Wanz Ramli Blog

Terus Mencari Persamaan

Bicara Santai

Lelaki Biadab ‘Sound’ Pakcik Orang Tua

Assalammualaikum, Salam sejahtera..

Firman Allah SWT,
Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).

Surah Hujurat[49]: 13

Baru-baru ini saya terlihat di media sosial tular sebuah video seorang lelaki mengherdik seorang pakcik berpangkat mak ayah kita. Saya tidak kenal siapa lelaki tersebut dan jika ini sifatnya, tidak perlulah kita mengenal dia siapa, tapi apa yang saya tahu dia seorang yang ber-ada, kemewahannya Masyallah, Allah memberi mereka kelebihan dan rezeki.

Cuma, bila melihat situasi dalam video itu saya merasakan, “Kemana arah kita suatu hari nanti? Macam mana dengan generasi yang akan datang yang akan membawa perangai dan sifat seperti lelaki biadab ini?”. Itu yang saya fikirkan, saya khuatir generasi akan datang mewarisi sifat biadab seperti ini. Kita ingin melahirkan generasi yang lebih beradab dan berakhlak, bukan biadab.

Dengan memberi RM50 yang ditunjuk-tunjukan, adakah kita sewenangnya boleh membuat apa yang kita suka kepada penerima? Ini persoalannya. Kes ini sama seperti seorang yang dikatakan agamawan sedang memberi derma dan menyoal pelbagai soalan yang mengaibkan, dengan alasan, dia menolong dan memberi motivasi. “Tuhan hantar saya menolong anda”.

Saya terfikir, adakah pembelajaran pendidikan agama tiada kesan kepada kita sewaktu belajar di sekolah rendah dan menengah? Ataupun mereka ini belajar cara motivasi bersifat kurang ajar seperti ini? Walaupun kita tahu memang ada golongan beraliran motivasi yang bersifat keras begini, ianya bukanlah suatu rahsia lagi, ramai memperkatakan. Kebanyakan mereka ini mempelajari cara motivasi yang suka herdik orang, jatuhkan orang, aibkan orang dengan alasan, memberi motivasi, memberi semangat dan sebagainya. Aliran pembelajaran ini memang berlaku. Tidak mengapalah, kita tolaklah ketepi pemikiran mereka yang kononnya sekadar memberi motivasi dan menaikan semangat.

Cumanya disini, pendidikan sivik dan pendidikan Islam mengajar kita menghormati sesiapa sahaja, tidak kira agama, bangsa, golongan tua mahupun golongan muda. Menghormati dalam erti kata lain, berkata baik dan perbuatan baik. Ini asas pendidikan sewaktu kita kecil. Jika asas sebegini pun kita tidak memahami, bagaimana kita hendak memberi ceramah atau motivasi kepada orang lain? “Kita herdik mereka supaya mereka bermotivasi dan memberi semangat”. Kita sedang berinteraksi dengan golongan tua ya. Bukan budak-budak yang boleh kita herdik sesuka hati kita dengan alasan “Kau budak, aku dah besar, dengan cakap aku”.

Bilamana menonton video tersebut, Astaghfirullah hal azim, Allahuakhbar, terkebil-kebil pakcik itu. Saya tidak sanggup melihat seorang orang tua diherdik sebegini rupa, di korang-korangkan, seperti kanak-kanak. Kemudian diaibkan atas dasar motivasi dan menaikan semangat? Inikah sifat yang kita hendak wariskan kepada generasi muda yang akan datang? Ini sangat melampau! Saya tahu aliran motivasi seperti ini sangat ramai pengikut. Tidak peliklah jika ada yang sokong dan sebagainya. Tapi, saya hendak ingatkan sekali lagi, kamu sedang berinteraksi dengan golongan tua, ini bukan cara yang bagus untuk kamu nak herdik dan “memberi semangat” kepada mereka. Berbeza dengan kamu datang dan bayar event motivasi beribu-ribu untuk menaikan semangat dan memang kamu datang ke sana untuk diherdik. Tetapi situasi video tersebut, kamu pergi kepada mereka dan herdik mereka tanpa mereka rela hati. Dua situasi yang berbeza. Jangan samakan situasi kamu dengan mereka! Tiada sesiapa yang suruh kamu ke sana dan herdik mereka.

