Wanz Ramli Blog

Terus Mencari Persamaan

Bicara Santai

Assalammualaikum, Salam sejahtera..

“JANGAN PAKSA-PAKSA ORANG BELI, BIARKAN SAJA. ADA REZEKI KITA NANTI. MACAM ABANG NI(merujuk pada saya)”– Kata peniaga kepada pekerjanya.

Saya tertarik dengan kata-kata akak ini(peniaga), hingga saya balik rumah, terngiang-ngiang. Pertama pekerjanya bukanlah paksa sangat pun. Kebetulan ada orang datang, dan tanya “Mi ada?”, kemudian pekerjanya jawab “Ada”. Kemudian orang itu beredar begitu saja. Kemudian pekerjanya tanya “Nak beli ke?”. Kemudian keluarlah kata-kata tersebut.

Mula-mula saya fikir, ini hanyalah kata-kata biasa sahaja. Tidak memaksa pun pekerjanya.. TAPI….. Ceritanya begini…

Saya ke satu Bazaar Ramadan ini. Sewaktu saya masuk dalam kawasan Bazaar ini, saya jalan, kemudian saya cakap dengan abang saya “Eh, nasi tu nampak sedap(nasi ikan keli, ayam). Nanti kita pusing sekali lagi sebelum balik, kita beli sini sahajalah”. Biasalah, bila kita ke Bazaar Ramadan, kebiasaannya kita akan pusing dua kali. Pertama kita masuk, kita tengok-tengok apa yang nak beli. Kemudian kita berpatah balik beli dan terus ke kereta.

Jika anda baca dan memahami tulisan saya diatas. Pada asalnya saya nak beli kedai lain. Saya dah ‘Target’. “Ini kedai yang aku nak beli”. Bila saya berpatah balik untuk membeli ke kedai tadi. Sambil saya jalan, “Eh, murahnya nasi ayam kat sini, RM5, ayam besar pula tu”. Jadi abang saya pun cakap, “Beli jelah, murah ni, boleh rasa sedap ke tidak”. Jadi, kami pun beli. Kemudian saya jalan ke depan lagi. Saya terperasan sesuatu. “Bukan ini ke kedai yang kita nak singgah beli tu?”.

Abang saya pun cakap la “A’ah, ni kedai yang kau cakap tu. Asal kau singgah kedai tadi beli?”. Sebab saya dah tengok yang beli nasi ikan keli, nampak sedap. Tapi saya pelik, asal boleh singgah kedai lain pula. KEMUDIAN SAYA TERINGAT KATA-KATA AKAK KEDAI TU…

“Jangan paksa-paksa orang beli, biarkan saja. Ada rezeki kita nanti. Macam abang ni(merujuk pada saya).”

Uissh.. Betul macam terkena ayat ini. “Ada rezeki kita nanti. Macam abang ni”. Bagi saya kata-kata jangan paksa orang beli itu biasa sahaja. Tapi kata-kata kemudiannya. “Ada rezeki kita nanti. Macam abang ni(merujuk pada saya)”.

Memang benar apa katanya. Rezeki ini milik Allah SWT. Ingat tidak masa saya datang ke Bazaar Ramadan itu nak singgah kedai mana? Tetapi tidak semena-mena saya singgah ke kedai akak ni. Ini satu pengajaran dan pelajaran bagi saya. Bahawasanya rezeki ini milik Allah SWT. Jika Allah berkehendaki, tiada satu tangan pun yang dapat menghalangnya. Luasnya rezeki Allah. Apa yang penting dalam dunia ini, mempercayai bahawa Tuhan itu wujud dan rezeki itu datangnya dari Tuhan.

Firman Allah SWT,
Bertanyalah (wahai Muhammad kepada orang-orang musyrik itu): “Siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi?” Terangkanlah jawabnya: “Ialah Allah………

Surah Saba'[34]: 24

Anda boleh duduk dan fikir sejenak. Pernahkah anda melalui pengalaman rezeki itu datang secara tiba-tiba pada anda? Saya pernah lalui dan rasai. Tiba-tiba orang datang cakap “Nah, duit tolong-tolong haritu”. Walhal, sedikit pun saya tidak pernah terfikir untuk meminta duit penat. Dan kadang kala jumlahnya bukan sedikit. Bagi saya, bila kawan ajak keluar kemudian dia belanja pun, rezeki kita. Inilah rezeki Tuhan kepada hambanya. Cuma kita sahaja terlepas pandang dan selalunya tidak bersyukur akan nikmat yang DIA berikan kepada kita.

Balik kepada kedai akak tadi. Ini rezekinya dibulan Ramadan. Saya beli 4 bungkus jugalah sebab murah kan. Tetapi apa yang saya hendak tekankan disini. Ya, walaupun rezeki ini datang saya Allah, kita bertawakal, berserah. TETAPI, bukan bermakna kita sebagai peniaga boleh membuat sesuka hati sahaja. Masak tidak sedap, nasi sedikit, ayam kalau boleh nak potong 20, jual mahal. Kemudian kita cakap rezeki Allah bagi. TIDAK!

Ini pemikiran yang salah, dan ramai orang kita lakukan perkara ini. Masak ala kadar sahaja. Karipap sebesar belon, tetapi sama seperti belon, hanya angin sahaja didalamnya. Ingat ya, apa yang kita lakukan, ada kesannya. Kalau kita masak sedap, maka, ramailah orang datang. Kalau kita masak tak sedap, terutamanya menipu, jangan bercakap soal rezeki Allah, apatahlagi persoalkan kenapa Allah tidak beri kita rezeki. Kerana Allah Maha Melihat, DIA melihat setiap kerja dan usaha kita. Rezeki Allah datang bilamana kita ikhlas melakukan tanggungjawab kita. Kalau kita masak, kita perlu ikhlas, jika kita kerja kita perlu amanah dan jujur. Barulah rezeki itu datang mencurah-curah.

Apa yang kita buat, pastikan kerja yang halal. Bukan hanya sekadar halal dari pekerjaan dan bahannya, halal juga dari segi sifat kejujuran kita. Apa itu halal dari sifat kejujuran? Seperti kes karipap yang saya cerita tadi. Nampak besar, bulat macam belon, tapi kandungan dalamnya angin semata. Adakah anda rasa perbuatan dan rezeki anda halal? Menipu dalam perniagaan.

Firman Allah SWT,
“Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan),
Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup,
Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi.”

Surah Mutaffifin[83] : 1-3

Ada satu hadis yang mana sangat menakutkan dan ini suatu amaran daripada Nabi kepada peniaga yang menipu.

Sabda Nabi SAW,
“Suatu ketika dia keluar bersama Nabi SAW ke tempat sembahyang lalu Baginda ternampak orang ramai sedang berjual beli. Baginda bersabda: Wahai para peniaga! Mereka menyahut penggilan Nabi SAW itu sambil menjenguk ke arah Baginda. Nabi SAW bersabda: Pada hari kiamat kelak para peniaga akan dibangkitkan sebagai orang-orang yang jahat kecuali orang yang takutkan Allah, berbuat baik dan jujur.”

HR al-Tirmizi

“Siapa yang menipu, maka dia bukan dariku.”

Sabda Nabi SAW,
“Bahawa Rasul SAW melalui setumpuk makanan lalu Baginda memasukkan tangannya ke dalamnya, kemudian tangan Baginda menyentuh sesuatu yang basah. Maka Baginda pun bertanya: “Apakah ini wahai pemilik makanan?” Pemilik makanan menjawab: “Makanan tersebut terkena air hujan wahai Rasulullah.” Baginda bersabda: “Mengapa kamu tidak meletakkan bahagian yang basah ini di atas supaya manusia dapat melihatnya, siapa yang menipu, maka dia bukan dariku.”

HR Muslim

Percayalah, jika kita ikhlas, jujur dan amanah, rezeki yang Allah berikan tidak cukup tangan kita hendak memegangnya. Dan bilamana Allah memberi rezekiNYA seluas-luasnya, jangan pernah ada sifat sombong dan riak dalam diri kita. Ingat, Allah boleh menarik rezekiNYA bila-bila masa sahaja yang DIA mahukan. Hari ini kita dapat RM100 ribu. Kita bangga, sombong, riak. Esok kita sakit, masuk hospital, perlu buat pembedahan, bayaran RM150 ribu. Bukan sahaja Allah mampu menarik rezeki yang DIA berikan, akan tetapi, Allah boleh mengambil lebih dari itu.

Firman Allah SWT,
Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia juga yang menyempitkan (bagi sesiapa yang dikehendakiNya); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu).

Surah Saba'[34]: 36

Peringatan ini sudah pasti ditujukan terutamanya buat diri saya ini. Dan saya kongsikan, mudah-mudahan ada sedikit manfaat untuk orang lain, pembaca tulisan saya. Terima kasih kerana sudi membacanya hingga selesai. Ingat, rezeki datangnya dari Allah, dan hakNYA juga untuk memberi dan mengambilnya kembali. Sebagai HambaNYA, bersyukur, sentiasa beribadat dan berdoa. Semoga Allah rahmati hidup kita dan memberi limpahan rezeki buat kita semua. Apa yang penting, IKHLAS, JUJUR dan AMANAH, kemudian berserah dan bertawakal.

Sabda Nabi SAW,
“Seandainya kalian benar-benar bertawakkal pada Allah, tentu kalian akan diberikan rezeki sepertimana burung diberikan rezeki. Ia pergi di pagi hari dalam keadaan lapar dan kembali di petang hari dalam keadaan penuh perut.” 

HR al-Tirmizi

Sekian.

Tagged:

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts