Wanz Ramli Blog

Terus Mencari Persamaan

Bicara Santai

Pekerja Pos Campak Barang? Menzalimi Orang Lain?

Assalammualaikum, Salam sejahtera..

Beberapa hari lepas ada satu isu yang mana bagi saya ianya tidak sepatutnya berlaku, apakah isu tersebut? Tular video yang mana pekerja perkhidmatan pos disebuah syarikat telah mencampak-campakan barang/parcel pelanggan kerana mogok dengan syarikat tersebut. Saya tidak terlalu mengikuti apa yang dimogokan, apa yang saya tahu pihak syarikat berkenaan telah mengurangkan komisen. Tetapi apa yang saya baca perkara ini tidak benar, dan seramai 7 orang itu telah memohon maaf secara terbuka atas kejadian tersebut. Mungkin ini hal dalaman yang mana kita sebagai orang luar tidak memahami apa sebenar-benarnya yang berlaku. Tidak apalah, tetapi isunya yang saya nak bawa adalah, “Kita marah orang lain, tapi rosakan harta orang lain?”.

Teringat saya satu peribahasa, “Marahkan nyamuk, kelambu dibakarnya”. Peribahasa ini sangat sesuai dengan situasi ini. Jangan disebabkan kita marahkan syarikat kita, kita campak barang pelanggan. Ini sangat melampau. Menzalimi orang lain dalam Islam, bukan perkara yang ringan. Sebab apa saya kata menzalimi? Sedar atau tidak sedar, pekerja ini telah merosakan harta benda orang lain yang tiada kene mengena dengan masalah dia dan syarikat dia. Pelanggan terpaksa menanggung kerugian. Kerugian yang ditanggung oleh pelanggan bukanlah kecil, bahkan ratusan ada yang ribuan. Benar, mereka boleh klaim kepada syarikat tersebut, tetapi mereka perlu membawa segala bukti dan siasatan perlu dijalankan. Ini mengambil masa yang agak lama, bahkan berbulan lamanya.

Saya tidak mahu masukan diri saya kedalam masalah dalaman antara pihak syarikat perkhidmatan pos berkenaan dengan pekerjanya, cuma saya nak bercerita mengenai kesalahan mencampak harta benda orang lain itu salah dan menzalimi orang lain.

Kita perlu tahu sesuatu perkara yang mana dalam Islam, Islam sangat tegas dalam bab jangan menzalimi sesama makhluk, kerana kesalahannya bukan kecil anak. Ianya dibawa sehingga ke akhirat kelak. Dan dosa semasa manusia hanya boleh terampun dengan cara meminta maaf kepada orang yang kita zalimi. Jika tidak, sediakan pahala yang banyak diakhirat kelak atau bersedia untuk memikul bebanan dosa orang yang kita zalimi itu.

Rasulullah SAW Bersabda :
Barangsiapa yang menanggung kezaliman yang dilakukan ke atas orang lain, sama ada mengenai maruah dan kehormatan atau sebarang perkara lain (mengambil harta orang lain) maka bersegeralah untuk meminta keampunan sebelum datangnya masa yang tidak ada padanya wang ringgit atau emas perak untuk membayarnya, bahkan pada masa itu kalau ia mempunyai amal soleh, akan diambil daripada amalnya itu dan diberikan kepada orang itu, kalau ia pula tidak mempunyai amal soleh, maka akan diambil dari kesalahan orang itu serta dibebankan kesalahan itu ke atasnya.

HR Tirmizi

Hadis ini berceritakan menzalimi orang lain ini amat keras hukumannya. Seolah-olah ini bukan peringatan, tetapi amaran kepada kita. Ianya tidak semudah yang kita sangka. Hanya duduk ditikar sejadah, dan memohon maaf pada Tuhan. Dosa sesama manusia perlu meminta maaf kepada orang yang kita telah zalimi.

Bayangkanlah, ketika mana dunia sedang mengalami kejatuhan ekonomi, kita berkeadaan sukar. Kita mencari cara lain untuk mendapat pendapat lebih, kemudian kita berniaga. Kita mengharapkan perkhidmatan pos berkenaan untuk menghantar barang kita, akhirnya barang kita rosak dan terpaksa menanggung kerugian. Ketika mana ekonomi jatuh, ditimpa tangga, barang rosak, hilang, kerugian dan sebagainya. Kesianlah pada pelanggan yang mana bukan semua orang berduit ketika ini. Untung berniaga pun sedikit, kemudian nak ditanggung dengan barang yang rosak. Jangan hanya fikir susah kita sahaja, fikirlah kesusahan orang lain juga. Adakah semudah memohon maaf secara terbuka telah menyelesaikan masalah?

Pihak perkhidmatan pos berkenaan perlu menyelesaikan perkara ini dengan serius, supaya pelanggan dapat semula barang yang mereka hantar dan kerugian yang mereka alami. Jangan menzalimi pekerja anda dengan menurunkan komisen, bonus, gaji sesuka hati anda. Barangan pos semakin bertambah, tetapi komisen semakin berkurangan. Jelaskan kepada pekerja anda apakah yang sedang berlaku.

Rasulullah SAW Bersabda :
Berikanlah upah pegawai (buruh), sebelum kering peluhnya.

Riwayat Ibn Majah (2443), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (11988)
dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Saghir (34)

Rasulullah SAW Bersabda :
Terdapat tiga golongan yang akan menjadi musuh-Ku pada hari Kiamat… (salah satunya ialah) orang yang mempekerjakan orang lain, namun setelah orang tersebut memenuhi tugasnya, upahnya tidak dibayarkan.

HR Bukhari, Ibn Majah

Pekerja pula, jangan hanya memikirkan “Lantaklah! Biar syarikat tanggung barang yang rosak atau hilang. Biar mereka tanggung kerugian ni!” tanpa memikirkan “Apa yang aku bakal tanggung bila mengadap Tuhan nanti?”. Ingat, tangan kita ini telah menzalimi hak orang lain. Sama ada orang itu ampunkan dosa kita, atau meminta ganti rugi atau redha, itu hak dia untuk memberi. Tetapi kita yang telah menzalimi orang lain, perlu atau kena meminta maaf kepada orang yang kita zalimi. Kita mesti menjaga adab dan akhlak kita.

Rasulullah SAW Bersabda :
Mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya.

HR Tirmizi

Kepada pelanggan, aduan perlu dilakukan kerana kita tidak mahu perkara ini berulang lagi. Bukan niat kita untuk menghukum pekerja, tetapi pekerja tersebut perlu tahu ini adalah satu kesalahan besar dan berat. Merosakan harta benda orang lain bukan hanya sekadar undang-undang negara, bahkan dalam agama. Bilamana kita dizalimi, kita mempunyai hak untuk menuntut hak kita. Gunakan hak kita sebagai pengguna. Cumanya, kita mesti menjaga lidah kita daripada bermaki hamun. Ya, mereka melakukan kesalahan, tetapi bukanlah satu tiket untuk kita memaki hamun orang lain, dan bukanlah dikalangan orang beriman yang suka bermaki hamun, sumpah serapah orang. Jagalah adab dan bahasa kita.

Firman Allah SWT :
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka;

Surah al-Hujurat: 11

Rasulullah SAW Bersabda :
Orang yang beriman itu bukanlah sifatnya memaki hamun, melaknat, berkata kotor dan juga bahasa yang keji.

HR Tirmizi

Perkara ini seolah-olah menjadi, Syarikat yang menzalimi pekerjanya, pekerjanya menzalimi pelanggannya. Akhirnya pelanggan yang tiada kena mengena dalam drama ini pula dizalimi mereka. Seperti pepatah tadi, marahkan nyamuk, kelambu dibakarnya. Kesudahannya, pelanggan dipersalahkan kerana memilih perkhidmatan pos berkenaan. Sudahlah ditanggung barang rosak dan hilang, dipersalahkan pula menggunakan perkhidmatan pos berkenaan. Inilah dunia hari ini yang perlu kita lalui sehingga akhir hayat. Bertabahlah.

Sekian.

Tagged:

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts