Assalammulaikum, Salam sejahtera..
Pernah tidak kita terdetik mengatakan kepada Ibu Ayah kita bilamana Ibu Ayah kita ‘ungkit’, “Waktu kecil kamu dulu semua Ibu Ayah buatkan”, kemudian kita balas “Itu tanggungjawab seorang Ibu atau Ayah!”.
Pernah tidak kita terdetik dalam hati kita? Untuk berlaku jujur, sebagai seorang insan biasa, pasti saya sendiri pernah terdetik ayat ini. Bagi sesiapa yang tidak pernah terdetik ataupun terniat, Alhamdulillah, jangan pernah sesekali anda terdetik atau terniat sedikit pun ucapan ini. Dan saya yakin, anda lahir dari keturunan yang baik-baik, dan pasti akan lahirkan zuriat yang baik. Ini akan menjadikan generasi yang akan datang lebih baik dari generasi yang sebelumnya.
Bagi yang pernah terdetik atau terniat atau terlintas, atau yang pernah mengeluarkan ayat ini. Jom kita muhasabah diri dan renungkan tulisan ini bersama. Bagi sesiapa yang tidak pernah terdetik atau terniat, atau terlintas juga harus membaca tulisan ini. Paling tidak suatu hari nanti anda tidak terlepas ucapan ini.
“ITU TANGGUNGJAWAB MEREKA SEBAGAI IBU DAN AYAH!“
Walaupun bunyinya kasar, tetapi itulah kebiasaan kita sebagai seorang anak akan terlintas untuk berkata-kata sedemikian rupa. Kita tidak mahu membincangkan lebih mendalam apa hukum taat atau bersopan terhadap Ibu Ayah, kerana sudah maklum bahawa hukumnya wajib selagi mana Ibu dan Ayah kita tidak menyuruh kepada perkara maksiat.
Firman Allah SWT,
Surah Al-Isra[17]: 23
Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).
“Ha” dalam masuk ayat ini sangat luas, ianya lebih kepada jangan kita berkata kurang ajar atau biadab terhadap Ibu Ayah. Sebagai contoh, walaupun ayat “Itu tanggungjawab Ibu Ayah!” tiada sebutan “Ha” atau “Ah!”, tetapi membawa maksud yang sama.
Jadi, jelaslah hukum taat terhadap Ibu Ayah adalah WAJIB!
Seperti yang saya beritahu tadi, saya tidak akan terlalu mendalam menceritakan hukum taat atau sopan terhadap Ibu Ayah, kerana ianya jelas WAJIB!
Tetapi saya nak buka sedikit pemikiran pembaca, kita selalu melepaskan tanggungjawab kita bilamana Ibu Ayah minta jaga mereka atau apa-apa sahaja. Kemudian bilamana Ibu Ayah kita berkecil hati dengan mengatakan “Waktu kamu kecil dulu, Ibu Ayah buat semuanya untuk kamu”, kita terus jawab “Itu tanggungjawab seorang Ibu Ayah!”.
Pernah tidak kita berfikir sejenak, bukankah menjaga Ibu Ayah sewaktu mereka tua adalah tanggunjawab kita sebagai seorang anak? “…Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu…”. Kadang-kala kita terlupa atau terlepas pandang dalam hal ini dan sentiasa ratib waktu kecil kita memang tanggungjawab Ibu Ayah pun, seolah-olah kita terlepas pandang tentang tanggungjawab seorang anak terhadap Ibu Ayahnya.
Sifir mudahnya begini. Waktu kita kecil, tanggungjawab Ibu Ayah kita. Waktu kita besar dan Ibu Ayah kita sudah tua, tanggungjawab kita. Jika Ibu Ayah ada tanggungjawabnya, anak juga ada tanggunjawabnya.
Saya tidak mahu petik ayat ini, walaupun saya akan memetiknya juga “SEORANG IBU BOLEH MENJAGA 10 ORANG ANAK, BELUM TENTU 10 ORANG ANAK BOLEH MENJAGA SEORANG IBU”. Ayat ini terlalu cliche sehingga saya rasa ayat ini ayat yang selalu dipermainkan. Tetapi, itulah hakikatnya. Kita akan cuba melepaskan tanggungjawab kita bilamana Ibu Ayah kita ungkit waktu kecil kita dengan mengatakan itu tanggungjawab mereka sebagai Ibu Ayah.
Mungkin ada yang beri alasan, “Aku kerja lah! Senanglah cakap!“. Mungkin kita lupa yang Ibu Ayah kita pun bekerja.
“Dulu lain, sekarang lain!“. Mungkin kita lupa, dulu lebih susah dari sekarang. Ibu Ayah kerja sambil jaga ramai anak termasuk kita. Kita bekerja, ada yang belum kahwin, anak pun tiada lagi.
Kita boleh beri seribu alasan yang kita rasa munasabah bagi diri kita, yang mana sebenarnya alasan kita tiada nilai disisi Tuhan.
Mungkin ada satu alasan yang membuatkan saya setuju dan tidak setuju. “Ibu Ayah aku abaikan aku dulu kot. Tak peliklah aku abaikan mereka“. Pernah tidak kita mendengar situasi ini? Saya pernah mendengarnya, bahkan dari seorang berpangkat Ayah, dia sendiri cerita “Pakcik dulu abaikan anak pakcik, tinggalkan dia, cari rezeki di negeri orang. Jadi, pakcik tak kisah kalau dia tak nak jaga pakcik“. Ini luahan seorang pakcik kepada saya. Waktu mendengarnya agak tersentuhlah juga. Cuma..
Apa maksud “ABAI” atau “ABAIKAN” bagi diri kita? Adakah seorang Ibu atau Ayah sibuk cari rezeki dari pagi hingga malam, kemudian masak, kemudian tidur? Atau Ibu Ayah keluar cari rezeki dari pagi hingga malam, kemudian balik, tidur? Atau Ibu Ayah keluar cari rezeki dari pagi hingga malam, tidak bekalkan makan atau membiarkan anaknya tidak makan dan kelaparan? Atau memang Ibu Ayahnya abaikan sungguh-sungguh. Dalam erti kata lain, tidak sediakan makan minum, anaknya tidak bersekolah, pukul, atau kunci dalam bilik dan sebagainya.
Maksud abai ini sangat luas, dahulu Ibu Ayah saya hantar saya pergi sekolah, kemudian pergi kerja, pukul 7 malam baru balik, sabtu ahad kadang kerja. Maksudnya pergi kerja pagi, malam baru sampai rumah, kadang kerja malam. Tapi Ibu Ayah saya akan sediakan pakaian dan balik Ibu saya masak. Cuma masa saya dengan Ibu Ayah sangat terhad.
Waktu itu makcik saya kata “Ibu Ayah kau ni asyik sibuk kerja, sampai abaikan anak dia”(lebih kurang begitu). Dari segi mata kasarnya nampak seperti kami diabaikan. Sebab tiada masa untuk anak. Dan saya sebagai seorang anak pada waktu itu, mengambil bulat-bulat perkataan abai dan disalah tafsir, sebab Ibu Ayah saya memang tiada masa, (kalau diikutkan). Dan saya tidak pernah dibawa berjalan-jalan makan angin, paling jauh di Pantai Port Dickson(setelah sekolah menengah), yang mana jika anda dari Kuala Lumpur ke Port Dickson dikira dekatlah. Waktu kecil pergi Zoo dan Taman Burung. Itu pun dikira acara tahunan, yang mana ada keluarga keluar berjalan-jalan, bershopping setiap hujung minggu, perkara ini tiada dalam keluarga saya. Walaupun, Alhamdulillah, Ibu Ayah saya mampu, tapi tiada masa.
Cuba lihat, bagaimana penggunaan perkataan “Abai”. Kalau Ibu Ayah kita tiada masa, tidak bawa kita jalan-jalan waktu kecil dikatakan abai, tidak mustahil bila kita besar kita akan abaikan Ibu Ayah kita lebih daripada itu. Dan itu terjadi. Anak abaikan Ibu Ayah disebabkan waktu kecil mereka Ibu Ayahnya abaikannya.
(Jangan salahkan makcik saya atau makcik kita bilamana mereka kata begitu. Sebab kadang mereka nak kita sentiasa ada masa dengan Ibu dan Ayah. Ini biasa. Sebab hubungan kami dengan makcik-makcik sangat rapat, Ibu kedua buat kami).
Mungkin waktu itu saya merungut Ibu Ayah saya tiada masa untuk saya, hanya kerja sahaja. Tetapi hari ini, saya menumpang rezeki mereka. Mungkin waktu itu ‘diabaikan’ kemudian kerana diabaikan dan mencari rezeki, hari ini Alhamdulillah, saya banyak menumpang atas kerja keras mereka mencari rezeki. Walaupun kita sudah besar, dan kalau diikutkan bukan tanggungjawab mereka lagi, tetapi bila kita susah, kita cari Ibu Ayah minta tolong dari segi kewangan, walhal kita marah mereka asyik kerja sahaja. Dahulu kita tidak nampak hikmahnya, sudah besar baru kita tahu nilainya.
Tapi ada satu situasi yang mana Ibu dan Ayahnya memang abaikan anaknya sungguh-sungguh. Bangun pagi dibiarkan anaknya tidak makan, dipukul, tidak bersekolah, dipaksa kerja dan sebagainya. Ini berlaku dan bilamana anaknya besar, memang anaknya akan abaikan Ibu Ayahnya dan biarkan sehingga tidak balik menjenguk kerana terlalu marah. Ini memang berlaku.
Kita perlu memahami definasikan abai dengan sebetulnya. Jangan disebabkan Ibu Ayah tak bawa jalan, tiada masa kerana kerja, tidak beri telefon bimbit waktu kecil sedangkan kawan ada. Kemudian dikatakan Ibu Ayah kita abaikan kita sewaktu kecil. TIDAK SAMA SEKALI!
Lihat, pelbagai alasan kita untuk ‘lari’ dari tanggungjawab kita terhadap Ibu Ayah kita dengan seribu alasan. Ya, benar, Ibu Ayah tidak sepatutnya ungkit tanggungjawab mereka kepada kita sewaktu kecil, kerana itu tanggungjawab mereka sebagai seorang Ibu dan Ayah. Tetapi kita pula tidak boleh lari dari tanggungjawab kita sebagai seorang anak terhadap Ibu dan Ayah kita.
Tidak dinafikan ada yang sudah berkeluarga, ada anak dan sebagainya. Sebenarnya Ibu dan Ayah kita sekadar inginkan anaknya hubungi mereka sepertimana mereka sentiasa berhubung dengan kita sewaktu kita kecil dahulu. Jika dahulu kita kecil bertanya “Burung apa? Burung apa? Burung apa?”, sebanyak itu jugalah Ibu Ayah kita menjawab. Hari ini bilamana kita sudah besar dan dewasa kita tahu semua, Ibu Ayah kita tanya “Apps ini untuk apa?“, terus kita malas nak jawab dan dalam fikiran kita “(Adoi, benda macam ini pun tak boleh faham. Sibuk nak guna teknologi, tapi dah cakap banyak kali pun masih tak faham)”. Inilah pemikiran kita bilamana kita sudah dewasa, kita rasa sudah bebas, sudah tahu semua benda, sudah pandai, kemudian abaikan Ibu Ayah kita. Ingat, kepandaian kita hasil dari titik peluh keringat Ibu Ayah kita kerja dahulu, sekolahkan kita sehingga masuk universiti. Hari ini bila kita mempunyai sedikit ilmu, kita riak dan sombong, dan kita merasa Ibu Ayah kita tidak pandai dan sebagainya.
Firman Allah SWT,
Surah Al Isra[17]: 37
Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang.
Kita perlu ingat satu perkara, walaupun kita rasa Ibu Ayah kita abaikan kita..
Walaupun kita rasa Ibu Ayah kita abaikan kita, kita tetap membesar dengan baik, basuh najis dipunggung kita, kita bersekolah hingga universiti, kita sihat sehingga ke hari ini, hari ini kita bahagia semuanya kita ada, mereka jaga kita dari kecil hingga besar, dari mereka muda hingga tua dan ketika ini kita masih lagi hidup dengan sihat. Hari ini, kita sudah dewasa mereka sudah tua, paling tidak, kita jaga Ibu Ayah kita sehingga mereka pergi meninggalkan kita. Kalau mereka jaga kita dari bayi sehingga dewasa, kita jaga mereka dari tua sehingga mereka tiada.
Jangan kita menyesal dikemudian hari, bilamana kita kehilangan mereka dan kebetulan semalam kita marah mereka, ini suatu penyesalan buat semua anak didunia.
Ini pesan saya untuk diri saya sendiri. Terasa sebak pula bila menulis ini. Semoga kita berbakti kepada Ibu Ayah kita didunia dan diakhirat kelak.
Firman Allah SWT,
Surah Al-Isra[17]: 24
Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”
Sekian.