Wanz Ramli Blog

Terus Mencari Persamaan

Bicara Santai

Assalammualaikum, Salam sejahtera..

Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT, yang memberi kita kesihatan dan kekuatan mengharungi wabak COVID-19 yang sangat dahsyat. Walaupun ada yang terkena jangkitan, ada yang kesakitan, ada yang kritikal di ICU, ada yang menghadap Illahi, kematian(Semoga Allah memberi kebaikan, ditempatkan dikalangan orang beriman, mudahan mati dalam keadaan mati syahid).

Walaupun dunia hari ini sangat kritikal dengan wabak ini, Alhamdulillah, ketergantungan kita orang Islam hanyalah pada Allah SWT. Allah Maha Kuasa atas apa yang berlaku, tanpa menafikan perlunya usaha dari diri kita sendiri.

Baru-baru ini, ada seorang tokoh agama, Tuan Guru Syeikh Zainul Asri telah mengeluarkan satu kenyataan terbaharu beliau mengenai Vaksin, boleh rujuknya disini. Semoga Allah rahmati beliau atas pendirinya dan sudi untuk menarik semula kenyataannya.

Kata beliau “…..saya pun dok renung-renung, tengok, situasi sekarang ini pendirian saya, saya kena ubah….”. Ini pendirian terbaharu Tuan Guru yang mana sebelum ini beliau pernah mengatakan sesiapa yang ambil vaksin dalam tempoh 2 tahun akan mati, dan mungkin lebih awal lagi.

Beliau juga mengatakan, Tuan Guru berpandangan negetif terhadap isu vaksin ini, tapi hari ini beliau menarik semula kenyataan beliau sebelum ini dan bersama dengan kerajaan, dan menghukum pengambilan vaksin adalah harus, atas faktor-faktor dan dalil yang Tuan Guru beritahu dalam video terbaharunya. Tuan Guru Syeikh Zainul Asri mengatakan kebimbangan beliau terhadap rakyat, orang tua dan kanak-kanak. Ini pendirian terbaharu Tuan Guru Syeikh Zainul Asri mengenai Vaksin. “Taat kepada Allah, Taat kepada Rasul dan Ulil Amri”

Saya rasa ini kenyataan yang terbaik dari seorang tokoh agama. Mempunyai pendirian, yang benar adalah benar, yang salah tetap salah dan sedia untuk menarik kenyataan bila merasakan diri ada kesalahan. Bukanlah satu keaiban bilamana kita menarik semula kenyataan kita. Tuan Guru juga dalam videonya menyuruh kita belajar dan berfikiran dengan waras tangani isu COVID ini.

Alhamdulillah, mudah-mudahan dengan kenyataan Tuan Guru Syeikh Zainul Asri dan pendirian terbaharu beliau terhadap vaksin, dan menghukum harus, akan membuka mata kita untuk melihat dan belajar lebih jauh lagi. Mudah-mudahan ada kebaikan untuk umat dan rakyat dan seluruh dunia. Kita sedia maklum bahawa Tuan Guru mempunyai pengikut atau pengaruh yang sangat ramai, bukan hanya di Malaysia, bahkan di Indonesia, Singapura, Brunei, Patani.

Mudah-mudah juga selepas ini, saya harap, tiada lagi orang yang mengeluarkan kenyataan luar dari bidang mereka, dan tiada orang yang mengeluarkan kenyataan secara melulu dan sembarangan. Ini bukan lagi mengenai Tuan Guru Syeikh Zainul Asri, ini berkenan semua orang. Nasihat ini untuk diri saya dan semua orang yang membacanya.

Tiada lagi orang yang akan mengeluarkan kenyataan sembarangan. Tidak kiralah siapa kita atau mereka, terutamanya dari kalangan orang yang berstatus orang agama atau ustaz. Kerana, setiap kenyataan dari orang agama atau ustaz, ianya mempunyai kesan, bahkan besar kesannya. Setiap kenyataan dari seorang orang agama atau ustaz, ianya mempengaruhi dan dianggap ‘fatwa’ bagi pengikutnya. Lebih membimbangkan lagi, mereka yang mengeluarkan kenyataan sembarangan ini, tidak mahu menarik semula kenyataannya kerana merasakan diri mereka malu, walaupun kemudian hari mereka tahu, kenyataan mereka salah.

Ada juga influencer daripada Instagram, Facebook, Youtube atau dimedia sosial lain, yang banyak mengeluarkan kenyataan secara melulu, sembarangan dan tiada asasnya. Dan mempengaruhi pemikiran orang lain. Ini sangat bahaya. Bidang perubatan, kita kena serahkan kepada pakar perubatan. Jika ada yang mengatakan mereka merujuk doktor, berikan rujukan dan nama doktor tersebut supaya menguatkan hujah kita.

Kita tidak boleh mengatakan doktor ini, doktor itu, orang kata, ustaz ini kata, saya terdengar, saya mimpi. Perbuatan ini sangat tidak bertanggungjawab, dan tiada sumber. Jika begini, semua orang boleh mendakwa bermacam-macam cerita. Akhirnya orang begini akan lepas tangan dan tidak akan bertanggungjawab.

Bayangkan jika ahli keluarga kita terdengar, atau orang tua atau remaja hari ini, yang tidak tahu apa itu vaksin dan covid. Mereka akan dengar bulat-bulat dan mengambil keputusan yang akan mengeruhkan keadaan dan kesihatan diri mereka. Tidak kesiankah kita kepada mereka. Jika kita mempunyai pengaruh yang ramai, kita perlu berhati-hati dalam pengucapan kita. Setiap pengucapan kita, pastikan ada sumber yang sahih dan rujukan. Nasihat ini untuk diri saya dan semua orang, tidak kira apa latar belakang kita.

Kenyataan melulu dan sembarangan ini sangat bahaya. Walaupun pendirian kita hari ini berbeza atau walaupun pendirian kita sudah berubah dan meletakan pendirian baharu, tetapi, sedar atau tidak sedar, ramai yang telah mengikut kenyataan dan pandangan kita sebelum ini atau sebelum ini. Jika kenyataan kita dikeluarkan setahun yang lepas, kemudian kita mengatakan pendirian baru kita selepas setahun. Dalam kita tidak sedar, sebenarnya, telah ramai yang mengikuti kenyataan lama kita selama setahun.

COVID-19 telah melanda dunia, bukan sekadar di Malaysia sahaja. Ada yang terkena jangkitan, ada yang kesakitan, ada yang kritikal, ada yang membawa kepada kematian, ada yang hilang ahli keluarga seorang demi seorang(semoga mereka diberikan kekuatan). Kita perlu ubah pemikiran kita dan meluaskannya. Jangan melihat hanya dalam konteks dan situasi di Malaysia, lihat juga situasi dunia. Pepatah Melayu: “Bagai katak dibawah tempurung”. Kata lagu M.Nasir “Lihat dunia dari mata burung, jangan lihat dari dalam tempurung”

Mengikut catatan dunia, seramai 172,893,624(10:10am, 4/6/2021) telah dijangkiti covid, dan 3,716,615(10:10am, 4/6/2021) telah meninggal dunia. Malaysia berkongsi 595,374 kes jangkitan dan 3,096 kes kematian. Jika dilihat angka-angka ini, sangat membimbangkan dan sangat kritikal. Terlalu ramai yang dijangkiti dan telah meninggal. Adakah kita masih boleh memandang enteng dengan angka-angka ini?

Lihat apa yang berlaku di India, mereka sangat tertekan disana. Kematian demi kematian, selepas dibakar mayat, masuk lagi mayat baru, seolah-olah sedang beratur menunggu giliran untuk dibakar. Di Malaysia hari ini, pihak KKM terpaksa menyediakan kontena bagi meletakan jenazah yang meninggal akibat COVID kerana telah melebihi kapasiti. Ini sangat membimbangkan.

Saya melihat catatan dunia ini, setiap beberapa minit, angkanya berubah dan meningkat. Sangat menakutkan dan banyak kes-kes baharu yang melibatkan kes jangkitan dan kes kematian. Kerana itu, kita perlu menjaga setiap ucapan dan kenyatan-kenyataan kita dan jangan mengeluarkan kenyataan secara melulu dan sembarangan. Kerana setiap kenyataan-kenyataan kita, akan memberi kesan kepada rakyat dan jangan disebabkan kenyataan kita, ramai orang terkesan sehingga menyebabkan kematian.

daripada Jabir RA, katanya: “Kami keluar bermusafir. Tiba-tiba seorang daripada kami terkena batu sehingga menyebabkan kepalanya luka. Kemudian dia mengalami mimpi (hingga keluar mani). Selepas terjaga dia bertanya kepada sahabat-sahabatnya, “Adakah kamu fikir ada keringanan bagiku untuk bertayammum?” Mereka menjawab: “Kami tidak mendapati keringanan bagi kamu kerana kamu mampu mendapatkan air.” Lalu dia pun mandi dan terus meninggal dunia. Apabila kami menemui Rasulullah SAW dan memberitahu Baginda, Baginda pun bersabda:
“Mereka telah membunuhnya dan Allah akan membunuh mereka. Kenapakah mereka tidak bertanya sekiranya tidak tahu? Hanya dengan bertanya boleh menghilangkan keraguan. Sebenarnya memadai dia bertayammum dan membalut lukanya dengan kain perca, seterusnya menyapu air di atas balutan dan mandi ke seluruh badannya.”

HR Abu Daud

Kadang kala kita tidak sedar, kenyataan kita memberi kesan secara tidak langsung kepada orang yang mendengarnya. Akhirnya, akan menyebabkan orang tidak mengambil vaksin, tidak memakai pelitup muka dan sebagainya. Mungkin juga sehingga membawa kepada kematian.

Memang benar hidup dan mati adalah urusan Allah SWT. Dialah yang hidupkan, dia jugalah yang mematikan kita, tidak kurang atau lebih sesaat. Tetapi, Allah juga menyuruh kita jangan mencampakan diri kedalam lembah kebianasaan.

Firman Allah SWT,
“Janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan…”

Surah Al-Baqarah[2]: 195

Firman Allah SWT,
“…..dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.”

Surah An-Nisa[4]: 29

Sabda Nabi SAW,
“Larilah daripada penyakit berjangkit seperti mana kamu lari daripada singa.”

HR Bukhari

Sabda Nabi SAW,
Pada umat sebelum kalian, terdapat seseorang yang tercedera, dia tidak dapat menahan kesakitan lalu dia mengambil pisaunya lalu memotong tangannya. Darah berterusan mengalir sehinggalah dia mati. Allah berkata: Hamba ku telah menyegerakan untuk mati, aku telah mengharamkan ke atasnya syurga.”

HR Bukhari

Sabda Nabi SAW,
Sesiapa yang membunuh diri dengan besi, maka di neraka jahanam nanti besi itu selalu di tangannya, ia menusuk-nusukkannya ke perutnya selama-lamanya. Dan barangsiapa bunuh diri dengan meminum racun, maka di neraka jahanam nanti ia akan terus meminumnya selama-lamanya. Dan barangsiapa bunuh diri dengan menjatuhkan diri dari gunung, maka di neraka jahanam nanti, ia akan menjatuhkan (dirinya) selama-lamanya.”

HR Muslim

Maksudnya disini bukankah Allah juga menyuruh kita melindungi diri dan nyawa? Allah juga melarang kita bunuh diri.

Kita juga apabila ingin melintas jangan, memandang kiri dan kanan untuk melintas jalan, sebab apa? Sebab demi menjaga keselamatan dan nyawa dari dilanggar oleh kereta atau motor. Jika menurut kenyataan kita, tiada sesiapa atau tiada sesuatu yang boleh menyakitkan dan mematikan kita kecuali Allah. Sedar atau tidak sedar, kita sebenarnya sudah terkeluar dari kenyataan kita, yang mana kita sendiri sedang takut kereta dan motor langgar kita, dan menyebabkan kesakitan dan kematian. Wallahuaklam, hanya Allah sahaja yang lebih mengetahuinya.

Kita tidak mahu jadi seperti golongan, TAKUT VIRUS LEBIH DARI TAKUT TUHAN atau TAKUT DAJJAL LEBIH DARI TAKUT TUHAN. Kita usaha, selebihnya berserah kepada Allah SWT.

Semoga Allah rahmati kita, semoga Allah lindungi kita.

Sekian.

Tagged:

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts