Assalammualaikum, Salam sejahtera..
“Bukhari taklah sehebat mana”?
Pertama-tama, saya tidak mahu bercerita mengenai hadis atau ilmu hadis. Kerana itu bukan bidang saya dan saya bukan beraliran pelajaran agama, tetapi setiap manusia yang waras, pasti ada sedikit akal untuk berfikir mana yang baik atau yang buruk. Saya akan bercerita umum mengenai “Bukhari taklah sehebat mana”.
PENGENALAN :
Siapakah Imam Al Bukhari? Nama sebenar Imam Bukhari ialah Muhammad Bin Ismail Bin Ibrahim Bin Ju’fiy Al Bukhari yang berasal daripada Bukhara. Beliau lahir pada 194 hijrah di bandar Bukhara. Nama Bukhari kerana beliau dilahirkan atau berasal dari Bukhara terletak di Khurasan.
Imam Bukhari mempelajari ilmu hadis sejak dari kecil, dan telah menghafal hadis dalam usia yang sangat muda, iaitu awal berumur 10 tahun. Imam Bukhari telah menulis kitab seawal umur 16 tahun dan kitab yang terkenal ialah Sahih Bukhari. Imam juga menulis kitab mengenai biodata perawi-perawi hadis. Imam Bukhari ketika umurnya 11 tahun, beliau pernah menegur seorang guru kerana tersalah dalam meriwayat sanad hadis.
Siapakah guru-guru Imam Bukhari?
Ali bin Madini, Imam Ahmad Bin Hanbal, Yahya bin Ma’in, Ishak bin Rahawaih, Qutaibah bin Sa’id.
Siapa anak murid Imam Bukhari?
Imam At-Tirmizi, Imam Nasa’ie, Imam Muslim, Imam Ibn Khuzaimah, Abu Zur’ah al Razi, Abu Hatim al Razi.
Pujian terhadap Imam Bukhari:
Telah berkata Imam Ahmad Bin Hanbal rahimahullah – “Khurasan tidak pernah mengeluarkan atau melahirkan insan sehebat Muhammad bin Ismail”.
Telah berkata Abu Hatim al Razi rahimahullah – “Khurasan tidak pernah menghasilkan seseorang yang lebih kuat hafalannya berbanding Muhammad bin Ismail dan tidak ada yang datang dari Khurasan menuju ke Iraq yang lebih alim daripadanya”.
Telah berkata Imam At-Tirmizi rahimahullah – Aku tidak melihat di Iraq dan Khurasan orang yang lebih alim tentang ‘illah-‘illah hadith, tarikh (sejarah) dan sanad-sanad daripada Muhammad bin Ismail al-Bukhari”.
Telah berkata Imam Muslim – “Biarkan aku mencium kedua kakimu wahai guru kepada sekalian guru, ketua kepada sekalian ahli hadith dan pakar dalam ilmu ‘ilal (kecacatan) hadith”.
Ini serba sedikit atau ringkasan pengenal Imam Bukhari. Imam Bukhari seorang jaguh hadis, dan telah merentasi semua zaman. Bermula kebangkitan beliau menulis sehingga ke hari ini, kitab Sahih Bukhari telah diangkat menjadi kitab agung, kitab paling sahih. Dengan ringkasan pengenalan Imam Al Bukhari ini, adakah “bukhari taklah sehebat mana”?
Tokoh-tokoh dan ulamak dunia dahulu sehingga ke hari ini, mengangkat karya agung Imam al Bukhari rh. Kitab beliau merentasi semua zaman, dan masih tiada tandingan sehingga ke hari ini. Kitab Sahih Bukhari telah diangkat selepas Kitab Al-Quran. Adakah “bukhari taklah sehebat mana”?
Saya tidak mahu menyentuh dengan lebih mendalam, kita hanya bercakap secara logik akal sahaja. Yang mana semua orang mampu untuk berfikir.
Pertama, “bukhari taklah sehebat mana”?
Paling tidak Imam Bukhari rh lebih hebat dari kita. Itu pasti dan kita sendiri pun tidak boleh menafikannya. Dengan penulisan dan karya Imam Bukhari, beliau seorang yang sangat hebat, beliau mengetahui 600,000(termasuk hadis dhaif, palsu) hadis berserta sanad. 300 ribu beliau hafal, 200 ribu tidak sahih, dan 100 ribu lagi hadis sahih. Bagaimana tergamaknya kita mengatakan Imam Bukari tidak sehebat mana? Dari segi hujah ini sahaja, hujah “bukhari taklah sehebat mana” terbatal. Ratusan ribu hadis dalam ingatan Imam Bukahri, masih mengatakan “bukhari taklah sehebat mana”? Apa penilai kita mengenai hebat sebenarnya?
Kedua, Apa maksud hebat bagi orang yang mengatakan “bukhari taklah sehebat mana”?
Apa maksud hebat bagi orang itu? Jika ada satu dua hadis YANG DIKATAKAN dhaif atau palsu, tolong berikan hadis itu, bawakan bukti supaya tokoh agamawan boleh menilai dan membalas hujah tersebut. Jika orang itu mengatakan Imam Bukhari tidaklah sehebat mana, orang itu sendiri tidaklah hebat mana, bilamana orang itu sendiri tidak kemukakan hujah dan bukti dikatakan mengenai hadis dhaif dan palsu dalam Kitab Imam Bukhari. Siapa yang lebih hebat sebenarnya? Imam Bukhari, atau orang itu? Imam Bukhari telah mengeluarkan kitab hadisnya berserta sanad dan penghujahannya, sedangkan orang itu hanyalah memberi andaian dan khayalan mengatakan ada hadis dhaif dan palsu dalam kitab Imam al Bukhari rh tanpa mengeluarkan hadis tersebut. Siapakah lebih hebat?
Ketiga, jika benar ada kekurangan dalam Kitab Imam Bukhari dan disebab itu orang itu menggelar Imam Bukhari “bukhari taklah sehebat mana” adakah itu dikira tidak hebat?
Jika benar ada kekurangan sedikit dalam Kitab Imam al Bukhari rh, adakah dengan kekurangan sedikit itu menyebabkan Imam Bukhari tidak sehebat mana? Sangat dangkal dengan penghujahan ini.
Seorang pelumba motor dilitar, menang berkali-kali, kemudian seketika itu dia terjatuh, adakah pelumba motor tersebut tidak hebat? Seorang yang sentiasa mendapat tempat pertama dalam setiap keputusan ujian peperiksaan, kemudian tiba-tiba satu ujian dia dapat nombor 2, adakah dia tidak hebat disebabkan dia pernah mendapat tempat kedua dalam satu ujian peperiksaan? Bolehkah berhujah sebegitu? Saya serahkan kepada anda untuk menilainya.
Jika memang benar ada kekurangan dalam Kitab Imam Bukhari, tidak akan sedikit pun meruntuhkan ketokohan dan kealiman beliau. Bahkah itu perkara biasa bagi seorang manusia. Mustahil ada manusia yang tidak pernah buat kesalahan dan kesilapan walaupun satu, kecuali Nabi Muhammad SAW. Imam Bukhari bukan Nabi. Dan jika ada kekurangan dari Imam Bukhari, ini tidaklah menjadikan Imam Bukhari “bukhari taklah sehebat mana”. Dan jika ada kekurangan dalam Kitab Imam Bukhari, ini tidak juga menjadikan Imam Bukhari “bukhari taklah sehebat mana”. Kerana, ini sangat bertetapan dengan ayat Quran
Firman Allah SWT
Surah Al-Isra[17]: 88
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya jika sekalian manusia dan jin berhimpun dengan tujuan hendak membuat dan mendatangkan sebanding dengan Al-Quran ini, mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri”.
Bukankah ini bertetapan dengan Al-Quran, bukankah ini menunjukan tiada satu kitab yang boleh mengatasi Kitab Al-Quran? Jika Kitab Imam Bukhari sesahih Al-Quran, ini tidak mungkin sama sekali dan mustahil. Pastinya ada kekurangan dalam Kitab Imam Bukhari, kerana itu disebut “Kitab Sahih Bukhari kitab rujukan nombor dua selepas Al-Quran”. Nombor dua, bukan nombor satu.
Sebab apa saya masukan ayat Al-Quran ini dalam penulisan ini? Percaya atau tidak, golongan ini akan menggunakan ayat diatas sebagai hujah, jika kita mengatakan Kitab Imam Bukhari sehebat dan setanding Al-Quran.
Jika kita mengatakan “Kitab Imam Bukhari tidak ada kesalahan langsung, tidak ada cacat, tidak ada kekurangan, tidak pernah ada salah”. Percaya atau tidak, mereka ini akan menggunakan hujah ayat Quran diatas, Surah Al-Isra[17]: 88 dan mereka akan mengatakan yang kita melawan ayat Quran, sedangkan Allah beritahu “mereka tidak akan dapat membuat dan mendatangkan yang sebanding dengannya, walaupun mereka bantu-membantu sesama sendiri”.
Jika kita mengatakan Kitab Imam Bukhari ada kekurangan, mereka akan mengatakan “bukhari taklah sehebat mana”. Sebab mereka akan mencari kesalahan kanan dan kiri, atas dan bawah. Ini sifat mereka.
Kerana golongan ini akan sentiasa mencari kesalahan-kesalahan ulamak dan tokoh-tokoh Islam dan mereka akan menjatuhkan ulamak dan tokoh-tokoh Islam dan sekali gus hujah mereka akan diambil oleh golongan berfahaman liberal, sekular, anti-hadis, munafik dan bermacam-macam golongan lagi. Mereka akan berhujah dengan apa sahaja yang mereka rasa itu boleh menjatuhkan Islam dari dalam. Itu pasti.
Sedar atau tidak, mereka sedang berhujah dengan seseorang yang tidak mampu bangun dan melawan hujah mereka, kerana itu mereka berani. Jika Imam Bukhari mampu untuk bangun, nescaya, mereka akan tenggelam tertanam sejauh sedalam kerak bumi ini.
Jika benar ada kelasahan, bawakan bukti, kemukakan hujah, beritahu hadis mana yang bermasalah atau ada kesalahan atau percanggahan. Dalam hendak menghujah, bawakan bukti, bukan andaian, perlu ada disiplin. Jangan hanya berkata “ada, ada, ada”, bawakan yang dikatakan ada, supaya tokoh agamawan zaman ini berhujah kembali.
Kesimpulannya, Imam Bukhari seorang tokoh, jaguh dan Imam dalam keilmuan bidangnya, pakar hadis, penghafal hadis, tokoh dalam hadis dan Imam jadis kita. Apa yang penting, Imam Bukhari rh, lebih hebat dari kita, itu sudah pasti. Jika ulamak dan tokoh-tokoh agama selepas itu pun mengangkat dan mengatakan Imam Bukhari jaguh dalam hadis, siapa kita hendak mengatakan Imam Bukhari “bukhari taklah sehebat mana”.
Kesimpulan kedua, jika benar ada sedikit kesalahan dalam Kitab Imam Bukhari, itu tidak akan menjatuhkan atau mengurangkan sekumit pun kehebatan Imam Bukhari rh. kerana sudah maklum dalam dunia Islam, Imam Bukhari adalah manusia dan tokoh hebat, kehebatan Imam Bukhari merentasi setiap zaman, daripada zaman beliau, sehingga zaman kewafan beliau sehingga ke zaman hari ini. Imam Bukhari rh adalah IMAM kita dan kita akan mempertahannya.
Sabda Nabi SAW,
HR Muslim
“Cukuplah bagi seseorang itu digelar pendusta apabila menceritakan semua yang didengarinya (tanpa tabayyun)”
Hadis diatas daripada Hadis Riwayat Imam Muslim, murid kepada Imam Bukhari. Seorang tokoh hadis yang sentiasa mempertahankan gurunya(Imam Bukhari), adakah Imam Bukhari masih akan disebut “bukhari taklah sehebat mana”? Nilailah sendiri. Adakah kemudian harinya mereka akan mengatakan “muslim taklah sehebat mana”? Tidak mustahil mereka akan katakan perkataan ini kepada anak murid Imam Bukhari pula. Wallahuaklam.
Sekian.