Sushi RM1 Tanglin
Assalammualaikum, Salam sejahtera..
(*PERHATIAN : PENULISAN INI TIDAK DIBAYAR, APA YANG SAYA TULIS ADALAH DARI DIRI SAYA SENDIRI. DARI SEGI RASA DAN KESEDAPAN HANYALAH PADA HARI DAN KETIKA SAYA RASA MAKANAN INI)
Pernah tidak dengar orang jual Sushi RM1? Saya seorang pencari Sushi RM1 sebenarnya. Tapi bukanlah pemburu yang sanggup mencari dimerata-rata tempat. Saya sekadar kalau jalan situ ada Sushi RM1, saya pasti akan singgah, atau kalau berhampiran tempat saya, saya akan pergi dan beli.
Saya banyak cuba Sushi RM1 ini, cuma kebanyakannya saya tidak suka sebab nasi dia itu macam benyek atau lembik. Entahlah. Saya tidak tahu bagaimana nak memberitahu rasanya, cuma bila masuk tekak rasa tidak sedap sahaja. Ini sekadar pendangan saya sahaja.
Tapi, kebetulan pula saya pergi ke Klinik Tanglin kerana ada sedikit urusan disana, dan saya ternampak ada orang jual Sushi RM1. Apa lagi, saya pun cubalah beli.

Bagi yang tidak tahu Klinik Tanglin, boleh buat carian di Google Maps, kedai Sushi ini terletak betul-betul depan Klinik Tanglin, sebelah kiri naik ke tempat letak kereta.
Sebenarnya banyak yang kedai ini jual. Tetapi saya ada beli Tahu Bergedil dengan Sushi RM1. Bagi saya tahu bergedilnya agak sedap juga. Kalau kita ada urusan kawasan ini atau kebetulan lalu, dan tidak tahu nak makan apa, bagi saya, kita boleh cuba Tahu Bergedil dia. Saya tahu disini terkenal dengan Nasi Lemak Tanglin, tetapi, apa salahnya kita mencuba kedai ini kan? Sambil kita tolong ekonomi dia. Kakak ni pun baik juga.
Baiklah, balik kepada Tahu Bergedil tadi, saya ada gambarnya, tetapi, maaf ya, saya dah ngap dua ketul.

Ini dia Tahu Bergedilnya. Berharga RM5.00, ada 4 ketul. Agak besar juga dia punya Tahu Bergedil. “Sedap ke tidak”? Bila ditanya soalan yang sangat subjektif ini, sukar untuk saya menjawab. “Sedap ke tidak”, “mahal ke murah”. Semua ada pandangan dan pendapat masing-masing. Kadang makan itu memang tidak sedap pun, sebagai orang yang biasa merasa makanan, kita tahu, memang tidak sedap, tiba-tiba ada orang kata sedap. Ada pula kedai itu memang mahal betul, tapi ada orang kata “biasa je la”.
Cuma apa yang saya boleh kata, Tahu Bergedil ini ok, sedap. Walaupun sambilnya agak sedikit kurang, tetapi, berbaloi untuk anda cuba dan rasa sendiri. Kita ke Sushi RM1 pula.


Ini dia Sushi RM1. Nampak cantik. Sebab, ada beberapa kedai saya pergi, Sushi RM1 dia tidak cantik, macam comot sikit. Yelah, RM1 kan, apa yang kita nak mengharap lebih. Tapi kedai ini Sushi dia cantik tak comot. Bagaimana rasanya? “Sedap ke tidak?”. Seperti yang saya beritahu tadi, soalan subjektif. Tetapi bagi saya Sushi ini sedap, tidak benyek, tidak lembik, kira kalau masuk tekak itu ok la. Saya rasa anda patut mencuba, cuma RM1 kan. Pada mulanya saya beli 3 sushi sahaja. Bila makan rasa macam sedap saja, terus beli semua jenis yang ada, untuk dibawa balik makan.
Apa yang saya cuba? Ayam Blackpepper, Mayo(wajib cuba bila pergi mana-mana kedai Sushi), kemudian satu lagi lupa pula, yang ayam goreng tu. Disebabkan akak sushi tu memberitahu setiap nama sushi ini sekali imbas, dan sekali imbas juga nama-nama itu hilang dari ingatan saya. Memang saya tidak ingat.
Bagi saya Sushi RM1 dan Tahu bergedilnya sedap dan bukanlah sedap yang teramat sedap. Kita perlu memahami satu realiti disini, Sushi RM1, janganlah kita mengharap sedap dan terbaik seperti Sushi berharga RM4 se-piring, ini mustahil. Sedap Sushi RM1 hanya boleh dibandingkan dengan kedai Sushi RM1 yang lain. Gajah lawannya gajah, semut lawannya semut. Jangan nak dibandingkan dengan restoran Sushi yang ada di seluruh Malaysia ini. Keduanya, kebanyakan Sushi yang berada di Malaysia, memang telah diubah suai mengikut tekak dan cita rasa orang Malaysia, terlebih lagi Sushi RM1, ini kerana bahannya yang murah dan mudah dicari. Jadi, jangan samakan dengan Sushi Jepun yang ada sehiris ikan Salmon.
Kesimpulannya, jika ada berada dikawasan situ atau anda memang suka mencari Sushi RM1. Anda boleh mencubanya. Boleh cuba 2 Sushi, harganya RM2. Kalau sedap, beli lagi. Saya berkongsi kedai ini bukan kerana dibayar ya dan saya tidak mengambil bayaran atau duit. Sekadar berkongsi sahaja. Mungkin akak Sushi ni pun tidak tahu saya menulis mengenai kedainya.
Mudah-mudahan (jika betul-betul sedap dan ikhlas) perniagaaan akak ini akan mendapat sambutan, paling tidak, saya sudah melakukan sedikit kerja saya untuk mempromosikan kedai ini. Dalam keadaan ekonomi yang sangat meruncingkan ini, paling tidak, saya dapat membantu akak ni. InsyaAllah, akan datang, saya akan cuba makanan yang lain pula. Semoga dimurahkan rezeki.
Sekian.