Terawih Pertama Setelah Setahun COVID-19 Melanda!
Assalammualaikum, salam sejahtera.
Pertama Ramadan, 1 Ramadan 1442 Hijri bersamaan 12 April 2021(Isnin) bermulalah kita berterawih setelah COVID-19 melanda Malaysia. Berbezanya kali ini, buat pertama kalinya kita dapat terawih secara berjemaah di Masjid.
Tiada apa yang boleh diungkapkan, melainkan kegembiraan seluruh umat Islam terutamanya di Malaysia. Jika ada yang sebelum ini memberontak, marah, agenda iluminati, freemason dan sebagainya, inilah masanya untuk anda melakukan ibadat terawih secara berjemaah di Masjid.
Walaupun begitu, Penjarakan Sosial dan SOP perlu dipatuhi. Dan, walaupun kita agak kecewa bilamana Masjid masih mengekalkan jarak 1 meter setiap jemaah, paling tidak, kita masih dapat melakukan ibadat kita. Jangan terlalu berat fikirkan soal jarak, kerana itu hal pemerintah yang aturkan, apa yang penting kita sebagai rakyat ikut pemerintah dan sebagai hamba Allah SWT, fikirkan seberatnya mengenai ibadat yang lebih besar dari itu. Jangan lepaskan peluang solat berjemaah kerana sebab tidak dapat rapatkan saf.
Sangatlah rugi jika kita dimomokan “jangan solat di Masjid sebab tidak rapatkan saf”. Bagi saya, ini juga semacam suatu agenda supaya umat Islam tidak solat di Masjid. Memomokan umat Islam supaya tidak ke Masjid, ini perbuatan jahat dari mulut-mulut yang tidak bertanggungjawab. Pergi sahaja ke Masjid, dan beribadat seperti biasa kerana ada pahala besar untuk orang ke Masjid dan berjemaah bersama. Adapun soal saf, pemerintah akan dipertanggungjawabkan dihadapan Allah SWT. Ini luar dari kemampuan kita sebagai seorang rakyat biasa. Kita perlu taat kepada pemerintah, dan pemerintah perlu jawab dihadapan Allah SWT, setiap percakapan dan perbuatan mereka.
InsyaAllah, perkara ini akan beransur pulih. Jika tahun lepas kita tidak dibenarkan langsung untuk solat terawih secara berjemaah di Masjid, tahun ini, Alhamdulillah, kita dibenarkan solat terawih dengan melaksanakan SOP. InsyaAllah, tahun kehadapannya, kita boleh merapatkan saf pula. Sepatutnya ini yang perlu kita doakan bukan doa perkara yang buruk.
Semoga Ramadan ini lebih baik dari sebelumnya, semoga kehadapannya mempunyai sinaran yang lebih baik. SALAM RAMADAN, SELAMAT BERPUASA! Jangan jadi GENG PLASTIK HITAM.
Sekian.