Bagaimana tergamaknya kita hendak mengherdik begitu? Apa perasaan kita bilamana mak ayah kita sendiri diherdik sebegitu? Bahasa mencerminkan sesebuah bangsa. Jika bahasa sebegitu membuatkan orang lain akan melihat “Ini ke cara bangsa mereka? Kasar sungguh”. Ini pertama yang akan keluar dari mulut orang lain, lebih membahayakan lagi “Ini ke cara agama mereka ajar? Ganas”.

Saya berminat untuk memetik beberapa perkataan lelaki tersebut. “Sebab berani DIA, saya UPAH DIA RM50”, “Korang”, “Tuhan hantar saya”. Dan saya petik hantaran di IG “MUNGKIN ADA SIKIT PAHALA YG BOLEH KITA DAPAT DARI BERSABAR INI”. Bertanya tentang kisah silam orang “MASA MUDA DULU, MENYESAL TAK, TA BUAT BETUL-BETUL. MASA MUDA DULU MENYESAL TAK BANYAK MAIN-MAIN, BANYAK TAK BUAT BETUL-BETUL, BANYAK MALAS, MENYESAL TAK?”

RM50
Dengan bangganya lelaki tersebut mengatakan “Sebab DIA berani, saya UPAH DIA RM50”. DIA? DIA itu siapa? Upah RM50? UPAH? Kita boleh lihat betapa runtuhnya adab dan akhlak seseorang dengan hanya menggunakan bahasa dan perkataan yang tidak sesuai. Mungkin orang kata, “Ala, biasa saja”, ianya biasa bagi seseorang yang tidak pernah merasa bilamana mak ayahnya disebut DIA DIA dan UPAH. Saya segi perkataan DIA, bukan semua tempat boleh digunakan. Apa salahnya lelaki tersebut menggunakan perkata, “Sebab pakcik berani, saya hadiah RM50”. Susah ke? Tukar DIA kepada PAKCIK, tukar UPAH kepada HADIAH. Mudah.

Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasullah saw bersabda:
Tiada berkurang harta kerana sedekah, dan Allah tiada menambah pada seseorang yang memaafkan melainkan kemuliaan. Dan tiada seorang yang bertawaduk(merendah diri) kerana Allah, melainkan dimuliakan oleh Allah.

HR Muslim

KORANG
Sebenarnya ramai terlepas pandang dengan perkataan KORANG ini. Tidak terkecuali pengacara atau wartawan muda yang membiasakan panggilan orang berumur KORANG. KORANG ini kebiasaan kita guna kepada kawan atau sebaya dengan kita. Kepada orang berumur atau orang tua, ini bukan perkataan yang baik. Kita mampu belajar bahasa Korea, penggunakan asas bila kita bercakap dengan orang yang berumur, orang muda, orang tua, orang perempuan atau orang lelaki, kita sanggup belajar, tetapi kita terlepas pandang dengan larasan penggunaan bahasa Melayu kita sendiri.

Cuba ada seorang budak jumpa mak ayah kita, budak itu tanya “Korang umur berapa? Korang anak ada berapa?”. Saya pasti anda akan cakap, “kurang ajar gila bahasa dia ini”. Kalau anda merasakan begitu. Itulah rasa orang lain. Gunakan perkataan yang lembut dan lebih formal. Pakcik, Makcik, Anda Berdua, Anda Semua, Kalian. Bukan guna perkataan korang sesuka hati. Kalau budak panggil kita(orang dewasa) dengan perkataan korang pun, kita tidak suka, apatahlagi dengan orang tua. Belajarlah sedikit. Kita sanggup belajar perkataan dari Korea Oppo, Noona, Unnie dan sebagainya demi menjaga hati orang tua, orang muda, lelaki panggil perempuan, perempuan panggil lelaki, belajarlah bahasa kita sendiri, Bahasa Melayu.

TUHAN HANTAR SAYA TOLONG ANDA
Bagi saya ini sangat dahsyat. “TUHAN HANTAR SAYA TOLONG ANDA”? Tetapi bagi saya, Tuhan hantar lelaki ini untuk mengajar saya, kekayaan, kemewahan, keber-ada-an, duit, rajin, kuat, besar, tidak menjamin adab dan akhlak seseorang. Saya sangat bersyukur pada Tuhan, dengan kehadiran lelaki seperti ini menolong orang ramai lebih memahami belajar sifat adab dan akhlak.

MUNGKIN ADA SIKIT PAHALA YG BOLEH KITA DAPAT DARI BERSABAR INI
Saya sangat bersetuju dengan kenyataan ini, setiap amalan sedikit atau banyak, setiap kesabaran, akan ada ganjaran dan pahala untuk mereka yang lakukan kerana keikhlasan. Tetapi, kita sering mengatakan pahala yang sedikit, tanpa memikiran kesalahan yang besar kita lakukan. Ya, tolong orang ada pahala, tetapi tidak beradab dan berakhlak suatu kesalahan.

Firman Allah SWT,
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.

Surah Hujurat[49]: 11

Mungkin kita lupa ayat diatas “Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka“. Merendah-rendahkan orang lain ikut suka diri kita dengan alasan “Saya tolong, saya bagi RM50, saya bagi motivasi dan ingin naikan semangat mereka”. Atau lebih epiknya lagi “Tuhan hantar saya tolong anda”, ayat yang biasa orang guna. Kita mengatakan kita buat baik, tetapi dalam masa yang sama kita mencemuh dan merendah-rendahkan orang lain. Jika seseorang itu berkecil hati, terguris hati, rasa dizalimi, ini sangat salah. Niat tidak menghalalkan cara. Jangan meletakan istilah “Saya tolong mereka kot, saya derma kot”. Adakah dengan kita menderma, kita boleh buat apa sahaja yang kita suka? Fikirkanlah jika orang buat keluarga kita begitu.

MASA MUDA DULU, MENYESAL TAK, TAK BUAT BETUL-BETUL. MASA MUDA DULU MENYESAL TAK BANYAK MAIN-MAIN, BANYAK TAK BUAT BETUL-BETUL, BANYAK MALAS, MENYESAL TAK?
Akhir sekali, saya tutup dengan ayat ini. Pertama, mana anda tahu pakcik ini banyak main, malas dan tidak buat betul-betul? Kehidupan setiap orang tidak sama. Mungkin pakcik ini hidup dia memang susah, nak pergi belajar pun tiada duit. Lelaki tersebut ini, langsung tidak memahami situasi. Jika tidak salah saya, pakcik ini umur 64 tahun, pakcik ini lahir tahun 1957. Bersekolah sewaktu atau zaman itu, bukanlah sesuatu perkara yang mudah dan senang, jika hendak dibezakan zaman lelaki terebut(tidak tahu berapa umurnya). Tahun 60-70 bukanlah waktu senang dan Malaysia baru sahaja merdeka. Mungkin akan ada orang kata, “Mak aku lahir waktu itu, ok saja, senang saja”. Setiap orang ada ceritanya yang berbeza. Jangan samakan mak ayah kita dengan orang lain. Banyak faktor menyebabkan seseorang itu boleh gagal. Kita mendengar banyak kisah orang miskin jadi kaya, tetapi itu hanya segelintir kecil sahaja yang bernasib baik, bukan semua orang susah boleh kaya dengan sekelip mata. Kita perlu memahami hakikat dunia. Mungkin kita dibesarkan dengan keluarga berduit dan ada sedikit kelebihan.

Cumanya satu perkara yang hendak saya katakan disini. Adakah lelaki ini tidak menyesal sewaktu kecil dahulu tidak bersungguh-sungguh atau bermain-main atau malas hendak belajar pendidikan sivik dan pendidikan agama(adab dan akhlak)? Sehingga sesuka hati boleh merendahkan dan menjatuhkan maruah orang? Mungkin juga lelaki tersebut ini tidak buat betul-betul ketika belajar dahulu? Sebab mengikut katanya, dia memukul rata, pakcik ini main-main, tak buat betul-betul, banyak malas. Kalau lelaki tersebut bertanya “Mana kau tahu aku main-main?” saya jawab “Mana kamu tahu pakcik ini main-main, malas tak buat betul-betul?”. Sebab dia berada dirumah gelandangan? Berapa ramai orang jutawan, muflis yang berada di rumah gelandangan. Itu pun dikira malas dan tidak buat betul-betul? Malang pemikiran kamu.

Dari ‘Iyadh bin Himar ra katanya: Rasulullah SAW bersabda:
Sesungguhnya Allah telah mewahyukan kepada saya: Bertawaduk(merendah dirilah) hingga seseorang tidak menyombong diri terhadap lainnya dan seseorang tidak menganiaya terhadap lainnya.

HR Muslim

Saya tidak berniat untuk menulis seperti orang lain yang mengecam dan menghentam ibu ayah beliau atau keluarga anak beliau. Itu bukan cara saya, saya berpegang teguh pada..

Sabda Nabi SAW,
“Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.”

HR Ahmad

Sabda Nabi SAW,
Mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya.”

HR At-Tirmizi

Sabda Nabi SAW,
“Orang yang beriman itu bukanlah sifatnya memaki hamun, melaknat, berkata kotor dan juga bahasa yang keji.”

HR At-Tirmizi

Ini pegangan saya. Saya hanya mengkritik lelaki tersebut dan cuba untuk menggunakan laras bahasa yang sebaiknya, jika saya menggunakan bahasa kesat, apa bezanya saya dengan lelaki tersebut. Walaupun saya tahu, kadang kala emosi akan mengeluarkan kata yang kurang baik. Adapun hal keluarganya, saya tidak berminat hendak masuk campur dan tiada sebab untuk saya mengatakan mak ayahnya tidak ajar dan sebagainya. Saya yakin mak ayah akan sentiasa mengajar anaknya sebaik-sebaiknya dengan pendidikan agama. Mungkin lelaki tersebut yang malas, tak buat betul-betul, masa muda dan banyak main-main.

Janganlah kita bersikap riak dan sombong disebabkan kita berharta, mewah, berduit. Jangan disebabkan kita mempunyai sedikit kelebihan yang Allah beri pada kita, dan sedikit kekayaan, kita bersifat sombong dan boleh mengatakan apa sahaja dengan pelbagai alasan.

Firman Allah SWT,
Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang.

Surah Al Isra[17]: 37

Fiman Allah SWT,
“Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.

Surah Luqman[31]: 18

Sabda Nabi SAW,
Tiada masuk ke syurga, siapa yang di dalam hatinya ada seberat zarah dari sombong. Maka seorang berkata: Adakalanya seorang itu suka berpakaian bagus. Sabda Nabi SAW: Sesungguhnya Allah indah dan suka keindahan. Sombong itu ialah menolak hak kebenaran, dan merendahkan orang.

HR Muslim

Semoga kita dijauhkan dari sifat seperti ini dan sentiasa menjaga adab dan akhlak kita, dan menjaga mulut dan lidah kita daripada berkata yang boleh menyinggung dan kecilkan hati orang lain.

Sabda Nabi SAW,
“Sesungguhnya seseorang terkadang berbicara dengan kata-kata yang dia sangkakan tidak mengapa, lalu (tanpa diduga) dia terjerumus dengan sebabnya ke dalam neraka (yang kedalamannya) sejauh perjalanan tujuh puluh tahun.”

HR Ahmad

Sekian

Tagged:

LEAVE A RESPONSE

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts