Takut Virus VS Takut Dajjal

Assalammualaikum, Salam sejahtera..

Zaman ini kita ada dua golongan yang saling bercanggah antara satu sama lain. Yang pastinya mereka akan mencari apa sahaja hujah yang akan menguatkan pandangan mereka walaupun kadang-kala hujah mereka sangat tidak masuk akal. Siapakah golongan tersebut?

Sebelum itu, saya perlu jelaskan disini. Pegangan saya ialah berhujah tanpa sebarang makian, cacian, hinaan. Atau tiba-tiba mengatakan, “kesian mak ayahnya dapat anak begitu” dan ada yang lebih dari itu. Itu bukan pegangan saya.

Firman Allah SWT,
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.

Surah Al-Hujurat[49] : 11

Sabda Nabi SAW,
Mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya.

HR At-Tirmizi

Sabda Nabi,
Sesungguhnya seseorang terkadang berbicara dengan kata-kata yang dia sangkakan tidak mengapa, lalu (tanpa diduga) dia terjerumus dengan sebabnya ke dalam neraka (yang kedalamannya) sejauh perjalanan tujuh puluh tahun

HR Ahmad

Jangan kita termasuk dalam golongan yang suka mengkeji dan menghina atau bermakian atau berkata perkara kotor kepada orang lain.

Sabda Nabi SAW,
Orang yang beriman itu bukanlah sifatnya memaki hamun, melaknat, berkata kotor dan juga bahasa yang keji.”

HR At-Tirmizi

Semoga Allah lindungi kita semua dari sifat yang tidak baik.

Siapakah golongan yang saya maksudkan itu?

Takut Virus Lebih Dari Takut Tuhan dan Takut Dajjal Lebih Dari Takut Tuhan.

Kedua-dua golongan ini saling bercakaran antara satu sama lain, apa yang lebih menduka citanya, ya, kebanyakannya orang Islam. “Ada ke bangsa atau agama lain yang bercakaran mengenai ini?”. Jawapannya ada. Perkara ini bukanlah hanya hangat di Malaysia sahaja, bahkan negara lain juga. Jika dari konteks luar negara, kita biasanya disebut ‘Pro-Vaksin’ vs ‘Anti-Vaksin’. Tetapi dalam negara kita kerana sebilangan besarnya adalah orang Islam, perkataan itu ditukar kepada ‘Takut Virus Dari Takut Tuhan’ vs ‘Takut Dajjal Dari Takut Tuhan’.

Tetapi apa yang saya hendak tulis ini ialah, kita tidak boleh berada terlalu kanan atau terlalu kiri. Kita patut sederhana dalam setiap pemikiran supaya kita tidak terlalu melampau atau ekstrem dalam apa sahaja pemikiran yang kita bawa. Kerana ini sangat membimbangkan, bilamana jika kita sangat keterlaluan, ianya akan membawa kepada pemikiran yang akhirnya menyesatkan orang yang tidak sebumbung dengan kita. “Boleh ke sehingga ke tahap itu?”. YA, hari ini kita lihat kumpulan atau golongan ini membawa pemikiran yang sangat melampau sehingga menyesatkan orang lain. Dan segolongan lagi takut yang melampau sehinggakan menggadai segala-galanya termasuklah perintah Tuhan.

Sabda Nabi,
Musnahlah golongan yang melampau

HR Muslim

Golongan pertama, TAKUT VIRUS LEBIH DARI TAKUT TUHAN,

Takut seseorang manusia jangan terlalu berlebihan sehinggakan seolah-olah ada sesuatu yang boleh mengatasi kekuasaan Tuhan. Kita perlu bezakan takut yang melampau dan berwaspada adalah dua hal yang berbeza. Waspada ini ialah perkara yang kita perlu berhati-hati, contohnya seperti hari ini. Keluar memakai pelitup muka, bawa cecair pembasmi kuman(Hand Sanitizer), jaga jarak, jangan terlalu ambil ringan terhadap wabak. Ini proses biasa dalam manusia, sentiasa berwaspada.

Adapun orang yang takut melampau ialah orang yang melampau dalam semua perkara sehingga mengganggu kehidupan dirinya dan orang lain. Sebagai contoh, keluar depan pintu tidak mahu, beli barang di kedai takut, tidak mahu pergi kerja, bila jumpa orang lari sehingga orang nak bercakap dengannya tak boleh, ini semua perkara yang keterlaluan. Bukan itu sahaja, ada juga orang yang sehingga tidak ke masjid, solat Jumaat diabaikan. Adapun solat-solat lain, boleh dilakukan dirumah, tetapi solat Jumaat hanya boleh dilakukan secara berjemaah, walaupun pemerintah sudah membenarkan, tetapi ramai juga yang masih tidak mahu pergi kerana takut dan sebagainya. Takut virus atas kepala paip, takut virus atas karpet, orang ramai, takut dengan jemaah sebelah yang tidak dikenali. Semuanya serba tidak kena. Bagi saya ini agak keterlaluan dan melampau jika semuanya takut virus. Semua hendak diviruskannya. Sepertimana yang saya beritahu tadi, bezakan antara waspada dan takut yang melampau. Waspada itu boleh, takut melampau itu tidak baik.

Golongan ini juga boleh dikatakan kebanyakannya atau hampir semua, golongan ‘Pro-Vaksin’. Jadi sesiapa yang tidak mengambil vaksin, segelintirnya akan tuduh ‘Teori Konspirasi’ atau ‘Anti-Vaksin’, nak bunuh orang lain sebab tak vaksin, dan bermacam-macam lagi. “Nak bunuh orang lain” ini tuduhan yang agak berat ya. Sebenarnya mereka yang tidak mahu vaksin ini bukanlah anti-vaksin atau orang teori konspirasi. Sebahagian besar dari mereka was-was atau tidak yakin dengan vaksin, kesan sampingan, tindak balas terhadap badan, itu sahaja. Bagi saya, itu tidak menjadi masalah. Waktu dan ketika ini mereka merasakan was-was atau tidak yakin dengan vaksin, mungkin kemudian hari bilamana vaksin sudah diuji dengan sangat baik di Malaysia, mereka akan ambil. “Sebab apa mereka takut sangat, ambil sahajalah”. Ingat, tidak semua berani dan tidak semua berada dalam situasi kita. Mungkin dia seorang bapa yang mana dia terfikir “Kalau aku ambil tetiba sakit, siapa nak jaga anak bini aku”. Jangan salahkan dia berfikiran begitu, itu hanyalah tindak-balas biasa bagi seseorang manusia bilamana ada sesuatu perkara baru.

Tetapi dalam ini, ada satu lagi golongan yang sedikit pelik. Takut ke masjid, tapi ke pusat beli belah, lepak kedai mamak, OK. Ya, golongan ini saya tidak tahu nak meng-kategorikan dibelah mana. Mereka takut virus, tapi hanya dimasjid, tempat lain tiada masalah. Pelbagai alasan diberi apabila dimasjid. “Islam suruh menjaga nyawa, kalau hujan pun tidak solat Jumaat tidak mengapa, kalau takut boleh tinggalkannya”. Tidak dinafikan ada pendapat tokoh agama yang mengatakan sedemikian rupa, tetapi mestilah memahami apa maksudnya disitu. Jika anda seorang yang takut(sepertimana mula-mula kedatangan covid dahulu yang mana memang kita tidak tahu apa benda wabak ini sehingga ramai orang mati), memang dibenarkan tidak ke masjid kerana takut dan ingin menjaga nyawa, dengan syarat nak keluar tempat lain pun anda takut, bukan hanya kemasjid sahaja. Tapi jika bilamana ‘bershopping’ atau lepak mamak, “tak apa pakai pelitup muka, tak apa guna cecair pembasmi kuman, tak apa jaga jarak, kalau kita jaga kita virus tak kena”. Tapi kalau ke masjid seribu alasan diberikannya. Ini pemikiran yang salah dan tidak betul. Meletakan hukum ke tempat yang kita tidak mahu pergi, dan membuang hukum ke tempat yang kita suka. Ada yang waktu solat Jumaat kita akan lihat mereka lepak kedai makan, kemudian kita balik dari masjid, kita akan lihat dia masih disitu tengah makan. Mungkin dimasjid banyak virus dan kedai makan tiada virus. Mungkin.

Golongan kedua, TAKUT DAJJAL LEBIH DARI TAKUT TUHAN.

Waspada dengan semua agenda dajjal adalah sesuatu yang sangat baik. Dalam Islam, dajjal itu memang benar ada dan wujud. Kerana itu kita sering diingatkan perihal dajjal dan membaca surah Al-Kahfi

Sabda Nabi,
Sesiapa yang menghafal 10 ayat daripada awal surah al-Kahfi akan terselamat daripada fitnah Dajjal

HR Muslim

Jelas, fitnah dajjal diakhir zaman ini sangat menakutkan. Jika ada yang tidak percaya dajjal dan sebagainya, boleh rujuk Portal Mufti WP. Sebab saya tahu, ada yang mempertikaikan dan tidak percaya dajjal dan fitnah akhir zaman. Tetapi hakikatnya memang ada. Perihal dajjal disebut dalam hadis Nabi. Tetapi, setiap pemikiran yang melampau adalah perkara yang tidak baik.

Keterlaluannya golongan ini sehingga menyesatkan sesiapa sahaja yang tidak sependapat dengan mereka sehingga mengatakan orang lain tidak mempercayai Al-Quran dan Hadis Nabi mengenai dajjal. Kita perlu memahami satu konsep disini, kita mempercayai Al-Quran dan khabar dari Nabi, tetapi kita hanya tidak mempercayai jalan cerita yang mereka ceritakan sahaja. Dengan kata lain, kami percaya apa yang diriwayatkan dari Nabi(Sahih) tetapi jalan cerita anda itu kami tidak percaya. Nabi bercerita mengenai dajjal akan datang, tetapi anda cerita dajjal boleh jadi cecair. Dajjal akan datang itu kami percaya, cecair itu kami tidak percaya. Dalam erti kata lain, orang percaya Sabda Nabi. Jangan disebabkan orang lain tidak percaya kita, kita cakap dia tak percaya Nabi. Dua perkara yang berbeza. Memang pada asalnya mereka kata, ini hanyalah pendapat sahaja, tetapi dalam masa yang sama mereka kata, kalau tidak percaya cerita dajjal ini anda menolak Al-Quran dan Hadis.

Cerita mengenai dajjal ada dicerita didalam hadis, siapa dajjal, dimana dajjal akan keluar, siapa pengikutnya. Tetapi sangat terhad. Kita tahu dia akan keluar, tetapi nak tahu betul-betul dimana dajjal akan keluar, memang sukar. Begitu juga kedatangan Imam Mahdi, wajib kita mempercayainya, tetapi dimana dia akan keluar secara khususnya? Sukar untuk tahu. Ada yang cakap Malaysia, ada yang cakap Indonesia. Ada yang cakap di Malaysia dan di Negeri ini. Bermacam tafsiran yang keluar. Orang lain bukan tidak percaya Imam Mahdi itu, tetapi tafsiran itu menjadi tanda tanya.

Balik kepada tajuk asal. Hari ini golongan ini sangat kuat bersuara. Sebenarnya diluar negara pun ada golongan ini bukan hanya di Malaysia, negara barat pun ada. Jangan terlalu tidak adil mengatakan orang kita sahaja ‘paranoid’ semua benda nak didajjalkannya, orang luar pun ada pemikiran yang sama.

“Semua benda nak didajjalkannya”. Kerana itu saya mengatakan pemikiran yang melampau ini sangat tidak baik dan sehingga menyesatkan orang lain. Hari ini kita melihat golongan yang melampau ini mendajjalkan semua orang termasuklah Mufti-Mufti di Malaysia kerana meng-halalkan dan mengharuskan vaksin, dan ada sebahagian golongan yang wajib ambil vaksin. Hairan, sehingga Mufti pun didajjalkannya. Mufti mengambil kira segala aspek dan kesan terhadap umat, dan rujukannya sangat meluas, puluhan kitab dirujuk, ulamak luar ditanya, doktor Islam disoal, dan akhirnya Mufti didajjalkan kerana ambil mudah. Sedangkan setiap fatwa yang dikeluarkan mengandungi nota kaki, rujukan mana yang diambil, puluhan kitab ditangan menjadi sumber rujukan, datang kita mengatakan hujjah dari google dan filem hollywood? Sungguh tidak masuk akal. “Filem hollywood mengatakan begini begitu, cari google juga menguatkan hujah ini”? Dari segi disiplin ilmu, jelas ini akan ditolak.

Kita saban hari mengatakan fitnah dajjal bahaya, tapi dalam masa yang sama, kita fitnah Mufti dan orang agama sudah menjadi perkara biasa pula. Siapakah yang dajjal sebenarnya ini? Jika tidak mahu ambil vaksin, itu tidak menjadi masalah, cukup sampai disitu. Tetapi memfitnah sesuatu yang tiada dikatakan ada, ini bermasalah. Menggembar-gemburkan perkara yang bukan-bukan, tiada babi dikatakan ada babi, boleh digunakan dikatakan muka jadi jatuh, DNA diubah. Walaupun Mufti kata halal dan harus, doktor pula mengatakan tiada masalah. Dikatakan pula Mufti dajjal dan terikut illuminati, doktor dapat penghargaan freemason. Maaf, ini sangat keterlaluan dan melampaui batas.

Jika dahulu bungkusan Nasi Lemak dikatakan piramid = illuminati = freemason = dajjal. Hari ini, jangan ambil vaksin, dajjal. Jangan sekolah, sistem dajjal. Lihat itu dajjal, tengok itu dajjal. Sehingga ada yang tidak mahu masuk belajar(Universiti) dan tidak mahu kerja, katanya dajjal nak keluar, akhir zaman. Bukankah kita sama sahaja dengan golongan orang Takut Virus Lebih Dari Takut Tuhan? Apakah ada yang lebih besar kekuasaannya selain dari ALLAH SWT?

Sebelum ini kita mengatakan “Jangan ambil Vaksin Pfizer, Amerika, Yahudi”. Kemudian bila masuk Vaksin Sinovac, kita kata “China, komunis, cap ayam, murah”. Sebelum ini suruh Menteri ambil vaksin dulu, kemudian baru ikut. Lepas Menteri ambil, dikatakan pula yang cucuk itu air, vitamin, tukar jarum biru oren dan ada yang cakap Menteri dapat vaksin bangsawan, rakyat marhaen dapat vaksin cap ayam. Akhirnya sekarang orang tidak mahu jenama ‘komunis’, nak jenama ‘yahudi’ pula, sebab mahal, kualiti, lebih elok baik. Baru-baru ini ada Menteri mengatakan akan ambil vaksin jenama lain demi untuk menyakinkan rakyat. Jadi, lihat dan tunggu, apa alasan yang kita akan berikan. Pfizer ‘yahudi’, Sinovac ‘komunis’. Kesimpulan mudahnya, sebenarnya memang tidak mahu ambil vaksin. Vaksin dajjal. Nak pergi umrah kita ambil Vaksin Pneumococcus, wajib. Kemudian boleh ambil Vaksin Influenza jika anda mahu. Sebenarnya banyak vaksin yang kita sudah suntik dalam badan kita. Ustaz yang beritahu semua vaksin ada kene mengena dengan dajjal dan nak merosakan atau melemahkan umat Islam, bilamana dia pergi umrah, dia juga akan ambil suntikan vaksin. Alhamdulillah, mereka beribadah seperti biasa. Tapi tidak tahulah jika selepas mereka disuntik vaksin, ibadah jadi malas. Nak buka kedai makan pun, perlunya Vaksin Typhoid. Tapi jika kita merasa was-was dan tidak yakin dengan vaksin covid kerana masih baru, itu tiada masalah, itu perkara biasa, seperti saya katakan sebelum ini. Cuma jangan keterlaluan mengatakan sesuatu yang tidak ada, dikatakan ada.

Sebenarnya tidak perlu dajjal suntik vaksin untuk merosakan umat Islam. Cukup hanya dajjal memberi sebatang rokok kepada kita sahaja. Cubalah mengatakan rokok haram dan buat larangan merokok ditempat awam atau di kedai makan, lihatlah, siapa yang lebih membantah. Saya tahu ramai yang mengatakan vaksin ini dajjal dan dalam masa yang sama mereka merokok. Jika anda seorang yang mengatakan vaksin dajjal, dan kandungan vaksin kita tidak tahu, ada kandungan apa, entah-entah ada khinzir, mungkin ada bahan kimia bahaya atau apa sahaja. Pernahkah anda terfikir apa kandungan rokok yang anda sedut dan hembus hampir setiap saat masa dan ketika? Jangan dikatakan cop halal Malaysia, cop halal luar negara pun tidak ada, cop halal palsu pun tak berani nak cop, apatahlagi kandungannya pun kita tidak tahu. Mungkin juga setiap puntung rokok mengandungi nanochip atau bahan yang akan merosakan Biologi dan DNA kita. Dan terbukti Ibu atau Ayah yang merokok mendapat janin yang bermasalah dari segi kesihatan. Berpuluh tahun atau mungkin seratus tahun orang kita merokok dan ada yang cacat, sakit, mati kerana rokok, pernah tidak kita terfikir sebenarnya rokok ini agenda dajjal yang paling berjaya didunia ini? Dan tidak seorang pun dari golongan ini membantah rokok secara terbuka dan sekeras-kerasnya, kerana apa? Kerana sesuatu perkara yang kita suka, kita jarang untuk membantahnya. Sama seperti orang yang ambil vaksin untuk kesihatan, tetapi dalam masa yang sama merokok dan membahaya kesihatan.

Kesimpulannya, kita tidak mahu jadi golongan pertama yang mana Takut Virus Lebih Dari Takut Tuhan, semua perkara serba tak kena, sehingga solat Jumaat pun digadainya. Kita juga tidak mahu jadi golongan pelik, solat takut, ‘shopping’ OK. Dan kita juga tidak mahu jadi golongan kedua Takut Dajjal Lebih Dari Takut Tuhan, semua perkara nak didajjalkannya. Setiap pemikiran haruslah bersederhana. Berwaspada demi menjaga kesihatan, berhati-hati dengan kehadiran dajjal. Apa yang penting dizaman fitnah akhir zaman ini, jangan tinggal solat, jangan tinggal Allah dan Nabi. Tidak guna jika kita bercerita vaksin ikhtiar, dajjal bahaya tapi solat buat-buat lupa. Takut kita hanya pada ALLAH SWT, usaha dan berserah bulat-bulat kepadaNYA. Kerana kita tidak mampu untuk mengelak diri dari fitnah dajjal. Hatta ulamak pada hari ini pun tidak mampu untuk mengelaknya, difitnah, dihina, dikeji, apatahlagi kita yang kerdil hanya rujukan google dan filem hollywood. Solat pun kadang ya kadang tidak.

Rujuk di internet ini bukanlah semuanya tidak boleh, tetapi sumber itu perlu kita titik beratkan. Nak cari perihal agama? Boleh ke Portal Mufti seperti Portal Mufti Wilayah Persekutuan. Biar rukujan itu benar dan sahih. Nak cari perihal vaksin, carilah di portal KKM atau doktor yang bertauliah.

Saya yakin, untuk menjadi golongan yang sederhana atau haluan tengah ini sangat sukar, dan sangat kecil kelompoknya. Orang lebih mudah dan senang untuk berada di haluan kiri mahupun kanan. Kerana pengaruhnya lebih besar. Tidak kiralah ingin jadi haluan kiri mahupun kanan, tetapi haluan yang melampau ini sangat tidak baik.

Semoga kita tidak tergolong dalam golongan yang pelampau yang merasakan hanya kita sahaja duduk dijalan kebenaran dan orang lain dalam kesesatan. Orang ini berkata orang itu dajjal, orang itu berkata orang ini membunuh orang, kedua-duanya pelampau dan melampau dalam berfikiran. Ingat, syuga bukan milik kita, syurga milik Allah SWT. Atas rahmatNYA kita berpeluang menikmati syurga. Jika kita hidup dengan penuh dakwah cacian, makian, hinaan, sedangkan perkara itu tidak disukai Allah. Berpeluangkah kita mendapat rahmat itu? Fikir-fikirkanlah. Kita hanya berwaspada dan bukan takut virus, bukan juga takut dajjal, hanya takut kepada Allah SWT.

Firman Allah,
Dan bagi Allah jualah kuasa pemerintah langit dan bumi, dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Surah Ali-Imran[3] : 189

Wallahuaklam, Hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui. Sekian.

Be the first to reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *