Wanz Ramli Blog

Terus Mencari Persamaan

Bicara Santai

Assalammualaikum, Salam sejahtera..

Firman Allah SWT,
“Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia,
“(Iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia”.

Surah An-Nas[114]: 5-6

Kita sering berasa was-was kan? Tapi pernah tidak kita terfikir, bilamana kita buat sesuatu hal duniawi atau hal keduniaan, kita jarang ada penyakit was-was. Kita bercakap tanpa ada rasa was-was, kita buat sesuatu pun tanpa rasa was-was, kita buat maksiat sedikit pun kita tidak ada rasa was-was. Tetapi, bilamana kita sedang beribadat, was-was pasti hinggap di fikiran kita. Wuduk sampai 5-6 basuhan, solat takbir berkali-kali, baca surah pun berulang-ulang kali, apatahlagi mandi hadas(mandi wajib) berjam-jam.

Tapi kenapa ya hal ini berlaku? Was-was hinggap atau datang bilamana kita beribadat, tapi was-was tidak muncul bila kita melakukan hal dunia?

Ini kerana was-was itu sendiri datang daripada iblis, syaitan dan anak cucu cicit mereka. Jika ianya datang dari sesuatu makhluk yang jahat, sudah pasti ianya akan mengganggu perkara yang baik. Jarang kita dengar manusia berasa was-was bila melakukan perkara maksiat. Pernahkah kita dengar orang sedang mencuri, ambil barang yang dia curi, kemudian letak semula, dan ambil semula? Atau pernahkah kita sendiri rasa was-was bilamana kita sedang mengumpat, fitnah? Atau pernahkah kita pergi sesuatu tempat maksiat, kita was-was, kita pergi dan patah balik semula? Mungkin jarang berlaku, mungkin juga tidak pernah berlaku.

Tapi perkara ini berlaku bilamana kita solat, angkat takbir, kemudian batalkan solat, angkat takbir lagi. Dan ini juga berlaku bilamana kita ambil wuduk berkali-kali dengan paip terbuka laju, pun begitu masih berasa was-was. Apatahlagi lagi mandi hadas besar(mandi wajib), saya sendiri pun melalui perkara was-was ini, kadang kita memang tidak boleh mengawalnya. Sebenarnya ini agak bahaya, kerana was-was ini penyakit berjangkit. Sebab apa saya kata sebegitu? Saya akan ulaskannya dibawah kelak.

Ada yang berkata, “Jangan cakap macam itu, kesian dia. Memang was-was ini penyakit. Ada orang memang was-was”. Ya betul, tidak dinafikan was-was ini suatu penyakit, JIKA.

Jika memang benar dia ada was-was dalam solat dan luar solat. Sebagai contoh, ada seorang itu sedang solat, dan dia was-was dalam solat dia. Tetapi luar solat, dia(diri sendiri) merasakan “Asal bila solat je aku was-was, luar solat aku ok je”. Jadi, ini bukan penyakit was-was yang kita maksudkan, ianya lebih kepada permainan iblis dan anak cucu cicictnya, supaya kita beribadat dengan tidak sempurna. TAPI.

Jika orang itu(diri sendiri) merasakan, “Aku ni sentiasa was-was, buat kerja pun was-was, pergi mall parking kereta, lepas itu datang semula nak tengok pintu dah kunci ke belum(dengan kerap). Kadang aku keluar rumah naik kereta, dah nak sampai tol, kemudian patah balik, pegang mangga kunci, nak tengok dah kunci ke belum(dengan kerap). Dalam solat dan wuduk pun aku macam itu gak(dengan kerap)”. Ini barulah penyakit was-was yang perlunya kita berjumpa pakar sebab ini penyakit bukan lagi mainan syaitan. Jika ianya bukan kekerapan dan datang hanya sekali sekala. Ini perlu dilihat semula.

Tapi, kalau orang itu keluar rumah tidak patah balik, parking kereta kemudian yakin dah berkunci. Kemudian waktu wuduk dan solat, dia was-was, dan tidak yakin. Ini ialah mainan syaitan. Kalau nak membezakan was-was syaitan atau penyakit was-was, kita kena nilai diri kita sendiri. Kalau hal dunia kita yakin saja dan tiada rasa was-was, tetapi kalau hal ibadat tiba-tiba tidak yakin dan berasa was-was, inilah was-was syaitan yang akan membawa kita kepada was-was syaitan penyakit berjangkit.

Saya juga pernah laluinya, dan saya yakin, ramai juga melalui hal yang sama. Jika kita membiarkan perkara was-was ini, ini sangat membimbangkan dan sangat bahaya. Kerana was-was ini bukan hanya sekadar penyakit, bahkan berjangkit. Saya sedikit khuatir dan kesian, bilamana was-was ini hinggap atau datang kepada seseorang dan diri kita sendiri. Kita boleh lihat, pada asalnya ianya sekadar memberi keyakinan, tetapi, lama kelamaan ianya sudah menjadi penyakit berjangkit.

Saya tidak mahu bercerita hal orang lain dahulu, ini pengalaman saya. Ketika sedang wuduk, saya tidak perasan yang mana ianya adalah was-was yang akhirnya membawa bahaya kepada diri saya sendiri. Pada mulanya saya ambil wuduk seperti biasa sahaja. Kemudia terasa macam, “Eh, dah basuh lengan ke?”. Jadi saya ambil pendekatan, mengambil wuduk semula hanyalah untuk memberi keyakinan. TETAPI, ianya semakin melarat, bilamana hampir setiap kali saya berwuduk, was-was ini datang atau hinggap pada fikiran saya. Saya pernah selesai berwuduk kemudian berwuduk sekali lagi, hampir 3 kali. Anda boleh lihat, bagaimana was-was ini suatu penyakit berjangkit? Ada juga orang yang berwuduk, membasuh muka dan lengan berkali-kali, sepatutnya hanya 3 kali, tetapi dia mengambil wuduk 6 kali, yang pada asalnya untuk memberi keyakinan. Ini baru kita bercerita bab wuduk ya. Belum bercerita bab solat.

Solat pula, saya pernah habis solat, kemudian solat semula dengan beralasan “3 ke 4, 3-4. Sudah tahiyat awal ke belum”. Ianya membuatkan saya sehingga solat 2-3 kali. Ini bukan cerita fantasi atau drama atau nak berhiperbola. Ini cerita diri saya sendiri. Saya mula perasan bilamana saya rasa, ini sudah melampau ni, ini dah tidak betul. Belum lagi mandi hadas(mandi wajib), lebih dahsyat.

Saya takut perkara ini berlaku pada orang lain, kerana itu saya menulis dan mengatakan was-was penyakit berjangkit dan lebih pada itu, ianya sehingga mengganggu orang lain.

Pernahkah kita solat disebelah orang yang berulang-ulang bacaannya? Ini sangat mengganggu kita. Bagi orang seperti saya, yang solat pun tidaklah khusyuk mana, kemudian ada orang berulang-ulang bacaannya sehingga saya sendiri pun terdengar dan tidak boleh fokus pada bacaan saya. Mungkin ada orang sehingga terikut bacaan orang itu. Bukankah ini berjangkit dan mengganggu?

Sebagai contoh lain, ketika mandi hadas(mandi wajib), jika kita ada perasaan was-was, kita pasti akan mandi sangat lama didalam bilik air. Kemudian pula, bilik air kita hanya ada satu. Mandi terlalu lama dalam bilik air akan mengganggu orang lain hendak menggunakan bilik air. Jika ianya mandi ketika zohor atau asar, mungkin masa agak panjang. Tetapi jika ianya masuk ketika maghrib atau subuh, ini sangat mengganggu. Jika kita mandi hampir 1 jam, pasti waktu solat Maghrib atau Subuh sudah hampir nak tamat. Kemudian keluarga kita yang lain akan terlepas untuk solat. Bukankah ini berjangkit dan mengganggu orang lain?

Was-was syaitan ini perlu dihapuskan dari pemikiran kita. Ini sangat mengganggu diri kita dan orang lain. Apa yang saya katakan disini, WAS-WAS SYAITAN, bukan penyakit was-was yang mengganggu ibadat dan perkara lain yang kita buat.

Apa yang kita perlu buat kita berasa was-was seperti terkentut tapi macam tak dalam solat?

Sabda Nabi SAW,
“Janganlah lelaki itu beralih atau beredar (daripada solat) sehingga dia mendengar bunyi (kentut) atau mendapati ada bau.”

HR Bukhari

Dalam sebuah hadith, diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya oleh sahabat yang mana syaitan telah datang dan mengganggu ketikamana dia dalam solat dan bacaannya. Lalu Nabi SAW bersabda:
“Itu adalah syaitan yang namanya Khinzib. Jika kamu merasa akan gangguannya, maka mohonlah perlindungan daripada Allah SWT dan ludahlah ke bahagian kirimu sebanyak tiga kali.”

HR Muslim

Ketika berwuduk, jangan melebihi tiga kali, dan jangan mengikuti syaitan yang sengaja menyuruh kita tidak mengikuti Nabi SAW

daripada Abdullah Ibn Amru bin Al Ash R.Anhuma beliau berkata:
Sesungguhnya Rasulullah S.A.W lalu di suatu kawasan dan melihat Sa’ad sedang berwuduk, lalu baginda bersabda: “Kenapakah israf (berlebihan) ini ?” Maka Sa’ad menjawab: Adakah pada wuduk juga terdapat israf ? Lalu baginda menjawab: “Ya, sekalipun kamu berada di sungai yang mengalir”.

HR Ibn Majah

Sabda Nabi SAW,
“Jika salah seorang daripada kalian berasa syak dalam solatnya, dan dia tidak ingat berapa rakaat telah dia solat; tiga atau empat rakaat. Maka buanglah syak itu dan tetapkan diri atas apa yang dia yakini, kemudian dia sujud (sahwi) sebanyak dua rakaat sebelum (mengucapkan) salam, kerana jika dia solat sebanyak lima rakaat maka akan genap sempurnalah bagi dia solatnya, dan jika nyata dia solat empat rakaat, maka jadila dua sujud (sahwi) itu suatu penghinaan bagi syaitan.”

HR Muslim

Jadi, dengan dalil ini, kita tahu, bahawasanya iblis dan anak cucu cicitnya memang sengaja untuk mendatangkan was-was kepada kita kerana untuk menjauhkan kita dari Allah dan Rasul. Syaitan akan datang membisik kepada kita bilamana kita sedang beribadat kepada Allah SWT, sedangkan bilamana kita melakukan maksiat, sedikit pun syaitan tidak akan mengganggu kita. Ini hakikatnya yang perlu kita tahu.

Kebiasaannya, sesiapa yang terkena was-was syaitan ini, ianya sukar untuk berhenti. Bahkan ianya akan membawa lebih parah lagi. Pada mulanya sekadar hendak memberi keyakinan, kemudian was-was sedikit, kemudian semakin banyak, dan lebih lagi. Ianya akan berjangkit dan terus berjangkit. Berkemungkinan besar juga akan berjangkit kepada orang lain. Teringat saya suatu kisah.

Ini terjadi di Mekah ketika melakukan ibadat Umrah. Kami pergi ramai, sepupu belah ayah saya ada, belah ibu saya ada. Selepas selesai Umrah, bercukur. Kemudian seperti biasa, naik ke hotel, dan berehat. Kemudia sewaktu makan di kafe, ada seorang dari kalangan kami (sepupu), dia membuka satu cerita. “Aku rasa MACAM terpeganglah bahagian Hijr Ismail”. Dia was-was, rasa macam pegang, tapi dia rasa jauh. Tidak mengapalah, dia bayar dam. KEMUDIAN, sepupu saya lagi satu dia mengatakan dia pun ada lakukan kesalahan tapi macam tidak, kemudian dia pun membayar dam. KEMUDIAN, terdengar perkara itu, mak saya pun kata “Ibu macam terkentut waktu tawaf(sebab ibadat tawaf perlukan wuduk), tapi macam tak terkentut”. Akhirnya mak saya pun bayar dam. Kerana was-was. Sedangkan itu kali kedua umrah mereka(pada ketika itu), tetapi tiba-tiba mereka was-was dan tak yakin, akhirnya bayar dam. Sebab kita takut, umrah kita tidak sah, dan balik dalam keadaan masih umrah, dan semua perkara mereka lakukan serba tidak kena. Walaupun perkara ini sudah dimaklumkan dari ketua agensi, jangan was-was. Tetapi, begitulah was-was syaitan yang selalu mengganggu kita sedang beribadat kepada Allah SWT. Was-was suatu penyakit berjangkit. Itu pengalaman diri saya. Jika saya juga tidak kuat, dan mencari-cari dan was-was, saya juga akan terjebak sama. Dan berkemungkinan besar, jika kami melakukan Umrah lagi, kami akan terkena was-was lagi, akhirnya akan menakutkan kita untuk beridabat dan mengatakan agama ini susah. Walhal, kita yang dipengaruhi syaitan, dan kita yang menyusahkan agama. Ini kesannya dari was-was syaitan.

Sebenarnya, banyak lagi situasi was-was ini, ada yang rasa terkentut tapi tak kentut, ada yang rasa macam terkencing, tapi tak terkencing. Ada pula yang solat 3 atau 4 rakaat, ada pula yang tengah solat, dah wuduk ke belum. Ada yang mandi hadas(mandi wajib) kemudian keluar bilik air, masuk balik. Yang paling biasa kita mendengar ialah niat masuk atau tidak, ini perkara biasa yang hinggap atau datang kepada manusia yang sedang atau ingin beribadat kepada Allah SWT, tidak terkecuali, saya juga terkena was-was ini. Bermacam-macam situasi was-was yang ada. Tetapi ianya berkaitan was-was dalam beribadat. Was-was syaitan.

Alhamdulillah, sedikit demi sedikit was-was saya sudah mula hilang. Saya tidak tahu apa cara berkesan untuk orang lain. Bagi saya, bila datangnya was-was atau tidak yakin pada diri saya ketika sedang beribadat, saya akan buat-buat tidak tahu, dan abaikan. Yang paling penting, yakin. Boleh tonton ceramah Ustaz Azhar Idrus(UAI) di youtube berkaitan was-was. Dan ramai lagi Ustaz bercerita mengenai was-was syaitan.

Firman Allah SWT,
“Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!
“Dan (Aku perintahkan): hendaklah kamu menyembahKu; inilah jalan yang lurus.
“Dan sesungguhnya Syaitan itu telah menyesatkan golongan yang ramai di antara kamu; (setelah kamu mengetahui akibat mereka) maka tidakkah sepatutnya kamu berfikir dan insaf?”

Surah Yasin[37]: 60-62

Jangan terlalu ikutkan bisikan syaitan dan jangan terjebak dengan was-was, kerana WAS-WAS PENYAKIT BERJANGKIT. Doa hindari dari Was-Was Syaitan.

Firman Allah SWT,
Dan katakanlah: “Wahai Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari hasutan Syaitan-syaitan
“Dan aku berlindung kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya Syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku”.

Surah Al-Mu’minun[23]: 97-98

Sekian.

Tagged:

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts