Ajaran Sesat Agama Melayu

Author:

Assalamualaikum, Salam sejahtera.

Pernah dengar tidak agama Melayu? Yang didakwa oleh seseorang yang bernama Ibu Yati? Apa yang saya tahu Ibu yati ini bukanlah pengasas Agama Melayu ini, tapi ada seseorang yang telah mempengaruh beliau untuk masuk ke alam Agama Melayu, iaitu Abdul Hamid, seorang pensyarah. Ya, beliau seorang pensyarah. Bagaimana seorang pensyarah boleh membuat dakwaan-dakwaan pelik ini tanpa ada hujah yang tuntas, bahkan perkara yang beliau kata pun beliau tiada rujukannya. Jangan risau, saya akan membawa pembaca kenapa saya kata mereka tiada rujukan dan hujah yang tidak tuntas.

Sebenarnya acuan yang dibawa ajaran sesat ini kita boleh lihat sendiri, semua modus operandi mereka hampir sama. Mula-mula berkata sesuatu yang pelik dan ajaib, kemudian dakwa perkara yang merapu dan bercerita seolah-olah dia sahaja yang tahu. Bilamana ditanya, “bagaimana tuan tahu? siapa yang beritahu? Siapa wakil agama melayu?”. Dalam perlahan dan sedar atau tidak sedar, mereka akan cuba masuk mengambil alih dan mengatakan mereka adalah wakil dari Tuhan. Ini biasa dalam kebanyakan ajaran sesat. Mereka akan cuba memperdaya orang awam yang lemah dengan dakwaan dan cerita pelik. Kemudian mendakwa mereka Nabi, jika tidak jadi Nabi, jadi Imam Mahdi, paling biasa pun orang mengaku jadi Wali.. Ini biasa dalam kebanyakan ajaran sesat. Di Malaysia kita ada seorang yang mengaku Rasul Melayu. Kadang bukanlah nak bercerita sangat mengenai agama itu, tetapi nak beritahu yang dia itu hebat “Ehem, akulah wakil Tuhan tu”. Sebab kita tahu dunia hari ini, jika kita mengaku baca kitab, orang lain pun baca kitab. Nak mengaku solat banyak, orang lain pun solat banyak. Jadi, cara mereka perlu diubah. Dengan membuat dakwaan pelik-pelik, ajaib, mengaku wakil Tuhan, nampak Tuhan, naik ke langit, mereka tahu cara beribadat(solat) agama melayu(tapi mereka sendiri pun tidak nyatakan). Perkara ini tidak boleh dilakukan oleh sembarangan orang, jadi nak nampak hebat, inilah caranya. Akhir sekali jual telur Naga RM3 juta. Sebenarnya nak ke RM3 juta itu.

Kadang kala, pengikut mereka ini bukanlah dikalangan orang biasa-biasa, orang ada nama, ada harta, dari kalangan doktor, profesor, peguam. Setakat hendak membeli keris harga RM6,000 ini, apalah sangat bagi mereka. Tetapi, apa yang menghairankan itu, mereka dakwa telur Naga itu 5 tahun sekali. Maksudnya disini, naga itu bertelur 5 tahun sekali. Sungguh tidak masuk akal untuk zaman yang tidak pernah lihat Naga. Jika mereka dakwa telur Naga itu berusia ratusan tahun dan hanya ada satu. Bolehlah diterima, walaupun tidak masuk akal, dan yang percaya hanyalah dari kalangan orang mereka. Tetapi, 5 tahun sekali? Satu telur berharga RM3 juta? Tapi kenapa 5 tahun sekali? Bukan hanya ada sebiji?

Kita perlu tahu sesuatu, untuk hidupkan sesebuah organisasi, mereka perlukah wang ringgit yang besar untuk mempengaruhi orang ramai. Kebanyakan ajaran sesat, mereka banyak menghabiskan duit untuk ‘mempromosikan’ ajaran mereka. Kelengkapan, markas, artifak dan sebagainya. Jadi, jika mereka klaim Naga akan bertelur 5 tahun sekali, paling tidak mereka mempunyai sumber pendapatan setiap 5 tahun sekali, berbanding klaim telur Naga ini hanya ada satu dan berusia ratusan tahun. Cuma, ketidakcerdikan mereka bilamana mereka meletakan harga atau disebut mereka mahar semahal itu. Kalau mereka letak ratusan ribu, mungkin dengan semudah itu mereka boleh menjualnya. Kerana seperti yang saya katakan tadi, kadang kala pengikut ajaran sesat ini bukanlah calang-calang. Tapi, ada ke orang akan beli RM3 juta? Jika pengaruh mereka ramai, kemungkinan itu ada.

Cumanya ada satu persoalan, adakah dengan terkumpulnya 7 biji telur naga itu, akan dibangkitkan se-ekor naga yang boleh memenuhi apa sahaja permintaan? Jika boleh, seseorang perlu membelinya. Tapi perlu tunggu 35 tahunlah untuk mengumpul ketujuh-tujuh telur naga itu, sebab setahun hanya sebiji sahaja yang ditelurkan.
“Sagasou Ze! Dragon BORU!”

Baiklah, kita akan meneliti sedikit kenyataan-kenyataan mereka yang mereka sendiri pun tidak tahu apa yang mereka katakan. Mendakwa tanpa ada hujah, menghujah tanpa ada dalil atau sandaran yang kuat. Dan apa yang lebih bahayanya lagi, mendakwa sesuatu yang boleh membatalkan akidah seseorang. Ini sangat bahaya.

Pertama, mereka mempertikaikan mengucap 2 kalimah syahadah. Kebelakangan ini, isu ini selalu dipermainkan orang sebahagian ajaran sesat. Kata Abdul Hamid(pengasas ajaran agama melayu), kenapa 2 kalimah syahadah, kenapa tidak 3 4 atau 5, kenapa hanya sebut Nabi Muhammad sahaja. Katanya lagi ramai lagi Nabi, “Isa bukan Rasul? Musa bukan Rasul? Daud bukan Rasul? Ibrahim bukan Rasul?”.

Untuk pengetahuan pensyarah tersebut dan pengikutnya yang merangkap pembantunya. Dengan mengakui Nabi Muhammad sebagai Rasul, dalam masa yang sama, kita telah pun mengakui kesemua Rasul yang disebut dalam Al-Quran. Untuk mengetahui Rasul-Rasul sebelumnya Nabi Muhammad, kita perlu mengetahui sesuatu, hanya Nabi Muhammad SAW yang tahu akan kisah-kisah Nabi terdahulu melalui Al-Quran, wahyu dari Allah. Tanpa Nabi Muhammad, kita sendiri pun tidak tahu kisah-kisah Nabi terdahulu, bahkan nama Nabi terdahulu pun kita tidak tahu. Bagaimana seseorang nak tahu mengenai Nabi terdahulu selain dari Nabi Muhammad SAW? Atau mereka hendak dakwa, mereka sahaja tahu semua itu? Jika kita hendak mengakui Nabi Isa sebagai Rasul, mestilah melalui Al-Quran, jika kita hendak mengetahui Al-Quran mesti mengakui ke-Rasul-an Nabi Muhammad SAW. Kita menyebut Nabi Muhammad bukan bermakna kita tidak mengakui Nabi yang lain. Kesalahfahaman mereka membuatkan mereka keliru perkara ini. Nabi Muhammad adalah kunci kita kepada semua para Nabi.

Kekeliruan mereka bukan terhenti disini, bilamana Abdul Hamid ini mendakwa Allah itu berhala besar dizaman itu. Nauzubillah min zalik. Semoga Allah jauhkan kita dari kesesatan dan kekufuran sebegini rupa. Katanya bila berhala itu pecah, batu itu diambil dan diletak di kaabah. Dan dia juga ada berkata, orang Islam menyembah batu Hajarul Aswad. Saya tidak faham, bagaimana mereka berfikir sejauh ini? Adakah ini kesan pengaruh falsafah atau kesesatan yang dibawa oleh syaitan?

Ini jelas kesesatan yang membawa kepada soal akidah, dan merosakan iman seseorang. Orang yang mengatakan Allah itu berhala, ini jelas membawa kepada kekufuran yang nyata. Ini suatu dakwaan atau kenyataan yang serius. Saya berharap semua mufti di Malaysia, membincangkan perkara berkaitan dengan Abdul Hamid dan Ibu Yati ini. Adakah beliau sudah terkeluar dari Islam. Balik kepada kenyataan beliau. Pertama, Allah tidak mempunyai anak dan tidak juga diperanakan.

Firman Allah,
Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan.
Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya

Surah Al-Ikhlas[112] : 3-4

Jelas, tidak ada sesiapapun yang serupa atau merupai Allah. Kenyataan mereka mengatakan Allah itu berhala, mengarut dan kufur! Dan agama Islam adalah agama Anti-Berhala!

Firman Allah,
Dan benda-benda yang kamu sembah selain Allah, tidak akan dapat menolong kamu, bahkan tidak dapat menolong dirinya sendiri.

Surah Al-A’raf[7] : 197

Boleh rujuk Surah Al-A’raf[7] ayat 190-202, menceritakan mengenai manusia memuja, menyembah dan meminta-minta kepada berhala. Ini terbukti bahawa Islam itu anti berhala. Bagaimana Abdul Hamid ini boleh mengatakan Allah itu berhala? Sungguh cetek pengetahuan dan pemikiran beliau, kerana asas dalam agama pun beliau tidak tahu, apatahlagi untuk mengatakan perkara yang lebih besar.

Dakwaan beliau lagi mengatakan kita menyembah batu atau Hajarul Aswad, ini juga mengarut. Sebagai seorang pensyarah yang sentiasa menjadi pembacaan sebagai ilmu pengetahuan, kelihatannya beliau sangat gagal dalam soal ini. Ini juga jelas dalam Islam yang mana Islam hanya menyembah Tuhan Yang Satu, ALLAH SWT. Ini saya memberi pembaca ‘kerja rumah’, mencari ayat-ayat dalam Al-Quran yang kita hanya menyembah Allah sahaja.

Firman Allah SWT
“Iaitu janganlah kamu menyembah melainkan Allah; sesungguhnya aku bimbang (jika kamu menyembah yang lainnya), kamu akan ditimpa azab yang tidak terperi sakitnya pada hari pembalasan”.

Surah Hud[11] : 26

Jelas mengenai perkara ini. Ini baru satu ayat sahaja. Cukup memberitahu amaran dan ancaman Allah kepada sesiapa yang menyembah selain dari-NYA. Untuk yang menyatakan orang Islam menyembah Hajarul Aswad atau Kaabah. Setahu saya lontaran ini hanyalah daripada mereka yang bukan Islam sahaja, tidak tahulah jika ada seseorang yang mengaku dirinya Islam berkata sedemikian rupa.

Islam menyembah batu hitam? Ini biasanya yang dilontarkan oleh mereka. Tidak mengapa jika lontoran ini daripada yang bukan Islam, kerana tidaklah pelik jika mereka yang bertanya sebab mereka bukan orang Islam. Tetapi jika orang Islam sendiri yang berkata, imannya bermasalahan. Baiklah, saya jawab pertanyaan itu sekadar apa yang saya tahu.

Islam menyembah Hajarul Aswad? Sebenarnya Hajarul Aswad pernah dicuri oleh puak Syiah. Hajarul Aswad pernah dicuri dan hilang selama 22 tahun! Tetapi apa yang hikmahnya perkara yang berlaku ini, ini menyangkal bahawa orang Islam itu bukan menyembah Hajarul Aswad! Selama 22 tahun Hajarul Aswad dicuri, umat Islam masih beribadah seperti biasa, orang Islam tidak perlukan batu atau berhala atau apa sahaja yang seperti yang didakwa. Dan, lebih menguatkan hujah ini sepanjang Hajarul Aswad dicuri dan ditempatkan Al Ahsa dan dibina kawasan seolah-olah kaabah disitu, malangnya orang Islam tidak kesana untuk menyembah Hajarul Aswad atau melakukan Haji atau Umrah. Ini bermakna tuduhan jahat mereka yang mengatakan umat Islam menyembah Hajarul Aswad itu tidak benar dan salah! Hujah lainnya adalah, setiap ajaran yang menyembah berhala, akan mengikut atau menyembah dimana berhala itu berada. Jika ianya dihadapan, maka menyembah dihadapan. Jika berhala itu dibelakang, maka menyembahnya pula dibelakang. Jika ke kiri maka kiri, jika ke kanan maka kanan. Tetapi berbezanya Islam dengan agama penyembah berhala adalah, letaklah dimana sahaja Harjarul Aswad, Islam pasti berkiblatkan satu, iaitu kaabah. Jadi, tidak timbul persoalan Islam menyembah batu hitam atau Islam menyembah Hajarul Aswad.

Oh, dia dan pembantunya Ibu Yati itu juga ada mengatakan “Oh, pergi Mekah, cium, cium, cium” kata pembantunya pula secara perlahan “Tak syirik?”. Pertama, bukan wajib seseorang itu melakukan Haji atau Umrah perlu cium Hajarul Aswad dan sah Haji atau Umrahnya jika tidak mencium Hajarul Aswad dan batu hitam itu bukan Allah! Jika hujah mencium itu menjadikan sesuatu yang kita cium itu Tuhan, ajaib kenyataan sebegini rupa. Boleh dikatakan setiap hari kita mencium Ibu Ayah Keluarga atau Isteri. Adakah dengan mencium ini bermakna mereka menjadi Tuhan? Kita mencium Ibu Ayah Keluarga atau Isteri, tidaklah menjadikan mereka itu Tuhan. Jika tidak, kucing kesayangan kita pun boleh menjadi Tuhan, berapa ramai pencinta kucing mencium kucingnya setiap hari?
Kedua, syirik? Bagaimana boleh mengatakan syirik, jika orang Islam tidak menyembah Hajarul Aswad. Saya tidak tahu jika ada orang berdoa kepada Hajarul Aswad meminta bermacam-macam. Tetapi apa yang saya tahu, orang Islam tidak pernah menyembah atau meminta-minta kepada Hajarul Aswad. Saya harap Ibu Yati boleh membaca apakah syirik yang dimaksudkan dalam Islam. Kerana apa yang saya tahu, Ibu Yati seorang wartawan, seorang wartawan apabila hendak berkata-kata, perlu kaji apa yang dia hendak diperkatakan.

Islam menyembah Kaabah? Sebenarnya sesiapa yang tahu sejarah mengetahui hal ini. Kaabah pernah musnah beberapa kali kerana banjir. Ini bermakna, kaabah bukan Tuhan untuk orang Islam menyembah, kerana Tuhan itu bersifat Maha Kuasa. Bagaimana seseorang yang menyembah Tuhan yang boleh dimusnahkan? Ini sesuatu yang hairan dan pelik. Islam bersifat anti-berhala, seperti yang saya sebutkan tadi.

Firman Allah,
Patutkah mereka sekutukan Allah dengan benda-benda yang tidak dapat menciptakan sesuatupun, sedang benda-benda itu sendiri diciptakan?

Surah Al-A’raf[7] : 191

Jadi, kenyataan ini sangat pelik dan tidak munasabah. Islam hanya menyembah Allah, dan kaabah adalah sebagai kiblat orang Islam. Jika kita lihat, semua orang Islam akan mengarahkan kaabah sebagai kiblat untuk solat atau sembahyang. Dan jika kaabah musnah sekalipun(semoga dijauhkan), orang Islam tetap bersolat dan menyembah Allah, Tuhan yan satu. Berbeza dengan agama berhala. Arahnya disemua tempat, ada yang pandang depan, ada yang pandang belakang, ada kiri, ada kanan. Ini berbezaan Islam dengan bukan Islam. Kami berdiri bersama-sama mengadap pada Tuhan yang satu, Allah SWT.

Ada satu lagi kenyataan beliau yang saya rasa pembohongan atau ketidakcerdikan beliau, bilamana menyebut Tuhan tidak bagi berpoligami dan tiada dalam Al-Quran. Benar ke kenyataan ini?

Kerana itu saya katakan tadi, seorang pensyarah yang biasa dengan buku dan menjadikan buku sebagai ilmu, mengatakan sebegitu. Sangat malang. Tradisi seorang yang berada di universiti adalah tradisi ilmiah, yang menjadikan buku sebagai sumber maklumat dan pengetahuan dan rujukan. Jika perkara sebegini rupa pun beliau tidak tahu, sangat malang bagi seseorang yang bernama pensyarah. Perkataan poligami itu sendiri memang tidak ada, tidak hairanlah tiada, kerana perkataan poligami itu sendiri disebut kemudian. Begitu juga dengan perkataan ‘tudung’, zaman dahulu tidak sebut tudung, tetapi kain yang menutup kepala. Lihatlah bagaiman mereka menggunakan terma perkataan baharu atau yang terdemudian, kemudian mendakwa Al-Quran tidak menyebutnya, kemudian tidak wajib pakai tudung. Sangat pelik, ini memerlukan diskusi yang lain untuk membincangkan perkara berkaitan hal ini. Berbalik kepada poligami, benarnya dalam Al-Quran tidak menyebut poligami, tetapi secara asasnya berkahwin 4 itu dibolehkan dan disebut dalam Al-Quran.

Firman Allah,
Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.

Surah An-Nisa[4] : 3

Surah ke-4 ayat yang ke-3, jelas ayat ini “dua, tiga atau empat”, jika kita tidak mampu untuk berlaku adil “maka seorang sahaja”. Allah juga memberi amaran kepada sesiapa yang tidak adil dan berlaku zalim. Boleh dikatakan ini awal surah di dalam Al-Quran menjelaskan perkara ini. Bagaimana seseorang berstatus pensyarah boleh tertinggal perkara ini? Kadang kala mereka ini mendakwa dengan hanyalah andaian, sedangkan mereka tidak pernah membaca pun isi Al-Quran yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW. Mereka ini seolah-olah berhayal dengan andaian “Oh, Quran kata tidak boleh berpoligami, macam mana ada undang-undang berpoligami”. Sangat mengarut! Dan sambung beliau lagi mengatakan beliau bertanya kepada semua orang dan semua orang tidak menjawab pertanyaan beliau. Dengan siapa beliau ini bertanya? Katanya lagi “Ini baru poligami, yang ini aku nak tanya? Memang tidak akan jawablah” Ujarnya lagi “Sesiapa yang faham sila bagitahu.”. Seolah-olah betapa besarnya pertanyaan beliau kepada orang Islam, yang mana orang Islam tidak mampu menjawab soalannya. Saya bukanlah Ulamak atau Ustaz, atau kelulusan agama, dan hari ini saya telah menjawab dan saya sudah beritahu, soalan yang dikatakan besar dan hebat darinya. Kerana persoalannya sangat asas dalam Islam. Nasihat saya, bertanyalah kepada orang yang boleh atau nak menjawab. Jangan berkata “Semua orang tidak boleh menjawab”. Kadang orang yang mereka tanya ini pun dari golongan mereka sendiri, memanglah tidak menjawab.

Adapun kenyataan beliau mengenai Al-Quran telah diubah dan dakwaan solat orang Melayu, kenyataan ini sahaja sudah pelik. Bagaimana lagi hendak menjawab. Bila ditanya “Bagaimana cara Melayu sembah Tuhan?” Jawabnya “Kena tanyalah Melayu”. Bila ditanya lagi cara yang difahami oleh beliau. “Tanyalah Melayu”. Lihat, bagaimana mereka mendakwa atau klaim sesuatu yang mereka sendiri pun tidak tahu apa jawabannya.

Beliau mendakwa Tuhan berkata kepada Tuhan, dia menyebut Bismillah maksudnya dengan nama Tuhan. Tuhan berkata kepada Tuhan? Inilah kesan ilmu falsafah yang melampau. Sehinggakan kenyataannya pun sukar untuk difahami dan mengarut. Beliau juga ada menyebut perihal surah Al-Fatihah, ayat Quran, surah Al-Fatihah “Segala puji bagi Allah” “Tunjukilah kami jalan yang lurus”. Beliau memetik perkara ini dan mengatakan “Jika kita tak apalah kan” Dia juga berkata “Tuhan syukur kepada Tuhan dia”. Katanya lagi “tunjukan aku jalan yang lurus. Eh, Tuhan kau tak tahu ke jalan yang lurus?”. Sangat kesian kepada mereka yang begini. Saya tidak tahu ilmu yang bagaimana mereka gunakan, hujah yang bersandarkan atau berlandaskan apa. Ilmu falsafah melampau atau apa? Atau syaitan yang telah menghayutkan dan tenggelamkan mereka? Jika seseorang itu memahami teks yang sangat baik, mereka akan tahu Tuhan bukan berdoa kepada Tuhannya, tetapi mengajar hambanya berdoa kepada Tuhannya. Ini mudah untuk difahami sebenarnya. Sebagai contoh, seorang ayah mengatakan kepada anaknya “Ini A”. “Eh, ayah kau tak tahu ke itu A?” Bukan ayahnya tidak tahu ‘A’, tetapi mengajar anaknya itu ‘A’. Ini ayat yang mudah. Jika semudah ini beliau sebagai seorang pensyarah tidak mampu atau tidak berkeupanyaan untuk memahami, bagaimana beliau boleh menjadi pensyarah? Institusi ilmu mempunyai seseorang yang tidak mampu berfikir atau di universiti dipanggil ‘Critical Thinking’. Ketidakbolehan beliau berfikir perkara semudah ini. Sangat menyedihkan.

Adapun soal nombor ekor itu dikatakan boleh, dikatakan matametik dan sebagainya. Semua orang sedia maklum, judi itu HARAM. Tidak kiralah sama ada kira-kira, matametik atau apa pun. Bila ianya berkaitan dengan judi, maka, ianya HARAM!

Nabi Sulaiman dan Nabi Ibrahim orang Melayu? Dengar sahaja sudah pelik.

Bila kita mengangkat bangsa lebih daripada agama, perkara ini akan terjadi. Melayu ialah bangsa, jangan pernah membuang Melayu, kerana ini adat dan bangsa kita. Melayu mempunyai sejarah yang unik, kehebatan Melayu pernah diperkatakan sejak dahulu lagi. Bangsa yang mempunyai sejarah dan rahsia yang tersembunyi. Melayu adalah Melayu, Islam adalah Islam. Tetapi, jangan mengangkat lebih daripada itu. Jika tidak, ianya akan membawa kepada permasalahan ini, kita akan mengatakan agama Arab, agama Melayu. Islam Arab, Islam Melayu. Percaya atau tidak, memang ini benar berlaku. Kita pernah dengar orang berkata Islam Arab dan Islam Melayu. Masalah ini juga timbul bilamana mereka seolah-olah mengasingkan Quran dan Nabi Muhammad SAW dengan mengatakan Nabi Muhammad Arab, Quran membawa Islam. Pelik kan? Inilah pemikiran yang masuk perlahan tanpa kita sedar. Di Malaysia ada Rasul Melayu yang membawa ‘Surah Yasin’ dari Al-Quran yang dikatakan turun kepadanya, dan menolak Nabi Muhammad SAW. Apabila mereka cuba untuk memisahkan atau mengasingkan Al-Quran dan Nabi Muhammad SAW. Kerana itu kebanyakan ajaran sesat sebegini mereka jarang atau tidak pernah berhujah dengan hadis, cuba anda perhatikan betul-betul. Mereka akan mendakwa Al-Quran kata begini begitu dan tidak akan sebut hadis berkata begini begitu. Sebab mereka tidak mempercayai hadis bahkan secara sengaja atau tidak, mereka tidak percaya Nabi Muhammad sebagai Rasul kerana ini Rasul orang arab yang membawa budaya dan fahaman arab, kata mereka.

Bagi saya, zaman ini tiada istillah Tuhan Arab, Agama Arab kerana agama telah merentasi setiap pelusuk bangsa. Jika nama bangsa itu dijadikan sebagai nama agama, sudah pasti rosak dunia ini. Bagaimana dengan Cina? Adakah agama Cina, India agama India, orang putih agama orang putih? Benar, Nabi Muhammad seorang arab, tapi adakah ianya Agama Arab? Bagaimana dengan Gautama Buddha, beliau lahir di Nepal, adakah agama Nepal? Jesus lahir di Palestin, adakah Tuhan Palestin? Inikah pemikiran yang kita ingin bawakan? Mereka kata Islam agama sempit, sedang fikiran mereka tidak terbuka.

Seperkara lagi, jika ada agama Melayu, bagaimana mereka cina, india, orang putih hendak masuk agama melayu? Adakah agama melayu hanya untuk orang melayu? Itu permasalahan yang akan timbul bilamana nama bangsa diangkat atau dijadikan nama agama. Sedangkan Islam itu jauh lebih hebat, rahmat untuk sekalian mahkluk.

Saya harap, majlis fatwa disetiap negeri akan mengeluarkan kenyataan terhadap status beliau, adakah masih Islam, atau terkeluar dari Islam. Kerana kata-kata beliau jelas, merosakan iman dan akidah beliau. Dan pemikiran songsang dan sesat seperti ini, wajib ditentang, dialog dan berdebat. Tangkap dan dimasukan penjara, tidak akan menghilangkan pemikiran mereka ini. Haji Kahar(Rasul Melayu), ditangkap dan dimasukan ke penjara, dihukum 13 tahun penjara dan disebat. Tetapi pemikiran mereka masih ada sehingga ke hari ini. Haji Kahar juga sudah dibebaskan. Tangkap dan dimasukan dipenjara tidak menyelesaikan masalah ini. Wallahualam.

Semoga Allah lindungi kita semua dari kesesatan dan kekufuran, dan semoga mereka yang sesat ini balik kepada ajaran Islam yang sebenar. Doakan mereka, janganlah kita hanya ingin masuk ke syurga berseorangan, tariklah mereka ke jalan Allah SWT, jangan memaki hamun dan hina menghina. Kerana orang beriman sentiasa menjaga akhlak dan adabnya.

Sabda Nabi SAW,
Mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya.

HR At-Tirmizi

Sabda Nabi SAW,
Orang yang beriman itu bukanlah sifatnya memaki hamun, melaknat, berkata kotor dan juga bahasa yang keji.”

HR At-Tirmizi

Dan berdoalah supaya kita, ahli keluarga dan kaawan-kawan kita tidak terperosok dalam kesesatan. Doa minta jauh dari kesesatan.

“Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.

Surah Ali-Imran[3] : 8

Sekian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *