Review: Arwah Pak Mat Lif & AJK
Assalammualaikum, Salam sejahtera..
Pertama-tama, saya hendak mengucapkan tahniah kepada Khir Rahman kerana berjaya mengarah filem Arwah Pak Mat Lif dan AJK, dan saya juga hendak mengucapkan tahniah kerana dapat mengawal Joey Daud dalam filem ini. Bagi saya, ini lakonan yang saya sangat tunggu-tunggukan dari Joey Daud. Saya membesar dengan cerita-cerita lakonan serius dari Joey Daud, ini bagi saya antara yang terbaik lakonan beliau. Yelah kan, asyik berlakon cerita lawak sahaja, walhal, Joey Daud sangat berbakat.
Kedua, taniah kepada pembikin jalan cerita dalam filem ini, iaitu penulis skrip, saudara Aloy Paradoks dan Haris M. Nor. Siapa yang tidak kenal dengan Aloy Paradoks. Saya juga meminati beliau dan lakonannya.
Baiklah, jom kita tajuk utama penulisan ini.
Filem : Arwah Pak Mat Lif & AJK
Tarikh Tayangan : 10 Jun 2021
Idea Asal : Yussuf Yunus, Arbi Rozlan
Penulis Skrip : Aloy Paradoks, Haris M. Nor
Pengarah : Khir Rahman
Produksi : Excellent Pictures dengan kerjasama Cinemalaya Studios
Saluran : 480 Astro First
Pelakon Arwah Pak Mat Lif & AJK
Joey Daud
Tauke Jambu
Jalil Hamid
Ropie
Wafariena
Pelakon Pembantu
Man Raja Lawak
Anas Ridzuan
Nizam Jentik-Jentik
Souya
Wan Gegau
Tapai Raja Lawak
Che Mat Raja Lawak
Shendo Kiut
Kimmy Low
Penampilan Khas
Sathia
Douglas Lim
Shila Mambo
ULASAN PELAKON
Filem ini sangat menarik sebenarnya, dengan adanya pelakon-pelakon hebat dan pelawak yang ada nilai lawaknya yang tersendiri.
Cuma, kali ini Joey Daud membawa watak yang agak serius dan saya suka wataknya. Selama ini ramai pengarah yang terlalu ‘lepas’kan Joey Daud sehingga kadang kala lawaknya, mimik mukanya tidak boleh diterima. “Kadang kala”. Saya mengenal lakonan Joey Daud ketika beliau berlakon telemovie serius, jadi, bagi saya, ini seolah-olah kemunculan semula watak seriusnya. Pengarah perlu beri dia peluang membawa watak sebegitu. Ini antara yang terbaik lakonan dia. Siapa yang merindu Joey Daud dahulu, ini wataknya yang lama.
Tauke Jambu pula sangat bagus lakonan dia, cuma bilamana Tauke berlakon, dalam lakonannya itulah, diluar itulah dia. Tapi bagi saya itu biasa sahajalah. Ropie sangat terkenal dengan lawak-lawak selamber dia. Lawak gelak setan dia, memang kelakarlah.
Jalil Hamid. Siapa yang tidak kenal dengan Jalil Hamid, pelakon lama, seorang hebat. Watak sedih boleh, lawak kelakar pun boleh. Cuma agak terkejut bilamana beliau berlakon dalam filem ini. Begitu juga dengan Shila Mambo. Walaupun wataknya sekejap, tetapi, sangat menarik. Bilamana Shila Mambo isteri kepada pengerusi AJK(Jalil Hamid), ada unsur-unsur lawak ‘politik’ dalam babak mereka, kena tonton.
Pelakon-pelakon lain juga jangan dipandang enteng. Kerana, setiap pelakon mempunyai wataknya dan lawaknya yang tersendiri. Setiap kata-kata mereka, sangat perlu ambil perhatian. Kadang ada lawak sindiran, kadang ada perkataan mencarut dan sebagainya. Man Raja Lawak(Mat B) dengan baju ala YBnya, poyo lebih. Wafariena keayuannya menyerikan lagi dunia Flat Seri US ini. Souya pun terbaik. Nizam Jentik-Jentik and the geng memang terbaik. Douglas Lim keluar dipenghujungnya juga.
ULASAN UMUM
Secara ringkasnya, filem ini mengisahkan tentang kematian Pak Mat iaitu bapa kepada Nordin yang mati secara tiba-tiba atau mati mengejut. Dengan kematian Pak Mat, kita dapat lihat sebab apa tajuknya Lif dan AJK. Kerana masalah utamanya Lif yang sentiasa rosak. Ada 3 lif, yang boleh guna hanya 1 sahaja, ada waktu, tidak boleh guna langsung. Ini membuatkan pelbagai kejadian yang berlaku kepada penduduk atau komuniti Flat Seri US ini. Yang akhirnya membawa kepada masalah AJK itu sendiri. Dari segi jalan cerita sangat menarik.
Jika ditanya saya, ini seolah-olah filem Mamat Khalid dan Lelaki Harapan Terakhir versi lebih fresh, lebih segar, lebih baru. Banyak lawak selamber dan sindiran. Tetapi filem ini sangat teratur dan perjalanan filem ini sangat lancar. Tiada lompat-lompat dan storyline dia menyambung antara satu sama lain.
Dari segi gambarnya, memang cantik. Ketelitiannya, tiada gelap atau cerah tiba-tiba. Sangat baik. Sound atau Audio filem ini juga sangat baik. Yang mana, sebahagian filem kadang kala bunyi suara bercakap pun tidak dengar, bila kuatkan, tang lagu tetiba sahaja kuat. Ini tidak mesra jika kita layan filem waktu malam.
Bagi saya, filem ini menceritakan mengenai komuniti penduduk flat yang mana kita tahu mempunyai pelbagai masalah. Dengan masalah lifnya, AJKnya, pengurusannya yang tidak teratur dan pengerusi yang tidak reti nak turun turun walaupun sudah tua dan tidak larat.
Bayangkanlah rumah Pak Mat bapa kepada Nordin ini rumahnya tingkat 25, bagaimana penduduk hendak mengharungi masalah lif rosak hampir setiap bulan dan bagaimana pula jika orang meninggal di tingkat 25? Selain itu, lif terlalu kecil juga menjadi masalah kepada penduduk flat bilamana hendak masuk jenazah pun tidak lepas. Filem ini terdapat kritikal sosial yang sangat baik. Mungkin akan datang flat boleh buat lif besar sikit.
Sepanjang filem ini, anda akan dipertontonkan kisah bagaimana hendak menguruskan jenazah di Flat Seri US, dari tingkat 25 ke surau untuk dimandikan jenazah. Pelbagai liku-liku berlaku. Dan bagaimana idea-idea pelik cara hendak menurunkan jenazah menggunakan tangga. Anda perlu menontonnya. Jangan risau, anda tidak akan rugi membelinya.
ULASAN LAWAK JENAKA
“Aii.. Melawan? Nak hilang jawatan?” – Pak Mat Tahir pengerusi AJK. Babak suami isteri iaitu Mak Intan isteri kepada pengerusi AJK iaitu Pak Mat Tahir sangat menghiburkan hati. Pada awal filem lagi kita akan lihat lawak-lawak sindiran orang politik dikawal isterinya. Yang mana kuasa isteri lebih besar dari kuasa sang suami yang memegang jawatan dalam politik. Ini memang berlaku. Pengerusi Interim?
“Bang.. abah dah tak ada…”, “Abah tak ada rumah? Eh, dia pergi mana pula”. Ini dialog Nordin(Joey) dan Lokman(Tauke Jambu). Kemudian datang pula si Ayu(Wafariena), “You never walk alone”. Bila tengok muka Wafariena tu, macam nak tergelak pun ada, padahal babak sedih.
Lawak dalam filem ini bukan sentiasa ada setiap babak. Ada ketika lawak, ada ketika serius, ada ketika sedih. Jadi, jangan mengharap setiap masa ada komedi.
Ya, ketika waktu hendak menguruskan jenazah, mereka angkat jenazah turun menggunakan tangga. Pelbagai insiden dan lawak jenaka berlaku ketika itu. Tiba-tiba sahaja lawak itu muncul. Memang kelakar. Jika ditanya saya bagaimana komedi dalam filem ini, saya mengatakan 50-50. Saya tidak suka komedi sepanjang masa, jadi filem ini agak menarik. Jalan ceritanya tidak membawa kita hanyut sehingga tiada hala tuju.
Macam mana nak bawa jenazah turun menggunakan tangga dari tingkat 25? Itu sahaja yang membutkan kita terfikir jauh, sejauh tangga 25 tingkat turun tangga. Sebelum lif tu rosak, mereka cuba untuk meletakan jenazah kedalam lif. Saya tidak tahu lawak atau tidak. Tetapi untuk filem ini, ianya memang kelakar. Boleh tengok muka Nordin sepanjang pengurusan jenazah bapanya.
ULASAN PENGAJARAN
Pengajaran? Terlalu banyak pengajaran dalam cerita ini. Kritikan sosial, sindiran, semuanya ada pengajarannya. Pengerusi yang tidak reti-reti nak turun dan letak jawatan walaupun tidak mempunyai idea baharu atau tidak sihat atau sudah tua, itu pun pengajaran buat kita hari ini.
Ujian Nordin dalam filem ini sangat memberi pengajaran. Pada mula filem ini, pagi, Nordin baru sahaja balik ke rumah, dia kerja malam dan tidak tidur lagi. Tetapi bapanya menyuruh Nordin turun semula membeli nasi lemak Mak Intan. Bayangkan, kerja malam, balik pagi, tidak tidur lagi, waktu naik rumah lif rosak, kemudian disuruh turun semula. Tetapi Nordin tetap turun semula untuk membeli nasi lemak bapanya. Naiknya Nordin ke rumah, Nordin dapati bapanya sudah mati.
Apa pengajarannya? Buatlah semampu mungkin untuk mak atau ayah kita, selagi mereka masih ada. Beruntung si Nordin, paling tidak akhir bapanya, Nordin telah menjalankan tugasnya sebagai anak. Berbanding dengan segelintir orang, ketika dia marah mak atau ayahnya, dia keluar, balik, mak atau ayahnya meninggal. Menyesal pun dah tak guna.
Watak Di(Black Metal) pun sangat memberi pengajaran. Jangan dilihat hanya pada imej dan pakaian. Yang penting hatinya.
Watak Prava(Sathia) sangat mengajar kita mengenai 1 Malaysia. Kenalannya tidak kira kaum. Melayu Cina India, dan dialognya juga bercakap dalam ketiga-tiga bahasa.
Ada babak sedih diantara Lokman dan Nordin dipenghujung.
KESIMPULANNYA
Terlalu banyak babak yang menarik dalam filem ini yang saya tidak mahu menceritakan. Mungkin ada satu sahaja saya cerita, setiap check point tangga mereka turun, mereka akan singgah berehat dirumah orang. Siap bawa masuk jenazah rehat dalam rumah, termasuk rumah Prava(Sathia) yang tengah buat sambutan hari jadi.
Kalau saya cerita semua, untuk apa anda langgan filem ini bukan? Ianya akan jadi spoiler lah. Jadi, jika anda hendak tahu lebih lanjut lagi, langganlah filem ini ya. Oh ya, jika anda menunggu bintang dari saya, saya bukan penggemar bagi bintang. Setiap orang mempunyai citarasa yang berlainan. Mungkin saya bagi banyak bintang, anda tidak suka filem ini. Ada yang bagi sedikit bintang, ramai pula layan filem itu. Jadi, anda beli dan nilainya sendiri ya.
“Kita ni kalau dah bersatu, lif pun kita tak perlu kan.” – Nordin.
Bersatulah wahai Malaysiaku.
HAPUSKAN CETAK ROMPAK!
Sekian.
Thank you. Susah nak cari review jujur skrg. Precise. Tahniah.
Terima kasih kerana sudi singgah ke blog saya..
Terima kasih juga kerana baca, tak sangka ada orang baca habis.
Terima Kasih ^^