Wanz Ramli Blog

Terus Mencari Persamaan

Ulasan Filem

Review 18 Puasa Di Kampong Pisang

Assalammualaikum, Salam sejahtera..

Pasti ramai peminat Sutradara Mamat Khalid, terutamanya penggemar filem 16 Puasa dan 17 Puasa, menantikan hasil karya seterusnya dari Mamat Khalid. Berita gembira buat peminat Mamat Khalid(termasuk saya). Mamat Khalid telah membikin siri Puasa yang terbaharu, iaitu 18 Puasa Di Kampong Pisang. Alhamdulillah, saya telah menontonnya, dan ini adalah ulasan peribadi saya mengenai filem ini. Harap anda pembaca boleh terimanya dengan hati yang terbuka. Mungkin akan ada sedikit bias kepada filem ini. Sudah pasti, akan ada, kerana saya peminat karya Sutradara Mamat Khalid.

Sebelum itu, jika hendak menonton, pastikan anda beli. HAPUSKAN CETAK ROMPAK! Mengambil hak orang lain juga suatu dosa ya.

Filem : 18 Puasa Di Kampong Pisang
Tarikh Tayangan : 15 April 2021
Pengarah : Mamat Khalid
Produksi : Astro Show
Astro First Saluran 480

Pelakon 18 Puasa :
Bell Ngasri – Barkoba
Aziz M Osman – Pak Jabit
Mat London – Pak Karim
Kazar Saisi – Pak Din Pest Control
Dewa Sapri – Cik Purnama
Namron – Tyson
Elizad Sharifuddin – Kiambang
Irfan Daniel Roslan – Kamal
Jaafar Onn – Tyson 2
Yeop Hitler Zami – Manap
Joey Daud – Daud M
Rashid Othman – Faguha Jabar
Nizam Deanne – Yah Kuchei
Ahmad Yassin – Ahmad Yassin
Muhammad Azwan Mohd Khalid – Filus
Nur Fitri – Adun

Artis Jemputan
Datuk Ustaz Kazim Elias – Datuk Ustaz Kazim Elias
Rani Kulup – Ayahanda Rani Kulup
Man Raja Lawak – Penjaga Pintu

ULASAN PELAKON

Jika dilihat senarai pelakon 18 Puasa ini agak ramai, dan kesemuanya dari Siri Kampong Pisang, ini disebabkan Filem 18 Puasa ini memang latar belakangnya dari Siri Kampung Pisang dan tiada kene mengena dengan filem 17 Puasa yang sebelum ini. Saya tidak tahu pendapat orang lain, bagi saya sedikit kecewa bagi seorang yang meminati 16 Puasa dan 17 Puasa yang sudah serasi dengan suasana itu.

Jika dilihat pada 16 dan 17 Puasa, ianya sangat berlainan walaupun sebenarnya pelakonnya sama sahaja. Kerana inilah Mamat Khalid, beliau akan membawa pelakonnya disetiap filemnya. Kita akan lihat “Orang sama je”. Oh ya, bila bercerita mengenai pelakon, Datuk Ustaz Kazim Elias juga ada satu babak dalam 18 Puasa. “Datuk Ustaz Kazim Elias berlakon?”. YA! Walaupun wataknya kecil dan hanya satu babak, tapi sangat menarik untuk dibincangkan. Kelebihan Mamat Khalid ini, bilamana seseorang berlakon dibawah arahannya, kita dapat menyaksikan seseorang itu bukan orang itu, seolah-olah orang itu berada dalam dimensi Mamat Khalid. “Susah benar nak faham”. Begini, kita ambil contoh Datuk Ustaz Kazim Elias(UKE), bilamana beliau berlakon dalam arahan Mamat Khalid, watak UKE(diluar) itu hampir hilang, dan kita lihat UKE dalam arahan Mamat Khalid sangat tidak kekok, berbanding beberapa filem bilamana ada Ustaz berlakon, kita akan nampak Ustaz itu kaku, kekok dan sebagainya. Seolah-olah UKE itu penduduk Kampong Pisang.

Terdapat ramai lagi pelakon yang sangat terbaik, biarlah anda membeli dan menontonnya sendiri kerana saya tidak suka terlalu mendalam, takut akan ada spoiler. Ada satu babak Yah Kuchei yang bagi saya sangat seronok di awal babak, kena beli dan tontonnya sendiri. Tapi Yah Kuchei ini wajahnya seiras Jihan Muse dan ada kecomelan dan kena dengan wataknya. Penampilan Namron dan Jaafar Onn membuatkan saya sedikit terkejut, bagaimana kedua pelakon ini ada dalam 18 Puasa Di Kampung Pisang. Tidak perlu memperkenalkan Namron itu siapa, sememangnya pelakon hebat. Dan Jaafar Onn? Terfikir sejenak, apa yang pelakon ini buat di Kampung Pisang? Nak tahu, kenalah tonton. Saya tidak mahu menyebut nama pelakon dan wataknya sebagai apa. Nanti akan ada spoiler. Sebab watak Barkoba adalah watak utama, jika saya sebut siapa dia apa akan jadi, terus akan merosakan jalan ceritanya.

ULASAN UMUM

Secara umumnya cerita ini mengisahkan sekumpulan manusia yang memang habitnya tidak mahu puasa. Jika dahulu 16 dan 17 Puasa menceritakan mengenai ‘sekumpulan’ tetapi dalam filem kali ini, 18 Puasa, seakan-akan mencerita hanya seorang sahaja, iaitu Barkoba. Kerana itu pada awalnya saya mengatakan ini bukan sambungan 16 dan 17 Puasa, ini seolah-olah suatu ‘another film‘, filem yang lain yang tiada hubung kaitnya. Mungkin bahagian ini saya agak sedikit kecewa, mungkin atau sepatutnya Mamat Khalid membuat judul yang lain bukan menggunakan 18 Puasa, tetapi kepada Puasa Di Kampung Pisang atau apa sahaja judul yang bukan dari 16 17 18. Ini sekadar pendapat saya sahaja. Baiklah, kita tinggalkan perkara ini. Kita ke perkara lain pula.

CGI? Saya lihat kebelakangan filem Mamat Khalid ini banyak menggunakan teknik CGI. Dalam 18 Puasa Di Kampung Pisang, penggunaan CGI agak menarik yang mana anda boleh membincangkannya. Tidaklah sehebat filem besar yang mempunyai dana jutaan. Bagi saya untuk 18 Puasa ini, cukup baik. Banyak penggunaan CGI dimasukan kedalam filem ini. Kesan api, air, alam neraka dan sebagainya. Ada satu babak ketika Barkoba, Yah Kuchei dan Cik Purnama sedang masak, terdapat elemen api di dapur. Walaupun nampak fantasi, tapi, inilah filem kelakar. Dalam filem kelakar mana ada realiti.

Cerita pasal alam neraka didalam filem ini, ada sedikit unsur kemasukan filem Along With The Gods(AWTG). Saya tidak tahu apakah perasaan saya sahaja atau memang benar-benar rujukannya latar belakang itu dari AWTG, tapi bila sekali imbas seakan macam ya pun ada. Tapi bukanlah suatu kejelekan, bahkan ianya nampak menarik. Pendapat saya, saya menyukainya. Bila tengok, terus teringat AWTG.

Mengenai sound atau audio, saya tidak tahu, kebanyakan filem bahagian suaranya akan bermasalah. Bila bercakap, macam tidak berapa dengar. Bila bahagian muzik, terus cari alat kawalan jauh, suara.

Ada satu babak dalam neraka, ada dialog yang ditapis atau didiamkan, tidak tahu apa yang dicakapnya, jika ada sesiapa yang tahu, boleh komen dibawah.

ULASAN LAWAK JENAKA

Malangnya bagi saya, ini satu filem yang kurang mengenai lawak jenaka, ini pendapat saya. Kerana filem ini seakan memasuki genre yang agak serius. Jalan cerita tidaklah terlalu berat tetapi Mamat Khalid seolah membuat filem ini dari sudut yang berbeza. Lawak dan Pengajaran. Itu yang saya fikirkan bila menonton filem 18 Puasa ini. Bukan seperti 16 dan 17 Puasa yang penuh dengan lawak jenaka yang kurang pengajaran. Yelah, pengajaran itu ada, tetapi mengenai tidak puasa. Tetapi 18 Puasa ini sedikit berlainan, bagi saya, sangat berlainan. Saya harap anda dapat membeli dan menontonnya.

Antara babak lawak.
Ada satu babak “Bendi dua”. Bagi saya ada lawaknya disitu, sebab bila kedengaran dialog sayup-sayup “Bendi dua?”, teringat saya kepada Nasi Kandar Kedai Mamak. Memang bendi dia bagi dua sahaja. Satu lagi, babak baling cekodok. Nak tahu apa lawaknya? Beli dan tontonlah.

Jika sebelum ini terdapat lagu-lagu yang menarik, dalam 18 Puasa ini, agak sedikit kurang. Hanya muzik Ghazal sahaja. Mungkin seperti yang saya katakan sebelum ini, filem ini memasuki genre yang agak serius.

ULASAN PENGAJARAN

Sungguh saya katakan, filem 18 Puasa Di Kampung Pisang ini sangat banyak pengajarannya. Tidak percaya? Beli dan tontonnya sendiri. Untuk mendapat pengajaran dalam setiap filem Mamat Khalid, anda tidak boleh tontonnya secara lewa, tetapi perlu melihatnya secara mendalam dan peka setiap dialog yang disampaikan. Sebab kadang kala dialog yang diucapkan sipi-sipi sahaja, tapi memang kena pada tempatnya. YB masuk neraka, bagaimana seorang YB yang berjasa masuk neraka? Pak Din(Kazar) masuk neraka, bagaimana seorang yang tidak pernah tinggal solat, bayar zakat, seorang yang luarannya baik tapi terperosok dilembah neraka. Semuanya ada pengajarannya.

Dan terdapat ‘Plot Twist‘ didalam filem ini yang pastinya akan mengubah persepsi anda bilamana pada awalnya anda akan lihat filem ini berunsurkan barat dan agak sedikit sensitif, bilamana mereka memasukan unsur ‘alam neraka’ dan terdapat penjaga pintu neraka dan sebagainya. Di akhir filem ini akan mengubah persepsi anda mengenai filem ini. Saya juga hampir-hampir untuk mengatakan filem ini khurafat dan unsur yang bagi saya agak sensitif. Nasihat saya, anda perlu menontonya hingga habis.

Kenapa saya berkata kurang lawak jenaka dan filem ini lain? Kerana sebelum ini jenakanya banyak, pengajaranya hanya tidak puasa. Tetapi 18 Puasa ini pengajaranya banyak dan jenakanya sedikit. *Tolong memahami maksud saya cakap pengajaran sikit atau banyak. Ianya bermaksud pengajaranya hanya 1 bab, iaitu tidak puasa*. Adapun dalam filem 18 Puasa, pengajarannya mengandungi 2 bab, iaitu Puasa dan Zakat. Filem ini tekankan Rukun Islam juga. Yang mana sebelum ini(16 17 Puasa) tiada. Ada beberapa lagi pengajaran yang dimasukan seperti berjudi, pentingkan diri sendiri, curi duit anak yatim, menipu dalam perniagaan, dan sebagainya. Lihat, berapa bab pengajaran yang dimasukan oleh Mamat Khalid dalam 18 Puasa ini? Sangat berlainan sebenarnya filem kali ini. Kemudian setiap kesalahan yang dilakukan Barkoba dan beberapa penduduk kampung, akan ada nasihat yang akan disampaikan. Sebab apa orang Islam perlu berpuasa? Sebab apa perlunya umat Islam membayar zakat? Semua akan diterangkan dalam 18 Puasa. Sebab itu saya kata 18 Puasa ini sangat berlainan. Banyak lagi nasihat-nasihat yang akan disampaikan.

Oh ya, ada satu babak yang bagi saya dialognya agak menarik. Ketika diberitahu penjaga pintu neraka ada ramai orang masuk, dan ditanya siapakah orang itu. Kluster Politik dan Kluster Filem. Mungkin ini tamparan hebat dari Mamat Khalid kepada orang politik dan orang filem. Tapi, ianya tidaklah pelik, kerana karya Mamat Khalid memang tidak lepas dari sindiran demi sindiran didalam filem, terutamanya orang politik. Kumpulan rock pun terpalit sekali.

KESIMPULAN

Sebenarnya dalam fikiran sangat nak review filem ini sebab saya terbayang 16 dan 17 Puasa. Tetapi bilamana saya menonton 18 Puasa ini, pegangan saya terus bertukar. “Mungkin ulasan aku kali ini mengenai pengajaran je kot dalam filem ini”. Ternyata memang benar. Filem ini terlalu lain buat saya. Saya tidak mahu bercerita banyak mengenai filem ini dan lawak yang ada dalam filem ini, supaya anda menontonnya kelak tidak terbayang dengan tulisan saya. Saya cuba untuk meng-hadkan tulisan saya mengenai setiap babak dalam filem ini. Berapa bintang? Saya tidak akan beri bintang, bagi saya bintang saya tidak sama dengan bintang orang lain. Mungkin bagi saya terbaik, tidak bagi orang lain. Kerana itu saya kurang gemar untuk memberi bintang. Bagi saya, plot twist dihujungnya menarik, walaupun bukan yang terbaik. Ada sedikit unsur sedih dan keinsafan dipengakhirannya, bagi saya, saya agak terkesan juga dengan pengajaran filem ini. Yelah, siapalah tidak takut akan azab api neraka bukan? Dengan dosa yang ada ini, ditambah pula dengan dosa hampir setiap hari. Terkesan jugalah.

Apa yang saya ingin katakan, jika anda hendak melihat kelainan filem Mamat Khalid, anda perlu membeli filem 18 Puasa Di Kampung Pisang(Astro First) dan menontonnya sendiri. Kemudian boleh memberi komentar ulasan saya di ruangan komen.

HAPUSKAN CETAK ROMPAK!

Sekian.

Tagged:

2 COMMENTS

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts