Fatwa Rentas Daerah Vs Realiti

Author:

Assalammualaikum, Salam sejahtera..

Fatwa Rentas Daerah/Negeri, Tipu Dokumen dan Realitinya hari ini.

Sebelum ini Mufti Wilayah Persekutuan, SS Dr Luqman Haji Abdullah, ada mengeluarkan fatwanya mengenai Larangan Rentas Daerah dan Haram Menipu Dokumen Rentas Daerah, tetapi mendapat kecaman hebat dari warga maya. Pelbagai tohmahan dan kata kesat dilemparkan terhadap Mufti Wilayah Persekutuan sehingga saya tidak mampu untuk menulisnya kembali. Semoga mahkamah Allah memberi keadilan buat Mufti WP kelak.

Kenapa saya membandingkan Fatwa Rentas Daerah/Negeri ini dan Tipu Dokumen dengan Realiti hari ini? Sedar atau tidak, menurut berita, didapati sebanyak 200,000 lebih orang telah merentas daerah atau negeri dengan pelbagai alasan dan mencetus kluster-kluster baharu dan akhirnya ada yang membawa kepada kematian. Ini realitinya, sehingga angka kes baharu meninggkat sehingga lebih 8,000 orang sehari!

Cuba kita renungkan kembali fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan sebelum ini. Kebimbangannya terhadap kes yang meningkat saban hari. Dalam Islam, menjaga kesihatan dan nyawa sangat dituntut, kerana itu fatwa seperti ini diangkat. Tetapi, malangnya umat kita ini tidak memahami fatwa seperti ini. Jika orang bukan Islam membantah, itu tidaklah pelik, kerana untuk apa mereka mengangkat fatwa Islam. Tetapi, malangnya, yang ramai tohmah Mufti WP ini adalah dari kalangan kita sendiri, ya, Islam. Bagaimana akhlak kita sebenarnya? Islam mengajar adab dan akhlak, hendak kritik, boleh, seperti tulisan saya sebelum ini. Tetapi, kritiklah dengan penuh disiplin, adab dan akhlak.

Saya tidak mahu menggunakan istilah “Lihatlah jika seseorang mukmin itu benar memberi fatwanya, pasti Allah SWT akan memberi kemenangan kepadanya”. Tetapi hakikatnya begitulah. Musim perayaan Aidilfitri kelmarin, kita dapat lihat, berapa ramai yang ingin merentas daerah atau negeri, dengan pelbagai alasan, dan ada juga yang lepas dari sekatan jalan raya. Ini kerana fatwa Mufti WP mengenai rentas daerah dipandang enteng, dan tidak memperdulikan fatwa yang bersifat menjaga nyawa.

Baru-baru ini, ketika Kerajaan umumkan ‘Total Lockdown’, kita boleh lihat, Plaza Tol, terutamanya di Plaza Tol Gombak, sangat sesak dan banyak kereta. Semuanya ingin rentas negeri dengan pelbagai alasan. Ini sangat membimbangkan, kerana, jika kita membawa virus COVID-19 ke kampung halaman kita yang mana disana tiada kes. Ianya akan mencetuskan kluster di kampung kita, yang mana, kebanyakannya adalah warga tua. Ini sangat bahaya. Kerana itu fatwa seperti ini diangkat demi menjaga kesihatan dan nyawa umat. Ini realitinya pada hari ini.

Jika benarlah pendapat Mufti Wilayah Persekutuan mengenai fatwanya, Larangan Rentas Daerah/Negeri dahulu, apa hujah kita dihadapan Allah SWT? Kita maki, hina, caci Mufti WP. Apa hujah kita dihadapan mahkamah Allah Yang Maha Adil dan azabnya tidak terfikir oleh manusia. Adakah hujah bodoh, bangang, bengap, lebai, Mufti tiada otak, yang kita akan berhujah di mahkamah Allah Azzawajalla? Berat timbangan kita ini. ‘Mudah-mudahan’ Allah terima hujah kita kelak.

Firman Allah SWT,
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.”

Surah al-Hujurat[49]: 11

Firman Allah SWT,
“Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).”

Surah An-Nur[24]: 19

Sabda Nabi SAW,
“Orang yang beriman itu bukanlah sifatnya memaki hamun, melaknat, berkata kotor dan juga bahasa yang keji.”

HR At-Tirmizi

Sabda Nabi SAW,
“Sesungguhnya seseorang terkadang berbicara dengan kata-kata yang dia sangkakan tidak mengapa, lalu (tanpa diduga) dia terjerumus dengan sebabnya ke dalam neraka (yang kedalamannya) sejauh perjalanan tujuh puluh tahun.”

HR Ahmad

Ini ialah sebahagian ayat-ayat peringatan dari Allah dan Rasul. Sangatlah berat azabnya. Dimana hendak kita mencari Mufti Wilayah Persekutuan, dan meminta ampun kepadanya dihadapannya? Mungkin kita rasa, tiada apa yang perlu ditakutkan, tiada apa yang perlu diingatkan ucapan-ucapan atau perkataan-perkataan kita yang lepas, yang lepas biarkan lepas, buat biasa saja, Mufti maafkan kita. Ini fahaman salah. Lupakah kita satu hadis berkaitan dengan dosa sesama makhluk?

Nabi SAW bersabda,
“Barangsiapa yang menanggung kezaliman yang dilakukan ke atas orang lain, sama ada mengenai maruah dan kehormatan atau sebarang perkara lain (mengambil harta orang lain) maka bersegeralah untuk meminta keampunan sebelum datangnya masa yang tidak ada padanya wang ringgit atau emas perak untuk membayarnya, bahkan pada masa itu kalau ia mempunyai amal soleh, akan diambil daripada amalnya itu dan diberikan kepada orang itu, kalau ia pula tidak mempunyai amal soleh, maka akan diambil dari kesalahan orang itu serta dibebankan kesalahan itu ke atasnya.”

HR At-Tirmizi

Semoga kita dijauhkan dari sifat yang akhirnya membawa kita ke lembah neraka.

Sekian.

2 thoughts on “Fatwa Rentas Daerah Vs Realiti”

  1. boleh saya tahu,penulisan encik mengenai rentas negeri ini,encik merujuk daripada siapa?saya ingin membuat assignment mengenai tajuk ini..oleh itu,saya ingin tahu encik merujuk drpd mane😅

    1. Terima kasih kerana sudi singgah diblog saya, dan sudi baca ^^

      Maksud Cik macam mana ya?

      Sebenarnya tulisan saya diatas hanyalah sekadar pendapat dan pandangan dari saya sahaja. Mungkin salah, mungkin betul.
      Rujukan hadis pula saya banyak ambil dari Portal Mufti Wilayah Persekutuan.

      Harap dapat jawab soalan dari Cik ^^

Leave a Reply

Your email address will not be published.