Pusat Zakat, Bantulah! Simpan Duit, Buat Apa! Makan Gaji Buta ke?

Author:

Assalammualaikum, Salam sejahtera..

Mesti kita pernah dengar bukan perkataan kecaman kepada Institusi Agama, Pusat Zakat, Baitulmal dan Pengurusan Duit Masjid? Baru-baru ini ramai yang mengecam, menghina, memaki hamun Institusi Agama sebagai makan gaji buta, tidak bantu orang, makan duit penderma atau pembayar zakat, tidak pergi cari asnaf dan banyak lagi ayat-ayat kecaman yang dilemparkan terhadap Institusi Agama.”Mana Pusat Zakat? Ini orang susah ni! Buta ke? Makan gaji buta? Pergilah cari asnaf!”. Ini terjadi bilamana melihat seorang penderma dermawan terkenal di Malaysia yang menderma kepada orang asnaf. Tetapi, memaki hamun, hina, bukanlah sesuatu yang baik, bahkan tidak menyelesaikan masalah.

dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk…

Surah al-Hujurat: 11

Orang yang beriman itu bukanlah sifatnya memaki hamun, melaknat, berkata kotor dan juga bahasa yang keji.”

HR At-Tirmizi

Bagi pandangan saya yang lemah ini, tidak adillah jika kita hanya melihat kepada seorang, tanpa melihat sumbangan orang lain. Ya benar, Institusi Agama mempunyai kelemahan dan kekurangan seperti Pusat Zakat, Baitulmal, AJK Masjid(pengurusan duit). Ini tidak boleh dinafikan dari semua golongan termasuk mereka yang berada didalam institusi ini.

Bilamana seseorang terdesak nak minta duit di Masjid, hanya RM50 sahaja. Tetapi bermacam alasan yang diberi, terpaksa buat surat itu ini. Ada yang beri alasan Bendahari tiada, peti kunci dan sebagainya. Ini berlaku, bahkan pernah seseorang terpaksa meminjam duit dari saya kerana beliau benar-benar terdesak kerana ATM mesin rosak dan pada ketika itu minyak motornya habis. Bila beliau minta pada Masjid(saya tidak mahu sebut nama Masjid tersebut) berdekatan, mereka beri alasan bendahari tiada, peti kunci, tidak boleh bagi dan sebagainya. Walaupun kita tahu beliau betul-betul terdesak pada ketika itu. Malunya mungkin dia seorang sahaja yang tahu, bukan tiada duit dan saja-saja minta, tetapi keterdesakan dia pada waktu itu membuatkan pada ketika itu dia susah. Apatahlagi yang benar-benar susah dan tiada duit pada ketika itu. RM50? Bermacam alasan diberi oleh pihak Masjid, bagi saya ini sangat memalukan. Saya dapat tahu sehari sumbangan di Masjid(Jika besar) hampir RM1,000 bahkan ada yang lebih. Tetapi, itulah yang terjadi. Jangan kita lupa, pernah seseorang putus asa meminta bantuan, kemudian pergi ke gereja dan dapat bantuan, kemudian dia murtad. Ini bukan cerita rekaan, ini benar berlaku. Saya faham, pihak Masjid perlu membayar bil elektrik, air dan bermacam-macam lagi, tapi RM50? Imarahkan masjid dengan duit penderma.

Adapun masalahan Pusat Zakat dan Baitulmal, biarlah orang yang memohon berikan kekurangan dan kelemahan pihak institusi ini. Saya tidak berani untuk mengatakan kerana saya bukan pemohon zakat atau baitulmal dan saya juga bukan penerima. Walaupun terdapat banyak kritikan kepada institusi ini yang mana terlalu banyak surat perlu diisi, susah untuk memohon dan sebagainya, saya juga berharap institusi ini memudahkannya. Kerana Islam sentiasa memudahkan umatnya. Mungkin juga disebabkan terlalu ramai yang menipu latar belakang dan sebagainya. Tetapi itu bukanlah alasan untuk melambatkan pemohonan. Permudahkanlah urusan orang.

Sesiapa yang melepaskan saudara mukmin daripada kesusahan di dunia maka Allah akan melepaskan kesusahannya pada hari kiamat

Rujuk: 40 Hadis Imam Nawawi: 36

Tetapi untuk mengatakan semua Institusi Agama tidak pernah beri bantuan atau tidak buat kerja, bagi saya ini perkataan yang tidak adil. Jika seorang asnaf diberi RM300/sebulan, jika puluhan atau ratusan ribu asnaf dibawah Pusat Zakat atau Baitulmal sudah ratusan ribu ringgit setiap bulan Institusi Agama keluarkan. Ini sebahagian dari bantuan bulanan, tidak termasuk bantuan persekolahan atau pengajian, perbetulkan rumah, bantuan banjir, bantuan kecemasan dan lain-lain. Jika kita biasa mengikuti agihan zakat setiap tahun memang ada dikhabarkan. Pusat Zakat dan Baitulmal juga ada sahaja mencari asnaf-asnaf di kampung-kampung, buat surau diperkampungan orang asli, bantuan dan sebagainya. Jika tidak salah saya, hampir setiap tahun ada majlis perkahwinan secara ramai-ramai, dan majlis berkhatan beramai-ramai anjuran zakat atau baitulmal. Bukankah ini sebahagian dari bantuan atau sumbangan? Jika salah, betulkan saya. Bezanya perkara ini tidak diuar-uarkan secara meluas sahaja.

Mungkin ini kekurangan dan kelemahan pihak Institusi Agama, Pusat Zakat dan Baitulmal. Dalam zaman serba serbi moden ini, jangan terlalu membisu dan berfikiran tradisional. Ini zaman media sosial terbuka luas. Luaskan sumbangan anda kepada masyarakat. Bukan bermakna riak, tetapi pemberi zakat dan penginfa’ duit ingin tahu, kemana perginya duit tersebut. Adakah disimpan dan diperap, atau disumbangkan, atau mencari asnaf dikampung-kampung, atau membuat banggunan Pusat Zakat yang mewah dan gah, atau main golf atau sebagainya. Semuanya perlu diberitahu, kerana ini zaman terbuka. Bukanlah semua itu bermaksud semua perkara privasi hal dalaman, maksudnya disini, duit itu kemana perginya, dimana sumbangannya, itu sahaja yang masyarakat ini tahu.

Bagi saya, orang yang tidak setuju itu biasa, maki orang itu luar biasa. Saya hairan dizaman ini, kita menggunakan hujah agama kepada institusi agama, tetapi melafazkan perkataan yang dilarang oleh agama. Ajaib.

Celakalah golongan-golongan pelampau. Baginda SAW mengucapkannya sebanyak tiga kali”

HR Muslim

Jangan berbicara sehingga menfitnah. Mungkin kita rasa kita mempunyai hujah didepan Tuhan, tetapi Institusi Agama mempunyai kertas dan bukti pengagihan bantuan mereka dihadapan Tuhan. Hati-hati. Setiap langkah kita pada zaman ini terlalu dekat untuk terperosok ke lembah kenerakaan. Setiap perjalanan kita, setiap pergerakan tangan kita, setiap pandangan kita, apatahlagi setiap percakapan mulut kita. Ini zaman fitnah.

Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebahkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).

Surah al-Nur:19

Cukuplah seseorang dikatakan pendusta apabila dia menyampaikan apa sahaja yang didengarinya

HR Muslim

Berkata malaikat yang mengiringi Rasulullah S.A.W.); “Adapun orang yang diseksa dengan penyangkut besi yang menembusi pipi sehingga ke belakang lehernya dan disengkut lubang hidung sehingga menembusi belakang lehernya dan disengkut mata sehingga menembusi batang lehernya ialah kerana kerjanya sejak pagi menyebarkan pembohongan ke sehingga seluruh ufuk penjuru dunia

Riwayat Ibn Hibban di dalam Sahihnya (655)

Setiap orang ada kelemahannya, dan setiap manusia ada sumbangannya. Bilamana kita rasa hanya kita seorang sahaja yang melakukan kebaikan, kita hanya akan mengatakan keburukan orang lain. Bilamana kita rasa hanya kita sahaja yang benar dijalan Allah, kita akan mulai sesatkan orang lain. Muhasabah diri.

Sesungguhnya seseorang terkadang berbicara dengan kata-kata yang dia sangkakan tidak mengapa, lalu (tanpa diduga) dia terjerumus dengan sebabnya ke dalam neraka (yang kedalamannya) sejauh perjalanan tujuh puluh tahun.

HR Ahmad

Sekian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *