya supaya dijauhkan wabak dan penyakit, semoga Tuhan melindungi keluarganya. Jika sebelum ini manusia itu hidup dengan jalannya mencari duit dan kekayaan semata-mata, tetapi kali ini manusia itu belajar, ya, manusia perlu mencari duit untuk nafkahnya, tapi, hidupnya juga untuk Tuhannya, bukan hanya duit semata. Jika sebelum ini mereka merasakan kematian hanya untuk hari tua, tetapi kali ini, tiada yang terlepas dari malaikat maut. Ada juga yang merasakan penyakit itu, ya, sekadar penyakit. Tetapi pernahkah manusia itu terfikir, ketika ianya dijangkit wabak, tetapi ahli keluarga mereka, yang dipeluk, dicium, negetif wabak. Adakah kita pernah terfikir sebelum ini, dengan keyakinan bahawa penyakit itu tiada sesiapa boleh memberi dan tiada sesiapa boleh dijangkiti, melainkan Tuhan empunya dunia yang memberi dan menyembuhi. Tetapi Tuhan juga menyuruh kita jangan bunuh diri.

Pada ketika itu, tidak sesiapapun yang pernah melihat apatahlagi terlintas melakukan Solat Hari Raya secara berjemaah dirumah. Bermacam ragam dapat dilihat yang belum penah dilihat sebelum ini. Ada yang betulnya, ada yang salahnya, ada yang sebagai manusia biasa, bermain-mainnya. Ada yang mencari tongkat untuk dipegang ketika khutbah. Dan luar biasanya pada saat itu, terawih tidak diadakan di masjid-masjid. Terasa aneh, seperti tiada puasa ketika itu. Tidaklah puasa itu hidup, jika terawih tidak berkumandang sehingga lewat malam, bagi kita. Jika solat sunat pun aneh bilamana tidak dikumandangkan, apatahlagi Solat Jumaat yang terpaksa diganti solat Zohor dirumah selama 3 bulan! Laungan setiap azannya berbeza. “Solatlah dirumah”. Aneh, tetapi tidaklah pelik didalam agama, kerana ratusan tahun lalu telah dicatatkan azan seperti ini bila berlakunya wabak dizaman itu. Tetapi zaman ini, terasa aneh, bahkan jika umurnya tua 80 tahun pun mereka merasakan aneh.

Tahun 2020 adalah tahun yang penuh dengan ketakutkan, saban hari cerita manusia dijangkiti, saban hari kes menjadi-jadi. Wabak menyerang diseluruh dunia, tanpa memikirkan usia, bangsa ataupun agama. Tetapi, tidaklah kita pernah melihat sebelum ini, bantuan disampaikan tiada rasa nilai rasis, tiada bangsa manapun tidak mendengar nasihat dari bangsa yang lain. Bersatunya luar biasa di negara nenek moyang kita ini, pada saat itu. Warganegara, mahupun warga luar, semua diberi sama rasa, sama rata. Ketika negara lain sibuknya dengan ketidakadilan, demo merata-rata pelusuk, Alhamdulillah, negara moyang kita dijaga oleh Allah. Mungkin berkat doa orang hebat-hebat zaman terdahulu, supaya negara ini sentiasa dilindungi.

Hari ini, menjelangnya 2021, tiada azam baharu yang diletakan pada jiwa kita hari ini, melainkan hanya azam untuk bersinar kembali. Bumi ini telah mendung selama setahun, dan tidaklah terdetiknya hati kita ingin setahun lagi.

Mudah-mudahlah generasi puluhan tahun yang akan datang, tidak pernah melihat kejadian zaman ini, mereka mencari dan membaca, supaya ada manfaat untuk generasi mereka. Tangani wabak dengan baik, selaras Al-Quran dan As-Sunnah, tanpa melupakan realiti dunia yang mereka pijak. Lihatlah tokoh-tokoh dizaman belakang, pelajarilah dari mereka. Yang baik diambil, yang buruk diperbaiki. Kesemuanya perlu disatukan. Supaya mereka akan lebih hebat dari generasi terdahulu. Supaya dunia melihat, bangsa kita tidak ketinggalan.

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BAHARU 2021!
Semoga sinar kembali semula, Semoga Allah Melindungi kita, Semoga Allah Rahmati kita, Semoga Allah Ampuni dosa-dosa kita. Berdoalah mencari keredhaan Allah.

Sekian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *