Wanz Ramli Blog

Terus Mencari Persamaan

Bicara Santai

Hukum Larangan Rentas Negeri – Mufti Wilayah Persekutuan, Di Hina Di Cerca

Assalammualaikum, salam sejahtera.

Sehari dua ini bagi saya amat menduka citakan bilamana dibulan mulia dan hampir kepada 10 malam terakhir terdapat satu suasana yang bagi saya ini mencemarkan bulan yang mulia dan menghina institusi agama Islam di Malaysia.

Apa yang saya maksudkan disini menghinaan, makian, cercaan terhadap Mufi Wilayah Persekutuan, SS Dr Luqman Bin Abdullah.

Pada asalnya saya tidak berniat untuk menulis ini, tetapi saya rasa terpanggil untuk mempertahan Mufti dan Institusi Agama daripada penghinaan, makian, cercaan. Kadang tidak sanggup untuk membaca komen-komen yang sebenarnya tidak ada faedah dan hujah. Hanya yang ada “Bodoh, benak, bangang, tolol….” Itu sahaja yang mampu daripada golongan pelampau ini. Saya khuatir saya akan tergolongan dalam golongan pelampau atau khawarij atau lebih menakutkan golongan munafik. Semoga Allah jauhkan kita dari golongan ini.

HARAM HUKUMNYA MERENTAS NEGERI – MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN.

Saya bukan orang agama, mahupun belajar agama, InsyaAllah sekadar asas itu ada. Apa yang saya hendak memperkata ini mungkin sedikit panjang dan saya akan buat bahagian satu persatu.

Berhujah Dengan Adab Dan Akhlak.
Pertama-tama, apa sahaja yang kita tidak bersetuju, kita dibenarkan untuk melontarkan pandangan atau kritik. Tapi mesti dengan adab dan akhlak yang mulia. Ini perkara asas dalam agama.

Firman Allah SWT,
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.

Surah Hujuraat[49] : 11

Firman Allah SWT,
Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebahkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).

Surah An-Nur[24] : 19

Sabda Nabi SAW,
Orang yang beriman itu bukanlah sifatnya memaki hamun, melaknat, berkata kotor dan juga bahasa yang keji.”

HR At-Tirmizi

Sabda Nabi SAW,
Sesungguhnya seseorang terkadang berbicara dengan kata-kata yang dia sangkakan tidak mengapa, lalu (tanpa diduga) dia terjerumus dengan sebabnya ke dalam neraka (yang kedalamannya) sejauh perjalanan tujuh puluh tahun.

HR Ahmad

Sabda Nabi SAW,
Celakalah golongan-golongan pelampau. Baginda SAW mengucapkannya sebanyak tiga kali”

HR Bukhari

Saya yakin, jika orang yang berilmu akan bersepakat dalam satu perkara, mengenai adab dan akhlak. Tidak kira sama ada kita setuju atau tidak bersetuju. Jika seseorang itu memberi pandangan yang mana kita tidak setuju, ianya boleh dikritik dengan adab dan akhlak. Sudah pasti dengan hujah dan dalil. Bila kita berbicara mengenai agama, mesti kemukakan sumber atau rujukan. Sebaliknya jika kita bersetuju dengan pandangan atau kenyataan tersebut, pertahankan hujah kita, bukan menghina orang yang kita anggap tidak setaraf dengan ilmu kita. Inilah cara orang berilmu berwacana. Wacana sihat dan ilmiah.

Tapi ada satu golongan ini bukanlah hendak masuk ke dalam ruangan wacana, tetapi lebih kepada “Mufti bodoh, Mufti bengap, Mufti tolol, Mufti benak, Siapalah lantik Mufti ini?” Perkara ini tidak sihat sebenarnya. Malah mengatakan bodoh kepada orang lain itu adalah kebodohan diri kita. Kerana ini tidak menyelesaikan masalah. Pertanyaan yang mungkin tiada jawapan. Atau sebenarnya ini bukan pertanyaan langsung. Jika saya dikenakan ayat seperti ini, saya sendiri tidak tahu hendak menjawab apa.

Ini institu agama, sebagai seorang yang beriman, wajib untuk kita hormati. Bukanlah ber-erti tiada ruang untuk kritik. Tetapi kritik dengan adab dan akhlak, pastikan ada hujah dan dalil. Saya faham ada yang berkata, “Bukan Mufti seorang sahaja tahu hukum hakam, rakyat pun tahu juga”. Silakan kritik dan bawa hujah anda. Wacana perlu berjalan dengan sihat dan berilmiah.

Ulil Amri

Firman Allah SWT,
Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.

Surah An-Nisa[4] : 59

Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.” Saya tidak berminat untuk cerita politik kepartian. Saya tahu ada yang bercakap “Ulil Amri? Siapa Ulil Amri? Aku tak lantik/undi Muhyiddin Yassin pun.” Jika kita beranggapan Ulil Amri di Malaysia hanya Perdana Menteri atau YAB Muhyiddin Yassin, ini satu kesalahan.

Di Malaysia, kita ada DYMM Agong dan Sultan pun dianggap sebagai Ulil Amri. Jika apa sahaja usul yang diperkenan oleh DYMM Agong atau Sultan termasuk Perdana Menteri, ianya juga dianggap Ulil Amri. Maksud Ulil Amri disini ialah pemimpin atau pemerintah. Jika kita berhujah “Siapa Muhyiddin? Aku tak undi dia, aku tak lantik dia”. Kita perlu faham, dizaman Khalifah, Gabenor dilantik oleh Khalifah. Walaupun kita tidak undi Gabenor tersebut, atau tidak lantik, atau tidak bersetuju dengan Gabenor tersebut, ianya tetap dianggap Ulil Amri, pemimpin dan pemerintah. Ini perkara asas yang kita perlu tahu siapa Ulil Amri. Kita tolak dahulu mengenai Malaysia negara demokrasi, mesti diundi, pintu belakang dan sebagainya. Tetapi apa yang saya tahu(jika salah betulkan saya), perlantikan Perdana Menteri di Malaysia hanyalah boleh dilantik dan diperkenankan oleh Agong. Sebagai parti pemerintah, mereka hanya boleh mencalonkan sahaja, lantikan tetap bawah DYMM Agong. Jika salah, tolong betulkan saya. Seperti yang saya cakap sebentar tadi, saya tidak minat bercerita soal politik kepartian.

Perkataan Ulil Amri sangat fleksibel sebenarnya. Sebagai contoh, bilamana kita ada kem motivasi atau aktiviti menyusuri hutan(Jungle Trekking). Kemudian kita lantik seorang ketua atau orang atasan melantik seorang ketua, walaupun kita tidak suka orang itu atau “Siapa dia? Aku tak undi pun dia”. Ketuanya juga dianggap sebagai Ulil Amri, pemimpin. Wajib kita ikut arahannya ketika di dalam hutan. Melawan arahannya akan menyebabkan kesusahan semua orang. Kemungkinan boleh kecederaan atau kematian, hilang dan sebagainya. Jadi, kalau seorang ketua didalam hutan berkata, JANGAN KELUAR DARI SINI atau SAYA HARAMKAN KAMU SEMUA PERGI KE SANA. Ini ayat perintah daripada seorang pemerintah atau pemimpin. Suka atau tidak, wajib kita ikuti.

Jika kita seorang PA atau seorang pekerja biasa. Pasti kita akan ikut cakap bos, bukan? Suka atau tidak suka, memang itulah lumrahnya. Adakah kita undi bos kita untuk duduk dikerusi tersebut? Tidak. Tetapi kita faham, dia adalah seorang ketua atau bos yang kena dengar arahannya. Itulah konsep Ulil Amri.

Adakah Kita Kena Ikut Apa Sahaja Kata Ulil Amri? Jawapannya tidak.

Sabda Nabi SAW,
“(Wajib) dengar dan taat (kepada pemimpin) ke atas setiap orang Muslim pada apa yang ia suka dan ia benci, selagi mana ia tidak diperintah melakukan maksiat, apabila ia diperintah melakukan maksiat, maka tiada lagi dengar dan taat.”

HR Bukhari

Jika pemimpin mengarahkan atau menyuruh melakukan kemaksiatan “apabila ia diperintah melakukan maksiat, maka tiada lagi dengar dan taat.” Jadi, kita tidak perlu mentaati perintahnya. Dalam hal rentas negeri yang diperkatakan oleh SS Mufti Wilayah Persekutuan, tidak menjadi satu kesalahan jika kita mengikut perintah pemerintah tidak boleh rentas negeri. Suka atau tidak “(Wajib) dengar dan taat (kepada pemimpin) ke atas setiap orang Muslim pada apa yang ia suka dan ia benci“.

Saya tahu akan ada orang yang berkata “Habis tu artis, kluster kayangan?”. InsyaAllah, kita akan bincangnya dibawah. Saya suka pendekatan, bila kita hendak berhujah sesuatu tajuk, kita perlu berpegang hanya satu tajuk. Kita tidak boleh bincang tajuk LARANGAN/HARAM RENTAS NEGERI, kemudian kita petik “Habis tu arak tak haram? Rasuah tak haram”. Ini bermasalah sebenarnya. Kebanyakan orang kita, mereka akan kalih atau beralih dari perbincangan asal. Perbincangan asalnya LARANGAN/HARAM RENTAS NEGERI, kita bincang ini dulu. InsyaAllah saya akan kepada “Habis itu artis, kluster kayangan” dan “Habis tu arak, rasuah tak haram”. Walaupun lari dari perbicangan asal, tapi kita raikan perbincangan.

Berbalik kepada Ulil Amri, jika ianya bertentangan dan membawa kepada kemaksiatan, maka, tinggalkannya. Begitu juga ketika di dalam hutan, kalau ketuanya mengajak berdua-duaan, atau cuba mengajak kepada maksiat dan penzinaan, tinggalkan mereka. Dan jika bos kita menyuruh kita tukar pakaian kerja, dan menyuruh kita pakai seksi(kerja sebagai PA), atau menyuruh rasuah menipu pembinaan, maka, tinggalkan mereka.

Larangan/Haram Rentas Negeri?
Mufti Wilayah Persekutuan memberi hujah dan dalilnya. Taat Ulil Amri perintah pemerintah, Hadis wabak dan tipu dokumen. Mengenai Ulil Amri kita sudah bincang diatas, kita masuk kepada Larangan/Haram Rentas Negeri jika ada mudarat. SS Mufti juga ada beritahu angka kes semakin tinggi dan sampai bila kita masih nak begini. Berkali saya tekankan, Mufti WP juga memberitahu, nak bercakap mengenai hukum agak sukar. Tetapi beliau bercakap atas kapasiti ilmu yang beliau ada, kerana itulah beliau dikerusi Mufti.

Dari segi hujah yang SS Mufti guna pakai, tiada cacat celanya disini. Sedia maklum angka kes COVID-19 semakin meningkat dan dijangka akan ada peningkatan, dan menurut pakar perubatan kes boleh mencecah 10,000 sehari. Ini satu jumlah yang amat dahsyat. Katil-katil dihospital akan dipenuhi oleh pesakit COVID-19. Kita juga sedia maklum, setiap negeri angka COVID-19 berbeza-beza, dan ada negeri yang wabak ini merebak merata-rata. Jika dibenarkan rentas negeri, ini satu bencana kepada negeri lain. Bila ianya membawa kepada mudarat yang besar, maka, hukum yang diguna pakai oleh SS Mufti sangat bertepatan. Ada yang mengatakan ini hukum/fatwa politik parti, Mufti bukanlah dibawah mana-mana parti, ini kita kena faham. Setiap Mufti dibawah Sultan atau Raja, atau Agong. Terdapat hadis yang masyur mengenai rentas negeri atau daerah ketika wabak.

Sabda Nabi SAW,
“Apabila kamu mendengar bahawa taun menimpa sesuatu tempat maka janganlah kamu masuk ke dalam kawasan tersebut. Dan apabila kamu berada di dalam kawasan yang terdapat padanya taun, janganlah kamu keluar daripadanya.”

HR Bukhari

Ini jelas, bahawa fatwa Mufti WP sangat bertepatan dengan situasi hari ini. Ianya akan membawa kemudaratan yang lebih besar.

Firman Allah SWT,
“….janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan…….”

Surah Al-Baqarah[2] : 195

Mengenai tipu dokumen, ianya sukar untuk diberitahu, melainkan orang tersebut ditangkap atau penjelasan dari pihak berkuasa, adakah ramai yang menipu dokumen. Tetapi apa yang kita sering dengar perkara ini memang benar berlaku. Baik orang biasa sehingga ke orang kayangan. Ada yang mengatakan pergi atas dasar kerja, tetapi melancong disana. Pelbagai lagi isu penipuan dokumen ini. Itu kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menilai.

Peranan Mufti dan Keterbatasan Kuasa
Kita akan masuk kebahagian “Habis tu artis, kluster kayangan?” dan “Habis tu arak tak haram? Rasuah tak haram”. Pertama, kita perlu faham apakah peranan Mufti dan apakah bidang kuasa sebagai Mufti.

“Habis tu artis, kluster kayangan?”
Apabila Mufti mengeluarkan sesuatu hukum atau fatwa. Sebagai contoh, LARANGAN/HARAM MERENTAS NEGERI. Tidak kira sama ada ianya artis atau kluster kayangan atau rakyat marhaen, semuanya akan terpaut dengan hukum atau fatwa ini. Sebagai contoh, fatwa menfatwakan bahawa merokok haram sebab merosakan kesihatan dan membazir. Tidak kira sama ada anda sakit atau ada sihat atau ada banyak duit, semuanya terpakai tidak kira anda tergolong dalam golongan yang mana.

Bilamana fatwa itu ditujukan secara umum, maka, kesemuanya akan terlibat. Tetapi saya ada menonton dan mendengar beberapa kali kenyataan SS Mufti WP, beliau sendiri memberitahu beberapa kali, untuk mengeluarkan sesuatu hukum ini susah. Dan beliau berhujah dengan berdalilkan “Taat pada Ulil Amri. Jika ada wabak jangan masuk dan keluar. Dan penipuan dokumen”. Jika anda rasa Mufti WP tidak mengatakan kepada artis tersebut, tidak benar juga. Dikatakan seorang artis ini mengatakan beliau ke sebuah negeri atas alasan kerja, tetapi dikatakan juga beliau melancong dan berbulan madu. Bukankah Mufti kata ada orang yang menipu dokumen disini? Jadi, jika ada salah seorang yang mengatakan Mufti tidak nasihat artis atau kluster kayangan, mungkin anda perlu menariknya semula kenyataan anda, dan menonton atau mendengar semula kata-kata Mufti WP.

Ada yang mengatakan Mufti keluar fatwa tidak kena tempat dan masanya. Bukankah pertanyaan itu ditanya pada tempat dan masa ketika itu? Itulah peranan seorang Mufti, bilamana ditanya hukum, perlu dijawab atas kemampuan dirinya. Jadi, saya rasa hujah tidak kena pada tempat ini, tidak patut ditanya.

“Habis tu arak tak haram? Rasuah tak haram”
Seperti yang saya tulis sebelum ini, jika kita memasukan persoalan ini, sebenarnya kita sudah terkeluar jauh dari tajuk asal. Tetapi disebab terlalu ramai bila tiada hujah LARANGAN/HARAM RENTAS NEGERI, mereka akan kalih atau beralih isu lain. Ini biasa dibuat sebilangan besar orang.

Pertama, siapa kata arak, judi, rasuah tak haram? Tolong beri saya satu nama dikalangan Mufti atau orang agama yang mengatakan arak, judi, rasuah tak haram atau harus atau makruh.

Firman Allah SWT,
Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya

Surah Al-Baqarah[2] : 219

Firman Allah SWT,
Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.

Surah Al-Ma’idah[5] : 90

Sabda Nabi SAW,
” Rasulullah saw melaknat sepuluh orang yang berkaitan dengan arak. Yang memerah,yang meminta perah, yang minum, yang membawa, yang dibawa kepadanya, yang menuangkan arak, yang menjual, yang memakan hasil jualan arak, yang membeli dan yang dijual untuknya.”

HR At-Tirmizi

Sabda Nabi SAW,
“Semua yang memabukkan adalah haram.”

HR Bukhari, Muslim

Firman Allah SWT,
Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).

Surah Al-Baqarah[2] : 188

Sabda Nabi SAW,
“Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah”

HR Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah

Sabda Nabi SAW,
“Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan perantara yang bersifat penghubung antara kedua-duanya”

HR Ahmad, al-Tabarani

Jelas, arak, judi dan rasuah haram! Ijmak atau sepakat para Ulamak mengatakan perkara ini jelas keharamannya. Perkara yang Ijmak jika tidak dikeluarkan fatwa pun sudah pasti orang awam tahu keharamannya. Jika ada orang Islam yang minum arak, mabuk, berjudi, rasuah, pemimpin rasuah sebenarnya mereka sendiri tahu haramnya perbuatan mereka, kerana perkara ini ijmak. Jika dia sendiri tidak malu pada Allah dan menentang hukum Allah, apalah sangat jika nasihat dari Mufti ini, tidaklah memberi azab pun bagi tubuh badan mereka.

Tetapi, jika ada mengatakan bahawa Mufti Wilayah Persekutuan tidak pernah mengeluarkan fatwa atau kenyataan pengharaman arak, judi dan rasuah. Anda sebenarnya menanggung dosa dan telah tersilap besar. Saya akan berikan pautan, dan anda boleh membacanya sendiri.

BAHAYA JUDI – MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN
HINDARI BAHAYA ARAK – MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN
APAKAH HUKUM MENJADI PERANTARA DALAM PERBUATAN RASUAH – MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

Ini pautan yang akan membawa kepada kesalahan diri anda sendiri yang mengatakan Mufti hanya berdiam diri dan tidak mengeluarkan fatwa mengenai hal ini.

Keterbataskan Dan Bidang Kuasa Mufti
Saya faham, ketidakpuashatian kita mengenai Mufti tidak bertindak atau melakukan sebarang tindakan. Tetapi anda juga perlu faham sesuatu, apakah peranan Mufti, jawatan, dan bidang kuasa Mufti.

Mufti hanyalah dipertanggungjawabkan mengeluarkan fatwa, dan bukan bidang kuasanya menangkap orang. Kadang saya kurang faham dengan masyarakat kita hari ini. Kadang kala, mengalih isu yang kita tidak boleh berdebat atau berhujah sangat-sangat pelik, bukan sikit-sikit. Tiba-tiba kita tanya, “Sajat dah tangkap ke belum?” “Kes Adib macam mana?”. Kawan-kawan yang dikasihi sekalian. Ini bukan bidang kuasa Mufti bahkan luar dari itu. Kes Sajat berlaku di Selangor, tolonglah jangan tanya Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan(JAWI). Itu dibawah Jabatan Agama Islam Selangor(JAIS). Itupun bidang kuasa Jabatan Agama sangat terhad, dan bukan semudah ABC menangkap orang. JAIS perlu bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia(PDRM) untuk menahan Sajat. Adapun kes Arwah Adib bukan bidang kuasa Jabatan Agama, boleh rujuk kepada penguatkuasa yang terlibat.

Pelik bukan golongan ini? Kalih atau alih isu sangat jauh. Malangnya bukan menambah hujah dan kemenangan mereka, tetapi membuatkan mereka kalah tanpa bertanding. Keterbatasan bidang kuasa Mufti sangat terhad. Menutup kilang arak, kelab malam, lesen judi dan arak, bukan bidang kuasa seorang Mufti. Mufti hanya mengeluarkan fatwanya sahaja. Sama ada Mufti itu lantang atau tidak, itu terpulang kepada kefahaman masing-masing.

Adakah Kita Tidak Boleh Mengkritik Langsung Atau Tiada Ruang Kritikan Atau Tidak Boleh Beri Pandangan?
Ini bagi saya soalan yang saya suka. Mengharmonikan wacana yang sihat dan berilmiah adalah satu cita-cita saya yang saya impikan di Malaysia ini. Tidak boleh kritik langsung? Tengok, perbicangan apa yang kita nak kritik. Adakah ada ruang kritikan atau tiada atau tiada langsung. Sebagai contoh, JUDI ARAK RASUAH HARAM. Jangan terkejut ya jika ada yang mengkritik mengatakan Arak yang jelas keharaman itu tidak haram. Jika persoalan ini hendak dihujahkan, bagi saya, tiada ruang untuk membuka wacana. Tetapi jika melibat sebagai contoh LARANGAN RENTAS NEGERI, mungkin boleh membuka ruang wacana. Tetapi dengan syarat mesti beradab dan berakhlak. Setiap wacana perlu berjalan dengan sihat.

Di UK, wacana ilmu sangat banyak dan berjalan dengan baiknya. Baik yang mengkritik atau yang dikritik. Jika mereka orang kafir pun beradab dan berakhlak, apatahlagi sebagai seorang Islam yang beriman, yang diturunkan Al-Quran dan Hadis, apakah kita patut lebih teruk daripada mereka orang kafir? Sudah tentu tidak. Ketegangan pasti berlaku, itu biasa. Dalam apa-apa wacana atau dialog atau debat, ketegangan, kepanasan, pasti ada. Tetapi mereka tidak lontarkan hujah “Bodoh, bebal, tolol, bangang”. Sebab mereka tahu, ini bukan satu wacana yang sihat dan berilmiah.

Setiap manusia ada pandanganya yang tersendiri, mana ada manusia didunia hanya satu pandangan sahaja. Sedangkan sahabat Nabi SAW mempunyai pandangan yang berbeza. Seperti isu PUBG yang pernah dikeluarkan suatu ketika dahulu. Ada beberapa asatizah, ustaz yang tidak bersetuju dengan kenyataan bahawa PUBG haram. Saya orang awam, tidak berhak untuk mengatakan setuju atau tidak, tetapi hakikatnya begitulah. Bagi saya tidak kira sama ada PUBG, FREE FIRE, COUNTER STRIKE dan sejenis dengannya, jika mendatangkan kemudaratan dan membawa kepada keganasan, maka ianya adalah haram. Jika permainan video(game) apa sahaja yang membuatkan kita leka dan tidak menunaikan kewajiban seperti solat, nafkah(jika siapa sudah berkeluarga), maka haramlah hukumnya. Ini yang saya katakan tadi, ada ruang untuk berwacana.

Tapi ada satu perangai orang kita, bilamana yang main PUBG dikalangan orang muda atau budak-budak atau kanak-kanak, laju saja kita cakap haram, ikut Mufti. Tapi dia lupa sesuatu, pengharaman PUBG disebabkan permainan video itu mendatangkan keganasan, tembak menembak. Dia lupa yang dia juga main counter strike. Jadi, bila kena hukum pada orang, kita seronok. Bila kena pada kita, kita melatah. Sama juga seperti LARANGAN RENTAS NEGERI, mungkin tidak kena dengan tekak atau selera kita, habis segala zikir makian kita keluarkan. Tidak adillah.

Menjadi Pelampau, Khawarij dan Munafik
Ada beberapa golongan dalam dunia ini yang Nabi sebut, iaitu golongan pelampau, khawarij dan munafik.

Sabda Nai SAW,
“Musnahlah golongan yang melampau”.

HR Muslim

Sabda Nabi SAW,
Apakah engkau mendengar Nabi SAW bersabda tentang Khawarij? Ia menjawab: Aku mendengar beliau bersabda – sambil beliau arahkan tangannya menuju Iraq – Dari sanalah muncul sekelompok kaum yang membaca al-Qur’an tidak melebihi kerongkongan mereka, mereka keluar dari Islam sebagaimana anak panah keluar dari busurnya.

HR Bukhari

Sabda Nabi SAW,
“Mereka menghina amalan kamu (dengan membandingkan amalan mereka dengan amalan kamu), mereka memerangi umat Islam, maka apabila mereka keluar maka perangilah mereka, kemudian apabila mereka keluar maka perangilah mereka, kemudian apabila mereka keluar maka perangilah mereka…”

HR Ahmad

Sabda Nabi SAW,
Tanda-tanda orang munafik ada tiga, iaitu apabila dia berbicara dia dusta, apabila dia berjanji tidak ditepati dan apabila diberi amanah dia khianati.”

HR Bukhari, Muslim

Kita tidak mahu jadi golongan pelampau atau khawarij yang menghukum ikut hawa nafsu. Dan kita juga bukan golongan yang mensucikan orang agama seolah-olah mereka maksum dan tiada kesalahan langsung. Sudah tentu mereka juga melakukan kesalahan yang boleh dikritik, dan sudah pasti kita ini lebih banyak kesalahan berbanding mereka. Jadilah golongan yang sederhana. Kita juga tidak mahu menjadi golongan munafik yang sentiasa dusta apabila berbicara.

Mempertahankan dan Kesian Pada Mufti Wilayah Persekutuan?
Ya, sebagai seorang Islam, tanggungjawab saya untuk mempertahankan agamawan terutamanya Mufti dan Institusi Agama Islam. Terutamanya saya sendiri menetap dibawah Wilayah Persekutuan. Jadi, ini tanggungjawab saya mempertahan institusi agama di Wilayah Persekutuan.

Sangat malang bilamana maki, hina, cerca Mufti ini sudah menjadi suatu kebiasaan atau budaya dizaman serba moden ini. Tidaklah menjadi sesuatu pelik dizaman serba gila khinzir ini atau zaman fitnah ini, golongan Mufti dipandang bodoh, dan golongan bodoh dianggap Mufti. Saya merasa bertanggungjawab untuk mempertahankan SS Mufti Wilayah Persekutuan. Bilamana ada orang bukan Islam yang tidak terkesan bahkan tiada hukum Islam baginya komen maki Mufti berbakul-bakul, malangnya ada juga orang Islam bersama maki Mufti berlipat-lipat. Adakah kita sebagai orang Islam yang beriman hanya sanggup melihat perkara ini? Kita keluar masuk masjid, kemudian sanggup bersama-sama dengan orang kafir, memaki mencerca orang yang sama akidah dan bersolat dengan kita dan yang kita maki cerca itu ialah seorang Mufti agama Islam, agama kita? Malang. Walaupun vaksin belum disuntik lagi, agenda dajjal untuk memisahkan institusi agama dan Ummah hampir berjaya. Jika Umat ini tidak lagi melihat institusi agama, Mufti sebagai pengeluar fatwa, maka, hancurlah generasi kita akan datang. Jika hari ini kita melihat pelanggaran hukum sikit demi sedikit, tidak mustahil generasi akan datang akan cakap, “Haram sikit-sikit takpa, tak selalu”.

Adakah saya kesian pada Mufti Wilayah Persekutuan? Jawapannya tidak sama sekali. Bahkan saya kesian kepada penfitnah dan orang yang mencaci maki Mufti WP, kerana apa? Apalah hujah mereka dihadapan mahkamah Allah SWT kelak. “Mufti bodoh, tolol, bangang, benak”. Adakah ini hujah yang anda ingin bawa bersama menuju ke mahkamah Allah SWT? Sedangkan Mufti boleh membawa ‘satu kontena’ kitab berhujah dengan kita dihadapan Allah SWT. Apakah kita tidak takut? Saya ada satu pepatah : “Jika kitab(dibaca) Mufti hempap atas kita, boleh mati tenggelam jasad kita”. Hendak menggambarkan betapa besarnya dan banyaknya ilmu mereka jika hendak dibandingkan kita. Perbezaan kita dengan Mufti, bukan hanya sekadar pangkat beliau, tetapi perbezaan kita dengan Mufti ialah ilmu beliau kerana itu beliau dikerusi Mufti.

Jika anda tergolong dalam golongan memaki, menghina Mufti WP, bertaubatlah, mintalah maaf kepada beliau. Berat tanggungan kita kelak. Dosa dengan Allah, kita boleh taubat, tetapi dosa dengan sesama makhluk, berat tanggungannya. Tidak diampun selagi mana orang yang kita fitnah atau sakiti atau zalimi itu memaafkan kita. Adakah kita bersedia dengan azab Allah yang Maha Dahsyat kelak? Atau bersediakah kita merangkak mencari orang yang kita zalimi? Atau didunia ini kita tidak mampu menahan api sebatang mancis.

Semoga Allah lindungi kita daripada golongan pelampau, khawarij dan munafik. Kita hari ini mengharapkan rahmat Allah untuk ke Syurga dan mengharap doa dari orang soleh.

Sekian.

Tagged:

1 COMMENTS

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts