Bolehkah Sebut Lucah Sebab Dia Pakai Seksi?

Author:

Assalammualaikum, Salam sejahtera..

Dari Aqbah Bin Amir r.a katanya: Saya berkata: Ya Rasullah, apakah jalan selamat? Jawab Nabi SAW,
“Tahanlah lidahmu dan tetaplah dalam rumahmu, dan tangislah dosamu”.

HR At-Tirmizi

Isu ini agak sensitif. Sebenarnya lama saya terfikir untuk menulis, tetapi isunya semakin kemuncak bilamana ramai orang sudah terkena Sexual Harassment atau Gangguan Seksual. Baru-baru ini ada seorang artis wanita yang videonya disebarkan bertajuk “Salah Parking”. Dan banyak lagi orang yang terkena ganggu seksual seperti beliau ini. Ada seorang artis wanita berbangsa Cina, selalu beliau dihujani komen berbaur kelucahan. Tidak perlu saya sebutkan perkataan tersebut, kerana jijik saya mendengarnya dan membacanya. Terlebih lagi ianya dari dari seorang Muslim. Ya, kebanyakan komen itu datang dari kalangan kita, kalangan orang Islam itu sendiri. Sangat memalukan.

Sedar atau tidak, mereka yang komen berbaur kelucahan ini sebenarnya sedang menjatuhkan Islam dari dalam, dalam bahasa kasarnya sedang membunuh Islam dari dalam. Kenapa saya sebut demikian? Kerana setiap manusia akan menilai melalu imej manusia itu sendiri. Termasuklah bangsa, negara dan agama. Kita akan sentiasa dengar, “Oh, bangsa itu, memang begitu”, “Oh, negara itu, memang begitulah perangainya”. Lebih menakutkan lagi orang akan berkata “Aik? Agama dia memang ajar umat dia begitu? Boleh cakap lucah?”. Ini pandangan pertama bagi sesiapa sahaja terhadap manusia lain, ini biasa, ini hakikat dunia. Kerana itu saya mengatakan mereka yang bercakap atau komen berbaur kelucahan dan ganggu seksual ini sedang menjatuhkan agama mereka sendiri, bahkan membunuh Islam dalam sedar atau tidak.

“Tak bolehlah pukul rata macam tu”. Itulah saya katakan, ini hakikat dunia. Kerana itu Nabi Muhammad SAW telah mengajar kita mengenai imej, percakapan, tingkah laku sewaktu kedatangan Islam. Kerana bagi Nabi SAW imej sangat penting dan setiap manusia akan menilai sesorang yang mereka baru jumpa dengan imej orang tersebut. Jika kita mengatakan perkara lucah, buat mimik lucah, komen perkara berbaur kelucahan, ia akan menyebabkan imej Islam itu tercalar atau sangat tercalar.

Mungkin bagi mereka yang suka komen berbaur kelucahan ini tidak merasa apa-apa, kerana bagi mereka, tiada kesan terhadap dirinya, keluarganya dan agama mereka. Dan mungkin juga mereka tidak ambil peduli pun tercalarnya imej agama. Saya bukanlah baik, adakalanya bila melihat wanita lalu dalam hati pasti kata “Cantiknya”. Tetapi, cukuplah sendiri-sendiri. Kenapa mesti kita mengeluarkan perkata sedemikian, perkataan berbaur kelucahan kepada mereka, apatahlagi mengaibkan mereka. Ini sangat terkeluar dari ajaran agama Islam.

“Dia pakai seksi siapa suruh?”. Islam sangat menyuruh menjaga perkataan dan percakapan dan akhlak kita. Apa kata Islam mengenai perkataan, percakapan dan akhlak?

Firman Allah SWT,
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.

Surah Al-Hujurat[49] : 11

Sabda Nabi SAW,
“Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.”

HR Ahmad

Sabda Nabi SAW,
“Taqwa kepada Allah dan baik akhlaknya.” Lalu Baginda SAW ditanya lagi berkaitan sebab kebanyakan manusia dimasukkan ke dalam neraka? Baginda SAW menjawab: “Mulut dan kemaluan.” 

HR At-Tirmizi

Sabda Nabi SAW,
Mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya.”

HR At-Tirmizi

Sabda Nabi,
“Sesungguhnya seseorang terkadang berbicara dengan kata-kata yang dia sangkakan tidak mengapa, lalu (tanpa diduga) dia terjerumus dengan sebabnya ke dalam neraka (yang kedalamannya) sejauh perjalanan tujuh puluh tahun.”

HR Ahmad

Sabda Nabi SAW,
“Orang yang beriman itu bukanlah sifatnya memaki hamun, melaknat, berkata kotor dan juga bahasa yang keji.”

HR At-Tirmizi

Apakah dalil ini tidak cukup bagi kita untuk mengatakan Islam sangat menjaga imej, percakapan atau kelakukan dan akhlak? Saya rasa pasti tidak cukup, kerana kebiasaan orang-orang begini akan menggunakan hujah akal mereka.

Kerana suatu ketika bilamana ada orang wanita komen “Ramai lelaki kita(Islam) komen benda-benda(perkataan berbaur kelucahan) macam ini. Malunya”. Apa jawab lelaki tersebut? Dengan tidak semena-menanya lelaki tersebut mengatakan “Malu lagi orang perempuan macam kau”. Ada juga yang balas “Siapa suruh dia pakai seksi, mendapatlah”. Ini hujah kebiasaan mereka, tanpa menghiraukan dalil agama, tanpa menjaga imej agama, tanpa memikirkan tercalarnya Islam disebabkan kata-kata mereka. Inikah pelajaran kita mengenai agama? Mengguna hujah akal yang tidak masuk akal ini? Kalau mereka suka mendengar hujah akal, insyaAllah, saya akan memberi hujah akal.

“BOLEHKAH SEBUT PERKATAAN BERBAUR KELUCAHAN DISEBABKAN ORANG ITU PAKAI SEKSI”?

Yang pertama, kita mesti melihat hujah dan dalil agama dalam mengatakan mengenai menjaga adab dan tingkah laku ketika bercakap, menulis dan kelakuan, terutamannya akhlak. Seperti dalil diatas tadi. Kerana akhlak kita adalah keperibadian diri kita.

Kedua, mana boleh senang-senang kita membenarnya isyarat berbaur kelucahan atau perkataan berbaur kelucahan hanya disebabkan orang itu pakai seksi. Ini tidak masuk akal. Sebab orang itu pakai pakaian seksi, kita boleh cakap lucah? Sebab orang pakai seksi kita boleh buat isyarat lucah? Hujah apa yang mereka cuba sampaikan?

Baiklah, jika adik kita atau kakak kita, atau ibu kita pakai pakaian yang ternampak sedikit pakaian dalaman, atau (maaf cakap) tidak pakai tudung dan baju ketat, adakah kita membenarkan orang lain berkata “Seksi, baek, mantap pak abu, salah parking” dan sebagainya lagi yang saya sendiri tidak mampu menyatakannya. Ini sangat pelik. Jika kita mengakui boleh cakap berbaur kelucahan sebab orang itu pakai seksi, dalam masa yang sama, kita membenarnya ucapan itu keluar dari mulut orang lain kepada ahli keluarga kita sendiri. Bolehkah begitu? Atau orang lain ok, keluarga kita tak ok?

Saya ada adik perempuan, mak saya juga perempuan, saya juga ada sepupu perempuan. Sebab apa saya menentang perbuat jijik dan jelek sebegini, kerana saya takut, orang akan berkata sepertimana kita berkata kepada orang, bahkan mungkin lebih teruk dan parah lagi.

Dahulu kita mendengar orang kena rogol kerana alasannya perempuan tersebut pakai seksi. Adakah pakaian seseorang itu mengukur yang orang itu boleh diapa-apakan? Sebab dia seksi, boleh pegang, sebab dia seksi, boleh dirogol, atau sebab dia seksi, boleh kata salah parking? Sangat mengarut. Sebagai seorang Islam, hujah ini tidak boleh diguna pakai langsung. Mereka ini seolah-olah menggunakan hujah akal yang tidak masuk akal. Hujah sebegini tidak masuk akal dan patut dikuburkan dari pemikiran manusia terlebihlagi orang Islam.

Bab pakaian, memang benar Islam menyuruh menutup aurat. Bagi sesiapa yang berfaham liberal mengatakan aurat tidak wajib, ini salah.

Firman Allah SWT,
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

Surah An-Nur[24]: 31

Sabda Nabi SAW,
Wahai Asma’! Sesungguhnya seseorang wanita apabila telah didatangi haid tidak elok dia membiarkan dirinya dilihat melainkan ini dan ini. Lalu Rasulullah SAW menunjukkan ke wajahnya dan tapak tangannya.

HR Abu Daud

Ini dalil dari Al-Quran dan hadis Nabi SAW. Saya datangkan kedua-duanya kerana ada yang mendakwa, “Quran tidak suruh tutup aurat, hadis sahaja berkata begitu”. Jadi saya bawa kedua-duanya sekali.

Ini bermakna bahawa aurat wanita wajib di tutup, supaya tidak mendatangkan fitnah dan gangguan seksual terhadap diri mereka. Mungkin ada yang kata “Pakai purdah pun orang cakap lucah pada mereka”. Perkataan ini selalu disebar luaskan oleh ramai orang, termasuk ada gambar seakan situasi begini yang disiarkan oleh seorang doktor terkenal.

Ya, tidak dinafikan. Tetapi, paling tidak, kita sudah menjaga kewajiban yang Allah SWT suruh dan apa yang paling penting, bilamana, rata-rata orang berkata sebegitu kepada orang yang menutup aurat(dengan sempurna)akan terkena fitnah kepada diri mereka sendiri.

Lihatlah, bilamana ada orang berkata perkataan berbaur kelucahan kepada orang yang menutup aurat(dengan sempurna) akan ditohmah bermacam-macam kepada mereka. “Gila, gila seks, orang tutup aurat pun ada je nampak” dan sebagainya. Bukankah ini bermakna Allah sentiasa menjaga orang yang mengikuti perintahnya?

Orang yang jelek sahaja komen lucah kepada orang yang pakaiannya menurut aurat(dengan sempurna). Sebab apa? sebab, apa yang kita nampak dari batang tubuhnya? Melainkan hanyalah kain yang menutup sempurna semua maruahnya. Kita hampir tidak nampak apa-apa daripada mereka, tetapi komen lucah. Bukankah berkata lucah kepada mereka hanyalah perbuatan jelek dan pelik? Hanya orang gila sahaja hari ini berkata sesuatu yang mereka tidak nampak, hanya lebih kepada berkhayal.

Tetapi itu bukanlah tiket kita sebagai manusia boleh berkata perkataan berbaur kelucahan kepada mereka. Mereka pakai pakaian tidak menutup aurat, Allah akan memberi peringatan kepada mereka, Semoga Allah memberi hidayah dan petunjuk kepada mereka. Sebagai orang Islam, kita wajib menjaga pandangan kita.

Firman Allah SWT,
“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.”

Surah An-Nur[24]: 30

Ayat ini jelas mengatakan, lelaki juga wajib menjaga pandangannya daripada melihat perkara yang haram dan Allah tahu apa yang sedang kita lakukan. Dengan hanya melihat, bermacam-macam kita akan fikir dan katakan kepada orang yang kita lihat. Jika bukan berkata-kata dalam diri “Cantiknya dia ni”, atau juga kita melihat dan menyebarkan seuatu yang tidak baik kepada wanita yang kita lihat.

Sebagai seorang lelaki, tidak nafikan kita mempunyai nafsu(maaf) kepada wanita. Ini sifat semula jadi manusia bernama lelaki, ini perkara biasa. Seorang lelaki tidak mempunyai sedikit pun nafsunya kepada wanita, ini luar biasa. Tetapi, macam mana sekalipun, kita sebagai lelaki wajib menjaga penglihatan kita. Kadang terlihat, ini biasa. Tapi lihat sehingga aliur meleleh, sehingga cakap perkataan berbaur kelucahan, bahkan ada yang merogol(maaf), ini sangat luar biasa. Ini bukan dari pemikiran orang yang waras.

Dalam isu ini, kita bukan hendak mencari siapa salah. Wanita salah atau lelaki yang salah. Kita hanya hendak mencari kebenaran dan hendak menyelesaikan masalah. Bagi saya, wanita wajib menutup auratnya dan lelaki wajib menjaga pandangannya Dan saya lebih menyuruh bahawa lelaki lebih wajib menjaga pandangannya. Sebab apa?

Sebab pertama, dalam dunia akhir zaman penuh dengan fitnah, bukankah menjaga pandangan lebih baik? Kedua, jika seorang wanita itu bukan Islam, dan pakai seksi, adakah kita boleh mengatakan bahawa aurat wajib tutup kerana perintah Allah? Ya, kita boleh dan perlu dakwah kepada mereka, tetapi, jika mereka bersikap memakai pakaian seksi juga, apa yang kita boleh lakukan? Kerana kepercayaan mereka bukan kepercayaan Islam, Allah dan Rasul. Sebagai seorang lelaki, kita diwajibkan menjaga penglihatan kita. Terpandang, tunduk. Bukannya terpandang, lihat dan buat isyarat atau perkataan berbaur lucah.

Tetapi, jika kita tidak mampu untuk menasihati, tidak mampu untuk berdakwah, baiklah kita diam daripada mengeluarkan perkataan yang buruk dan jelek, terlebihlagi menjatuhkan maruah orang lain dan mengaibkan orang lain.

Sabda Nabi SAW,
“Siapa yang percaya kepada Allah dan hari kemudian, hendaklah berkata baik atau diam”

HR Bukhari, Muslim

Setiap manusia ada dosanya sendiri. Kita mengatakan wanita tidak menutup aurat satu dosa, tetapi kita melihat aurat wanita, kita komen perkataan berbaur kelucahan sehingga maruahnya jatuh, kita aibkan dia dan menyebarkan atau tularkan ke media sosial. Berapa banyak dosa(kombo) yang sudah kita lakukan? Balik kepada hujah Islam dan bukan hujah akal yang tidak masuk akal. Aurat wajib ditutup, pandangan wajib dijaga.

Kepada orang bukan Islam, saya memohon maaf atas komen kelucahan dari seorang Muslim kepada anda. Anda perlu mengetahui sesuatu, ini bukan dari ajaran Islam, ini bukan dari imej Islam. Ini ialah dari kelakuan manusia itu sendiri. Manusia yang tidak bertanggungjawab, manusia yang membelakangi ajaran Islam, Al-Quran dan As-Sunnah. Mereka ini hanya sekadar ingin menjatuhkan imej Islam dan memikirkan tentang nafsu dirinya sahaja. Saya mohon maaf. Islam agama yang sangat menjaga hak manusia, tidak kira wanita atau lelaki. Tidak kira Islam atau bukan Islam. Islam sangat menjaga maruah baik dirinya dan orang lain. Islam sangat menjaga keaiban, baik dirinya mahupun orang lain. Islam ialah cara hidup yang sempurna, Islam ialah sesuatu yang indah. Bukan Islam itu masalah, tetapi orang Islam itu sendiri yang bermasalah. Belajarlah Islam daripada Al-Quran dan Sunnah Nabi. Belajarlah dari akhlak Nabi SAW, bukan belajar dari kehidupan manusia hari ini.

Dalam dunia yang semakin menggila, selain beribadat kepada Allah, kita juga hanya mengharapkan kebaikan dari Allah untuk melindungi kita semua.

Ya Allah aku memohon keselamatan di dunia dan akhirat. Ya Allah aku memohon kepada-Mu kemaafan dan keselamatan pada agamaku dan duniaku, pada ahli keluargaku dan hata bendaku. Ya Allah tutuplah auratku (aib dan kelemahan), dan amankanlah ketakutanku. Ya Allah peliharalah aku daripada bahaya yang datang dari hadapanku, dari belakangku, dari kananku, dari kriku, dari atasku, dan aku berlindung dengan keagungan-Mu daripada tergelincir daripada bawahku.

HR Muslim

Semoga Allah lindungi kita daripada memfitnah, berkata sesuatu yang tidak mendatangkan faedah, Semoga Allah lindungi maruah dan keaiban kita.

Sekian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *