Apa Yang Anda Perlu Tahu/Lakukan Sebelum Pergi Vaksin!

Author:

Assalammualaikum, Salam sejahtera..

Saya nak berkongsi mengenai apa yang ada perlu buat sebelum Temujanji Vaksin. Alhamdulillah, saya ada beberapa pengalaman sedikit untuk berkongsi supaya lebih memudahkan urusan anda kelak bila hendak pergi vaksinasi. Jom saya kongsikan sedikit.

1 SENTIASA LIHAT TARIKH TEMUJANJI VAKSIN
Terlalu ramai saya mendengar rungutan “Setiap hari tengok MySejahtera, tapi tak dapat juga vaksin, rasa malas nak tengok dan semak”. Saya faham rungutan anda, saya sendiri lama daftar vaksin tapi lambat dapat. Cumanya disini saya hendak memperingatkan suatu perkara. Ada orang yang dapat temujanji vaksin dalam masa yang lama, ada juga masa yang singkat. DAN, ada juga yang dapat pada jam 12.30pagi, kemudian temujanji pada 9.30pagi. Ini terjadi pada ahli keluarga saya sendiri. Nasib baiklah saya terbuka hati nak semak temujanji vaksinasi untuk ayah saya jam 12.30pagi. Kalau tidak, terlepaslah temujanji tersebut.

Saya harap sangat pihak berwajib dapat meneliti semula perkara ini. Ini sangat bahaya untuk orang yang jarang lihat telefon bimbit terutamanya orang tua. Mereka tidur jam 10.00malam, bangun subuh, duduk atas tikar sejadah, mengaji. Jam 8.00 solat dhuha, kemudian rehat sebentar. Kemungkinan besar mereka hanya pegang telefon jam 9.00pagi, itupun mungkin selepas sarapan. Jika anak-anaknya jauh, pasti mereka pun tidak tahu kelayakan mereka mendapat vaksin di MySejahtera. Kalau boleh, berilah tempoh 2-3 hari untuk temujanji.

2 BAWA UBATAN DAN LAPORAN PERUBATAN
Jika sudah sahkan temujanji, apa yang anda perlu lakukan ialah bawa setiap ubat-ubatan atau kad laporan perubatan. Kebiasaannya ianya tidak wajib atau bukan sesuatu yang perlu anda bawa. Cuma, sesetengah orang yang mempunyai masalah penyakit yang kritikal, segala ubat-ubatan dan kad laporan sangat penting. Pakcik saya ada ambil ubat cair darah, ini sedikit memberi kesan kepada pesakit seperti pakcik saya. Doktor perlu mengesahkan bahawa seseorang pesakit boleh mengambil vaksinasi atau tidak. Alhamdulillah, selepas berjumpa dengan doktor dan dari nasihat doktor, pakcik saya boleh mengambil vaksin, dan dia sudah pun vaksin kali ke-2, Alhamdulillah, bersyukur pada Allah, beliau sihat.

Saya juga ada mendengar dari keluarga sepupu saya, yang mana mak mertuanya ada mengambil ubat cair darah juga. Selepas pergi ke pusat vaksinasi, doktor disana nasihat supaya dia tidak ambil vaksin dahulu, kerana khuatir memberi kesan kepadanya, akhirnya beliau balik tanpa vaksin. Jadi, perlunya kita isytiharkan penyakit kita kepada doktor yang ada di pusat vaksin. InsyaAllah, mereka akan memberi kerjasama dengan baik. Saya sudah membawa Ibu dan Ayah saya, perjalanan vaksinasi kedua-keduanya berjalan dengan lancar dan baik. Janganlah hanya mendengar cerita tidak baik dari frontliner kita sahaja.

3 JANGAN LUPA TELEFON BIMBIT
Telefon bimbit sangat penting dalam proses vaksinasi. Setiap perkara perlukan telefon bimbit. Dipusat vaksin mempunyai 2 jenis scan, iaitu pertama scan check in, yang mana selalu kita buat untuk memasuki mana-mana premis atau banggunan. Kedua ialah scan untuk vaksinasi. Jangan risau, frontliner kita tolong nanti disana.

Telefon bimbit juga penting dalam pengambilan gambar anda disana, haha. Ambillah gambar sekeping dua, ini sejarah buat kita dan dunia kelak. Akan datang, mungkin 10 tahun-20 tahun. Ini bukti yang mana dunia pernah alami pandemik wabak yang menggemparkan satu dunia. Teringat saya dengan seorang makcik ini, sesudah vaksin, anda dibawa untuk berehat selama 15 minit, sambil jangan bersama anaknya dan diiringi oleh sukarela, makcik ini bertanya “Kat mana yang ambil-ambil gambar tu?“. Tersenyum lebar saya dengan mak saya mendengarnya. Sukarela itu jawab ada dekat luar, dan menyuruh makcik itu duduk dahulu dan berehat. Mungkin sebab group whatsapp kawan-kawannya berkongsi gambar vaksin, dan makcik itu tidak mahu ketinggalan. Ini satu sejarah buat generasi akan datang untuk mempelajari dari generasi ini, supaya dapat mengawal wabak dengan lebih baik lagi dan kurangkan angkat yang dijangkiti dan angkat kematian.

Jika ratusan tahun dahulu terdapat penyakit yang dipanggil BLACK DEATH yang dikatakan puluhan juta hingga ratusan juta yang mati akibat wabak dahsyat ini, ianya dicatat didalam sejarah hitam. Bayangkan dahulu manusia tidak mempunyai kereta atau kapal terbang yang membolehkan rentas daerah atau negeri atau negara, tetapi wabak ini berjangkit dengan sangat cepat dan dahsyat. Boleh baca sejarah mengenai wabak BLACK DEATH ini.
Setakat hari ini 26/6/2021, jam 9.11malam, kematian kerana covid 19 ialah 9,927,175 orang.

4 JANGAN LUPA KEMASKINI STATUS PROFIL DI MYSEJAHTERA
Perkara paling penting disana ialah mengenai status profil dalam MySejahtera. Setiap kali anda hendak memasuki checkpoint, penjaga disana akan bertanya “Boleh tengok profil?, Boleh tolong kemaskini profil?“. Kalau boleh, sebelum bertolak ke pusat vaksinasi, kita siap-siap dahulu kemaskini profil kita, bagi memudahkan urusan kita. Kebanyakan orang yang berada didepan pintu kerana ingin kemaskini status profil sahaja. Ini melambatkan proses kita kelak.
Bagaimana caranya hendak kemaskini status profil MySejahtera?

Masuk MySejatera > Tekan TUTUP/CLOSE > Tekan STATUS COVID-19 > Jawab semua soalan > Tekan PROFIL > Tekan MUAT SEMULA/REFRESH. Kemudian boleh lihat tarikh terkini kemaskini profil kita.

5 JANGAN PAKAI BAJU KETAT DAN PAKAI BAJU MUDAH UNTUK DIVAKSIN!
Kita sudah tahu dan sedia maklum bahawa kita akan divaksin. Pakailah baju yang bersesuaian untuk divaksin. Jangan pakai baju terlalu ketat, lelaki pula, jangan pakai baju lengan panjang sehingga susah nak dilipat. Ada doktor beritahu, sehingga perlu buka baju untuk divaksin. Ini menyukarkan dan menyusahkan kerja doktor sebenarnya. Mereka bukan hendak melayan kita seorang. Ada pusat vaksin, ribuan orang yang hadir untuk divaksin. Jika ratusan orang melakukan perkara yang sama iaitu baju ketat, mana mungkin doktor akan bersabar lagi dengar kerenah kita. Ini perkara common sense yang perlu kita tahu sendiri.

Bagi wanita pula, boleh buat cara masing-masing. Boleh pakai baju biasa didalam kemudian baju sweater atau apa-apa baju yang mudah untuk dicucuk nanti. Supaya aurat kita terjaga dan aurat kita tidak terbuka terlalu lama. Jika pakaian kita pakai menyukarkan doktor, ini akan menyebabkan kesukaran, dan aurat kita mungkin akan terdedah lebih lama. Tapi, jangan risau, terdapat doktor wanita yang cucuk nanti. Boleh pilih doktor wanita. Tetapi, jika dalam darurat, diperbolehkan untuk doktor lelaki yang cucuk vaksin.

Itu sahaja perkara yang penting anda perlu lakukan sebelum ke pusat vaksinasi. Yang lainnya, pastikan anda guna pelitup muka, bawa cecair pembasmi kuman(hand sanitizer), jaga penjarakan, bertanya kepada sukarela disana apa-apa yang kita tidak faham. Jangan risau, mereka baik-baik sahaja, mungkin mukanya atau suaranya sahaja yang sedikit garang dan kasar, biasalah, anggota kan, tetapi hatinya lembut. Terdapat juga sukarela dari orang biasa yang menjaga setiap perjalanan kita. InsyaAllah, semua baik-baik sahaja.

Ada pusat vaksin yang membenarkan pengiring masuk sekali, ada juga yang tidak membenarnya. Begitu juga dengan ambil gambar ketika dicucuk vaksin. Ada yang bagi ada juga yang tidak bagi. Ikutlah peraturan yang ditetapkan, janganlah terlalu ingin membantah.

Yang paling penting, jaga kesihatan, sebelum pergi, makan terlebih dahulu, jika ada ubat darah tinggi, boleh makan dulu. Ini menurut doktor ketika ayah saya ambil vaksin. Boleh telan ubat dahulu, tiada masalah. Tetapi, walau bagaimanapun, dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu dan jangan dengar nasihat atau percakapan dari orang sembarangan atau yang bukan ahlinya.

Sekian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *