Review: SCAMMER – Drama Astro Wajib Anda Tonton

Author:

Assalammualaikum, Salam sejahtera..

Pertama-tama saya ingin menzahirkan rasa teruja sangat untuk mengulas drama bersiri Scammer ini. Dengan kehadiran pelakon yang hebat dan pelakon-pelakon yang membawa wataknya yang tidaklah sempurna, tetapi kena pada watak yang mereka bawa. Dengan kemunculan Arash Mohd sebagai watak Razman yang sangat dahsyat. Memang terbaik. Saya suka wataknya.

Bagi saya drama Scammer ini mempunyai tahapnya yang tersendiri. Mudah-mudahan boleh menembusi ke Asia Tenggara.

Drama ini mengisahkan mengenai Scammer atau penipuan pengubahan wang haram atau dikenalan sebagai Money Laundering. Bagi saya, pada awal episod ini agak pelahan, tetapi, pertengahannya sudah mula nampak taring setiap watak yang ada dalam drama ini. Apa yang menariknya, ada satu watak ini memang bagi saya terbaik, iaitu Jay Rahman, nanti kita akan ulas sedikit dibahagian ulasan pelakon. Banyak lagi pelakon yang hebat.

Baiklah, jom kita mengulas sedikit.

Drama : Scammer
Tarikh : 25 Mei 2021
Saluran : Astro RIA
Idea Asal : Fazli Hj Baharom, Skywalker Hashim
Penulis Skrip : Skywalker Hashim, Amin Shakib, Azril Hamzah, Shida Zali
Pengarah : Norhanisham “Labu” Muhammad
Produksi : Radius One Sdn Bhd

PELAKON SCAMMER
Kamal Adli sebagai JOE
Siti Saleha sebagai AMY
Fasha Sandha sebagai NISA
Arash Mohd sebagai RAZMAN

Jay Iswazir sebagai FAWAZ
Didie Alias sebagai QINA
Hasnul Rahmat sebagai DARUS
Muaz Fitri sebagai KAHAR
Brian Chan sebagai LEON
Chew Kin Wah sebagai WONG
Wan Raja sebagai INSPEKTOR AQIL
Amanda Misbun sebagai AKMAL
Rahim Jailani sebagai HAJI TAPAH
Kak Girl sebagai KAK NAB
Megat Sharizal sebagai JAY RAHMAN
Mazie Ahmad sebagai INSPEKTOR KAMAL
Aliff Yashraff Bin Mazri sebagai PALIS
Noorerwan Abdul Razak sebagai JAIS
Mohd Ramadhan Abdul Halim sebagai CECEP

PENAMPILAN KHAS
Nadia Brian sebagai TANIA
Tony Eusoff sebagai MALIK
Uchee Fukada sebagai KAKAK FAWAZ

ULASAN PELAKON
Drama ini dibintangi oleh ramai pelakon-pelakon terkenal dan hebat sebenarnya. Dengan watak mereka yang sangat kena. Rasanya hampir tiada pelakon yang “kayu” atau kaku ketika berlakon. Semuanya berjalan dengan baik dan lancar.

Kamal Adli membawa watak sebagai JOE, walaupun saya bukanlah peminat tegar Kamal Adli, tetapi watak yang dibawanya sangat bagus dan baik. Dengan cara menggelabarnya, takut dan buat mimik mukanya, memang kena pada Kamal Adli itu sendiri. JOE ialah suami kepada NISA yang dibawa oleh Fasha Sandha. Siapa yang tidak kenal dengan Fasha Sandha, bagi saya Fasha Sandha sesuai sangat membawa watak NISA, sebab? NISA ini seorang isteri yang penyayang, manja dan ada sifat-sifat takut sedikit. Memang sangat sesuai dengan Fasha Sandha. Rasanya Fasha Sandha pun seorang yang lembut dan ada sifat penyayang diluar lakonannya. Kedua gandingan ini sangat baik.

NISA mempunyai seorang ayah yang banyak “menguruskan” hal kebajikan orang susah dan miskin. Ayahnya bernama RAZMAN atau ABI, siapa pelakon yang membawa watak RAZMAN ini? Watak RAZMAN dibawa oleh Arash Mohd, seorang pelakon yang hebat. Bagi saya, “Ya! Ini kemunculan kembali dia!”. Saya rasa lama tidak lihat lakonan Arash Mohd ini, atau mungkin saya seorang yang bukan kaki televisyen. Tetapi, kemunculan Arash Mohd sebagai RAZMAN ini memang WOW. Wataknya ala-ala kongsi gelap orang tua. Kenapa saya kata kongsi gelap? Kenalah tonton drama ini ya. Tidak boleh beritahu semua, nanti spoiler. Tetapi wataknya sangat terbaik. 2 dalam 1, mempunyai sisi baik dan berselindung dibawah yayasan kebajikan, dan satu sisinya lagi? Kena tonton sendiri.

Siti Saleha sebagai AMY, seorang scammer, pengubahan wang haram. Rasanya sebelum ini Siti Saleha tidak pernah membawa watak sebegini. Teringat saya dalam program Michael Ang ketika Siti Saleha beritahu yang dia ingin membawa watak jahat(jika tidak salah saya). AMY seorang yang nampak baik, ayu, tetapi seorang penjenayah pengubahan wang haram yang sangat terkenal dan hebat. Setiap pekerjaannya dijalankan dengan sangat baik dan teliti. Tiada sesiapa yang tahu mengenali aktivitinya, dan hanya orang-orang bertaraf VIP VVIP sahaja yang tahu mengenali pekerjaan pengubahan wang haramnya sehinggalah dia berjumpa dengan JOE. Akhirnya AMY terperangkap dan terpaksa bekerja dengan WONG iaitu Chew Kin Wah dan anak buahnya Brian Chan sebagai LEON. Tetapi watak LEON ini agak menarik ya. Waktu mula-mula watak LEON ini saya kurang minat, asyik tepuk tangan dia sahaja. Tetapi, itu hanyalah pada awalnya sahaja, lama-lama saya suka dengan Trademarknya yang suka tepuk tangan itu.

Watak WONG yang dibawa oleh Chew Kin Wah memang terbaiklah. Siapa tidak kenal dengan taiko Chew Kin Wah? Yang sentiasa membawa watak taiko dalam perfileman Malaya ini. Dari produksi MIG sehingga sekarang, jika ada namanya, saya akan tonton filemnya. Chew Kin Wah terkenal di Indonesia, boleh tonton filemnya yang berjudul My Stupid Boss.

Jay Iswazir sebagai FAWAZ. Wataknya sangat menitikan persahabatan, lakonannya agak baik. Saya sering lihat dia berlakon, kebetulan saya agak selalu lalu ditempat berlakon, suara dia, sampai sebatu boleh dengar. Sangat menjiwai wataknya, pertama saya lihat dia dalam lakonan iklan bisu. Dia punya jahat, bukan calang-calang. Cuma Jay Iswazir ini jarang mendapat tempat di kaca televisyen. Mungkin produksi atau penerbit jangan hanya sekadar mengambil orang yang pakej kecantikan dan kekacakan sahaja, kadang berlakon pun tidak bagus.

INSPEKTOR AQIL oleh Wan Raja. Watak ini muncul dipertengahan episod. Saya suka wataknya. Tidak terlalu serius, tidak terlalu fake. Sebab, sebahagian drama yang melibatkan polis, gaya cakapnya tidak realistic. Kita hendak sesuatu yang lebih dekat dengan kehidupan kita, mana ada hari-hari polis cakap serius sahaja, dengan suara atau nada yang, susah nak sebut. Saya rasa anda faham apa maksud saya. INSPEKTOR AQIL kadang membuat nada sindiran, itu sangat menarik.

Tetapi ada seorang lagi yang membawa watak polis palsu, iaitu Hasnul Rahmat sebagai DARUS. Hasrul Rahmat, ini memang watak makanan dia. Lakonan menarik daripada Hasrul Rahmat. Saya mula minatnya bila menonton filem Rock. Tetapi sejak daripada itu, agak sukar nak tengok dia bawa watak ala-ala Zack dalam filem Rock, dia lebih membawa watak jahat. Kawan DARUS pun lakonan dia agak baik juga. Mati-mati saya ingatkan mereka polis. (Spoiler)

Sebenarnya ramai lagi pelakon-pelakon dalam drama, Didie Alias membawa watak QINA pun tidak mengecewakan. Seorang scammer dalam talian yang hebat, mempunyai 100 akaun bank.

Cuma diakhir ini, ada satu watak yang saya nak kongsikan, saya memang minat dengan pelakon ini. Banyak ceritanya yang saya tonton, memang tidak mengecewakan. Tetapi sangat jarang beliau diambil. Siapakah beliau? JAY RAHMAN yang dibawa oleh Megat Sharizal. Baiklah, tiada apa yang boleh saya katakan, ianya kelakar dan terbaik. Bukanlah kelakar sepanjang masa, tetapi wataknya kelakar. Seorang pengarah yang dikatakan pengarah syok sendiri. Buat cerita entah apa-apa. JAY RAHMAN sedang mencari seorang yang boleh taja filem dia. Watak JAY RAHMAN bukan hanya sekadar pengarah filem sahaja ya. Wataknya lebih daripada itu. Jika nama drama ini scammer, watak-watak dalam drama ini penuh dengan scammer, tidak terkecuali juga watak JAY RAHMAN. JAY RAHMAN ada orang yang boleh mencetak jutaan duit palsu. Gila bukan? Kenalah tonton.

ULASAN UMUM
Drama ini mengisahkan mengenai scammer, hampir semua watak dalam drama ini ialah scammer dan sepatutnya anda perlu meragui kesemua watak dalam drama ini. Bezanya jenis scammer yang mereka lakukan. Sama ada aktiviti pengubahan wang haram, scammer atas talian, menipu, cetak duit palsu dan sebagainya.

Drama ini juga mengisahkan mengenai JOE dan isterinya iaitu NISA. JOE telah dibuang kerja atas tuduhan pecah amanah. Kemudian JOE ditekan oleh ayah NISA iaitu RAZMAN atau ABI. Ayah NISA memberi tempoh selama 4 bulan untuk JOE buktikan kepadanya yang JOE akan berusaha keras untuk menjaga anaknya. JOE sangat tertekan, dan akhirnya berjumpa dengan AMY seorang pengubahan wang haram, dan menawarkan berlipat ganda dari gaji asalnya.

Akhirnya membawa kepada polimik jenayah yang lebih besar lagi, bilamana AMY dan JOE berjumpa dengan seorang taiko besar ibu kota Kuala Lumpur iaitu WONG. Kemudian jenayahnya lebih besar bilamana melibatkan kongsi gelap. Akhirnya AMY dan JOE tersepit kerana WONG ingin mengganggu mereka jika mereka tidak bersama dengan WONG. Akhirnya ianya membawa kepada perkara yang lebih sukar dan rumit.

Dari segi gambar drama ini, sangat terbaik. Saya lihat ianya bukan suatu belanja yang murah untuk menghasilkan drama ini, mungkin, ini sekadar pendapat saya sahaja. Sebab dari segi gambar, pengcahayaan, semua dalam keadaan baik. Tiada babak yang tiba-tiba gelap, tiba-tiba terang, semuanya lancar sahaja.

Suara dalam filem ini sangat clear, sangat bagus, boleh didengari. Sebab ada sesetengah drama, suara bila cakap pelan, hampir-hampir tidak kedengaran.

ULASAN LAWAK JENAKA
Malangnya drama ini bukanlah drama komedi. Bukan tiada langsung, tetapi hanya sedikit. Bilamana melibatkan babak JAY RAHMAN atau DARUS, ada komedi sedikit. Dan bagi saya, komedinya agak baik untuk drama yang serius begini. Bukanlah tiada langsung, cumanya seimbang.

ULASAN PENGAJARAN
Agak banyak pengajarannya dalam drama ini. Tetapi lebih kepada pengajaraan seorang scammer dan seorang yang terlalu tamakkan duit. Bilamana kita sentiasa fikirkan duit duit dan duit, kita terpaksa membesarkan lagi perniagaan. Kita akan terdedah dan akhirnya bekerjasama dengan kongsi gelap.

Cumanya saya sedikit kurang puas bilamana hukuman dijatuhkan kepada kesemua scammer yang ada dalam drama ini tidak dibuat dalam mahkamah dan kita tidak tahu apa hukumannya yang dikenakan atas jenayah mereka dan akta apa yang digunapakai terhadap mereka. Jika pengarah dapat membuat babak hukuman dijatuhkan, saya rasa ianya lebih baik dan pengajarannya lebih besar lagi. Mungkin disebabkan COVID melanda, dan produksi dan pengarah tidak dapat lakukan babak tersebut.

Tetapi, jika tulis sahaja hukumannya, itu sudah memadai. Supaya kita sebagai penonton mendapat pengajaran atas perbuatan mereka. Jenayah scammer ini sangat berat, bukan sahaja menipu orang kaya, tetapi orang miskin juga terkena perbuatan scammer ini. Ada pula sehingga membunuh untuk menutup aktiviti mereka.

Orang pencen sentiasa kita dengar mereka ditipu puluhan ribu, sehingga ratus ribu, ada yang sehingga jutaan Ringgit. Ini sangat membimbangkan kita semua. Kesian makcik dan pakcik kita. Kumpul duit dari muda, bekerja, akhirnya ditipu oleh scammer.

Selain itu, kita boleh belajar teknik-teknik penipuan scammer dan pengubahan wang haram. Bagaimana perjalanan pengubahan wang haram ini dilakukan supaya kita tidak terjebak dengannya.

KESIMPULAN
Bagi saya drama scammer ini membawa kepada suatu tahap atau level lain dari drama yang lain. Saya harap ianya dapat ditayangkan ke seluruh Asia Tenggara. Serius, drama ini sangat menarik. Pelbagai konflik yang berlaku dan ianya sangat dekat dengan dunia realiti kita hari ini.

Saya harap anda menonton drama ini supaya menjadi pengajaran untuk kita semua. Ada juga teknik-teknik penipuan yang diceritakan didalam drama ini. Sangat menarik. Tidak rugi jika anda menontonnya.

Seperti biasa, saya bukan orang yang layak untuk memberi bintang atau rating dan saya kurang meminati perkara ini. Mungkin bagus baik saya, tidak bagi anda. Atau mungkin sebaliknya, bagus bagi anda, tidak bagi saya.

Sekian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *