Wanz Ramli Blog

Terus Mencari Persamaan

Agama

Assalammualaikum, salam sejahtera..

Puasa dibulan Ramadan adalah Rukun Islam yang ke-3, dan wajib(ijmak) setiap orang Islam menunaikannya.

Firman Allah SWT,
Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

Surah Al-Baqarah[2] :183

Berdasarkan ayat ini, kaum terdahulu juga berpuasa, dan wajib kita berpuasa. Janganlah ada diantara kita menjadi ahli ‘GENG PLASTIK HITAM’ dibulan Ramadan ini. Sangatlah malu, terutamanya golongan dewasa dan golongan tua jika tidak puasa. Kita sepatutnya menjadi tunjuk ajar kepada golongan muda, jika kita tidak puasa kerana alasan tidak larat, sangat memalukan bilamana kanak-kanak hari ini berumur 7 tahun sudah boleh berpuasa penuh. Tetapi sebenarnya mereka bukan tidak larat, ianya lebih kepada habit atau tabiatnya memang dari dahulu malas nak berpuasa. Kadang kala sengaja sahaja tidak mahu puasa. Perangai ini tidak patut ada dalam diri kita.

Ada juga tengok kawan tidak berpuasa, dia pun nak ikut tidak puasa. Dahulu zaman saya sekolah, orang yang tidak berpuasa ini dianggap “Woo, gempak betul kau tak puasa, makan relax je..” kira semacam taiko la kalau tak puasa. Bila sudah meningkat dewasa, dan sel otak bergabung, “Apa yang gempaknya? Apa yang hebatnya?”. Tapi, itulah zaman sekolah yang mengajar erti kehidupan, dan lakukan apa sahaja yang salah dan dianggap ‘gempak’ dan ‘hebat’. Oh ya, boleh tonton karya Mamat Khalid bertajuk 16 puasa dan 17 puasa, sangat bagus untuk ditonton.

Berbalik kepada puasa ramadan dan niat. Selain dari itu, niat juga adalah sesuatu perkara yang wajib dilakukan, dalam hadis yang terkenal dan masyur ialah,

Daripada Umar bin al-Khattab R.A katanya, aku mendengar Nabi SAW bersabda:
Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat…….”

HR Bukhari (1), Muslim (1907)

Apa sahaja yang kita ingin lakukan pasti perlu ada niat. Begitu juga dengan PUASA.

Riwayat Hafsah R.Anha:
Barangsiapa yang tidak berniat (pada malam hari) sebelum terbit fajar, maka tiada puasa baginya (pada hari tersebut).


HR Abu Daud (2454). Status Hadith: Sahih.

Cumanya sedikit perbezaan disini, adakah perlu dilafazkan secara jahar, atau erti kata kita, dilafazkan sehingga terdengar ditelinga, atau cukup sekadar niat didalam hati, mengatakan “Esok aku nak puasa”. Kerana, kebanyakan orang berfikiran begini “Alamak, aku lupa nak bangun sahurlah, jadi aku lupa nak niat, jadi kalau lupa nak niat, jadi tak sahlah puasa aku hari ini, jadi bolehlah makan”. TIDAK! Sememangnya kita sebelum tidur memang hendak berpuasa ke-esokan harinya, jadi, niat itu sudah terlekat didalam hati.

Ada juga situasi yang saya dengar, dia cakap “Aku dah bangun subuh tadi, dah makan minum, tapi terlupa nak baca niat, sah ke?”. Dalam erti kata lain, kita sebenarnya masak awal pagi, hidangkan makanan dan minuman untuk apa? Melainkan memang kita ada niat untuk berpuasa. Jadi, itulah niat kita sebenarnya. Bukanlah kebiasan kita untuk bangun 4.30 pagi, masak, makan 2 pinggan nasi, minum milo ais melainkan kita nak sahur untuk berpuasa.

Jika mampu untuk bangun sahur, bangunlah, kerana terdapat keberkatan dalam bersahur. Walaupun seteguk air atau kurma atau apa-apa sahaja.

Sabda Nabi SAW,
Bersahurlah kamu semua, sesungguhnya pada sahur itu terdapat keberkatan.

HR Bukhari (1923), Muslim (1095)

Sabda Nabi SAW,
Perbezaan antara bagi puasa kita dan puasa ahli kitab adalah dengan makan sahur.

HR Muslim (1096)

Berkaitan dengan cara niat puasa, NIAT PUASA SETIAP MALAM/NIAT HARIAN dan NIAT PUASA SEBULAN, Mufti Wilayah Persekutuan telah mengeluarkan fatwa, dan kesimpulannya

Tarjih
Berdasarkan dalil dan juga alasan yang diberikan dalam permasalahan ini, kami lebih cenderung kepada pendapat jumhur dan ianya juga adalah pendapat mazhab kita, mazhab al-Syafi’ie iaitu niat perlulah diperbaharui pada setiap malam untuk berpuasa. Adapun pendapat yang mengatakan boleh berniat sekaligus untuk berpuasa selama sebulan di permulaan niat, maka kami katakan tiada masalah untuk melakukannya sebagai langkah berjaga-jaga dan dalam masa yang sama hendaklah seseorang itu berniat juga pada setiap malam.MUFTI Wilayah Persekutuan.

Jadi, jika mengikuti tarjih dari Portal Mufti Wilayah Persekutuan, tidak salah untuk niat puasa sebulan, cumanya lebih baik kita niat setiap hari.

CARA NIAT PUASA RAMADAN.

NIAT PUASA SEBULAN BULAN RAMADAN
نَوَيْتُ صَوْمَ شَهْرِ رَمَضَانَ كُلِّهِ لِلَّهِ تَعَالَى
Nawaitu Souma Syahri Ramadana Kullihi Lillahi Ta’ala
Maksudnya: Sahaja aku berpuasa keseluruhan pada bulan Ramadan kerana Allah Ta’ala

NIAT PUASA HARIAN BULAN RAMADAN
نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أَدَاءِ فَرْضِ شَهْرِ رَمَضَانَ هَذِهِ السَّنَةِ لِلَّهِ تَعَالَى
Nawaitu Souma Ghadin ‘An Ada-i Fardhi Syahri Ramadana Hazihis Sanati Lillahi Ta’ala
Maksudnya: Sahaja aku puasa esok hari pada bulan Ramadan tahun ini kerana Allah Ta’ala

Susah nak hafal? Buka youtube, cari lagu Raihan – PUASA DULU BARU RAYA.

DOA BERBUKA PUASA
ذَهَبَ الظَّمَأُ، وَابْتَلَّتِ الْعُرُوقُ، وَثَبَتَ الْأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ
Maksudnya: “Telah hilang dahaga, telah basah urat-urat dan telah ditetapkam pahala insyaAllah”.
[Riwayat Abu Daud (2357)][Syeikh al-Arna’outh menghukum sanad hadith ini adalah hasan]

DOA BERBUKA PUASA, ini yang biasa kita baca
للَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ، وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ
Maksudnya: “Ya Allah Ya Tuhan kami kerana Engkau aku berpuasa dan dengan rezeki Engkau aku berbuka”.
[Riwayat Abu Daud (2358)] [Imam al-Nawawi di dalam al-Azkar menghukum hadith ini sebagai mursal iaitu sanadnya terputus iaitu nama sahabat gugur di dalam sanad hadith ini]

Doa berbuka puasa ini sebaiknya berdoa sejurus kita berbuka atau selepas kita makan. Apa yang penting, bacalah apa sahaja doa ketika berbuka puasa, kerana ianya termasuk dalam waktu doa-doa yang mustajab. Jadi, memperbanyakanlah berdoa.

Sabda Nabi SAW,
Ada tiga golongan yang doa mereka tidak ditolak: Orang yang berpuasa hinggalah dia berbuka, doa pemimpin yang adil dan doa orang yang dizalimi.

HR Tirmizi (3598)

Sekian.

Tagged:

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts