Assalammualaikum, Salam sejahtera..
Malu? Apa maksud atau definasi malu? Dalam segi bahasa, malu bermaksud “berasa hina atau berasa aib kerana melakukan sesuatu yg tidak baik atau kerana kekurangan sesuatu”. Dalam erti kata lain, malu ialah merasa segan, merasa sesuatu keaiban. Jika kita tidak lulus dalam keputusan peperiksaan ujian disekolah, kita akan rasa malu nak beritahu. Atau bilamana seseorang menolak cinta kita, “Adakah awak sudi berkahwin dengan saya”, jawab wanita tersebut dikhalayak ramai, “Hurm, maaf, saya tidak bersedia/saya tidak ada perasaan cinta terhadap awak”. Percaya atau tidak, kita tidak akan keluar rumah jumpa kawan-kawan kita kerana malu. Ini kebiasaan maksud malu. Cuma, saya nak membawa anda atau pembaca keluar dari maksud kebiasaan ini, atau maksud dari segi bahasa ini. Kita bahas sedikit, Apakah maksud malu bagi seseorang?
Dizaman ini, perkataan malu itu telah membawa pelbagai maksud. Dan, setiap golongan akan membawa perkataan malu ini dengan pelbagai maksud bagi dirinya. Walaupun sebenarnya tidaklah lari dari maksud sebenarnya perkataan malu ini. Cuma, ianya membawa tafsiran yang berbeza.
Bila orang cakap pada kita “KAU NI TAK MALU KE?”. Jadi, apa maksud seseorang itu mengenai malu? Dan apa tanggapan kita tentang malu? Jom kita bahaskan.
*PENAFIAN : PENDAPAT SAYA KEMUNGKINAN BESARNYA SALAH DAN MUNGKIN ADA BETUL. JADI INI SEKADAR MEMBUKA MINDA PERBINCANGAN SAHAJA.
“KAU TAK MALU KE?”. Kebiasaannya perkataan malu ini perlu dilihat siapa yang melontarkannya, masa, situasinya, dalam keadaan yang bagaimana. Tetapi secara umumnya MALU.
Setiap orang mempunyai penafsiran perkataan malu itu sendiri dan saya juga ada tafsirannya yang tersendiri.
Ada orang merasakan memakai pakaian tidak cukup kain perkara biasa dan bukan perkara yang memalukan atau mengaibkan, ada orang merasakan pakai baju lengan pendek pun terasa malu dan segan. Saya sendiri, walaupun lelaki, kurang berminat hendak memakai singlet, kerana rasa tidak selesa dan segan, apatahlagi tidak memakai baju. Mungkin bagi orang lain biasa, tidak bagi saya. Situasi ini pun kita dapat melihat, dua orang yang mempunyai penafsiran malu yang berbeza.
Siti : Oi, tukarlah pakai kau tu, tak malu ke nampak dada macam tu?
Sarah : Eh kau, bukan aku berbogel pun, nak malu apa?
Joe : Wei, kau nak pergi gym kan? Pakailah baju yang tak ada lengan ni. Nah seluar pendek sekali.
Amin : Eh, seganlah aku, dengan nampak ketiak, nampak peha. Taknak la. Pakai biasa sudah.
Nampak tidak? Bagaimana tafsiran perkataan malu dan segan itu pada seseorang dan situasinya. Tetapi berbeza pula dengan yang ini.
Sarah : Oi Siti, tukarlah gaya pakaian kau tu, tak malu ke pakai baju zaman bila tah.
Siti : Nak malu hapo. Aku bukan berbogel pun, yang penting tutup aurat, ok la.
Amin : Kau tak segan ke pakai baju nampak ketiak, seluar pendek ketat tu?
Joe : Ala, biasa sahajalah, Nanti lama-lama kau hilanglah segan tu.
Setiap orang mempunyai tafsiran malu yang berbeza. Jadi siapa sebenarnya yang patut rasa malu? Sarah atau Siti? Amin atau Joe? Saya serahkan pada anda.
Saya ada tertonton sebuah prank(isteri atau teman wanitanya), dinegara orang putih. Pranknya begini. Isteri atau teman wanitanya memakai tuala(berkemban) didepan kawannya. Dan lelaki itu(suami atau teman lelakinya) menyuruh dia tukar, dan mengatakan malu, jangan pakai begini didepan kawannya. Baiklah, bertuala dalam erti kata lain, berkembanlah. Berkali-kali beliau marah menyuruh wanita itu tukar pakaian. Kemudian, wanita itu mengatakan, ini adalah prank, kemudian dia membuka tualanya, wanita itu sedang memakai baju. Tetapi apa yang menghairankan, dia memakai baju separuh bogel, menutup tubuhnya sama seperti memakai tuala tadi. Jadi, apakah maksud malu bagi lelaki itu? Adakah memakai tuala didepan kawannya, seksi, menjolok mata, dan tidak tahu rasa malu. Atau pakai tuala itu pakaian yang memalukan? Pakaian yang menutup tubuh yang sama, bezanya bertuala dan berbaju lawa. Saya serahkan kepada anda.
Ada juga situasi yang berbeza yang membawa kepada penafsiran yang berbeza. Ingat tidak saya beritahu awal tadi? “setiap golongan akan membawa perkataan malu ini dengan pelbagai maksud bagi dirinya”. Ini situasi tafsiran golongan kayangan. Adakah pernah ada rasa malu atau segan mempunyai rumah yang kecil, televisyen 24 inci, televisyen Full HD atau Ultra HD, kereta tempatan atau perabot yang murah? Mungkin televisyen 24 inci itu betul, yang lain, nak malu apa, betul tak? Tetapi bilamana kita bercerita mengenai situasi golongan kayangan, ya, mereka akan ada rasa malu. Ini situasi biasa.
Datuk Joe : Amin, kau ini aku tengok, kerja bagus, gaji masyuk. Eh, tukarlah kereta kau tu. Malulah sikit orang tengok.
Datuk Amin : Tengoklah nanti, aku pun rasa macam malu jugalah. Pekerja aku tengok, CEO pakai kereta biasa je.
Lihat, bagaiman situasi ini. Berbeza dengan situasi ini pula.
Isteri : Abang, taknak ke tukar kereta tu, malulah saya jiran tengok. Abang bukan tak mampu.
Suami : Haissh, malu, malu. Nak malu apa? Pandangan orang itu biasalah. Kereta murah pun orang kata malu. Kalau rumah kita rumah biasa beli kereta Ferari pun orang akan kata, “Rumah kecil, beli kereta mewah, tak malu ke?”
Isteri : Ala.. Saya cakap je..
Abang : Abang pun jawab je..
Isteri : Kalau marah-marah macam ni, hantar saya balik rumah mak lah.
Haha, ok, yang itu tambahan sahaja, serbuk perasa. Cuba kita terbuka sedikit. Apa sebenarnya maksud malu bagi seseorang? Adakah tidak ada kereta mewah atau rumah mewah itu sebagai malu dan keaiban? Sebab situasi ini sangat penting. Berapa ramai bercerai kerana tidak dapat memenuhi permintaan keduniaan yang merasakan, “Kalau aku tak dapat ini, eh, malu aku. Laki apa macam ini”. Atau “Bini aku ni, tak reti ke nak pakai baju lawa-lawa sikit, huh! Buat malu aku je”. Adakah semua benda ini sesuatu yang penting sehingga meletakan perkara ini sebagai memalukan? Malu ke rumah kecil, kereta biasa? Persoalan ini, hanya anda sahaja yang mampu menjawabnya. Ingat tidak filem P.Ramlee, Ali Baba Bujang Lapok? Orang beli ini baru, dia nak ini baru. Orang beli itu baru, nak itu baru. Akhirnya dia suruh rompak dia rumah. Kemudian dia malu. Tapi ini cerita filem sahajalah. Kita ke situasi lain, mungkin situasi zaman remaja.
Ramai diantara kita dizaman remaja selalu akan tercabar bilamana kawan mencabar kita dengan pelbagai cabaran yang baik mahupun tidak baik dan lebih menakutkan sehingga melakukan jenayah. Jom kita ke sekolah.
Mat : Weh, aku cabar kau hisap rokok ni. Kalau kau tak hisap, memang buat malu kau je, potong sajalah kau punya tu. Sebab kami semua dah cuba.
Samad : Janganlah Mat, nanti cikgu tahu, mampus aku. Balik memang kena dengan mak aku punya ni.
Mat : Buat malu geng aku je kau ni. Belahlah kau!
Samad : Mat, jom ponteng sekolah. Kita panjat pagar kat padang sekolah tu.
Mat : Hoi, taknaklah aku.
Samad : Hek eleh, hisap rokok berani pula kau, aku ajak ponteng taknak. Oi! Buat malu je la!
Adakah cabaran ini jika kita tidak buat dahulu dizaman sekolah, kita rasa malu? Janganlah menidakan atau menafikannya. Ini sesuatu perkara biasa kita dizaman sekolah, setiap ajakan atau setiap cabaran disekolah jika kita menolak atau tidak dapat melakukan, pasti kita akan diejek. Tidak dapat melakukan cabaran dikatakan malu. Tapi pasti lepas habis sekolah, kita terkenang semula “Ini bukan malu, ini bodoh namanya”. Tapi itulah zaman sekolah kita. Jadi, adakah adik-adik perlu rasa malu kalau tidak ikut kawan-kawan? Terpulang kepada adik-adik. Nasihat kami orang yang lepasan sekolah, abaikan sahajalah perkataan malu dari kawan-kawan itu. Malu yang tidak membawa kebaikan.
Tapi ada suatu situasi yang sangat membimbangkan, bilamana ianya menjadi perkara agama dan jenayah.
Joe : Weh, jom pergi kelab malam, minum-minum, judi, rempit, curi coklat kat 7E. Ini zaman remaja, malulah nanti tak ada cerita “Atuk dulu begini begitu”.
Amin : Malu apa ke bendalah dia ni. Tak minum lagi dah mabuk.
Saya rasa anda mungkin pernah dengar perkara-perkara sebegini sewaktu remaja. Walaupun nampak macam melawak, tetapi realitinya memang ada. Mungkin berbeza sedikit jalan ceritanya, tetapi situasinya sama. Kadang-kadang kita rasa macam “Itulah, zaman muda aku dulu biasa-biasa je, tak ada nak cerita macam kawan aku. Mesti kawan aku cakap aku ni dulu budak nerd. Malu pula aku dekat anak cucu aku”. Perkara ini memang ada dan wujud! Kerana itu saya mengatakan, malu ini mempunyai maksud dan tafsir seseorang itu sendiri yang mana, kadang kala malu yang tidak membawa kebaikan. Jom kita ke alam pekerjaan dan alam kedewasaan.
Dalam situasi ini, mungkin ramai yang terkesan dan terkena tempias “Kau tak malu ke?”.
Makcik dikampung : Mat, mat. Kau tak malu ke duduk kampung je. Pergilah KL tu macam Si Joe tu. Untung-untung kau bawa balik kereta FE FERO FEROROCHE. Haa, baru jumpa. Ini duduk sini kerja ladang, kerja sawah. Pergilah KL tu.
Mat : Ala makcik, apa nak malu. Kat sini ada kerja banyak, walaupun gaji sikit kat sini saya ada mak boleh jaga mak. (Baru jumpa hape, sebut pun tak reti. Tak malu ke? *Yang ni tambahan saja-saja).
Joe : Mat, kau rasa ok ke kerja cuci tandas atau kerja angkat sampah tu? Aku tengah nak cari kerja ni.
Mat : Ok je, asal kau tanya?
Joe : Tak ada la, aku duduk KL tapi dapat kerja tu je. Aku malulah dengan orang kampung.
Mat : Ala.. Buat apa nak malunya. Kau susah ada dia orang kisah? Untung-untung ada rezeki masuk.
Pelbagai tafsiran malu bagi seseorang. Ada yang cakap kerja kampung, kerja sawah, kerja ladang, kerja angkat sampah sebagai pekerjaan yang memalukan. Tapi macam Mat cakap, kita susah, ada ke mereka-mereka ini kisah? Jadi, untuk apa nak malu? Teruskan selagi ianya baik. Bagi saya, Kuala Lumpur tidak pernah menjanji apa-apa, kerja kampung atau KL sama sahaja. Jangan nak merasa malu. Orang KL pergi ke kampung mencari tanah nak berniaga, buka ladang, buka sawah. Kalau bukan kerana dikampung, orang dibandar tiada beras untuk dijadikan nasi, tiada daging dan ayam untuk dipanggang. Kerja nelayan juga suatu kerjaya ya. Jadi, jangan pernah malu untuk kerja apa sahaja. Sebab ada orang kerjanya rasuah, mencuri tidak pernah rasa malu pun. Kita buat kerja halal, kenapa mesti nak malu.
Alhamdulillah, sejauh ini saya menulis, saya harap pembaca mengerti apa yang saya cuba sampaikan. Sebenarnya banyak lagi situasi-situasi maksud dan tafsiran malu ini. Saya yakin anda pernah alaminya sendiri.
Setiap orang ada perasaan malunya sendiri, dan setiap orang ada tafsirannya yang tersendiri. Jangan terlalu hidup dengan kata-kata “Kau tak malu ke?”. Percaya atau tidak, ianya tidak mendatangkan faedah dan tidak akan habis. Sebab apa? Sebab dari kita lahir, hinggalah dewasa, kahwin, ada anak, ada cucu, sehinggalah mati pun, perkataan “Kau tak malu ke” akan dilafazkan pada kita berulang-ulang kali.
Makcik bawang : Kau tak malu ke dapat ujian rendah, orang lain cemerlang je. Kau tak malu ke, orang lain ke universiti kau masih disini. Kau tak malu ke kerja ini, orang lain duk dalam pejabat ada aircond. Kau tak malu ke, orang baya-baya kau dah kahwin, kau masih tercari-cari. Kau tak malu ke, buat majlis kahwin macam ni je, orang lain dengan pelamin bagai. Kau tak malu ke, orang dah anak 5, kau tak beranak lagi? Kau tak malu ke, anak dah 3, rumah kau ni, alahai, carilah besar sikit. Kau tak malu ke, anak orang lain semua berduit berharta, menantu kaya, kau ni tak reti ke nak didik/jaga anak. Kau ni tak malu ke, anak orang dah bercucu, tah-tah anak kau mandul.
(sehingga nak masuk liang lahad pun)
Makcik bawang : Kau tak malu ke, orang lain semua tinggalkan harta kat anak cucu, kau mati satu harta pun tak ada, apa punya nasiblah kau ni.
Lihat, bagaimana malu ini dipergunakan dengan pelbagai maksud dan tafsiran. Perkara yang tidak patut rasa malu pun, kita malu dan kesannya sangat bahaya dan mendalam. Ada orang sehingga kemurungan kerana ucapan sebegini. Tujuan saya menulis ini, selain untuk membuka minda kita apakah maksud dan tafsiran malu, saya juga ingin membawa anda atau pembaca untuk tidak terlalu mengambil serius perkataan dari seseorang “Kau tak malu ke?” kepada diri kita. Kadang-kala kita terlalu memikirkan pandangan orang lain terhadap diri kita sehingga kita terpaksa mengikut orang lain. Sebenarnya, kita tidak perlu rasa malu. Bukanlah bererti tidak tahu malu. Tetapi orang kita mengambil perkataan malu itu terlalu berlebihan, dan malu perkara yang tidak sepatutnya kita malu, semua benda nak malu. Tetapi perkara yang sepatutnya kita malu, kita tidak malu. Ini yang menjadi masalah kita. Letakan perkataan malu itu ditempat sepatutnya.
Kepada wanita, saya tahu, banyak perkara yang dilontarkan kepada anda. Seperti makcik bawang tadi. Saya tahu anda tertekan, pedulikan apa yang orang hendak cakap mengenai anda, berdiri teguhlah. Kahwin awal atau kahwin lambat, ada anak atau tidak, lelaki berduit atau tidak, cantik atau tidak. Itu semua tidak patut anda malu.
Kepada lelaki, pedulikan orang kata tentang diri anda, tentang rumah kecil anda, tentang gaji anda(selagi nafkah dijaga). Kita tidak perlu malu kepada hal keduniaan. Selagi keluarga anda bahagia, itu sudah cukup buat kita.
Kepada semua, jangan terikut-ikut trend orang lain. Berpijak atas kaki sendiri, berpijak didunia nyata. Jika kita tidak mampu, ikutlah cara tidak mampu. Tidak perlu orang makan kedai mewah, kita nak makan kedai mewah. Orang masuk kolej mahal, kita nak kolej mahal. Orang beli motor baru, kita nak motor baru. Kita buat semua itu sebab terpaksa dan tidak mahu tanggung malu, kawan ada, kita tidak ada. Ini bukanlah sesuatu yang patut kita malu dan bukanlah suatu keaiban, tetapi lebih kepada hawa nafsu. Kekurangan bukanlah sesuatu yang patut dimalukan, jadi, kenapa mesti kita nak malu?
Kesimpulannya, semua orang ada rasa malu dan semua orang perlu rasa malu. Tetapi malu yang bagaimana kita hendak tuju. Mungkin kita rasa, sekolah biasa, tidak masuk kolej, kerja biasa, gaji biasa, rumah biasa, kereta biasa, televisyen 24 inci Full HD, kita rasa malu.
Tetapi bagi orang yang beriman, “kalau aku tak beribadat pada Allah, kalau aku tidak solat, kalau aku puasa pun ponteng, kalau aku gaji tinggi tidak bayar zakat, kalau aku kaya tapi tidak buat haji, aku biarkan aurat aku orang tengok. Ya Allah, malunya aku dengan Allah, sedangkan Allah sudah bagi segala-galanya pada aku”. Bukankah ini yang sepatutnya kita malu? Sedangkan inilah yang sebenar-benarnya malu. Kadang kita terlupa perjalanan kehidupan kita yang sebenarnya. Pedulikan apa yang orang nak katakan perihal diri kita. Percayalah, selagi kita bersama dengan Allah, kita tidak akan rasa padangan malu orang terhadap diri kita suatu bebanan buat kita. Kita lihat di media sosial, berapa ramai yang membuat atau merakam sesuatu yang memalukan, tetapi sedikit pun mereka tidak merasa malu. Kenapa pula kita nak merasa malu pada sesuatu yang tidak sepatutnya kita rasa malu? Percayalah. Kerana dunia hari ini kita sentiasa dibebani oleh padangan malu orang terhadap diri kita, dan akhirnya terpaksa mengikut telunjuk dan aturan orang. Inilah dunia, “Kau Tak Malu Ke?”
Sekian.