Wanz Ramli Blog

Terus Mencari Persamaan

Bicara Santai

Assalammualaikum, Salam sejahtera..

#benderaputih?

Hari ini tular mengenai kibarkan bendera putih jika seseorang memerlukan bantuan atau dalam kesusahan. Adakah ini diperbolehkan atau sebenarnya apakah ini?

Ramai telah menyuarakan pendApat masing-masing mengenai perkara ini, dari orang biasa, orang politik sehingga kepada ustaz-ustaz. Ada yang setuju ada yang tidak setuju, ada yang ambil pandangan pertengahan. Dan saya dalam golongan pertengahan. Dalam setiap penulisan saya, saya akan cuba berada dipertengahan, walaupun kadang kala tergelincir kanan atau kiri, sebagai manusia biasa, bukan mudah untuk berada dihaluan benar-benar tengah. Saya juga berpegang kepada pemikiran ini….

Firman Allah SWT,
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.

Surah Hujurat[49] : 11

Firman Allah SWT,
Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebahkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).

Surah An-Nur[24] : 19

Sabda Nabi SAW,
Orang yang beriman itu bukanlah sifatnya memaki hamun, melaknat, berkata kotor dan juga bahasa yang keji.”

HR At-Tirmizi

Sabda Nabi SAW,
Sesungguhnya seseorang terkadang berbicara dengan kata-kata yang dia sangkakan tidak mengapa, lalu (tanpa diduga) dia terjerumus dengan sebabnya ke dalam neraka (yang kedalamannya) sejauh perjalanan tujuh puluh tahun.

HR Ahmad

Sabda Nabi SAW,
Celakalah golongan-golongan pelampau. Baginda SAW mengucapkannya sebanyak tiga kali”

HR Bukhari

Ini pegangan saya, tiada makian, tiada hinaan, tiada carutan.
TIDAK PERLU MAKI UNTUK MENGKRITIK,
TIDAK PERLU HINA KETIKA MEMBERI KATA-KATA..
HANYA PERLU MENULIS DALAM KEADAAN BERIMAN,
BUKAN DALAM KEADAAN BERSYAITAN.

Baiklah, kita ke tajuk asal, #benderaputih. Terdapat tiga golongan yang memberi pandangan mengenai perkara ini,

GOLONGAN PERTAMA, TIDAK SETUJU
Ada golongan yang tidak bersetuju dalam kampen bendera putih ini, dengan pelbagai alasan. Mengatakan ini kampen politik. Kita seharusnya angkat tangan berdoa dan bukan angkat bendera putih. Angkat bendera putih tanda menyerah kalah sepatutnya menyerah diri pada Allah. Ada juga dalam golongan ini yang Pro Kerajaan. Tidak terkecuali, ada yang merendah-rendahkan orang yang kibar bendera putih ini. Ini secara umumnya.

GOLONGAN KEDUA, SETUJU
Kebiasaannya apa sahaja kempen yang boleh menjatuhkan sesebuah kerajaan, kebiasaannya ianya akan disokong kuat oleh pembangkang. Ini perkara biasa, diluar negara pun berlaku. Kerana itu saya kurang minat untuk bercerita mengenai politik kepartian. Golongan yang tidak bersetuju memberi pandangan kerajaan gagal, kerajaan tak pentingkan rakyat, “Esok kami akan kibarkan bendera putih diseluruh kawasan Parlimen dan ADUN kita” dan sebagainya. Mengambil kesempatan, ini biasa dalam dunia politik. Ada golongan ini yang mengatakan ini bukan kampen politik, ini untuk rakyat, rakyat susah. Ini secara umunya.

GOLONGAN KETIGA, PERTENGAHAN.
Golongan ini tiada kepentingan dengan mana-mana politik kepartian. Kita akan lihat ramai golongan artis dan golongan yang mementingkan kebajikan orang lain. Rakyat sangat susah, sangat tekanan dan tertekan. Duit tiada, makanan hampir habis, hutang bertambah. Ini ikhtiar terakhir buat mereka. Untuk saya, saya dalam golongan ini. Saya tiada kepentingan dengan politik kepartian. Bagi saya ini suatu gerakan rakyat. Saya akan memberi pendapat saya kemudian. Ada juga dalam golongan ini yang tidak bersetuju, ada yang bersetuju tanpa mengira politik kepartian.

Secara umumnya, itulah pendangan mereka. Baiklah, kita letak ketepi dahulu dengan pandangan-pandangan dari semua golongan diatas, kita kosongkan fikiran, dan cuba untuk tidak bias, kita buka pandangan baharu.

Bagi saya, isu kempen bendera putih ini perlu dilihat secara meluas. Ya benar, ada orang politik yang akan mengambil kesempatan keatas semua yang berlaku. Ianya terjadi dalam mana-mana kerajaan yang memerintah. Bila ada sesuatu yang boleh menembak kerajaan, terutamanya tembakan”headshot“, ini kegemaran setiap pembangkang didunia ini. Tapi jangan terlalu melihat perkara itu sahaja. Adakah semua yang angkat bendera putih ini pembangkang? Jangan terlalu memikirkan semua orang ingin jatuhkan kerajaan. Ini kempen gerakan rakyat.

Saya mengharapkan tiada orang yang cuba mengambil kesempatan seperti yang baru saya baca tadi “Kita akan kibarkan bendera putih didalam kawasan kita, tanda sokongan kerajaan gagal“. Apa yang kita cuba nak sampaikan disini? Memberontak? Ambil kesempatan atas kesempitan? Jika kita melakukan hal sedemikian, bagaimana nasib orang yang benar-benar susah yang kibarkan bendera putih kerana kesengsaraan hidup? Ini tidak baik sebenarnya. Kibar bendera putih bukan disebabkan politik, tapi memang memerlukan bantuan. Kibar bendera putih disebabkan rakyat sedang menghadapi kesukaran, bukan nak berpolitik sepanjang masa.

Bagi yang mengatakan angkat tangan berdoa, bukan angkat bendera putih. Saya rasa ramai yang berdoa. Sangat ramai. Kenapa kita nak meletakan mereka dalam golongan yang tidak berdoa? Tidak adil untuk mengatakan orang angkat bendera putih itu tanda orang tidak angkat tangan berdoa. Doa, ikhtiar, usaha dan tawakal. Semua orang tahu perkara ini, semua orang lakukan apa yang terbaik. Tetapi dalam keadaan hari ini, apa usaha yang kita mampu lakukan lagi? Doa sudah, tawakal pun sudah, jadi, usaha yang bagaimana kita nak mereka lakukan? Sedangkan seluruh negara lumpuh. Kerja tak boleh, berniaga tak mampu, jadi, apa lagi yang mereka mampu lakukan melainkan ikhtiar meminta bantuan? Setiap kali saya terkenang nasib orang yang sangat susah waktu begini, Ya Allah, bergenang airmata. Saya tidak dapat bayangkan, rumah sewa, hutang bertambah, makan minum belum tentu. Alhamdulillah, saya masih diberi rezeki, walaupun tidaklah mewah, tidaklah banyak, tetapi cukuplah makan minum. Semoga Allah memberi rezeki kepada semua orang.

Apa yang kita nak mereka yang terkesan ini usahakan ketika hari ini? Tidak ada. Tiada sesiapa mampu untuk bergerak. Adakah mereka ini semua pembangkang yang cuba nak jatuhkan kerajaan? Anda fikirlah sendiri.

Oh ya, ada yang berkata, “kibar bendara putih tanda ada orang mati“, ada juga yang mengatakan “kibar bendera putih tanda orang berputus asa“.

Pertama, tidaklah semestinya kibar bendera tanda orang mati. Betul, kita tidak setuju kampen bendera putih, tapi, janganlah buat pelbagai alasan pelik. Kedua, saya rasa memang yang kibar bendera putih menandakan putus asa, dan saya yakin orang yang kibarkan bendera putih ini tahu, dan memang sebenarnya mereka sudah berputus asa. Anak mereka memerlukan makanan, bayi mereka memerlukan susu dan mereka tiada pekerjaan dan tiada pendapatan. Dan saya yakin mereka tahu dan mereka sudah menolak rasa malu untuk meminta bantuan. Kerana mereka sedang susah. Sebelum ini mereka bukanlah orang yang meminta-minta, tetapi hari ini mereka terpaksa meminta bantuan. Terpaksa. Walaupun malu, tetapi, anak dan keluarga mereka sangat memerlukan bantuan. Mungkin sebagai seorang ayah atau ibu, makan kentang lenyek pun tak menjadi masalah, minum air paip pun mereka sanggup. Teringat cerita Dato’ AC Mizal, “Saya makan tisu cicah kari sebab tak ada duit”.

Ada juga yang merendah-rendahkan orang yang kibar bendera putih ini, mungkin kita tidak berada ditempat atau situasi mereka. Saya sedikit hairan dengan golongan yang suka merendah-rendahkan orang lain ini. Baik dari orang kaya atau golongan kayangan, dan ada juga orang yang ala-ala kaya kemudian merendahkan orang lain kerana nak nampak yang dia ala-ala kayangan, ada juga orang yang biasa-biasa, tetapi merendah-rendahkan orang yang berduit. Ini sangat tidak bagus dan tidak baik. Tiada sesiapa yang boleh merendah-rendahkan orang lain.

Firman Allah SWT,
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka…..

Surah Hujurat[49] : 11

Saya faham ada yang mengatakan, masih banyak pusat bantuan, zakat, baitulmal, pusat kebajikan, dan sebagainya. Tapi pernahkah kita lihat borang yang hendak diisi untuk meminta bantuannya bagaimana? Adakala borangnya perlu diisi dari hujung atas ke hujung bawah kertas, muka surat berlapis, minta slip gaji, minta itu, minta ini. Agak sukar sebenarnya.

Saya pernah berjumpa dengan seseorang yang memerlukan duit(sebelum COVID melanda). Waktu itu depan masjid sekian-sekian. Katanya dia minta bantuan(duit) dimasjid sekian-sekian, tapi susah, lepas itu katanya AJK beritahu bendahari masjid yang jaga tabung tidak ada. Bila ditanya berapa dia perlukan, dia cakap nak isi minyak motor, sebab minyak motor habis. Dia minta pertolongan dalam RM20. Bayangkan, masjid yang kutipannya hampir ratusan sehari, hanya minta bantuan puluhan ringgit, sangat susah. Tidak kira sama ada dia menipu atau tidak, itu urusan dia dengan Allah. Cukuplah sekadar ambil gambar muka dan kad pengenalan, kemudian bagi RM50. Itu kisah sebelum COVID dalam keadaan susah, bayangkan ketika ini, ketika negara sedang lumpuh. Mereka mungkin lebih susah dari sebelum ini.

Adakah kita tidak mempunyai sedikit perasaan terhadap mereka yang sangat-sangat memerlukan? Saya tidak menafikan bahawa pandangan TIDAK SETUJU ada hujah-hujahnya yang tersendiri. Cumanya, apa solusi kita jika kita tidak setuju? Hanya solusi “Tak perlu angkat bendara putih, cuma angkat telefon dan hubungi pusat bantuan“? Saya tidak menafikan bantuan dipusat bantuan, seperti zakat, baitulmal, kebajikan. Mereka telah menjalankan tanggungjawab mereka secara baik dan sebagai seorang manusia yang waras, tidak boleh memukul rata semua dengan hanya satu kejadian. Tetapi, semampu mana pusat bantuan dapat menolong pada ketika ini? Paling tidak jika ada orang kibarkan bendera putih dikawasan taman perumahan, kita yang jiran atau kawasan itu terlihat, paling tidak, bantuan cepat akan sampai pada mereka. CUMA..

Saya tidak mahu ada orang yang mengambil kesempatan dalam kempen bendera putih ini. Jika bantuan telah sampai dan cukup untuk diri kita dalam beberapa hari atau minggu, jangan kibarkan lagi bendera putih tersebut. Jadilah manusia yang jujur dalam setiap perbuatan kita.

Sebagai contoh, jika kita memerlukan RM50 sehari, cukuplah dengan meminta RM50 untuk keperluan kita, jangan ambil dan terus ambil sehingga ratusan ringgit sehari, kemudian esok ambil lagi. Jika beras 5kg boleh bertahan pada kita seminggu dua, cukuplah ambil 5kg, kemudian akan datang ambil lagi. Supaya orang yang ada kemampuan boleh membantu lebih ramai lagi. Untuk ketika ini, kita bukan nak kenyang, tapi untuk kelangsungan kehidupan.

Saya faham, ada yang perlu kita tambah baik dalam kempen ini, tapi jangan tidak setuju langsung. Kita beri solusi, dan tambah baik lagi. Seperti saya beritahu tadi, perlu jujur, jangan berpolitik baik pro kerajaan(kerajaan) mahupun anti kerajaan(pembangkang). Jika tanya saya, saya sudah memberi pandangan saya, dan saya didalam GOLONGAN PERTENGAHAN yang bersetuju. Tetapi bersyarat.

  1. MESTI JUJUR DALAM MEMINTA BANTUAN.
  2. TIADA PENGARUH DAN CAMPUR TANGAN ORANG POLITIK.
  3. ANGKAT BENDERA KERANA KESUSAHAN BUKAN KERANA KERAJAAN GAGAL.
  4. SEKIRANNYA AKAN DATANG KERAJAAN LAIN MEMERINTAH, KEMPEN SEPERTI INI PERLU TERUS DIHIDUPKAN.
  5. TIADA PEMBERONTAKAN ATAU RUSUHAN ATAU DEMONSTRASI JALANAN.

Jika kita bersetuju dalam hal ini, saya rasa tiada sesiapa yang patut tidak bersetuju dengan kempen ini. Ini adalah kempen GERAKAN RAKYAT BUKAN GERAKAN POLITIK. Ini kempen GERAKAN RAKYAT BUKAN GERAKAN ANTI KERAJAAN! Ini yang perlu kita fahami, baik dari kerajaan, pembangkang mahupun rakyat.

SAYA BERSAMA #BENDERAPUTIH

DAN SAYA BERSAMA GERAKAN RAKYAT BUKAN GERAKAN POLITIK ATAU GERAKAN ANTI KERAJAAN!

Sesiapa yang ada YOUTUBE CHANNEL(nak cari Subscriber untuk iklan), saya juga ada youtube channel, JOM BERCUCUK TANAM kalau anda sudi dan anda suka, bolehlah subscribe channel saya. Jika anda ada KEDAI ATAU PERNIAGAAN DI SHOPEE ATAU LAZADA ATAU MANA-MANA TEMPAT, atau ADA APA-APA YANG BOLEH MEMBERI PELUANG PENDAPATAN SAMPINGAN, atau apa-apa sahaja, bolehlah komen di ruangan komen, InsyaAllah, saya akan iklankan di ruangan komen. Saya tidak mampu melakukan sebaik anda, tetapi ini yang mampu saya lakukan untuk anda.

Sama-samalah kita bantu satu sama lain ketika ini. Tidak mampu lakukan semua, jangan pernah tinggalkan semua, paling tidak, satu dua perkara kita cuba lakukan. Demi sahabat, demi rakyat, demi kita semua! Tanpa mengira bangsa mahupun agama. Setiap pergerakan bukan kerana orang politik, kita buat kerana Allah dan Rasul yang mengajar kita bantu membantu, dan kita buat kerana MALAYSIA! Sebab KITA ANAK MALAYSIA! Jika bukan ANAK MALAYSIA bantu MALAYSIA, siapa lagi ingin membantu MALAYSIA? Kita sebenarnya tidak boleh hanya mengharapkan orang politik sahaja sebab tidak kira politik kanan atau kiri, sukar untuk diharapkan.

Jangan terlalu mengharap pada orang politik, takut-takut kita kecewa kelak. Kita mesti ada GERAKAN RAKYAT kita sendiri, tetapi, jangan melampaui batas-batasnya. Malaysia ada budayanya yang tersendiri. Melampaui batas, bukan budaya kita.

DEMI MALAYSIA! KITA ANAK MALAYSIA!
JANA PENDAPATAN SAMPINGAN ATAU DAFTAR SEKRANG!

Sekian.

Tagged:

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts